Friday, April 20, 2012

Encik Onn dan ceritanya mengenai arwah Tun

ENCIK ONN CERITAKAN PENGALAMAN BERSAMA TUN MUSTAPHA

BIAR orang lain lupakan kita, asalkan kita jangan lupa diri kita, kata seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negeri ini. Onn Ariffin yang sering dipanggil `Encik Onn' oleh Allahyarham Tun Mustapha ini pernah menjadi Setiausaha Agung USNO.

Anak kelahiran Muar Johor pada 1947 ini menerima pendidikan rendah dan menengah di daerah kelahirannya. Selepas Beliau memiliki lesen juruterbang dan mampu menerbangkan pesawat ringan. Beliau pernah mengikuti Top Management Programme di Asian Institute of Management (AIM) di Manila pada tahun 1981. `Encik Onn' anak ketujuh daripada lapan adik beradik sebelum ini tidak pernah terfikir untuk berkhidmat di Sabah. Ayahnya, Ariffin Kechot, seorang guru Melayu manakala ibunya, Fatimah Jalani, mewarisi perniagaan beca dan panggung wayang di Muar. sebelum berkhidmat di Sabah, beliau bertugas sebagai pemberita Parlimen dan mempunyai kecepatan 160 perkataan seminit menulis trengkas. Encik Onn diminta oleh Tun Mustapha berkhidmat di Sabah melalui Setiausaha Sulit kanannya, Haji Rahmat Maadom. Pada tahun 1967, Encik Onn berangkat ke Sabah untuk berkhidmat sebagai pembantu Setiausaha Agung Parti USNO

Ikuti petikan wawancara Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama beliau dalam dua sesi yang diadakan di Jesselton Point dan sebuah kedai mamak di Centre Point baru-baru ini. Dalam wawancara itu beliau menceritakan sedikit kisah bersama Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, Bapa Kemerdekaan Sabah dan cerita di sebalik tabir bagaimana beliau dipilih oleh Tun Mustapha sebagai Setiausaha Agung USNO.

UB: Sebagai seorang yang rapat dengan arwah Tun Datu Haji Mustapha semasa hidupnya, boleh tuan ceritakan sedikit mengenai Tun Mustapha?

OA: Mungkin ada pihak yang menjangka tidak mudah berurusan dengan YABhg Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun Datu Harun. Ini kerana beliau seorang bekas Ketua Menteri dan sebelum ini pernah memegang jawatan Yang di Pertua Negeri Sabah atau sebelum ni terkenal sebagai Yang di Pertuan Negara (secara singkat digelar Negara). Lebih dari itu beliau juga telah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah disaat-saat alunan politik yang sangat mencabar ketika Sabah mula memasuk era politik tanah air selepas menyertai Malaysia. Dalam masa yang sama kita berhadapan dengan tuntutan Filipina keatas Sabah dan di sebelah selatannya pula wujud rancangan untuk menggagalkan Malaysia melalui konfrantasi oleh Bung Karno. Oleh itu adalah satu perkara yang tidak menghairankan jika ia menjadi penyebab mengapa Sabah memerlukan seorang tokoh yang mempunyai disiplin yang tinggi, berani dan tegas pada ketika itu.

UB: Kehadiran Tun tepat pada masanya?

OA: Tun Mustapha memenuhi kriteria ini dan pilihan YTM Tunku ke atas Tun Mustapha sebagai tunggak kepimpinan di negeri Sabah adalah perkara yang tepat lebih-lebih kedua-duanya menghidu keserasian hubungan yang berlatar belakangkan darah bangsawan dan semacam sudah wujud protokol kekeluargaan di antara mereka. Karakter Tunku dijiwai oleh Tun Mustapha malah Tunku seumpama bapa kepada Tun dan menjadi ikon politik kepada Tun sepanjang hayat beliau walaupun Tunku sudah dalam pemergian. Kepimpinan Tun Mustapha berjaya menghalang tindakan-tindakan liar dari luar Negara dan di saat-saat Negara menghadapi kedudukan politik yang kritikal dalam tahun 1969 Tun Mustapha muncul sekali lagi untuk menyelematkan keadaan sehingga Negara kembali tenang.

Mungkin disebabkan cabaran-cabaran yang dihadapi Negara pada ketika itu,secara tidak langsung membetuk keperibadian seseorang pemimpin. Disinilah lahir Tun Mustapha yang disegani, digeruni, disayangi, ditakuti dan diingati. Sejarah perlu menukil kepimpinan Tun dalam sifat negarawan kerana ia adalah pejuang Sabah yang telah menumpahkan jiwa dan raga demi Sabah.

UB: Apa beza Tun ketika pemerintahan USNO 1967 dan Tun ketika tahun 1985?

OA: Tun dalam masa pemerintahan USNO di Sabah dalam tahun 1967 dan Tun yang saya temui semula dalam tahun 1985 yang kembali untuk menerajui USNO sangat jauh beza. Tun suka bercerita tentang pengalaman-pengalaman lama beliau. Kadang-kadang ceita-cerita beliau membuatkan kita leka. Mungkin inilah rahsia Tun disbalik menenangkan pengikut-pengikunya. Bahkan ini juga satu terapi politik yang terbaik untuk membangunkan semangat juang ahli-ahli parti. Tun mudah membuat seseorang itu berasa selesa apabila berhadapan dengan beliau. Oleh itu tidak timbul perasaan tertekan bila berbicara dengan Tun walau pun ada perkara-perkara yang mahu disampaikan berada dalam keadaan keutamaan dan mendesak. Beliau begtu cergas menjalani urusan parti walau pun USNO mempunyai 16 kerusi dan dalam keadaan berikutnya tinggal 12 kerusi.

Ini boleh dilihat dari segi bahasa pertuturan beliau, corak dan pemakaian yang sentiasa segak. Apatah lagi dengan sisiran rambut yang begitu terurus, kemas dan rapi disamping ditemani dengan sebatang rokok yang tidak berfilter, terselit dijari beliau.

UB: Tun suka memanggil tuan dengan panggilan Encik Onn. Apa kisah di sebaliknya?

OA: Saya tidak pernah mendengar Tun memanggil saya dengan panggilan lain melainkan dengan sebutan Encik Onn. Ini mengherankan saya. Sedangkan dalam dunia Melayu penelitian selalu diberikan terhadap pangkat dan nama dan gelaran dan kelayakan ini biasanya dizahirkan pada kedudukan-kedudukan dalam masyarakat. Hanya dalam keluarga, perkataan abang dan adik, pak cik dan sebagainya merupakan satu amalan hidup. Ibu bapa saya melarang penggunaan panggilan ‘si’. Misalannya Si Onn atau si polan. Pada mereka ini kurang sopan. Akan tetapi setelah menjejakkan kaki di Sabah beberapa panggilan menjadi begitu lumrah dan tidak menjadi hirauan. Menyebut aku, merupakan bahasa yang halus, sebut kita menjadi bahasa yang terbalik, yang dimaknakan awak. `Bila kita sampai.' Dalam hati saya apa kena pula dia bertanya dirinya bila dia sampai. Pada hal yang ditanyakan saya. Sungguh menarik.

Kenapa Tun sentiasa memanggil saya Encik Onn. Sedangkan ada juga kawan-kawan tertentu Tun memanggil nama-nama mereka secara langsung.

Saya kerap kali dibawa oleh isteri saya Datuk Dayang Mahani untuk melawat kawasan. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lumadan yang terkenal dengan panggilan N.37. Sungguh pun ini kali kedua beliau memenangi kawasan ini selepas yang pertamaya di bubar dalam masa 10 bulan, namun beliau tidak berhenti-henti melawat kawasan untuk membiasakan diri denga rakyat.

UB: Waktu itu apa tugas tuan?

OA: Saya hanya merupakan driver dan isteri saya tidak mahu saya berjauhan kerana beliau mahukan saya memberikan tumpuan dalam bahan-bahan politik baik dalam penulisan mahu pun ucapan beliau. memerlukan `resources' yang begitu banyak kerana selain daripada menguasai keadaan politik dalam parti yang mana beliau juga memegang kedudukan Ketua Wanita USNO, Dayang juga merupakan barisan hadapan untuk menghadapi parti lawan sama ada dalam Dewan Undangan Negeri mahu pun didalam perhimpunan masyarakat.

Entah daripada mana datangnya ayat ‘wanita besi’ saya pun tak tahu. Mungkin pada ketika itu mengambil iktibar dan ilham daripada perjuangan Margaret Thatcher atau Benazir Bhutto , maka itu pengenalan diri dikisar begitu rupa untuk menambat hati rakyat bahawa dalam parti sendiri sudah ada seorang serikandi yang boleh mengaum seumpama singa bila , dengan isu-isu politik atau kebangsaan. Dan dari awal lagi, arwah Datuk Norjan Khan Badar pernah memperkenalkan Dayang sebagai singa USNO dalam majlis-majlis untuk membangkitkan semangat dan pemikiran parti. Datuk Norjan terdiri dari kalangan pemimpin yang tidak kenal penat sama ada siang dan malam demi memperjuangkan USNO.

UB: Bagaimana ceritanya tuan dilantik sebagai Setiausaha Usaha Agung USNO?

OA: Sebelumnya saya diusik oleh isteri saya dengan satu soalan yang serius. Tanya Dayang, Bang siapa akan menggantikan arwah Datuk Hamid sebagai setiausaha Agung USNO. Tanpa berfikir panjang dan berjenaka saya jawab, siapa lagi Beta lah sambil menunjukkan tangan saya ke langit.

Isteri saya menyangkal pandangan ini dengan mengatakan tak mungkin. Sebab daddy orang “Malaya”. Kerana tak mungkinlah saya anggapkan ia satu jenaka. Ketika itu kenderaan saya baru limpas Papar dan kami mesti bergegas ketempat Tun untuk kenduri arwah Datuk Hamid.

UB: Jadi pelantikan itu selepas acara tahlil?

Onn: Selesai tahlil kami meneruskan acara jamuan. Di majlis jamuan inilah terdapat beberapa perkara yang aneh. Saya cukup menghormati kawan-kawan, lebih-lebih lagi dari kalangan abang-abang saya dalam parti. Dimajlis ada yang mengambil pinggan untuk saya, yang mengautkan nasi dan menyuruh saya mendahului barisan ramai. Saya menolak kerana tak patut memotong jalan. Nanti ketulahan. Malah saya ditegah dengan serious untuk bertapak kebelakang. Hanya arwah Datuk Parman yang menguis siku saya dengan bisikan. Kata beliau kalau Tun bagi saya apa-apa jangan tolak. Ambil saya. Saya tanya berapa. Isyh, kesitu pula dia. Kami semua dah setuju. Apa dia. Tunggu sahaja.

UB: Jadi ketika itu tuan belum tahu apa-apa mengenai pelantikan itu?

Onn: Saya melupakan semua insiden ini setelah pulang, lagi pun penat dari lawatan kawasan, malamnya saya tidur dengan nyenyak. Apa pun esok masih ada.

Awal pagi lagi Ompok datang kerumah. Ini belum pernah terjadi. Kata Ompok, Tun jemput Encik Onn ke rumah. Tun nak jumpa. Kata saya, apa begitu penting sehingga tak boleh menalipon saya. Itu kata saya dengan Ompok. Cuba ada Tun, mana saya berani cakap begitu. Lagi pun serapat mana pun saya dengan Tun yang patut lebih rapat ialah Dayang, disebabkan kedudukan wakil rakyat dan ketua Wanita USNO.

UB: Apa yang tuan fikirkan ketika itu?

Onn: Dalam hati, mungkin Tun mempunyai satu ‘assignment’ baru untuk saya. Saya pernah diutuskan sebagai pembantu Tun untuk berjumpa dengan wakil meja politik Embassy Australia, Jepun dan British. Ketika itu saya tidak mempunyai sebarang jawatan parti pun. Dengan arahan sedemkian saya menganggap saya terlantik dengan sendiri sebagai wakil khas Tun dalam perjumpaan-perjumpaan seumpama ini. Dalam diam-diam saya memikirkan bahawa ada juga keistimewaan jika kita mempunyai pengetahuan dalam bahasa inggeris.

UB: Kemudian?

Onn: Sampai dirumah Tun di Tanjung Aru saya bergegas ke dapor dan memberi salam kepada arwah Toh Puan Rahmah. Toh Puan begitu mengambil berat tentang hal ehwal rumah tangga beliau sambil memberikan arahan tentang keselamatan pinggan mangkuk dan penyimpanannya. Toh Puan amat teliti kerana tidak mahu barang ini disemberana. Lagi pun kenduri kendara dan tahlil akan dibuat untuk beberapa malam lagi.

Tanpa disedari Tun berada di belakang saya. “Ini pun dia” kata Tun. Saya jemput you kerumah untuk berjumpa saya kerana ada hal penting. Dalam sifat hormat saya katakan ya Tun, Tapi Tun bila masuk ke rumah mesti salam dengan Tuan Rumah dulu, bukan kah Toh Puan. Toh Puan kata, Tun dah tunggu you. Masuklah ke ruang makan.

Seperti biasa saya membawa buku ringkasan trengkas saya. Saya tidak mempunyai masaalah untuk mengejar bahasa pertuturan untuk ditrengkaskan. Malah saya mempunyai banyak sijil dan perakuan dalam trengkas. Timbul juga dihati saya, mungkin Tun mahu pun surat yang penting maka itu saya dalam keadaan kesiap siagaan.Saya duduk dipersimpangan meja tetapi berhadapan dengan Tun. “Tutup buku you” kata Tun.

UB: Tun suruh tuan tutup buku?

Onn: Tutup buku you, kata Tun. “Jadi begini, sambil merenung muka saya, yang dalam keadaan tertanya-tanya.” “Datuk Hamid, Setiausaha Agung USNO sudah meningggal. Saya menyampuk dengan mengatakan. , “Ya Tun, saya kehilangan seorang kawan”. “Nanti dulu” kata Tun, “Oleh sebab Setiausaha Agung sudah tiada, maka jawatan ini hendaklah di pangku oleh Encik Onn”“Hah” saya kata. Hampir terlurut saya dari kerusi. Saya terpegun sejenak lalu saya menjawab. “Tidak Tun, jangan saya. Saya orang Malaya takkan orang Sabah mahu terima saya. Carilah anak-anak tempatan. Lagi pun saya mahu menumpukan masa dalam perniagaan”

UB: Apa reaksi Tun?

OA: Sekelip mata wajah Tun bertukar corak menjadi hitam. Saya sedar Tun dalam mood yang tidak baik. Dalam kemarahan bercampur diplomasi, Tun berkata, “You kata you mahu tolong orang Sabah, bila masanya lagi. Inilah masanya. Sudahlah Encik Onn, saya mahu you terima dan mari kita sambut Tun Hussein Onn yang akan sampai sekejap lagi.

UB: Apa yang jadi selepas tu?

OA: Saya minta Tun menerima syarat saya dalam perlantikan ini. Syarat nya pada bila-bila masa bila jawatan ini diminta oleh anak Sabah, dengan persetujuan Tun izinkan saya berhenti. Itu sahaja syarat saya. Tun bersetuju.Dengan rasa gelisah dan tidak menentu tiba-tiba Tun Hussein menjelma di pintu masuk Tun. Tun Mustapha menyambut Tun Hussein dengan mesra lalu memperkenalkan saya kepada Tun. “Saya kenalkan Setiausaha Agong USNO yang baru Encik Onn Ariffin berasal dari Johor juga.“Oh orang Johor kata Tun Hussein, dan nama pun tak jauh dengan saya” "Ada bezanya Tun”Apa bezanya, Tanya Tun.“Anaknya dilahirkan lebih dahulu daripada bapanya” Tun Hussein ketawa, dan Tun Mustapha terseyum lebar.

UB: Apa perasaan tuan ketika itu?

OA: Saya rasa ganjil untuk duduk disebelah Tun Mustapha, lagi pun orang baru, baru beberapa saat sahaja.Tun menggamit saya supaya mengambil tempat disebelah beliau.Begitulah pengalaman saya dengan Tun. Sukar untuk mengatakan tidak kepada Tun, kerana Tun mempunyai tarikan yang tersendiri. Barulah saya sedar betapa lama Tun memendam satu-satu tindakan saikologi sehingga sukar untuk membuat ukuran yang kurang sihat terhadap beliau.Mungkin disitu juga terletaknya mengapa beliau selalu memanggil saya “Encik Onn”

UB: Bermakna selepas tu, terus berkecimpung dalam politik?

OA: Saya rasa terperangkap dengan diplomasi Tun Mustapha yang menyebabkan saya tidak dapat keluar dari politik Sabah. Setiap kali saya cuba, semacam ada suara yang membisikkan sesuatu ditelinga saya. Buat diri saya, segala nya berubah sebaik sahaja saya mengangkap sumpah jawatan setiausaha Agung USNO. Mungkin ini satu fitrah dalam kehidupan

UB: Selepas peristiwa itu?

OA: Selepas Tun Hussein beredar dari kediaman Tun Mustapha di Tanjung Aru saya kembali menyertai Tun di ruang makan sambil bertanyakan apakah arahan-arahan Tun yang perlu dilaksanakan.Saya disuruh pulang ke rumah dan menungu pengumuman perlantikan yang akan dibuat oleh Majlis Tertinggi USNO. Tanggung jawab itu diserahkan kepada Datuk Sakaran Dandai (yang hari ini adalah Tun Sakaran Dandai).

UB: Apa perasaan tuan ketika itu?

Onn: Perasaan saya bercampur baur memikirkan tanggapan-tanggapan yang akan dilemparkan kepada saya. Sungguh saya mempunyai banyak kawan namun dalam sekelip mata juga ramai juga kawan mula mendaftarkan diri menjadi musuh.

Saya tidak dapat berselindung dengan isteri saya, walau pun Tun telah berpesan supaya tidak menghebahkan kepada sesiapa mengenai keputusan orang tua-tua untuk melantik saya sebagai Setiausaha Agung. Dan saya pula terlupa hendak bertanya adakah ini termasuk isteri saya.

UB: Tuan ceritakan kepada isteri juga?

Onn: Susah hendak bercakap mengenai orang lain, mungkin lebih baik bercakap dari kaca mata orang yang terdekat iaitu isteri saya sendiri. Dengan menurunkan ayat Bismillahi Rahman Nirrahim, inilah nama yang dipersetujui oleh Tun, iaitu Encik Onn Ariffin untuk memangku Jawatan Setiausaha Agung USNO.

Isteri sayalah orang pertama yang membuat ulasan supaya saya tidak dilantik sebagai Setiausaha Agung. Pendekatan yang dibuat oleh isteri saya ini tidaklah bersifat menentang bahkan lebh bersifat ‘reverse physchology’. Sebab sebagai isteri beliau tidak mahu melihat saya dikutuk mahu pun dihina disebabkan perlantikan ini.

UB: Bagaimana pula reaksi AMT ketika itu?

Onn: Saya tidak dapat membuat sebarang andaian daripada isyarat badan atau ‘body language’ berapa ramai yang senyum atau disebaliknya. Yang saya tahu saya tahu pada keesokan harinya saya bergegas ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk berjumpa dengan Datuk Yahya Lampong. Sesampai sahaja dilapangan terbang saya tengok beberapa orang pemberita sedang menemu ramah beliau dan diantaranya beliau menyebut tiada sebab tidak menyokong perlantikan kerana itu adalah keputusan Majlis Tertinggi.

UB: Di kalangan AMT ramai yang menyokong?

Onn: Datuk Seri Panglima Ampong Puyon dan Datuk John Ghani menjadi penyokong kuat saya. Memang pun saya dengan Datuk S.P Ampong bukan sahabat semalam tetapi kami kenal diantara satu sama lain dari era USNO se awal tahun 60 an. Waktu itu saya berkhidmat dibawah pentadbiran Datu Aliuddin bin Datu Harun dan Datuk Habib Abdul Rahman. Pada mulanya Datuk Habib yang mengurus sekretariat USNO, jawatan itu kemudian diambil alih oleh Datu Aliuddin disebabkan Datuk Habib dilantik menjadi menteri Kerajaan Tempatan.

Tidak ramai pemimpin muda yang begitu bertenaga atau tahan tukul yang boleh bertahan dari zaman pemerintathan USNO sehingga USNO bangkit semula dalam tahun 1985 untuk menentang Berjaya bersama-sama dengan PBS. Datuk S.P. Ampong adalah diantara orangnya. Datuk Ampong tahu cara saya bekerja, malah kita pernah bersama-sama dalam sebuah syarikat Jepun dimana kedua-dua kami menjadi ahli lembaga pengarah.

UB: Pernahkah tuan bayangkan bekerja sebagai pembantu Setiausaha Agung Usno 1967 dan kemudian 20 tahun kemudian menjadi Setiausaha Agung USNO pula?

Onn: Saya tidak boleh bayangkan nasib pembawaan diri saya yang bekerja dibawah Setiausaha Agung USNO dalam tahun 1967 dan akhirnya menjadi Setiausaha Agung USNO dalam tahun 1987. Bagi saya ini saya perkara yang pelik dan adakah ini kudrat. Saya ke Sabah bukan untuk menjadi ahli politik, bahkan semata-mata untuk mencari rezeki barang secupak, tiba-tiba pada hari itu berada ditengah-tengah kontroversi.

UB: Seperti mimpi saja? Tuan tak pernah bayangkan sebelum itu?

Onn: Semasa dibangku sekolah saya juga membaca buku-buku dongeng termasuklah diantaranya ‘angan-angan mak jenin’. Betul lah kata orang itu semua tahyul.

Dan realitinya pada hari itu saya telah memegang jawatan terbesar dalam parti yang melibatkan kepentingan lebih 150,000 ahli. Setidak-tidaknya saya mesti memikirkan harapan sejumlah besar rakyat di Sabah USNO.

Kadang kala timbul juga pemikiran yang bertanya apakah disebalik perlantikan yang di buat oleh Tun atau dengan kata-kata lain USNO. Apa pun yang bermain di kepala saya mungkin tidak masuk akal.

Mungkinkah disebabkan Tun akan bertanding dikawasan Parlimen Limbawang disebabkan kematian wakil rakyatnya. Kerusi ini pernah dijanjikan oleh Tun kepada isteri saya yang pada ketika itu ADUN Lumadan. Lumadan adalah dibawah Limbawang sebagai kawasan Parlimen.

Saya menguis kaki isteri saya waktu bercakap dengan Tun. Tun telah menawarkan kerusi Limbawang untuk ditanding kepada isteri saya sementara beliau akan memberi perhatian kepada kerusi USUKAN. Kerusi itu juga kosong kerana kembalinya ke rahmatullah Datu Abdul Hamid.

UB: Mula-mula Datuk Dayang menolak tawaran bertanding?

Onn: Dayang menolak tawaran Tun dengan mengatakan Tunlah yang harus bertanding dikerusi parlimen itu disebabkan sebagai Presiden Parti Tun mestilah setanding dengan presiden parti lain, setidak-tidaknya dalam konteks Sabah.Saya menyalahkan Dayang kerana membuat keputusan terburu-buru tanpa berunding dengan saya. Pada saya itulah peluang keemasan untuk mengetok pintu politik di Kuala Lumpur. Mana tahu, kerana ia seorang wanita kedudukan Menteri penuh sudah tentu dalam tangan. Itu dalam pemikiran pada ketika itu.

UB: Itu bermakna Datuk Dayang begitu setia dengan pemimpin ya?

Onn Ya,Dayang cukup setia dengan pemimpin. Biar dia tak makan asal hati pemimpinnya senang. Mungkin ini dari pembawaan keluarga yang berpantang dengan adat dan jangan sekali-kali derhaka. Keluarga Dayang terlalu perpegang kepada adat Brunei, lebih-lebih lagi beliau pernah menjadi Yang di Pertua Negara yang kedua di Sabah.

Kemudian saya juga terfikir mungkin juga ini satu perangkap untuk membuang segala sisa kekeruhan yang membungkam perasaan pimpinan USNO terhadap pimpinan Kuala Lumpur. Satu kelibat jelingan pada saya, sudah tentu itu tanda-tanda saya membayar hutang Kuala Lumpur kepada USNO. Mungkin juga.

UB: Apa yang tuan lakukan ketika itu?

Onn: Saya sudah tersorong ke tengah dan ramai juga kawan-kawan yang meletakkan harapan agar saya boleh boleh berbuat sesuatu untuk menaikkan imej USNO dan seterusnya menjadi alternatif kepada Kerajaan yang ada pada hari itu. Pada saya ini juga satu cabaran.

Saya kena ketepikan segala pemikiran liar kerana masa amat singkat. Di sebelah kiri, parti sedang membuat persiapan untuk menghadapi dua pilihan raya kecil, disebelah kanannya pula ada cubaan untuk mengambil alih pucuk pimpinan parti sementara dihadapannya pula sebagai parti pembangkang di negeri Sabah kita mesti menjalankan ikhtiar untuk menumbangkan Kerajaan yang ada di Sabah pada ketika itu.

UB: Apa yang terjadi lepas tu?

Onn: Saya mengambil keputusan, walau apa pun terjadi saya akan menjalankan tugas dengan sehabis baik yang mungkin. Walau pun ‘baik’ berarti boleh mendatang musibah kepada diri saya. Biarlah saya kena buang dari parti kerana berbuat kerja dengan baik daripada dibuang kerana tidak pandai buat kerja. Saya selalu bersenda dengan kawan-kawan. Sudahlah bekerja tak ada gaji, lepas itu kena buang kerana kerja tak betul. Tidak ada gaji itu tidak ada masalah, sebab dalam perjuangan kita tidak seharusnya minta gaji, tapi kena buang kerana buat hal atau tidak mempunyai tahap kebolehan, malulah keluarga saya kerana tidak mampu untuk memperjuangkan nasib masa depan rakyat. Tidak akan ada simpati. Walau apa pun kita jangan cuba menilai diri kita ketika diberi tanggung jawab.

UB: Benar tuan, saya setuju. walau apa pun kita jangan cuba menilai diri kita. Kemudian?

Onn: Biar lah masa yang akan menentukan.Saya teringatkan satu telahan seorang kawan lama saya yang pernah menjawat jawatan penting dalam PBS. Beliau menjemput saya ke minum teh di Jesselton Hotel setelah terlihat saya menyusur di tepi bangunan. Sama ada beliau jujur dengan kata-kata itu Allahualam. Tengok disekeliling you, ini kemajuan disebabkan you. Tapi hari ini tidak ada seorang pun yang ingatkan you. Ringkas, betul dan perit telinga. You dah bagi saya minum teh, maknanya you ingatlah. Tak apa Datuk, Biarlah orang tak ingatkan saya, asal saya ingat siapa saya. Kawan-kawan sekeling menepuk-menepuk belakang saya mengatakan setuju. Betul tu Onn.

UB: Bernas kata-kata tuan, biar orang lupakan kita, asalkan kita jangan lupa diri kita.

Onn: Saya minta secawan teh lagi kerana saya tahu dia akan membayar. Dalam hati saya, apa juga dunia ini pernah kawan ini saya godam di akhbar hari ini sungguh mulia hatinya memanggil saya dengan hidangan teh. Baru-baru ini saya dapat khabar dari anak saya keluarganya baru sahaja melangsungkan perkahwinan anaknya. Tak juga saya nampak kad jemputan. Mungkin ada beza diantara ingatan persahabatan mahu pun perjuangan. Atau betul-betul terlupa, juga satu kesilapan biasa, sebagai manusia. Saya tak ambil hati lah. Perkara remeh sangat.

UB: PRK Limbawang dan PRK Usukan itu ujian pertama tuan sebagai Setiausaha Agung USNO, begitu?

Onn: Pilihan raya kecil Limbawang dan Usukan adalah ujian pertama buat saya sebagai Setiausaha Agung USNO. Barulah saya sedar begitu banyaknya sistem nilai yang sampai ke tangan saya sama ada yang meminta pandangan atau pun keputusan.

UB: Jadi apa pertimbangan tuan dalam membuat keputusan?

Onn: Apa pun yang sampai saya bawa kepada Tun. Pertama kerana beliau adalah Presiden Parti dan kedua beliau juga calon kedua-dua tempat. Malah saya minta izin, ketika ketiadaan Tun bolehkah saya berbincang dengan mana-mana pemimpin untuk mengambil kefahaman atas perkara-perkara tertentu. Saya tidak dibenar untuk membawa kepada mana-mana pihak dalam parti untuk berunding atau berbincang.Berpegang kepada arahan ini saya mengambil keputusan untuk tidak membawa sebarang orang kedua dalam hal-hal kerahsiaan.

UB: Bagaimana mengenai soal lambang parti yang digunakan untuk bertanding?

Onn: Saya hampir tersangkut dengan desakan akhbar mengenai penggunaan lambang dikedua-dua tempat. Akhirnya saya dituduh oleh akhbar kerana tidak tegas dalam penggunaan lambang. Buat pertama kalilah saya mengolah kenyataan saya yang berbentuk politik. Saya menjawab kembali dengan mengatakan soal lambang, ia adalah diukur dari masa ke semasa walau pun hingga kesaat terakhir. Ia bergantung kepada permintaan dari kawasan disegi pengenalan dan kesesuaian. Manakan tidak selang beberapa bulan yang lalu kita baru menurunkan lambang BN untuk berlawan dengan Berjaya. Ini nak bawa lambang BN balik mungkin sukar.

UB: Ini bermakna sebelum itu memang timbul kontroversi mengenai lambang?

Onn: Betul, USNO baru menyertai BN semula untuk bertanding kerusi Parlimen di Sabah, tetapi untuk memusing balik nilai-nilai lambang parti boleh memakan masa.Dalam masa yang sama saya juga belum menerima arahan untuk membuat pengumuman mengenai Lambang. Bagi saya ini hak Presiden, biarlah beliau membuat pengumuman.

UB: Kemudian, apa cerita selanjutnya mengenai penggunaan lambang itu?

Onn: Saya ke Airport untuk menyambut ketibaan Tun Mustapha. Dalam wawanara beliau telah mengumumkan dua lambang. Bagi Usukan Lambang USNO sementara di Limbawang kita menggunakan Lambang Barisan. Bukankah begitu Encik ONN. Saya kata ya Tun. Kes Lambang dengan sendirinya tertutup. Tidak ada siapa yang membangkitkan lagi kerana asas untuk menerima satu-satu lambang sudah saya jelaskan dalam akhbar sebelum ini.

UB: Tuan buat pengumuman mengenai penggunaan lambang itu di akhbar?

Onn: Mujurlah saya tidak memandai-mandai membuat pengumuman, kalau tidak sangkut saya. Itulah buat kali pertama yang menimba pengalaman bagamana nak menjaga hati boss. Kita tahu kita mempunyai kapasiti untuk membuat keputusan, disebabkan kedudukan kita, tetapi kita jangan leka atau terburu-buru dengan kuasa jawatan itu takut-takut kita tersilap dalam permainan sehingga kejujuran dan kesetiaan kita menjadi tanda tanya. Mungkin disitulah garis pemisah di antara rajin dengan terlalu rajin.

No comments: