Saturday, April 7, 2012

Mencari Keindahan dalam Kehilangan

MENCARI KEINDAHAN DALAM KEHILANGAN
-Catatan perjalanan Jakarta-Bandung

Melihat bendang yang terbentang dalam perjalanan Jakarta-Bandung sangat mengasyikkan. Orang-orang membanting tulang di atas tanah sawah disirami matahari pagi, sesungguhnya satu pemandangan yang jarang kelihatan. Petani-ada yang sedang menanam, ada yang sedang menuainya, ada yang memotong, ada yang menghempasnya, semuanya masih dengan kaedah tradisi, selalu membuat kita terpegun melihat kegigihan, juga kegagahan mereka dalam perjuangan untuk mencari satu kehidupan.

Tanpa penanam padi itu, satu negara tidak boleh makan. Tapi bukankah seperti kata Multatuli, padi sering memberi makan orang yang tidak menanamnya?. Tidak banyak jentera moden yang digunakan oleh petani, misalnya di Karawang, meskipun wilayah itu adalah antara pengeluar padi terbaik di Jawa. Juga sepanjang jalan di atas perbukitan, kita melihat sawah padi yang bertingkat kerana bentuk muka buminya yang sedemikian rupa sehingga memandangnya pun satu rahmat yang tak terlupakan.

Betapa indahnya lanskap alam, perbukitan, sungai, selokan tapi lebih indah lagi jika kita melihat petani tua, padi dan sawah yang mereka kerjakan, kecipak air lumpur, tangkai jerami dan merasakan keluhkesah mereka. Betapa indahnya kehidupan yang mereka lalui, juga betapa sukarnya menjadi petani yang terpaksa memerah keringat dan tulang empat keratnya semata-mata untuk memastikan agar keperluan makanan mencukupi.

Melihat keindahan seperti ini selalu membuat saya terharu. Melihat petani bersama sama mengusahakan tanah sawah mereka, masih dengan cara lama, membuat saya terkenang masa kecil di kampung, mengingatkan saya bau tanah, padi, dan keriuhan ketika bergotong royong mengetam padi, atau memotongnya, menghempasnya ke ampasa' (dalam bahasa Iranun) untuk memisahkan padi dari bulirnya, biasanya pada waktu petang atau malam. Perbuatan ini dinamakan ngampas dalam bahasa bajausama dan pangampas dalam bahasa Iranun.

Jika menggunakan keketes, ketesa atau gagani (dalam bahasa Iranun) atau linggaman (dalam bahasa Bajau), tangkai padi itu akan disimpan dalam karung guni dan dikumpulkan dalam bariut atau bakul dalam bahasa Melayu kemudian dibawa pulang untuk dikumpulkan dalam ritip atau tempat menyimpan padi dalam bahasa Iranun. Ritip hampir sama maksudnya dengan tangkob dalam bahasa Dusun.Tidak berapa lama kemudian, padi itu akan dipijak-pijak untuk memisahkan biji padi dari tangkainya.

Semua ini dilakukan secara berderau atau dalam bahasa bajaunya seliu-liu atau saliuwa' dalam bahasa Iranun atau mungkin maknanya sama dengan mitatabang dalam bahasa Dusun. Kaedah tradisional bergotong royong ini menjadi amalan nenek moyang kita. Jika ada petani yang menuai padi, penduduk satu kampung itu akan keluar beramai-ramai untuk saling membantu.

Seseorang petani akan memberitahu tuan punya sawah, berapa banyak yang telah dituainya, misalnya berapa guni, supaya jika tiba gilirannya nanti, jumlah yang sama yang akan dibayar oleh rakannya itu. Cara membayarnya mudah sahaja iaitu mengerjakan jumlah yang sama jika tiba giliran si petani tadi menuai padinya.

Prinsip kesalingan ini menjadi tonggak kekuatan warga desa. Saling bekerjasama, saling bantu, saling berkongsi suka duka, seliu-liu dalam hampir semua perkara menjadikan masyarakat kampung kukuh dan tidak mudah diruntuhkan. Tetapi seiring dengan kemajuan dan kemodenan, petani kini tidak lagi menggunakan kerbau untuk membajak sawah. Kini mereka menggunakan traktor.

Petani tidak lagi menanam padi tetapi hanya menabur beni padi untuk tumbuh sendiri. Petani tidak lagi menuai padi dengan cara tradisi, seliu-liu sebaliknya kini sudah menggunakan jentera penuai padi atau jentuai. Padi yang dituai itu pula tidak lagi masuk ke dalam ritip rumah masing-masing sebaliknya terus ke kilang untuk kemudiannya dikisar menjadi beras.

Perlahan-lahan kebiasaan lama hilang.Tradisi yang membuat masyarakatnya bersatupadu itu pupus dan lenyap. Kemudian muncul idiom-idiom baru di tengah masyarakat. Semangat bergotong royong itu lama kelamaan hilang bersama derasnya waktu mengalir menghanyutkan segala nilai-nilai yang sudah mengakar dalam tatanan masyarakat kampung.

Pada akhirnya orang menanam padi tidak lebih daripada sebuah perlakuan yang mengutamakan aspek komersil. Segala sesuatunya disandarkan semata-mata kepada berapa jumlah tan padi yang boleh dihasilkan dalam satu hektar tanah. Makin banyak hasil sawah maka makin makmurlah kehidupan yang dijalani oleh petani. Siapa yang rajin menanam, dialah yang banyak memetik hasilnya.

Saya fikir inilah antara nilai-nilai yang menghilang dalam masyarakat kita. Semangat seliu-liu (Bajau), Saliuwa (Iranun) atau Mitatabang (Dusun) itu kini semakin hari semakin mengecil baranya. Sehinggakan setiap kali pemimpin kita yang mulia itu berucap atau naik ke podium atau mimbar, maka yang diserukan oleh mereka ialah supaya masyarakat kita mengembalikan semangat saling bekerjasama, saling bergotong-royong kerana ia menjadi sumber kekuatan sesebuah masyarakat.

Jika dahulu, masyarakat kita tidak perlu digesa atau diseru untuk bergotong royong kerana mereka secara automatik akan bersama-sama mengerjakan sesuatu pekerjaan `berat sama dipikul ringan sama dijunjung' itu.

Melihat keindahan sawah padi itu menimbulkan rasa rawan dalam hati. Terasa ada sesuatu yang hilang dan mungkin tak lagi kembali. Menghayati pemandangan yang boleh membuat perasaan terbuai dalam kesyahduan yang dalam itu, saya terfikir betapa banyak yang hilang dalam kehidupan kita. Betapa banyak nilai-nilai yang beransur pupus dalam masyarakat kita. Betapa banyak kosa kata dalam bahasa ibunda kita yang lenyap kerana tidak digunakan lagi. Malah pada waktu ini pun makin sukar kita menemukan istilah atau kosakata jika kita mahu menggambarkan mengenai proses menanam padi hingga selesai.

Betapa banyak yang hilang. Dalam keindahan pemandangan sawah padi yang mengasyikkan itu, saya melihat bagaimana petani bertungkus lumus keluar dari kemiskinan mereka. Tetapi mana yang lebih miskin antara kita dengan mereka? Mana yang lebih bahagia antara kita atau mereka? Mana yang lebih sejahtera, memiliki hidup yang sederhana, tidak perlu memikirkan carut marut kehidupan di dunia, kita atau mereka, para petani yang bersahaja itu.

Di sepanjang jalan melihat bendang, orang-orang yang membanting tulang, pemandangan demi pemandangan, kenangan-kenangan yang silih berganti di celah-celah keindahan yang hilang, muncul lalu hilang lagi, di sepanjang perjalanan Jakarta-Bandung itu itu menjadikan perasaan saya bercampur baur. Begitu banyak rasa kehilangan dalam keindahan, demikian yang saya simpulkan sebelum kami tiba di stesen yang berikutnya.

No comments: