Jumaat, 27 April 2012

Sepanjang kunjungan ke Pulau Banggi

Tags

Entah sudah berapa tahun saya tidak ke pulau Banggi. Saya tidak ingat.Tapi waktu itu, Abdul Mijul Unaini belum jadi YB lagi.
Jeti yang adapun tidak sebesar atau sepanjang seperti yang ada sekarang. Ketika itu, jeti kecil saja, cukup untuk menampung penumpang yang tidak berapa ramai.
Kini keadaan agak berubah. Penumpang semakin ramai dan setiap kali feri tiba atau berangkat, jeti itu riuh untuk kemudian menjadi sepi lagi.
Terdapat dua feri dari Kudat ke Pulau Banggi, pulau yang berkeluasan 440.7 kilometer dan yang terbesar di Malaysia. Banggi lebih besar lagi daripada Pulau Langkawi atau Pulau Pinang.
Express Sri Labuan Lima berangkat dari Kudat ke Pekan Karakit, Banggi jam 1.30 petang dan jam 8.30 pagi dari Banggi ke Kudat keesokan harinya. Kudat Express berangkat jam 2.30 dari Kudat dan jam 7.30 pagi dari Banggi ke Kudat.
Tambang RM15.00 satu hala. Kami berangkat dari Kudat jam 1.30 petang, jam 2.50, feri sudah merapat ke jeti di Karakit.
Kunjungan ke pulau Banggi kali ini atas jemputan puan Salmah Marail, yang menghubungi saya melalui Jasmih Slamat, Setiausaha Suhakam Sabah. Beliau meminta saya datang untuk menulis mengenai permohonan tanah penduduk kampung Timbang Dayang.
Jam 7.30 pagi saya sudah menunggu di perhentian bas Kampung Cenderamata Dua Likas. Rupanya suami puan Salmah, Datu Zainal Datu Aliudin itu kenalan lama saya.
Kami tiba di Kudat kira-kira jam 10.30 pagi. Moktar yang baru balik dari Kuantan mahu singgah untuk mencari bank, tapi beliau kecewa kerana bandar itu hanya mempunyai tiga bank iaitu BSN, Am Bank dan Maybank. Itupun terpaksa berbaris lama. Moktar, berasal dari Banggi.beliau bekerja di loji di Lynas, loji yang jadi kontroversi itu, dan sengaja balik untuk bersama memperjuangkan tanah penduduk kampung Timbang Dayang.
Selepas singgah di Restoran Tanjung Putri, kami terus menaiki Express Labuan Lima, setengah jam sebelum feri berangkat. Feri itu besar sekali.Menurut Datu Zainal, feri itu boleh memuatkan seramai 204 penumpang manakala Kudat Express milik si busau-entah kenapa dia dipanggil dengan nama begitu, hanya boleh memuatkan 80 orang.
Dalam feri itu, saya nampak kelibat orang yang mereka panggil pengerusi. Beliau dipanggil dengan gelaran itu kerana beliau Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat. Saya memanggilnya YB. Sebabnya kerana beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong tahun 99. Namanya Atong Mangabis. Orangnya sederhana dan bersahaja. Setelah tidak menjadi wakil rakyat, beliau mengabdikan diri untuk berkhidmat membantu petani melalui PPK.
Seorang lagi yang saya tidak sangka dalam rombongan kami itu ialah Yusuf Kadil dan keluarganya. Saya kenal beliau kerana beliau selalu saya jumpa di Likas. Seorang kontraktor yang baik dan suka membantu.
Sepanjang perjalanan, kami bercerita asal usul. Saya beritahu bahawa saya juga ada keturunan Suluk. Nenek saya iaitu ibu kepada ibu saya, namanya Bae Rupiah atau Piang. Bapanya bernama Datu Tating. Seorang pejuang yang terpaksa berganti-ganti nama kerana diburu Sepanyol dan British. Antara nama Datu Tating itu ialah Datu Ating, Datu Taing, Datu Mohd.Tahir dan mungkin ada lagi yang lain. Ada saudara nenek saya itu di Limauan, namanya Lamiah. Saudara satu bapa. Ada pula sepupunya bernama Dayang Saluh dan Dayang Taluh. Di Telaga, Pitas, ada sepupunya bernama Imam Maning.
Datu Zainal memandang isterinya ketika saya bercerita itu. Rupanya tanpa disangka kami punya  kaitan keluarga.
Kami menginap di satu bilik penginapan homestay di Kampung Perpaduan. Tempatnya selesa walaupun kecil. Saya lihat seorang gadis sedang menjual air minuman. Sambil menjual itu dia buka laptop, mungkin sedang chatting di facebook.
Betapa kemajuan mulai memeluk pekan kecil yang memilih ubi kayu sebagai lambangnya. Replika ubi kayu itu tidak berdaun. Ubi kayu adalah antara hasil utama pulau itu. Inilah uniknya pulau ini, kata Cikgu Jaafar Muksan. Penduduknya makan benda-benda yang keras seperti ubi kayu, ikan kayu, ikan batu, ais batu.
Petang itu kami terus ke Timbang Dayang, kira-kira 10 km dari Karakit. Ada mesyuarat di bawah pokok mangga. Soalnya di sana tidak ada balai raya. Penduduk kampung itu menjadikan tempat di bawah pokok mangga itu sebagai lokasi mesyuarat mereka.
Hari itu mesyuarat Unit PPK Timbang Dayang. Dalam mesyuarat itu, Puan Salmah mengusulkan agar masalah permohonan tanah yang dihadapi penduduk diberikan perhatian. Penduduk sudah memohon tanah tetapi Jabatan Tanah dan Ukur Kudat menyatakan dukacita kerana permohonan tanah itu tidak dapat diproses lanjut kerana  kawasan tanah yang dipohon termasuk dalam kawasan Parcel `A' Felcra Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, menurut surat Penolong Pemungut Hasil Tanah, permohonan tanah pemohon adalah dibatalkan dalam Buku daftar Permohonan Tanah Pejabat Tanah Kudat.
Soalnya, kata Puan Salmah, penduduk lebih dahulu membuat permohonan. Mereka sudah menduduki tanah itu lebih 20 tahun dan  bertanam mangga, nangka, pisang, getah dan sebagainya.Terdapat lebih 100 pemohon dengan keluasan tanah yang dipohon kira-kira 2,300 ekar.
Jadi mereka mahu agar permohonan penduduk kampung itu juga diberikan pertimbangan sewajarnya. Felcra boleh memajukan tanah itu untuk tanaman getah, tetapi pada masa yang sama, penduduk tidak kehilangan tanah yang telah mereka usahakan.

Kampung Timbang Dayang sebuah kampung yang cantik. Dulunya terdapat kira-kira 36 buah PPM yang dibina kira-kira tahun 1995, menggunakan tenaga solar. Entah kenapa sekarang, rumah-rumah itu lenyap dan hanya tinggal sebatang tiang lampu. Dulu kos membina rumah itu, khabarnya RM18,000 setiap buah tetapi entah apa sebabnya kini perumahan itu sudah tiada.
Ada legenda di Lingkubu, yang maknanya air yang dalam. Konon menurut cerita, seorang nelayan yang mahu turun ke laut ternampak seekor ikan pari betina jatuh cinta dengan seekor biawak jantan.
Di Bukit Serong itu juga khabarnya ada gua. Ada 49 lubang gua di Timbang Dayang.  Beberapa tahun lalu ditemui kulit kima, setinggi 12 kaki di lembah Timbang Dayang, kononnya ia dibawa oleh seorang lelaki yang mengambil kima untuk isterinya yang mengidam isi kima. Menurut cerita, kulit kima itu sudah tidak ada lagi.

Kami juga sampai ke pengkalan Timbang Dayang. Di depan kami, pulau Pengesaan, yang kini dihuni ketua kampung bernama panglima Turabin. Pantainya cantik. Khabarnya hanya dia seorang yang menetap di kampung itu, yang lain sudah berpindah.
Di sebelah kiri, nun jauh dari pengkalan Timbang Dayang itu kelihatan pulau balak-balak.Kini sudah ditinggalkan, padahal di pulau itulah dulu terdapat SK Balak-Balak yang dibina tahun 1964 tetapi kini sudah tiada. Penduduknya pun sudah pindah.
Puan Salmah yang bersekolah di Balak-balak pada tahun 1985 adalah salah seorang daripada lapan pelajar terakhir di SK Balak-balak sebelum ia ditutup..

Puan Salmah Marail bersekolah di SK Balak-Balak tahun 1985 sebelum pindah ke SK Laksian dan SK karakit. Puan Salmah bersekolah hingga Tingkatan tiga di SMK Banggi dan tingkatan 4 dan lima di SMK Pekan Kudat. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di Kolej AMC. Sebelum ini pernah bergiat dalam Puteri UMNO, dan kini giat sebagai Ketua Unit Peladang Timbang Dayang, sejak 2006, bergiat juga di Pacos,pernah jadi Pengerusi JKKK tetapi kemudian dilucutkan jawatannya kerana menurutnya, dia memperjuangkan isu tanah penduduk kampung.

Dia merasa tanggungjawabnya untuk membela penduduk kampung yang buta huruf dan tidak tahu apa-apa itu. Kerana itu, walaupun terpaksa meninggalkan anaknya yang baru berusia 10 bulan dan kini sedang hamil lima bulan, beliau menggagahkan diri untuk balik ke kampung bagu memperjuangkan hak penduduk kampung yang tidak terbela itu. Puan salmah sendiri baru keluar hospital.

Dia menegaskan bahawa dia tidak sekali kali menentang pembangunan yang dibawa oleh agensi kerajaan seperti Felcra.Apa yang dia mahukan ialah biarlah hak penduduk kampung ke atas tanah mereka tidak diganggu. Biarlah penyelesaiannya situasi menang-menang, felcra dapat membangun dan penduduk kampung pula dapat memiliki tanah yang mereka pohon lebih dulu daripada orang lain.

Saya lihat pokok mangga yang mereka jadikan tempat berteduh itu telah dipotong sebahagian dahannya. Pokok mangga itu mungkin berusia antara 40 atau lima puluh tahun. Tempatnya nyaman, walaupun panas sedikit kalau ada matahari.

Kalau mangga, apa dalam bahasa Suluk? sama juga, mangga, kata mereka.Mempelam. Penduduk di sana kebanyakannya Suluk, Kegayan, Rungus, Bajau,. Ada seorang orang Pangutaran.
Kalau nenas, apa dalam bahasa kamu orang?
Pisang! Nenas dalam bahasa Suluk dipanggil pisang.
Kalau pisang pula? Saing
Limau-Sua',
Kacang panjang-batung.
terung-talum
kacang tanahah-batung larut.

Sewaktu balik dari Timbang Dayang itu, kereta tidak muat. Cikgu Hamdan terpaksa menghantar dua trip. Jadi sementara menunggu trip pertama tiba, kami berjalan kaki ke jalan besar, yang bertar.
Jalan beraspal di Pulau Banggi kini sejauh 16 km, iaitu dari Karakit ke Limbuak Laut. Kalau dulu, jalan kelikir dan berdebu.
Ketika berjalan kaki itu, kami iaitu saya, Datu Zainal, Yusuf kadil, Muktar Hassan , Cikgu Jaafar Muksan  itu merasakan betapa peristiwa itu jadi kenangan kami.

Man lajiki pa atag, minsan kita nya masag, kata Cikgu jaafar, yang maksudnya kalau rezeki dah tiba, ia tetap akan tiba. Tetapi kereta yang kami tumpangi itu belum tiba lagi. Kami ketawa beramai-ramai dan perjalanan yang jauh itu tidak terasa letihnya.

Terdapat beberapa buah bilik penginapan di Pulau Banggi. Selain itu ada Rumah Rehat.Saya pernah tinggal di sana sewaktu kunjungan kami yang dulu. Ada Pejabat Daerah Kecil Banggi, ada Klinik Kesihatan, balai Polis, jabatan kerajaan, 14 buah sekolah rendah, sebuah sekolah menengah, pengkalan polis PGA.Penduduk Karakit dianggarkan sekitar 1,000 orang. Penduduk utama di pulau itu ialah suku kaum Ubian, Bonggi, Suluk, Kegayan dan sebagainya.
Di Pualu Banggi yang mempunyai kira-kira 36 buah kampung itu terdapat seramai 20,000 orang.Kebanyakannya nelayan dan petani.

Malam itu kami makan jamuan sangat enak di kedai dekat rumah penginapan itu. Sebelum makan saya sempat mengambil peluang untuk wawancara dengan YB Atong Mangabis, iaitu mengenai kerjayanya selepas tidak lagi menjadi YB, dan juga mengenai masa kecilnya. Beliau bersekolah di SK Lok Yuk, kemudian di SMK Kudat, sebelum memasuki Institut Pertanian Timbang Mengaris. Namun kemudian kerjaya pertamanya menjadi Pembantu Hospital. Di sinilah, beliau mendapat pengalaman ketika berurusan dengan masyarakat, menyelami suka duka mereka, sehingga apabila beliau terpilih sebagai calon PBS tahun 1999, beliau tidak lagi susah untuk berkempen, kerana orang yang pernah dia tolong itu membantunya untuk berkempen.

Saya tidak sempat menyapa si Bora atau nama penuhnya Borail. Borail ialah ipar si Muktar kerana ia kahwin dengan adinya. Borail orang Iranun dari Basilan. Nama kampungnya Maluso. Maluso adalah salah satu kampung diaspora Iranun, yang berpindah dari teluk Ilana.  Saya sempat bercakap Iranun dengannya. Dan sempat memanggil Amai Yusup kerana anak pertamanya, namanya Yusup. Selain Borail, sebenarnya dalam rombongan kami itu, ada lagi seorang Iranun yang bekerja di PPK Kudat iaitu Mohd.Hanafi Raplis dari Peladok,Kota Belud.

Ketika bercerita-cerita itu, kami teringat tragedi November 2009, peristiwa bot karam yang menyebabkan 19 orang maut, dua  tidak ditemui sehingga sekarang. Petang tadi saya ternampak Cikgu Kadil, salah seorang mangsa yang terselamat selain daripada mantan wakil rakyat Yahya Othman. Tragedi itu berlaku ketika hari raya aidil adha. Terdapat 28 penumpang dalam kejadian itu, yang turut membawa 80 karung simen, zink dan peralatan lain.

Malam itu, Nordin Abas dan Hanafi membawa pancing untuk memancing ikan. Selepas makan itu, kami sempat bercakap cakap lagi mengenai kepentingan masuk unit PPK. Ramai yang tidak sedar betapa pentingnya menjadi ahli PKK. Banyak bantuan yang boleh diterima tetapi ramai ahli yang tidak sedar tanggungjawab mereka. Malah kini kira-kira RM14,000 dividen belum dituntut ahli. Kebanyakan ahli pula terdiri daripada orang-orang tua.Atong agak gelisah untuk mencari generasi pelapis.

Saya kira mahu menulis panjang selepas percakapan kami itu. Talian jalur lebar agak perlahan.Saya tertidur.Mungkin kepenatan. Esok perlu bangun awal pagi  untuk mengejar Kudat Express jam 7.30 pagi.
YB Atong ajak minum jam 7.00 pagi. Tapi orang terlalu ramai pula. Akhirnya kami terpaksa naik semula Express Labuan Lima jam 8.30 pagi.

Hujan baru saja selesai sebaik feri meninggalkan jeti Karakit.