Sunday, April 1, 2012

Seperi apa Jakarta ini ya? sekadar pertanyaan kepada Kang Acep

SEPERTI apa Jakarta ini?

Saya bertanya kepada Kang Acep selepas kami menikmati makan malam lesehan ala malioboro di blok M. Jam menunjukkan angka 12 tetapi Jakarta tetap riuh.

Dan rusuh. Sampai jam 1.00 pagi, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) masih belum dapat memutuskan sama ada mahu menaikkan harga minyak atau sebaliknya.

Ramai orang mengadakan demonstrasi di depan gedung DPR.Beberapa batang jalan ditutup. Rakyat kecil di Jakarta, Bandung, Makassar, Pontianak, Pekan Baru,Medan, Surabaya,Yogyakarta dan sejumlah kota di seluruh Indonesia naik minyak kerana kenaikan harga minyak itu.

Ahli-ahli Parlimen berbahas dari jam 2.00 petang hingga tengah malam untuk mendapatkan satu keputusan yang menurut kata mereka demi kepentingan rakyat.

Demi kepentingan rakyat juga, setelah melalui perdebatan akhirnya DPR memberi kebenaran bagi kerajaan untuk menaikkan harga bahan bakar minyak (BBM) bersubsidi, walaupun ditunda daripada tarikh asalnya 1 April.

Melalui pungutan suara, 356 orang dari fraksi Parti Demokrat, Golkar,PAN, PPP dan FKB setuju kenaikan harga minyak itu, 82 undi menentang iaitu dari Parti Keadilan Sejahtera, Parti Gerindra manakala Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Parti Hanura memilih untuk keluar dewan.

Suasana di ibu kota Indonesia yang tidak boleh dipisahkan dengan kesesakan lalulintas ini, agak berbeza Jumaat itu. Ada di antara jalan yang biasanya sibuk tetapi hari itu agak sepi. Pasukan keselamatan menutupnya manakala rakyat berbondong-bondong untuk membantah kenaikan harga minyak itu.

Bagaimanapun dengan persetujuan DPR itu, kerajaan diberi kewenangan untuk menyesuaikan harga minyak mentah Indonesia (ICP) dalam tempoh enam bulan mengalami kenaikan atau penurunan sebanyak 15 peratus daripada jangkaan ICP dalam Anggaran Pembangunan Belanja Negara (APBN) 2012 iaitu USD105 setong. Dengan keputusan itu, harga minyak berpotensi untuk dinaikkan apabila harga minyak mencapai harga USD120.75 setong.

Kenaikan harga minyak itu pasti membebankan rakyat sementara ahli-ahli politik dan parti parti politik bersilat lidah untuk meyakinkan rakyat, atau mungkin juga mereka berhujah demi kepentingan politik mereka, dan berbicara dengan alasan demi kepentingan rakyat.

Seperti apa Jakarta ini ya? saya bertanya kang Acep. Bersama mbak Dian kami sempat berdiskusi mengenai golongan remaja atau lebih dikenali ABG;Anak Baru Gede, yang semakin parah dengan gejala sosial. Kang Acep mengatakan hampir 70 peratus ABG di kota-kota besar di Indonesia tidak perawan lagi.Ini menurut satu polling yang dibuat baru-baru ini. Fenomena agak menakutkan, dan salah satu sebab ialah keruntuhan institusi keluarga, masyarakat yang semakin hedonis, materilistik dan sebagainya.

Jakarta, seperti sebuah kampung besar yang tidak berperaturan, kata Kang Acep. Lihat ini, katanya menunjukkan sampah-sampah yang bersepah, yang kalau di negara lain seperti Singapura, pasti akan didenda. Tetapi itu hanya sisi-sisi gelap yang disaksikan Kang Acep dalam kehidupan sehari-hari.

Saya mulanya tidak percaya, cerita-cerita mengenai masalah yang menimpa golongan remaja di kota besar yang berpenduduk kira-kira 11 juta orang ini. Tetapi ketika Kang Acep menunjukkan saya beberapa gambar, saya mulai yakin bahawa sesuatu perlu kita lakukan untuk menyelamatkan golongan remaja kita. Ramai yang sakit jiwa, katanya.

Anak-anak berciuman di depan orang ramai di Blok M, ketika kami menaiki travel Cipaganti ke Bandung.Kang Acep sempat mengambil gambarnya. Selain sisi sisi hitam Jakarta itu, kami bercerita juga mengenai sekian banyak kisah-kisah perjuangan bapa-bapa bangsa sejak zaman Bung Karno, Bung Hatta. Kami bercerita mengenai Pak Natsir. Mengenai Syafrudin Prawinegara, menteri kewangan yang dulunya mampu membawa Indonesia keluar dari kemelesetan ekonomi dunia.

Seperti apa Jakarta ini? Saya bertanya secara saja-saja atau iseng-iseng kepada Kang Acep. Saya tidak mendapat jawapan yang memuaskan. Semua suratkhabar memuatkan mengenai keputusan DPR mengizinkan harga minyak naik walaupun ditunda, juga laporan mengenai puluhan ribu rakyat Indonesia yang keluar ke jalan-jalan raya, berkumpul di depan dewan parlimen untuk mengadakan demontrasi.Beberapa orang luka, ada yang tercedera, ada yang terbakar dalam kerusuhan ini.

Ya, ada yang terbakar dalam hati kita ketika menyaksikan betapa berserabutnya kehidupan di kota ini. Juga betapa berserabutnya pemikiran kita ketika menghadapi cabaran zaman teknologi ini. Dalam politik, kedunguan itu bukanlah halangan, kata Napoleon Bonaparte seperti yang dikutip suratkhabar Seputar Indonesia. Saya fikir, dalam kehidupan kita, kedunguan, juga kebodohan, keangkuhan, kesombongan, ketidakpedulian, kebebalan,dalam pelbagai deksripsinya, itulah sebenarnya halangan.

No comments: