Tuesday, May 15, 2012

Apa isu? saya bertanya kepada Ah Lee

Saya ke kedai gunting lagi.
Satu bulan tidak memangkas rambut, rimas rasanya. Tukang gunting favourit saya itu namanya Ah Lee. Jika tak silap, saya menjadi pelanggan Ah Lee sejak saya masih bertugas di DBP Sabah lagi iaitu sejak 1992 lagi.
Rupanya sudah 20 tahun saya bergunting rambut di tempat Ah Lee saja. Saya duduk saja, Ah Lee sudah tahu gaya rambut yang saya sukai.
Seperti biasa saya suka bertanya hal itu ini kepada Ah Lee.
Katanya, agak sukar bagi penyandang untuk menang di kerusi Api-Api. Kerusi DUN Api-Api kini disandang oleh Dr.Yee Moh Chai.
Itu Amoi boleh menang, katanya. Roket atau itu Amoi. Katanya, dalam PRU-12 yang lalu, kalau tidak pecah undi, Amoi itu boleh menang.
Barangkali Amoi yang dimaksudkannya itu ialah Christina Liew, salah seorang tokoh wanita dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi PKR Sabah.
Apa isu? Saya bertanya. Ah Lee tidak menjawab dengan jelas. Dia cuma berkata bahawa bas Luen Tung, yang sudah hampir 50 tahun beroperasi kini diambang kebangkrapan kerana tidak dapat parkir atau menurunkan penumpang di tempatnya yang dulu, iaitu parkir depan mahkamah.
Mereka terpaksa parkir di terminal, agak jauh tempatnya.
Katanya, dulu ramai penumpang yang turun KK sekadar untuk minum kopi atau beli kuih. Kadang-kadang mereka membeli belah, sedikit sedikit dan kemudian naik bas untuk pulang. Sekarang hampir tidak ada lagi yang naik bas sekadar untuk minum kopi di KK kerana tempat parkirnya jauh.
Ada saudara saya jual han phone, dulu boleh laku 10 handphone satu hari.sekarang dua pun susah laku.Orang-orang bas suka beli telefon katanya.
Orang pun mahu hidup, katanya. Sekarang kerana tempat parkirnya jauh, ramai orang yang dulu suka naik bas, kini tidak lagi ke KK. Menurutnya, ini menjejaskan pendapatan kedai kopi, kedai runcit dan sebagainya.Mahu naik bas sana pun, ambil masa juga, katanya.
Perkara ini perlu diberikan perhatian, katanya.
Saya kemudian mengajukan pertanyaan kepada apek yang menjadi ketua di situ.
Apa macam? Mana bagus?
Dua-dua pun bagus, katanya diplomatis. Kalau kita cakap ini tak bagus, tidak bagus juga. Dua-dua baguslah, katanya sambil mengacungkan dua jempolnya.
Saya merogoh saku, mengeluarkan duit sepuluh ringgit dan memberikan kepada Ah Lee.
Selepas menerima wang baki satu ringgit, saya berlalu dari situ.
Ternyata isu seperti tempat parkir bas yang dipindahkan ke lokasi dekat plaza wawasan  beberapa waktu yang lalu itupun menjadi satu isu.
Isu kecil tetapi isu besar di kalangan orang-orang kecil.

No comments: