Wednesday, May 23, 2012

Pak Sandjaya, diplomat yang suka senyum


 PAK SANDJAYA, DIPLOMAT YANG SUKA SENYUM

TERJEBAK di tengah-tengah tembak menembak antara dua pihak yang bertelagah di Sana'a tidak membuat beliau patah semangat.Kerjaya dalam bidang diplomatik yang ditekuninya, menjadikan lelaki yang suka senyum ini seorang yang lebih suka berunding dalam menyelesaikan sebarang masalah. Sepanjang kariernya, Bapak R.Sandjaya pernah ditugaskan di Sana'a Yaman, Port Moresby Papua New Guinea tetapi tugasnya sebagai Konsul di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu adalah antara yang menggembirakannya.

"Saya bukan orang yang istimewa, tapi saya berusaha untuk membuat sesuatu yang istimewa," katanya ketika ditemui Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN di ruang pejabatnya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI di Lorong Kemajuan, Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu.

R.SANDJAYA lahir di Makassar, ibu kota Sulawesi Selatan, Indonesia pada 14 Mac 1972. Anak kepada seorang pegawai Tentera Nasional Indonesia (TNI) , Raden Ilyas Sasongko dan Ibu Emmy, seorang guru, mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) di Kaputayudha, Makassar, kemudian mendapat pendidikan menengah di SMP3 Makassar dan SMA 2 Makassar sebelum melanjutkan pelajaran di Universitas Hasanuddin (UNHAS) dalam Jurusan Ilmu Hubungan Antarabangsa. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1991, beliau pernah menjadi penyampai radio selain menceburi kerjaya dalam bidang periklanan di Makassar.
Selepas itu beliau berpindah di Jakarta dan bekerja di Japan Airlines dan pernah juga bekerja di sebuah restoran Korea di Jakarta sebelum memasuki Departemen Luar Negeri (DEPLU) pada tahun 1994.

Setelah menamatkan kuliah di Sekolah Dinas Luar Negeri pada tahun 1995, beliau dikirim ke Yaman untuk menjadi Kepala Konsular di Kedutaan Indonesia di Sana'a. Ketika bertugas di Sana'a, R.Sandjaya mempunyai hubungan yang agak rapat bukan saja dengan pelajar Indonesia malah dengan pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Sri Aryati dari Palopo Bajo (Bajau) dan dikurniakan tiga cahayamata iaitu Ilyas Fatahillah, 15, Muhamad Ihsan, 13 dan Sulaiman faiz, 11.

 Ikuti petikan wawancara bersama beliau pada satu pagi, sambil minum kopi di pejabatnya, awal minggu ini. Pak Sandjaya menceritakan sedikit pengalamannya ketika bertugas di luar negeri termasuk pandangannya mengenai Kota Kinabalu.

UTUSAN BORNEO:      Selepas tamat kuliah, dimana Pak Sandjaya mula bertugas?
R.SANDJAYA:  Selepas tamat Sekolah Dinas Luar Negeri pada 1995, saya dikirim ke Yaman. Begitu turun ke Sana'a, pada hari pertama saya sampai, saya terjebak dalam peristiwa tembak menembak, perang kabilah di sana. Kaca kereta yang saya naiki pecah tetapi mujurlah tidak terjadi apa-apa kepada saya.

UB:       Waktu itu, Pak Sandjaya mahu kemana?
RS:       Ketika saya mahu berbelanja, untuk membeli barang keperluan. Ketika turun ke kota itulah, terjadi tembak menembak antara dua pihak yang bertelagah di Yaman.

UB:       Apa yang membuat Pak Sandjaya bersemangat untuk bertugas di Yaman ketika itu?
RS:       Saya  banyak berbahagia ketika berada di Yaman. Di sana, saya banyak belajar mengenai agama Islam, mengenai sejarah Islam di masa silam. Sana'a itu terletak kira-kira 2,100 meter dari permukaan laut. Kadang-kadang kadar oksigennya hanya sekadar 73 peratus,menjadikan kita cepat berkeringat. Setiap tiga bulan harus turun ke bawah. Satu minggu berada di permukaan laut, dan kemudian balik lagi. Kalau tidak bisa rosak kerana suhunya agak berbeza dengan daerah kita, yang berada di garis Khatulhistiwa.

UB:       Sebenarnya apa yang menarik di Yaman?
RS:       Di sana terdapat kota-kota yang bersejarah. Kaabahnya Abrahah, ada disana. Istana Raja Balqis juga terletak di sana. Selain itu, ia menjadi tempat belajar santri-santri atau pelajar pelajar Indonesia, dan Malaysia, yang kebanyakannya bertumpu di Hadramaut. Rumah saya selalu menjadi tumpuan anak-anak Malaysia dan Indonesia. Pelajar-pelajar Malaysia juga sering ke rumah. Kami selalu bantu, apatah lagi ketika itu, Malaysia belum membuka kedutaan di sana.

UB:       Hadramaut, sering disebut dalam sejarah kedatangan Islam di Asia Tenggara kerana kebanyakan pedagang Arab datang dari Hadramaut. Bagaimana sebenarnya keadaan Hadramaut itu? Boleh ceritakan sedikit?
RS:       Kota Hadramaut terletak di Wilayah Tengah Yaman, dan itu boleh dikatakan, tempat yang menjadi tumpuan sahabat-sahabat ketika zaman Rasulullah. Ia menjadi salah satu kota yang menjadi tempat syiar agama dan sampai sekarang, ramai pelajar yang belajar di sana termasuk yang paling banyak dari Indonesia dan Malaysia. Kotanya terletak di tengah-tengah gurun pasir. Kebanyakan pelajar Asia Tenggara belaja di Tarem iaitu di Rubat Tarem, dan Darul Mustapha.

UB:       Kalau soal makanan, sukar jugakah mencari makanan kita di sana?
RS:       Ada satu pengusaha Arab dari Indonesia yang membuku restoran makanan Asia di sana. Tapi kita suka juga makanan Arab, makan daging kambing. Makanya, anak saya lelaki semua, kata orang kerana saya banyak makan kambing he he

UB:       Sana'a itu jauh dari Tanah Suci Mekah dan Madinah?
RS:       Kalau dari Sana'a, berangkat pada waktu petang, boleh sampai pagi di Mekah. Jauhnya kira-kira 600 km. Alhamdulillah, sepanjang di sana, saya sudah lima kali ke tanah suci melalui jalan darat.

UB:       Di mana miqatnya? tempat berniat haji atau umrah?
RS:       Miqatnya di Yalamlam.

UB:       Teringin juga mahu ke Yaman ni. Apa lagi yang ada di Yaman?
RS:       Yaman sebenarnya tempat yang menarik. Tempat mempelajari Islam kerana di sana, banyak sahabat-sahabat nabi seperti Muaz ibn Jabal, tokoh-tokoh perang Badar, dan lain-lain yang bermukim di sana ketika zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. Pada ketika itu, Tahrem adalah pusat perpustakaan Islam yang terbesar.Ini pada zaman Yazid bin Muawiyah.

UB:       Berapa lama bertugas di Sana'a?
RS:       Saya bertugas di Sana'a pada tahun 1997 hingga 2001. Ketika itu ramai anak-anak Indonesia dan Malaysia yang belajar di sana.Bahkan saya sering menjadi penjamin mereka jika menghadapi masalah, misalnya overstay, tinggal melebih tempoh yang ditetapkan di Yaman.Kadang-kadang izin tinggal mereka ditolak kerana tempat mereka belajar tidak diiktiraf pemerintah. Jadi sementara mereka mencari tempat baru, kadang-kadang mereka tinggal lebih masa. Kalau ada masalah saya jadi penjamin. Jika saya nampak ada pelajar, tidak kira dari Indonesia dan Malaysia, saya yang menjamin mereka. Ketika itu belum ada kedutaan Malaysia disana. Malaysia hanya membuka kedutaan sekitar tahun 2000.

UB:       Di mana pak Sandjaya belajar bahasa Arab?
RS:       Saya belajar bahasa Arab sewaktu di sana. Beradaptasi dengan masyarakat.

UB:       Selepas tahun 2001, dimana pak Sandjaya bertugas?
RS:       Saya balik ke Indonesia dan bertugas sebagai Ketua Bahagian Seni Budaya dan Filem di Kementerian Luar Negeri. Filem-filem asing yang mahu ditayangkan di Indonesia, harus diputar dahulu untuk ditapis sebelum diizinkan untuk ditayangkan di panggung wayang. Di sana saya bertugas sehingga tahun 2001-2002. Kemudian pada tahun 2002-2004, saya bertugas di Bahagian Kerjasama Inteligen Luar Negeri di Direktorat Keamanan Diplomatik. Pada tahun 2004, saya ditugaskan pula di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Port Moresby, Papua New Guinea.

UB:       Apa tugas bapak di PNG waktu itu?
RS:       Saya bertugas antara laion menangani masalah Papua. Di sana saya menjadi Kepala Biro Penerangan dan Sosial Budaya merangkap Head of Chancery atau Ketua Pejabat di Keduataan Indonesia.

UB:       Ada pengalaman menarik di Port Moresby?
RS:       Di PNG, kami mempertahankan imej positif Indonesia. Apatah lagi ada tentangan dari kelompok pemisah atau separatis. Tugas saya di  bidang penerangan. Selama saya bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), kami berhasil membawa pulang 325 kepala keluarga ke Merauke atau 875 orang Papua bahagian utara ke kampung halamanb mereka, termasuk tokoh-tokoh papua. Saya beritahu mereka, daripada teriak-teriak di luar , lebih baik di dalam untuk menyelesaikan permasalahan. Selain itu, saya juga menangani masalah nelayan, penangkap ikan  Indonesia yang tertangkap berdekatan perairan di sempadan berdekatan Merauke.

UB:       Selepas itu?
RS:       Selepas itu, saya balik ke Jakarta, di Departemen Luar Negeri dan menjabat Kepala Wilayah Amerika Utara dan Tenaga di Lembaga Kajian politik di Kementerian Luar dari tahun 2007-2009. Pada tahun 2009 hingga 2010, saya menjadi Ketuia Wilayah Amerika Selatan dan Karibia di Lembaga Kajian Politik di Kemlu. Pada Disember 2010, saya bertugas di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.

UB:       Apa kira-kira falsafah hidup Pak Sandjaya?
RS:       Saya kira dimana saja di dunia ini, rahmat Allah selalu turun.Tidak usah khuatir, rahmat Allah selalu ada dimana-mana.

UB:       Kalau ayah Pak Sandjaya, apa pesan beliau yang masih diingat?
RS:       Pesan beliau yang selalu saya pegang ialah supaya selalu hormat atas.Kerana beliau seorang militer, tentera. Ayah saya sebenarnya datang dari keluarga Santri di Ponorogo, Jawa Timur. Sewaktu Perang Kemerdekaan , beliau turut berjuang dan diberikan anugerah Bintang Gerilya oleh Bunmg Karno.

UB:       Oh ya? Apa makanan kegemaran Pak Sandjaya?
RS:       Kalau soal makan, ini paling susah saya menjawabnya.Makan di Kota Kinabalu ini, ya, satu tahun berat badan saya naik 15 kilogram.Saya jadi `orang besar',  selalu banyak makan. Jadi untuk membaiki penampilan, saya mengamalkan program diet yang ketat. Bagi saya, bertugas di Kota Kinabalu itu, saya seperti kembali ke tempat asal. Di sini, agak mudah bagi saya menemui coto makassar misalnya. Ini yang menarik. Ikan bakar, itu sama sama seperti kota kelahiran saya. Bahkan jika ada masa terluang, saya sering nongkrong di anjung Senja.Jumpa kawan sambil minum kopi. Ia menjadi tempat pertemuan dengan rakan-rakan di sini.

UB:       Syukurlah kerana Pak Sandjaya, suka bertugas di Sabah.
RS:       Malah kalau diizinkan, saya berminat untuk memperolehi rumah kecil jadi tempat tinggal saya di sini he he.

UB:       Sepanjang bertugas di Sabah, apa kira-kira masalah yang dihadapi?
RS:       Tugas di sini menyenangkan.Jika ada masalah di lingkungan birokrasi dalam pelaksanaan tugas, jika ada hambatan, saya selalu konsultansi, berbincang. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, kami mempunyai hubungan yang baik. Ada kerjasama, ada kordinasi yang baik. Selama ini, jika ada masalah yang timbul, kami selalu berbincang, konsultansi.

Saya juga menyampaikan terima kasih kerana kerjasama Pak Rudy, ibu Lili Suryani di Sandakan, Jabatan Imigresen, rakan-rakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kimanis, Papar, dan Sandakan. Kerjasama mereka amat baik, semua paling  akrab, dan sedia memberikan bantuan.Mereka menjadi tempat saya selalu  berkonsultansi jika ada masalah melibatkan warga Indonesia.

UB:       Apa tugas pak Sandjaya di Kota Kinabalu?
RS:       Di KJRI Kota Kinabalu, saya bertugas sebagai Kepala  Konsuler Bidang Notariat dan Kehakiman dan Kehakiman (termasuk Imigrasi) merangkap Kepala Kantor (Head of Chancery (HOC).

UB:       Apa hobi Pak sandjaya dimasa lapang?
RS:       Hobi saya, sebenarnya bermain badminton dan berenang, tapi sekarang semakin jarang menyakan badan semakin gemuk.

UB:       Siapa idola Pak Sandjaya ya?
RS:       Rasulullah S.A.W kerana keperibadian beliau yang sederhana, dan punya nilai kepimpinan yang tidak bisa diukur.

UB:       Apa harapan Pak Sandjaya?
RS:       Harapan saya agar tetap menjaga, memelihara dan memberikan perkhidmatan yang maksimum terhadap masyarakat Indonesia yang ada di Sabah. Yang paling pokok ialah menjaga hubungan baik antara pemerintah Indonesia dengan Kerajaan Negeri.  Menjaga hubungan serumpun, jika ada masalah, bisa saling introspeksi,  bisa saling mengerti, memahami kerana ada rasa kekeluargaan sebagai bangsa yang serumpun.




No comments: