Ahad, 17 Jun 2012

catatan seorang peminat bolasepak dari kampung kami

Tags


CATATAN SEORANG PEMINAT BOLASEPAK DARI KAMPUNG KAMI

Setiap pukul 4.15 petang kami sudah duduk berkerumun di depan corong radio.
Ketika itu penghujung tahun-tahun 70-an.Minat orang ramai terhadap bolasepak agak tinggi. Tidak seperti sekarang ada siaran langsung di televisyen, pada masa itu, kami hanya bergantung kepada siaran langsung perlawanan Piala Malaysia melalui RTM Sabah.Pengulasnya Ismail Tahir.Kini sudah kembali ke rahmatullah.

Melalui ulasan selari yang diberikan oleh arwah Ismail Tahir itu, kami mengenali nama-nama seperti Hassan Sani,James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu, Razali Zinin, Rashid Piut, dan ramai lagi pemain Sabah. Waktu itu, Sabah adalah antara kelompok pasukan terbaik di negara ini dan bersaing dengan Selangor, Pahang dan Singapura.

Nama-nama pemain terkenal seperti Mokthar Dahari, R Arumugam, Isa Bakar, Shukor Salleh,Jamal Nasir, Soh Chin Aun, G.Torairaju, Rusmaini Mohd.Shah, Abdah Aliff, Khalid Ali, Santokh Singh, Bakri Ibni, Wan Jamak Hassan, Chow Chee Keong,Rashid Hassan, dan ramai lagi sentiasa meniti di bibir peminat bola sepak tanahair.

Kedudukan Malaysia dalam arena bola sepak Asia juga agak membanggakan.Seganding dengan Korea Selatan, mampu mengalahkan Jepun,Thailand dan sebagainya.Malah Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow walaupun akhirnya menarik diri kerana pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Jika tidak ada perlawanan bola sepak, ketika itu saya masih berada di sekolah rendah, akan berjalan kaki ke sekolah, melihat pemain-pemain kampung kami yang bermain di padang SRK Tamau.

Kadang-kadang saya ikut bermain bola walaupun jumlah pemain melebihi 11 orang satu pasukan. Setiap orang yang datang, dibenarkan masuk padang dan bermain asalkan jumlah setiap satu pasukan itu sama seimbang.

Tetapi saya lebih banyak duduk di tepi padang, sebagai komentator untuk diri sendiri dan rakan-rakan lain.Saya mampu membezakan permainan si anu dengan gaya permainan pemain yang lain.Caranya melarikan bola, menggelecek lawan, menendang ke jaring seterusnya menjaringkan gol.

Apabila ada pasukan dari kampung lain datang bertandang ke kampung, kami dengan cepat menjadi penyokong setia. Ramai pemain kami yang berkaliber ketika itu. Antaranya Armawan, Akiah, Abdul Gais, Imbut yang dikenali sebagai wan ramli, Sawi, Mokdin, Akmadin, Upok, Mukaris dan ramai lagi. Ketika itulah kami mengenal, apa yang sekarang dikatakan nasionalisme walaupun sekadar nasionalisme kampung.

Walaupun pasukan kami kalah, kami tetap mendukungnya. Semangat patriotisme agak tinggi juga waktu itu. Kami terus memberikan sokongan kepada kampung, kepada negeri, dan kepada negara. Tidak kira apa keputusan perlawanan, kami tetap memberikan tepuk tangan semangat untuk menang pada perlawanan berikutnya. Atas nama maruah, atas nama martabat, atas nama tanahair tercinta.

Namun makna nasionalisme dan kebanggaan itu bergeser setiap kali tibanya Piala Dunia atau Piala Eropah. Seperti sekarang, saya bertanya kepada diri saya sendiri mengapa saya menjadi penyokong pasukan Jerman? Apakah saya kurang memiliki semangat nasionalisme?Mengapa rakan-rakan saya menjadi penyokong England, Perancis, Belanda,Sepanyol, Itali yang kesemuanya pernah menjadi bangsa penjajah dan mengembangkan kolonialisme di Asia?

Seorang penulis pernah menulis sekiranya ada mahkluk UFO turun ke bumi pada jam 3.00 pagi, dia akan hairan melihat betapa ramainya orang-orang yang tersihir kerana asyik melihat bagaimana sebiji bola diperebutkan oleh 22 orang dalam sebuah padang di Eropah sana. Sungguh menakjubkan.

Ya, mengapa saya memilih Jerman? Mohon maaf kepada rakan-rakan lain yang meminati pasukan lain.Saya memilih Jerman bukan kerana ia pernah menang Piala Dunia 1954,1974,1990 atau menjadi tiga kali juara Piala Eropah pada 1972,1980,1996. Mungkin juga kerana pasukan itu pernah melahirkan pemain-pemain seperti Franz Beckenbauer,Gerd Muller,Juergen Klinsmann,Rudi Voeller,Oliver Kahn,Michael Ballack, Lukas Podolski dan sebagainya.

Salah satu sebabnya saya fikir ialah selepas  menyaksikan Lothar Matthaus, kapten pasukan Jerman pada 1990, dijatuhkan lawan dan terjerembab ke padang tetapi beliau masih boleh bangun sambil tersenyum menyalami pemain yang membentes kakinya.

Saya tidak ingat nama pemain itu. Namun  saya tahu bahawa saya bertepuk tangan, atau memekik menyatakan sokongan kepada pasukan yang bermain baik, dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, mempunyai gaya permainan yang memukau,dan yang penting sekali mampu menjaringkan gol dan memenangi satu-satu perlawanan. Selain itu, ia mempunyai pemain yang tidak tamak dan memonopoli perlawanan dengan sikap individualistik dan sebagainya, dan sebagainya.

Kadang-kadang saya terlupa bertepuk untuk siapa. Tapi saya tahu bertepuk untuk apa.