Khamis, 28 Jun 2012

kertas kertas yang dimakan rayap

Tags

kertas yang hampir dimakan rayap itu rupanya salinan fotokopi cerpen-cerpen saya. Cerpen cerpen yang ditulis lama dulu.Sebenarnya tidak banyak cerpen yang saya tulis.Tapi dengan tersiarnya beberapa cerpen itu, kemudian saya dimasukkan dalam kelompok penulis cerpen, oleh pengulas-pengulas sastera pada ketika itu.
Jika tidak silap, cerpen pertama saya yang diberi tajuk `bukan' tersiar di akhbar Sabah Times pada athun 1988. Masa itu, editor sasteranya K.Bali. Arwah Pak K  terjumpa saya sewaktu memfotokopi di Bormas berdekatan dengan pejabat Pos lama. Saya terus memberikan beliau cerpen itu, dan tidak berapa lama kemudian cerpen itu disiarkan. Sebelum itu, cerpen pertama saya, yang mengisahkan imaginasi saya menaiki keretapi dari KK ke Beaufort, untuk mencari saudara kandung bernama zaharah, yang kononnya berada di Kampung Gadung Beaufort, sebuah cerpen yang ditulis agak panjang, telah dicincang-cincang oleh Saudara Jasni Matlani, ketika itu bertugas di Bank Negara, lama sebelum kami mengasaskan Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Cerpen `Bukan' itu adalah cerpen kedua saya tetapi yang pertama tersiar di akhbar. Selepas itu, cerpen kedua saya berjudul `Dunai' tersiar di Sabah Times juga melalui ruangan DBP di Suratkhabar. Cerpen ini turut dimuatkan dalam antologi Tugu di Tengah Kota oleh R.Hamzah Dua, seorang pembimbing dan mentor sastera di Sabah ketika itu.Begitu juga cerpen ketiga saya, Kalau tak silap tajuknya Hanya Bumi Yang Diam'tersiar dalam Ruangan DBP di Suratkhabar.
Cerpen keempat saya bertajuk, Kemarau Perpisahan dan Abit, tersiar di Berita Minggu dengan judul Mendung di Kaki Langit pada 5 November 1989. Cerpen inilah yang kemudian diperkatakan oleh arwah Dr.Othman Puteh, yang menurut karya seorang penulis baru yang baik tetapi mengabaikan penggunaan tanda koma. Dengan lahirnya cerpen itu, saya kemudian dikelompokkan sebagai penulis muda di Malaysia.Apatah lagi ketika itu amat sukar untuk karya dari sabah tembus di Berita Minggu. Ketika itu editor sasteranya Dino SS. Hanya beberapa penulis sabah yang karyanya tersiar di akhbar nasional pada ketika itu iaitu A.Karim Kadir, Mahmud Eddie dan Azmah Nordin.
Ketika saya unjukkan kepada Azwan, seorang wartawan pelatih dari UMS, dia agak teruja kerana cerpen itu dihasilkan 12 hari sebelum beliau lahir iaitu pada 17 Nov 1989.
Saya agak jarang menulis cerpen. Cerpen berikutnya tersiar di Borneo Mail bertajuk Jendela Rumah Yang Lain pada 13 Disember 1992.Diikuti kemudian dengan cerpen Langit Jernih Kaca pada 10 Oktober1993.
Cerpen ini dihasilkan ketika saya masih berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Cerpen Langit Jernih Kaca, yang mengisahkan perjalanan seorang wanita yang berlayar hingga ke Sri Lanka untuk mencari Melayu itu mendapat perhatian ramai kawan-kawan.Antaranya ialah Arwah Dr.Datu Bandira Datu Alang, seorang sahabat baik, seorang mentor yang sentiasa mengulas dan mengkritik karya dan isu sastera tetapi agak tertarik dengan cerpen saya itu.Apatah lagi, beliau sendiri pernah ke Sri Lanka membentang kertas kerja dan cerpen itu seperti mengingatkannya tentang Colombo, padahal saya sendiri menghasilkan cerpen itu berdasarkan buku-buku kerana saya tidak pernah ke sana. Pada tahun berikutnya, cerpen itu masuk salah satu cerpen yang dinilai di peringkat akhir Hadiah sastera Sabah, tetapi akhirnya tidak terpilih kerana hanya 10 cerpen terbaik layak menerima hadiah.
Ketika bertugas di Utusan Borneo, seingat saya, hanya satu cerpen berjaya saya hasilkan.Tahun 1996.Cerpen itu tersiar di Media Permata Brunei. Saya sendiri tidak pernah melihatnya. Saya mengetahui cerpen itu tersiar kerana pada satu hari saya mendapat kiriman cek dari Media Permata sebagai honorarium cerpen saya.
Lama saya tidak menulis cerpen. Ketika itu, masa berghairah dan bergelora menulis cerpen. Memang saya tidak pernah berhenti menulis, tetapi karya sastera yang saya hasilkan, sama ada cerpen atau puisi, biasanya saya simpan dalam buku nota, sehinggalah buku nota itu hilang. Karya puisi saya walau tidak banyak tetapi tetap saya hargai kerana saya menulis sesuatu yang berbeza.Sesuatu yang lain.
Jika saya beritahu bahawa sekarang saya telah menulis cerpen, orang yang paling tidak percaya ialah sahabat baik saya Ailin Nor atau nama sebenarnya Aliuddin Mohd.Salleh.Katanya, beliau tidak akan percaya sehinggalah dia membaca sendiri karya saya itu.
Kertas-kertas yang hampir dimakan rayap itu membawa hikmah tersendiri. Tiba-tiba saya bertambah bersemangat untuk menulis.Menulis sesuatu yang lain.Menulis sesuatu yang orang lain tidak pernah tulis, atau sesuatu yang orang lain tidak mampu tulis. Saya kembali menulis setelah lama tidak menulis. Saya menulis, itulah perkara yang saya suarakan, yang saya beritahu kuat-kuat dan lantang kepada diri saya sendiri.Saya tidak boleh menulis lagi di masa lalu kerana ia sudah berlalu atau pada masa depan kerana ia belum pasti.
Saya menulis.
Pada ketika ini.Pada saat ini.