Isnin, 18 Jun 2012

Kisah Siak dan Anam, masalah tanah adat, dan temuramah di Kampung Air

Tags

Saya memesan kopi Radix sementara menunggu orang-orang kampung dari Sipitang itu datang. Tengahari di Restoran Islamic Kampung Air Kota Kinabalu sentiasa ramai. Mujur ada satu meja, dan orang yang duduk di sana sebelumnya sedia pindah ke tempat lain.Jadi, dapatlah orang-orang kampung  itu duduk.Mereka datang ke ibu negeri bagi menyaksikan perbicaraan kes Imahit berkaitan isu tanah.

Orang-orang itu datang dari Kampung Iburu. Ada juga dari Kampung Takulah Besar, ada dari Kampung Ulu Marau Malaman dari Kuala Muaya. Masing-masing mengadukan masalah yang mereka hadapi berkaitan isu tanah. Satu persatu mereka meminta supaya masalah tanah yang mereka hadapi dapat disiarkan di suratkhabar.

Sambil mencatat butir-butir aduan mereka itu, saya minta mereka menyertakan salinan dokumen-dokumen yang ada.Tiba-tiba saya merasakan diri saya seolah-olah seorang kakitangan biro pengaduan, padahal saya hanyalah seorang wartawan. Seorang demi seorang mereka memberikan kenyataan mengenai kemelut yang mereka hadapi, dan juga janji-janji pemimpin yang tidak tertunai sebelum pilihanraya lalu, dan tidak lama lagi, PRU ke-13 akan diadakan.

Tetapi kisah yang dituturkan oleh Ongoh Ating, lahir tahun 50, orang dari Kampung Lumampau Ulu Bool agak menarik juga iaitu mengenai kewujudan satu lokasi yang menjadi tempat orang-orang dari kampung Ulu Bool dan Kampung Mengalun memeterai sumpah.

Sumpah setia itu diikrarkan oleh orang-orang tua masa dahulu, kata Ongoh. Setelah mereka bersumpah itu, tidak siapa diantara mereka dibenarkan untuk bermusuhan sama sendiri.Mereka mesti menjaga keamanan dan memelihara persaudaraan antara mereka.

Tempat itulah yang menjadi sempadan antara dua kampung itu. Tempat itu dianggap sakral kerana disanalah dua orang dikorbankan sebagai harga yang perlu dibayar untuk sebuah perdamaian yang berkekalan.

Katanya, untuk memeterai perdamaian itu, terpaksa potong orang. Waktu itu belum ada agama, katanya. Sebelum kedatangan British lagi. Ketua di Kampung Ulu Bool itu membawa Siak, seorang perempuan manakala Anam, seorang lelaki dibawa di kampung mengalun. Setelah segala macam upacara yang diadakan,  maka dua orang abdi itu dikorbankan sebagai satu perjanjian.Sejak itu, tidak boleh lagi ada persengketaan, antara dua kampung itu, kata Ongoh kepada saya.

Ongoh berkata, penduduk kampung mahukan sempadan tanah adat mereka itu tidak diganggu. Beliau mahukan sempadan tanah NCR itu dipertahankan. Oleh sebab itu, dia tidak mahu, sempadan tanah yang telah ditentukan nenek moyang mereka, sehingga terpaksa mengorbankan Siak dan Anam, yang sanggup mati demi menyempurnakan sebuah misi perdamaian itu, Ongoh tidak mahu tanah itu diceroboh.

Saya mencatat saja keluhan dan aduan mereka mengenai tanah NCR itu, tanah adat yang telah mereka anggap sebagai perkampungan nenek moyang mereka. Masalah penduduk kampung yang datang dari jauh ini, dari Sipitang, wajar diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Saya hanya dapat menuliskan masalah saudara saudara, kata saya sambil mereka memegang tangan saya dengan erat. Tidak banyak yang saya dapat lakukan untuk membantu. Saya berkata bahawa saya hanya dapat menulis berdasarkan fakta yang ada sebaik-baiknya. Iya, fakta semata-mata fakta.