Selasa, 12 Jun 2012

Perkara 20 tidak lagi relevan, kata Datu Tigabelas

Tags


PERKARA 20 TIDAK LAGI RELEVAN, KATA DATU TIGABELAS

POLEMIK  mengenai Perkara 20 menyita banyak perhatian sejak akhir-akhir ini. Persilangan pendapat dan pandangan beberapa tokoh mengenai perkara itu mengisi ruang di media massa dan laman media sosial yang lain. Apakah sebenarnya yang dikatakan Perkara 20 itu?  Apakah ia masih sah atau sebaliknya?

"Kalau ada orang yang mempersoalkan sama ada perkara itu sah atau tidak sah,Sahih atau tidak sahih, perkara itu tidak timbul lagi," kata Mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas bin Datu Zainal Abidin ketika ditemui  Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dan wartawan THE BORNEO POST, MURIB MORPI  di rumahnya di Taman King Fisher Likas bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai isu Perkara 20 itu. Ikuti petikan wawancara bersama tokoh yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Arkib Negeri Sabah selama 13 tahun sebelum bersara pada September lepas.

Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin adalah anak ketiga belas daripada 15 adik beradik. Dilahirkan di Kota Belud pada tahun 1952, beliau mula berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Kota Belud pada 1974-1976. Selepas itu, beliau bertugas di Lahad Datu, Kudat, Tawau. Datu Tigabelas juga pernah dipinjamkan berkhidmat di Jabatan Pendidikan Persekutuan pada tahun 1982-1984. Beliau juga pernah menjadi egawai Daerah Beaufort selama enam tahun. Selepas itu, beliau berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai Timbalan Setiausaha Tetap pada 1994-1996 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan pada 1996-1999. Dalam tempoh 1999-2011, Datu Tigabelas berkhidmat sebagai Pengarah Arkib Negeri dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Arkib Antarabangsa  yang berpusat di Paris. Selepas bersara  setelah berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan kerajaan, Datu Tigabelas kini menghabiskan waktunya dengan menulis buku sejarah, dan memoir sejarah perjalanan hidupnya.

UB:    Sejak kebelakangan ini, timbul polemik berkaitan Perkara 20. Pelbagai pihak memperkatakan mengenai isu itu. Apa pendapat Datuk mengenainya?
D13:    Tiada gunanya kita membangkitkan semula Perkara 20 itu. Ini kerana apa-apa perkara para pemimpin kita dahulu persetujui telahpun ditandatangani di dalam Perjanjian Malaysia dan selanjutnya telah dimaktubkan di dalam Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Kita.
Seseorang yang menyatakan bahawa Perkara 20 itu masih valid atau sah sebenarnya kurang tahu akan sejarah Perkara 20 itu.Berkemungkinan besar juga disebabkan mereka tidak pernah merujuk kepada teks Perkara 20 yang sebenar atau kurang peka mengamati maksud isi kandungan Perkara 20 secara satu per satu iaitu daripada Perkara 1 sehingga 20.
Perlu difahami bahawa Perkara 20 itu bukanlah merupakan satu dokumen atau Memorandum Perjanjian yang telah dipersetujui secara khusus.Ia hanyalah merupakan memorandum yang mengandungi pra-syarat dan perakuan-perakuan yang telah dikemukakan oleh wakil-wakil negeri ini kepada Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) semasa membincang dan merundingkan penubuhan Persekutuan Malaysia iaitu sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dulu.

UB:    Jadi setelah Perjanjian Malaysia itu ditandatangani, bermakna Perkara 20 sudah tidak relevan lagi?
D13:    Perlu diingat bahawa Perjanjian Penubuhan Malaysia bukan hanya telah dibuat oleh Sabah (Borneo Utara) dengan Semenanjung Malaysia (Persekutuan Tanah Melayu) sahaja. Ia turut melibatkan Singapura dan Sarawak. Brunei juga telah terlibat sama.Walau bagaimanapun, Brunei telah menarik diri di saat akhir sebelum Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963.
Kesemua pihak iaitu Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Brunei, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah mengemukakan pra-syarat atau perkara-perkara perlindungan mereka masing-masing. Dalam hubungan ini, Sabah mengemukakan 20 perkara, Sarawak 18 Perkara, Singapura 12 Perkara sementara Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) selaku sebuah Negara yang telahpun merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957 dan pencadang kepada penubuhan Persekutuan Malaysia juga mempunyai syarat-syaratnya.
Selanjutnya kesemua pra-syarat dan perkara-perkara jaminan perlindungan yang telah dikemukakan oleh kesemua pihak yang terlibat kepada Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia itu telah membincang, merundingkan dan akhirnya telah merumuskan perkara-perkara yang telah dipersetujui dan dijadikan Memorandum Perjanjian Malaysia yang sebenar.
Justeru, jika ada pihak yang mengatakan bahawa tanpa Perkara 20 (yang telah dikemukakan oleh Sabah) maka tiadalah Malaysia itu adalah satu kenyataan atau dakwaan yang kurang tepat dan tidak benar.Ini kerana tanpa 20 Perkara atau Sabah menarik diri daripada menyertai Persekutuan Malaysia ketika itu, berkemungkinan besar penubuhan Persekutuan Malaysia ketika itu masih boleh diteruskan oleh lain-lain pesertanya iaitu Singapura, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.Situasi tersebut jelas terbukti apabila Brunei menarik diri di saat akhir, penubuhan Persekutuan Malaysia masih juga telah dapat diteruskan.
Perlu dinyatakan bahawa Memorandum Perjanjian Malaysia yang mengandungi 11 Artikel itu telah membawa kepada perwujudan dokumen atau intrumen perundangan seperti Akta Malaysia 1963, Perlembagaan malaysia dan perlembagaan baru bagi negeri Sabah dan Sarawak.
Dengan tertubuhnya dokumen-dokumen perundangan tersebut maka kesemua pra-syarat dan perkara-perkara yang dikemukakan oleh Sarawak, Singapura, Persekutuan Tanah Melayu dan Borneo Utara khasnya Perkara 20 Borneo Utara itu telah tidak terpakai atau tidak relevan lagi sebagai satu memorandum rasmi yang menjadi perkara atau jaminan perlindungan bagi Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Dengan erti kata lain, Perkara 20 itu bukanlah merupakan instrumen atau Memorandum Perjanjian.Ia hanya merupakan satu memorandum pra-syarat dan persetujuan-persetujuan Sabah untuk menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia.


UB:    Perlukah lagi kita memeriksa atau mengkaji semula Perkara 20 itu? Apa pendapat Datuk?
D13:    Selaku mantan Pengarah Arkib Negeri selama 13 tahun yang berfungsi sebagai penyimpan rekod-rekod bersejarah Negara khasnya Rekod Arkib Awam Negeri Sabah, saya sememangnya telah beberapa tahun memeriksa dan mengkaji rekod-rekod berkaitan Perkara 20 itu.
Ia termasuklah sejarah Perkara 20, laporan-laporan, memorandum, surat-surat, minit-minit mesyuarat, buku-buku, filem, gambar-gambar foto, surat-surat khabar dan penulisan-penulisan serta terjemahan-terjemahan yang berkaitan dengannya.
Sejak akhir-akhir ini saya juga telah membaca kenyataan-kenyataan berkaitan Perkara 20 termasuk oleh para pemimpin politik dan individu-individu.Ia termsuklah isu sama ada Perkara 20 itu masih ada atau sebaliknya.

UB:    Apa pendapat Datuk?
D13:    Selaku mantan penyimpan rekod-rekod bersejarah Negeri, saya merasa sedih mendapati ramai yang bercakap berkaitan perkara 20 tetapi hanya telah membaca dan mengetahui Perkara 20 melalui sumber kedua dan bukannya telah merujuk kepada sumber pertama iaitu Rekod berkaitan Perkara 20 yang asal dan sebenar yang tersimpan di Arkib Negeri Sabah.Mungkin ada yang hanya berpandukan buku 'Sabah 25 Years Later'terbitan IDS pada tahun 1988.
Mungkin ramai juga di antara rakyat di negeri ini yang hanya telah mendengar Perkara 20 daripada para individu lain yang mungkin hanya mengetahuinya melalui sumber-sumber kedua atau ketiga seperti buku-buku politik, surat khabar atau daripada orang-orang politik yang mendakwa mengetahui mengenai Perkara 20 itu.
Persoalannya, apakah kita benar-benar telah dimaklumkan atau difahamkan mengenai kandungan sebenar Perkara 20 itu secara satu persatu dari Perkara Satu hingga Perkara 20?
British telah mengadakan perundingan lebih awal di antara Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu khasnya Tunku Abdul Rahman. Selanjutnya draf Perkara 20 itu telah dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa antara Kerajaan (IGC) oleh para perwakilan Borneo Utara.
Perlu disedari bahawa isi kandungan Perkara 20 yang telah dikemukakan oleh para perwakilan Borneo Utara itu adalah hampir sama dengan Perkara 18 yang telah dikemukakan oleh Sarawak.Kedua-duanya mengandungi kepentingan strategik British.


UB:    Apakah Perkara 20 itu, satu tuntutan atau persetujuan?
D13:     Berdasarkan kepada penyelidikan dan pengkajian bertahun-tahun saya ke atas rekod-rekod Arkib berkaitan Perkara 20 termasuk sejarah bagaimana Perkara 20 itu telah diwujudkan, saya berpendapat adalah tidak bijak perkara itu dibangkitkan lagi. Ia bukan sahaja tidak relevan malah jika kita baca dengan teliti kandungan dan maksud sebenar Perkara 20 itu satu per satu, ianya boleh memalukan kita.Ia seperti membuka pekung; kelemahan atau kebodohan pemimpin kita yang terdahulu khasnya mereka yang telah menyuarakannya sebagai pra-syarat untuk menyertai dan menandatangani penubuhan Persekutuan Malaysia pada 9 Julai 1963 dahulu.
Ini kerana, walaupun sebahagian daripada perkara yang dituntut atau dipersetujui dalam Perkara 20 itu, lebih separuh daripadanya adalah didapati mengandungi tuntutan dan persetujuan-persetujuan yang pelik serta tidak wajar (perlu) dibuat.Selain itu, sebahagiannya lebih kepada tuntutan-tuntutan untuk menjaga kepentingan penjajah British.

UB:    Ada kepentingan pihak ketiga? Boleh Datuk jelaskan?
D13:   Saya  mendapati bahawa Perkara 20 itu sebenarnya bukanlah menyatakan tuntutan yang telah dikehendaki oleh rakyat Sabah.Majoriti rakyat Sabah ketika itu termasuk para pemimpin bumiputera mahukan kemerdekaan dan membebaskan negeri ini daripada penjajahan British.Malah mereka terlebih dahulu telah menyahut cadangan Tunku Abdul Rahman untuk bersatu dalam Persekutuan Malaysia. Di sebaliknya ia telahpun dirangka dan ditetapkan secara strategik oleh pihak ketiga iaitu para Pegawai British untuk menjaga kepentingan-kepentingan strategik Britush di bekas wilayah dan negeri jajahannya, maka para Pegawai British telah turut serta dalam perwakilan Sabah dan Sarawak kesemua mesyuarat untuk merundingkan penubuhan Persekutuan Malaysia.Malah, selain pemimpin tempatan, para Pegawai Kanan British juga telah turut bersama-sama sebagai wakil kedua-dua Sabah dan Sarawak untuk menandatangani Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 itu. Mereka terdiri daripada W.K.H Jones dan W.S Holley dalam Perwakilan Sabah dan Tuan P.E.H Pike bersama Sarawak.

UB:    Apa kesimpulan Datuk mengenai isu Perkara 20 ini?
D13:    Perlu diambil perhatian bahawa penyertaan Borneo Utara (kini Sabah) untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia bersama Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu (kini Semenanjung Malaysia) dan Singapura pada tahun 1962 itu adalah laksana persetujuan untuk bersatu dalam satu perkahwinan.Justeru mengapa perlu dibangkitkan Perkara 20 yang sudahpun diputuskan hampir setengah abad lalu. Apakah sebenarnya motif kita membangkitkannya lagi?Laksana ungkapan Inggeris "Why want to rock the boat of marriage now?" yang telahpun diputuskan dipersetujui hampir 50 tahun lalu.Sarawak pun tidak membangkitkan Perkara 18 mereka lagi. Sekarang ini kita mestilah berfikiran sebagai orang Malaysia dan bukannya seperti orang luar  atau seolah-olah kita masih suka kepada penjajahan British. Kita hendaklah melihat dan bergerak ke hadapan demi Malaysia dan bukannya berfikiran mundur ke belakang.
Lagipun rekod adalah amat jelas menyatakan bahawa Perkara 20 itu bukanlah merupakan satu dokumen atau memorandum persetujuan yang telah ditandatangani oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia iaitu Kerajaan British, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

UB:    Kita mestilah berfikiran sebagai orang Malaysia dan bukan sebagai orang luar. Menarik sekali. Mungkin ada lagi yang Datuk mahu perkatakan?
D13:    Kini Sabah telah hampir 50 tahun bersama dalam Persekutuan Malaysia.Sudah ramai orang Sabah berkahwin dengan orang Sarawak dan Semenanjung.Malah sudah beranak cucu.Mengapakah kita perlu menggugat penyatuan serta perpaduan yang telah kita bina selama ini.Negeri Sabah juga sudah jauh membangun dalam segala bidang berbanding keyika dijajah dahulu.Jika kita mempunyai kekurangan atau masalah, kita bincang dan rundingkanlah dengan Kerajaan Pusat berasaskan kepada keadaan serta kelebihan-kelebihan yang ada kepada kita.
Sebagaimana saya telah nyatakan sebelum ini,sejarah jelas menunjukkan bahawa rakyat bumiputera di negeri ini khasnya kaum seperti Bajau, Suluk,Orang Sungai, Dusun,Murut, Brunei telah menentang penjajahan British sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Mereka berjuang bersama dengan pejuang-pejuang seperti Datu Tating, Sharif Osman, Pengiran Samah,Datuk Paduka Mat Salleh, Mat Sator,Mat Daud,Pak Musa, Si Gunting, Ontoros Antanom dan lain-lain. Itulah sebabnya bila kita berpeluang untuk merdeka dan bebas daripada  Penjajahan British , majoriti rakyat kita tidak banyak syarat dan kerenah untuk menyertai Persekutuan Tanah Melayu yang mencadangkan penubuhan Gagasan Malaysia.Justeru Perkara 20 itu sebenarnya bukanlah agenda yang didesak oleh  majoriti rakyat  Sabah ketika itu.

1 comments so far

Perkara 18 Sarawak, masih lagi dipegang oleh orang Sarawak dan akan dipertahankan untuk selama-lamanya. Setiap satu perkara amat penting dan akan di beritahu sehingga generasi-generasi yang akan datang.