Sabtu, 30 Jun 2012

Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin,perintis Pendidikan Perhutanan di Sabah

Tags



PROF MADYA DR.MAHMUD, PERINTIS PENDIDIKAN PERHUTANAN DI SABAH

BIAR kepala di bawah, kaki ke atas, teruslah berusaha, jangan berputus asa. Beliau teringat kata-kata semangat yang diberikan oleh ayahnya. Sejak kecil lagi, anak peneroka ini telah membuktikan kegigihannya sehingga menjadi salah seorang pelajar terbaik di sekolahnya. Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, adalah seorang pakar fatologi hutan yang terkemuka bukan saja di negeri ini malah sering diundang untuk membentangkan makalah ke negara-negara Asia dan Eropah. Beliau kini adalah Dekan Sekolah Pertanian Lestari UMS.

Prof.Madya Dr.Mahmud Haji Sudin dilahirkan di Sim-Sim pada 15.10 1962. Beliau dibesarkan di Rancangan Penempatan Sungai Manila, Sandakan. Ayahnya Sudin Ingal, berbangsa Dusun manakala ibunya Sapariah Liman orang Sungai. Anak sulung dari lima adik beradik ini  mendapat pendidikan awal di  GEPS (Government English Primary School ) Sandakan, dan SRK  Sungai Manila, Sandakan. Beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan sehingga Tingkatan Tiga. Selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), anak pekebun sawit  ini meneruskan pelajaran di SMK Menggatal pada tahun 1978, yang merupakan antara sekolah terbaik di negeri ini ketika itu.Selepas lulus SPM, beliau memasuki Matrikulasi UKM dan kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang zoologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  pada 1982-1986.

Beliau memasuki perkhidmatan awam pada 1987 sebagai Pegawai Penyelidik di Jabatan Perhutanan dan ditempatkan di Bahagian Hidupan Liar. Apabila  Bahagian Hidupan Liar menjadi sebuah jabatan tersendiri di bawah kementerian Alam Sekitar, beliau  menubuhkan Bahagian Perhutanan Bandar dan Rekreasi di jabatan itu.Tidak lama kemudian beliau dipinjamkan ke Jabatan Hidupan Liar dan dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan Jabatan Hidupan Liar Sandakan. Selepas itu, beliau kembali semula bertugas di Jabatan Perhutanan dan diamanahkan untuk mengasaskan Seksyen Fatologi Hutan. Pada tahun 1996, beliau berpindah ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan diberi tanggungjawab untuk menubuhkan Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa UMS. Kemudian Dr.Mahmud  dilantik sebagai Dekan di Sekolah Pertanian Lestari UMS apabila sekolah itu dibuka di Sandakan. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Rosnah Haji Abdul Rahman dan dikurnia dua orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama wartawan pelatih, MOHD.NURAZWAN AUGUSTINE sempat menemuramah beliau pada satu petang di salah sebuah café di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit latar belakang Prof?
PROF.MADYA DR.MAHMUD SUDIN: Saya dilahirkan di Sandakan, di Kampung Sim-Sim sebuah perkampungan atas air pada tahun 1962. Apabila Skim Perancangan Pekebun Kecil Rancangan Penempatan Sungai Manila dibuka pada tahun 1966, ibu bapa saya turut berpindah ke sana. Di sanalah saya bersekolah rendah iaitu di SRK Sungai Manila dari darjah satu hingga enam.Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK Sandakan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 pada tahun 1975-1977. Apabila saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRP, saya terpilih untuk memasuki sekolah aliran sains di SMK Menggatal, salah sebuah sekolah terbaik di negeri ini pada ketika itu. Tahun 1978.


UB:       Apakah pelajar yang terpilih ke SMK Menggatal , pelajar yang terbaik saja?
MS:      Kebanyakan yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke SMK Menggatal adalah pelajar yang terbaik di sekolah masing-masing.Ramai pelajar yang `top’ dari seluruh Sabah belajar di SMK Menggatal ketika itu. Antaranya Datuk Rahim (Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan), Prof Madya Datuk Dr.Kassim Haji Mansor (Timbalan Naib Canselor), Haji Sairin Ibrahim (Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pengangkutan), Musli Haji Oli (penulis), Kibin Haji Samad (mantan Pengarah Open University di Tawau,  Itu antara alumni SMK Menggatal

UB:       Selepas itu?
MS:      Selepas lulus SPM, saya mengikuti program matrikulasi UKM. Kemudian saya meneruskan  pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang perubatan. Tetapi kerana pencapaian saya dalam pengajian perubatan, tidak juga terlampau buruk tetapi tidak juga terlampau baik, saya beralih ke bidang zoologi pada tahun 1982-1986. Bidang zoologi ini luas.  Kami belajar mengenai pelanduk, rusa, payau, segala penyakit cirit birit, cacing, haiwan, penyakit, nyamuk dan semua yang berkaitan zoologi.Memang seronok.

UB:       Dimana Prof kerja selepas itu?
MS:      Saya memasuki Jabatan Perhutanan pada 1987 sebagai Pegawai Penyelidik, tetapi diminta juga menjalankan tugas sebagai Pegawai Pentadbir. Waktu itu, saya dilantik sebagai timbalan ketua di Bahagian Hidupan Liar yang diketuai oleh Allahyarham Mahedi Andau. Apabila Kerajaan PBS memerintah, Bahagian Hidupan Liar dikeluarkan dari Jabatan Hutan dan  diletakkan dibawah Kementerian Pembangunan Alam Sekitar dan menjadi Jabatan Hidupan Liar. Oleh kerana lantikan saya di bawah Jabatan Hutan, saya tidak dapat ikut serta. Selepas itu, kami menubuhkan Bahagian Perhutanan Bandar dan Rekreasi dan saya menjadi ketuanya yang pertama. Tidak lama selepas itu, Jabatan Hidupan Liar memerlukan bantuan dan mereka memohon kepada Jabatan Hutan agar saya dipinjamkan di Jabatan Hidupan Liar.

UB:       Apa tugas di Jabatan Hidupan Liar?
MS:      Jabatan Hidupan Liar ini mempunyai bidang tanggungjawab yang besar iaitu Pusat Pemuliharaan Orang utan di Sepilok, Sarang Burung di Gua Gumantong dan sebagainya. Sebenarnya ada kisahnya ni. Arwah Mahedi kata kepada saya bahawa saya akan diserapkan ke Jabatan Hidupan Liar sebagai timbalannya. Dengan syarat saya dipinjamkan dulu ke Jabatan Hidupan Liar dari Jabatan Hutan dari Januari hingga Jun. Bagaimanapun, pada Julai hingga Disember, saya ditugaskan pula membuka Jabatan Hidupan Liar di Sandakan.

UB:       Kenapa prof pindah dari Jabatan Hidupan Liar?
MS:      Ketika itu jawatan saya di Jabatan Hidupan Liar masih bertaraf sementara manakala di Jabatan Hutan, jawatan saya sudah diserap kepada Tetap dan Berpencen.Lagi pula ketika itu pengaruh orang politik sudah masuk.Kebetulan, banyak kebetulan ni,waktu itu Jabatan Hutan mengadakan  program kerjasama Sustainable Forest Management selama sepuluh tahun dengan sebuah agensi, GTZ dari Jerman. Jadi saya ditugaskan untuk terlibat dalam projek itu. Selain itu saya juga mengasaskan Seksyen Fatologi Hutan di Jabatan Hutan.

UB:       Fatologi Hutan? Apa tu Prof? Boleh tolong jelaskan?
MS:      Fatologi hutan adalah satu seksyen yang ditubuhkan untuk mengenal penyakit tumbuhan hutan, penyakit pokok-pokokKita tidak tahu bahawa sebenarnya kayu yang ditanam itu cepat sakit kerana terkena penyakit. Walaupun ia tegak berdiri , cantik tetapi mutunya kurang baik kerana berpenyakit. Tidak guna kita buat ladang berjuta-juta ringgit, tetapi bila dituai kita mendapati ia terkena penyakit, terdegradasi. Turun harga, kerana dimakan serangga, kerana adalah kulat makan dan sebagainya.


UB:       Kenapa terjadi begitu ya?
MS:      Perkara ini terjadi kerana cara kita membalak.Oleh itu jangan sebarangan membalak.Jangan kasar sampai pokok luka.Kelukaan itu akan membawa pereputan tisu.Kadang kita Nampak pokoknya cantik tetapi banyak pereputan di dalamnya.Kita mesti amalkan cara pembalakan yang mapan, kalau kita mahu hutan kita berkekalan.Cara pembalakan yang baik yang mapan akan mengurangkan impak membalak dan menjamin pengurusan hutan.Melalui kemahiran dalam bidang ini (dalam bidang fatologi hutan), saya dijemput ke Jepun, Ke United Kingdom, ke berbagai negara luar untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai fatologi hutan.

UB:       Selepas mengasaskan Seksyen Fatologi Hutan, ke mana Prof selepas itu?
MS:      Kemudian saya mendapat anugerah biasiswa dari Kerjasama Teknikal  British di University of Wales dalam Pengurusan Penyakit Tumbuhan sehingga mendapat ijazah MSc. Di sana saya mengkaji Pengurusan Penyakit Tumbuhan dan kemudian memantapkan penyelidikan. Berikutan itu, saya dipanggil untuk membentangkan kertas kerja di Eropah seperti Sweden, Finland, di negara Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia sebagai pakar penyakit tumbuhan pokok perladangan di Sabah.

UB:       Bagaimana pula ceritanya Prof berkhidmat di UMS?
MS:      Ketika itu, saya sering diminta oleh ketua saya untuk mewakilinya bagi memberikan taklimat jika ada pelawat. Pihak UMS pun ada melawat bahagian Seksyen fatologi hutan, jadi mereka sering berhadapan dengan saya. Selain itu, bila ada seminar saya sering membentang ketas kerja sehingga rupanya UMS tertarik. Ketika itu pengurusan hutan diiktiraf di seluruh dunia. Jadi kita diberi sijil kerana pengurusan hutan terbaik  untuk Hutan Simpan Dermakot. Sijil itu disampaikan oleh Perdana Menteri ketika , Datuk Seri Dr.Mahathir Mohammad (kini Tun). Ketika itu beliau memberitahu akan ada bidang perhutanan di UMS. Masa itu, Menteri Pelajaran ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kemudian UMS menubuhkan Sekolah Perhutanan pada 1995. "Kenapa nda join kami" tanya mereka.Bukan senang meninggalkan kerja lama kerana ada kemudahan, ada driver .Mengambil masa juga .Tetapi tugas memang sama sebagai pegawai penyelidik, buat penyelidikan juga.Ilmu boleh dikembangkan, dan dikongsikan dengan ramai orang secara meluas.

Sebelum datang menerima tawaran UMS, saya mendapatkan izin dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN). Setelah mendapat keizinan, saya melaporkan diri di UMS pada 1997. Kemudian saya diamanahkan untuk mengurus penubuhan Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa.Waktu itu, hanya  saya satu orang saja mengurus satu fakulti, satu bidang pengajian baru yang diperkenalkan.
Sayalah pengasas Sekolah Perhutanan Tropika antarabangsa.Sayalah juga yang jadi kerani, mengepos surat.sayalah bos, sayalah kuli.  Kerana waktu, belum ada kakitangan lagi. Saya menjadi perintis. Pada 1998, barulah saya ada staff, ada pensyarah. Waktu itu, untuk mengajar di sekolah itu, kita  lantik pensyarah terbang.


UB:       Rupanya Prof menjadi perintis di banyak tempat ya. Menarik pengalaman prof. Pernah terfikir begitu?
MS:      Semuanya garis kehidupan yang telah ditentukan oleh yang Maha Kuasa. Agak kebetulan saya mempelopori penubuhan Bahagian Perhutanan Bandar dan Rekreasi, membuka Jabatan Hidupan Liar di Sandakan, Membuka Seksyen Penyelidikan Fatologi Hutan dan kemudian mempelopori penubuhan Sekolah Perhutanan Tropika dan sekarang Sekolah Pertanian.

UB:       Sejak bila Prof dilantik sebagai Dekan Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa?

MS:      Pada 1997, saya dilantik pemangku dekan Sekolah Perhutanan Tropika. Pada 1997, saya belajar ambil PhD di Aberdeen Scotland dalam bidang Penyakit Tumbuhan. Apbila balik pada 2005, saya dilantik lagi sebagai pemangku Dekan. Selain menjadi dekan penuh, penyelidikan saya juga mendatbir. Kampus  Sekolah Perhutanan itu dibina, dari tiada bangunan kepada ada bangunan, dari pelajar berjumlah 14 orang kepada 400 hingga 500 orang sekarang ini. kini Sekolah perhutanan mempunyai alumni hingga 1,000 orang. Sekali lagi ada kerjasama dengan pihak antarabangsa GTZ, dalam Projek Pembangunan Perhutanan Pendidikan.
Kemudian, apabila Sekolah Pertanian Lestari UMS dibuka di Sungai Batang, saya diminta untuk mengetuainya.

UB:       Seperti sirih pulang ke gagang pula Prof. Akhirnya dapat berkhidmat di kampung halaman sendiri. Mungkin ada perbezaan antara kehidupan dulu dan sekarang?

MS:      Memang banyak perbezaan.Dahulu kelapa sawit  belum ada ada hasil. Peneroka hidup hanya berbekal kecekalan. Ada juga yang kemudian meninggalkan kebun mereka, kerana waktu itu kehidupan peneroka agak susah.Ada yang keluar makan gaji, tidak balik lagi.Kebun terbiar.Kebanyakan orang lari kerana situasi kehidupan peneroka pada masa itu memang agak sengsara jika dibandingkan sekarang.

UB:       Mungkin ada pesan bapa yang masih diingati?
MS:      Beliau banyak berpesan untuk mengharungi hidup ini berbekal ilmu pengetahuan.Apa pesan bapa? Anak kau belajar rajin rajin, jangan fikir yang lain.Belajarlah, yang lain biar bapa buat.Tugas mencari rezeki sesuap nasi, memang tugas bapa, katanya. Walaupun bapa orang kampung, pelajaran pun tiada, tetapi beliau selalu mengingatkan betapa pentingnya pelajaran, jangan abaikan pelajaran dan sebagainya. Bahkan beliau pernah berkata, biar kepala ke bawah, kaki ke atas, beliau akan terus berusaha asalkan untuk pelajaran.

UB:       Prof  beruntung mempunyai orang tua yang mementingkan pelajaran?
MS:      Saya pernah terdengar dia bercakap sendiri perlahan-lahan. Saya dengar dia berkata, umur sekian anakku masuk belajar, anakku sekarang umur sekian, dia kena masuk sekolah, begitu begini. Waktu itu dia kata, dia mahu anakknya belajar tinggi. Katanya, lapan tahun saja lagi, dia membanting tulang. Barulah sekarang, aku faham, apa yang dikatakannya itu satu wawasan. Bapa mengutamakan betul pendidikan.Kerana katanya, hanya pendidikan yang boleh ubah kehidupan kepada yang lebih baik.

UB:       Selain itu, apa lagi pesan beliau?
MS:      Satu lagi yang beliau selalu cakap ialah tidak boleh putus asa. Terus belajar, terus berusaha hingga berjaya. Kalau ada satu perkara yang beliau tidak suka, misalnya kita  tidak hormat kalau jumpa orang. Selepas itu, bila sampai di rumah, beliau memberitahu kita, bapa tidak suka begitu, kita mesti hormati orang tua.Itulah antara pesannya yang saya ingat.

UB:       Terima kasih Prof kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk sesi temuramah ini.
MS:      Terima kasih.Saya tidak sangka ditemuramah dalam keadaan seperti ini. Tapi tak apalah, sekadar berkongsi pengalaman, semoga bermanfaat adanya.



4 comments

Tumpang gembira kerana mengenali Prof yang hebat ini

Saya turut kagum dengan pencapaian Profesor Madya Dr. Mahmud Sudin.

Kenal, Prof ni, sejak 1978 di SMK Bandaraya, belia seorang yang hebat..