Tuesday, July 31, 2012

Berbuka puasa di Chrang Chomres, Phnom Penh

Kira-kira sepuluh minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, kami tiba di Chrang Chomres.Perjalanan sejauh kira-kira 7 km dari Bandaraya Phnom Penh mengambil masa 20 minit untuk sampai ke perkampungan yang dihuni seramai kira 180 keluarga Islam terdiri daripada orang Melayu Campa.
Chrang Chomres adalah perkampungan Islam terbesar di Phnom Penh, Cambodia. Selain Chrang Chomres, kampung lain yang mempunyai penduduk Islam ialah Jroy Chong Va, Prek Kaing, Prek Pra dan lain-lain.
Kebanyakan penduduk Islam di sini bekerja sebagai peniaga, jual kuih, menjahit, pengusaha tuk-tuk,kakitangan kerajaan dan sebagainya.
Suasana bernuansa Islam terasa sebaik memasuki perkampungan yang padat  itu. Lelakinya berkopiah manakala kaum wanitanya bertudung, apatah lagi ketika kami sampai itu, waktu berbuka puasa hampir tiba.
El Rozak mempersilakan kami masuk. Ayahnya, Ahmad Ismail dan ibunya, Maisam Jusoh kelihatan sudah menunggu ketibaan kami. Sebaik bersalaman, Saudara Akiah tanpa berlengah lagi menyempurnakan niat yang telah lama disimpannya.Beliau membayar zakat gaji, zakat perniagaan dan zakat harta selain membawa ole-oleh tudung, kopiah, dan sebagainya.
Sebaik Azan Maghrib, mereka menjemput kami berbuka puasa bersama. Antara juadah yang dihidangkan ialah makanan tradisi Melayu campa seperti Sngor Chruk, Lok Lak , Num sach.
Saudara Akiah pua sengaja membawa Siager iaitu makanan Iranun yang dibuat daripada ikan yu yang dihancurkan, di campur kelapa dan kunyit. Betapa jauh perjalanan siager ini, fikir saya dalam hati.
Saya perhatikan betapa mereka mempertahankan budaya Campa.Cuma ketika  makan itu saya perhatikan mereka makan menggunakan sudu dan garfu, agak gamang menggunakan tangan.Mereka sudah terikut orang Khmer, kata Rozak.Mereka juga sudah terbiasa berbuka puasa dengan minuman tin selain juadah lain seperti kurma dan anggur.
Ikatan kekeluargaan di antara mereka juga masih kuat.Hubungan akrab antara keluarga Melayu campa itu amat menarik.
El Rozak adalah anak kedua dari lima adik beradik yang masih hidup. Sebenarnya beliau mempunyai anggota keluarga yang telah meninggal ketika zaman rejim Pol Pot.
El di depan namanya itu ialah singkatan kepada Ismail iaitu nama keluarga. Entah kenapa Ismail disingkat menjadi El saja. Zack berusia 30 tahun.Kakaknya El Safyan,33, hanya tamat sekolah menengah rendah manakala adiknya El Komarun,27, tamat sekolah menengah (setara tingkatan lima) El Emron,24, lulus sekolah menengah, El Rofiah, 21, lulus sekolah menengah rendah.
Menurut Rozak, panggilan untuk anak pertama Wa' Long dalam bahasa Campa. Wa' ngah, untuk anak kedua, anak ketiga pula Wa 'wan, anak  keempat pula Wa' De, anak kelima Wa teh manakala anak keenam Wa' Su.

Selain perkataan kampung, terdapat persamaan akar kata antara bahasa Melayu dengan bahasa Campa. Antaranya Pasar, dalam bahasa Campa Psar, ijan (hujan) tanya (telinga), mata (mata) buk (rambut) keli' ( kulit) dan banyak lagi. Namun masyarakat Campa di Chrang Chomres sudah menyatu masyarakat Kemboja yang lain, menggunakan bahasa Khmer dalam perbualan seharian. El Rozak sendiri mengakui kesukaran berbahasa dalam bahasa Campa.Tetapi masih ramai orang Campa yang bertutur menggunakan bahasa mereka sendiri.

Ayahnya seorang pekedai, selain menjadi imam di surau Wakutubuhi, selang beberapa meter dari rumahnya. Jemaah surau kecil itu sentiasa penuh setiap menjelang waktu solat tarawih, empat saf. Selain orang tua, anak-anak juga turut memenuhi ruangan surau. Sementara ibu-ibu solat di tingkat bawah.
Di Surau Wakutubuhi, saudara Akiah juga sempat menderma untuk surau. Mulanya niatnya adalah untuk menderma kepada sebuah surau yang belum siap, yang dilihatnya di facebook tetapi ketika sampai surau itu telahpun siap. Jadi beliau menderma kepada surau Wakutubuhi, dan turut menderma kepada siak masjid dan mualaf.Sejak dari Kota Kinabalu lagi, beliau sudah menyimpan hasrat untuk beramal di Phnom Penh.

Kami sempat berbual-bual dengan para jemaah di surau itu.Melihat satu satu wajah wajah mereka, tidak berbeza dengan wajah-wajah masyarakat Melayu kita di Malaysia. Surau wakutubuhi dijaga dengan baik oleh siak masjid iaitu Ayub bin Abdulah, 63, orang Campa yang berasal dari Vietnam, Abdul Halim Hassan, 62 yang telah lama bertugas di situ.

Di sana juga kami sempat bertemu dengan Mohd.Ridhwan Abdullah, 21, seorang mualaf dari Bonteay Thleay, Takeo. Ridhwan menyewa rumah di Chrang Chomres seama sebulan, semata-mata untuk bersama menjalankan ibadah ramadan. Ridhwan orang Khmer.Boleh berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Johor Bahru. Di sanalah pula beliau memeluk agama Islam, apabila, bertemu Tuhan yang sebenar. Menurut pengakuannya sendiri, beliau yang asalnya beragama Buddha, hendak menyembah Tuhan yang sebenar.

Selepas menunaikan solat tarawih sebanyak lapan rakaat, yang diimamkan  Imam Ahmad Ismail, saya sempat mengambil gambar-gambar jemaah termasuk kanak-kanak dan wanita. Setiap kali tiba Ramadan, masjid sentiasa dipenuhi jemaah.

Sebelum pulang ke hotel, kami sempat bdersembang-sembang dengan jemaah sambil menikmati minuman dan buah sarikaya (delima).Zack juga sempat menghadiahkan Al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Cambodia.

Meskipun kami tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Zack yang menterjemahkan, tetapi saya lihat ketulusan di hati mereka.Betapa mereka amat menghormati dan menghargai tamu, saudara seagama dengan mereka. Ketika diberitahu bahawa kami dari Sabah, mereka tidak dapat membayangkan dimana letaknya negeri itu. Mereka banyak bertanya, kami menjelaskan serba sedikit tujuan kami iaitu ingin menulis mengenai masyarakat Islam di Kemboja agar lebih banyak lagi yang diketahui mengenainya.Ramai masyarakat Islam di Sabah yang tidak mengetahui masyarakat Islam di Kampuchea.

El Rozak berjanji untuk mengajak kami melihat kehidupan masyarakat Islam di Siem Reap dan kemudian jika mungkin melihat kehidupan masyarakat Melayu Campa di Sungai Tonle Sap dan Mekong  yang masih hidup dalam perahu, bergantung kepada laut  untuk mencari sumber kehidupan mereka.

Ramadan di Phnom Penh membuat hati teruja.


Catatan 28 Julai 2012, Chrang Chomres Phnom Penh.

No comments: