Saturday, July 28, 2012

Catatan sebelum mendarat di Phnom Penh


CATATAN SEBELUM MENDARAT DI PHNOM PENH

PERJALANAN kami kali ini menghala ke Phnom Penh.
Di sana telah menunggu seorang  sahabat, El Rozak, anak imam masjid di Chrang Chomres. Rozak atau lebih mesra dipanggil Jack adalah  jurutera telekomunikasi lulusan Universiti Gajah Mada  Yogyakarta, Indonesia. Sebab itu, kami tidak begitu risau masalah komunikasi kerana Zack mampu berbahasa Melayu dengan baik.
Kunjungan ke Kampuchea atau Kingdom of Cambodia ini hanya semata-mata mencari jawapan kepada pertanyaan pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran kami iaitu bagaimana situasi kehidupan masyarakat Melayu Campa, yang sudah turun temurun menetap di Indochina.

Memang sejak dari kecil lagi, kami sudah akrab dengan nama negara Kemboja, atau dalam sastera Melayu lama disebut dengan Kembayat Negara, dengan tokoh-tokoh seperti Sultan Zainal Abidin dan Siti Zubaidah yang pintar, dalam Syair Siti Zubaidah yang banyak dibaca orang di kampung kami. Bahkan dulu, Babu Dandam terkenal dengan suaranya yang merdu dan arwah Babu Rugayan atau Inai Tiandawan adalah orang-orang yang pandai bersyair. Entah dari mana mereka mendapat syair-syair pada zaman-zaman 60-an itu.

Di negara Kembayat inilah, kami sedang menuju. Saya begitu teruja dengan Kampuchea sudah sejak lama. Putera Norodom Sihanouk, adalah seorang negarawan yang pernah menjadi hos perdamaian mendamaikan sengketa antara Tengku dan Sukarno satu ketika dulu. Negara yang dulunya terkemuka, pernah jadi jajahan Perancis, pernah bergelumang dengan darah, pembunuhan dahsyat yang pernah dilakukan oleh rejim Pol Pot dan Khmer Rouge.

Kalau anda pernah menonton Filem The Killing Field, lakonan Haing S.Ngor, barangkali sedikit banyak dapat mengerti akan situasi Kemboja ketika zaman prahara.Banyak filem dibuat mengenai kekejaman di Indochina  itu, sayangnya yang banyak ditonjolkan ialah kehebatan superhero Amerika, yang sebenarnya kalah dalam Perang Vietnam tetapi cuba memenangkan persepsi penonton melalui filem-filem Action.

Khabarnya keadaan masyarakat Islam yang dulu pernah ditindas dan dizalimi itu masih berada dalam keadaan yang serba miskin. Selain Chrang Chomres dan Prek Phra di Phnom Penh, ada kampung seperti Kompong Chom, ada di Siem Riep dan ada yang memberitahu ada sebuah kampung kira-kira 30 minit dari Phnom Penh, ditebing Sungai Tonle Sap.

Sebenarnya, kunjungan ini sebelumnya tidak dirancang dalam bulan Ramadan. Rupanya tiket yang di tempah itu tanpa disedari berlaku seminggu setekah umat Islam berpuasa. Banyak hikmahnya.Tanpa disangka kami mendapat peluang untuk merasai suasana bulan Ramadan di Phnom Penh. Barangkali dapatlah kami berkunjung ke masjid atau madrasah di sekitar Phnom Penh.

Waktu Phnom Penh lambat satu jam berbanding kita.Penerbangan mengambil masa 1 jam 55 minit sebelum mendarat di kota itu. Jika sempat, kami berhasrat juga untuk berkunjung ke Angkor Wat, kira-kira enam jam perjalanan dari Phnom Penh.

Sewaktu menulis ini, saya berada dalam pesawat AK1474 Air Asia. Dari kejauhan ini, saya sudah dapat5 melihat keindahan sawah padi. Kemudian pandangan terganggu oleh awan tebal. Pramugari mengatakan penerbangan menempuh cuaca yang kurang baik. Penggunaan tandas, katanya atas risiko sendiri.

Kelihatan awan tebal dari jendela pesawat. Saya sudah mengisi borang imigresen yang diberikan. Sekarang cuaca semakin baik.Pesawat bersedia turun.Kelihtan sungai-sungai,sawah dan sebagainya.
Perlahan-lahan pandangan makin dekat ke Cambodia

No comments: