Thursday, July 12, 2012

Lelaki itu Bahar namanya


LELAKI itu Bahar namanya.
Sehari-hari dia bekerja sebagai seorang pemandu lori. Setiap petang selepas kerja, beliau mengelilingi pusat bandar untuk mencari kotak terbuang untuk dijual.Bahar sudah melakukan kerja itu sejak lima tahun yang lalu.Tak ada yang istimewa.

Tidak ramai yang mengenalinya.Kehidupannya biasa saja. Dia hanya orang kecil sehinggalah Isnin lalu ketika tiba-tiba dia mendapati gambarnya terpampang di muka depan akhbar. Hampir semua akhbar memuatkan berita mengenai lelaki yang tidak pernah menyangka menjadi terkenal itu.

Lelaki itu Bahar namanya.
Barangkali tidak banyak duit yang boleh diperolehinya hanya dengan menjual kotak-kotak terbuang yang dikutipnya hampir setiap pulang kerja.Dia mengutip kotak-kotak yang dibuang orang untuk menambahkan pendapatan. Gajinya tidak seberapa. Dia hanya memikirkan untuk mencari rezeki yang halal dengan tulang empat keratnya.

Lelaki itu Bahar namanya.
Hanya seorang lelaki yang biasa. Walaupun hidup dalam keadaan yang serba sederhana tetapi ia mestilah disyukuri. Hanya dengan kerja keras, berbekal tekad dan yang penting mestilah jujur,Bahar menjalani kehidupan sehari-harinya seperti biasa. Tak ada yang luar biasa.

Sehinggalah pada hari itu, beliau menemui satu kotak, yang entah kenapa bila dibuka berisi tiga bungkusan berisi wang tunai. Jumlahnya bukan sedikit. Isi kotak misteri yang entah siapa membuangnya itu, berjumlah RM133,300.

Semalaman Bahar tidak dapat tidur memikirkan wang yang baru ditemuinya itu. Siapa yang cuai membuangnya.Mungkin kalau wang itu diambil oleh Bahar, tidak ada siapa yang akan mempersalahkannya. Tetapi bagi Bahar, duit itu bukan miliknya. Bukan hasil titik peluhnya.

Kejujuran bagi Bahar lebih penting daripada duit yang jumlahnya tidak pernah dilihatnya sebelum ini.Wang itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya.Tapi pada siapa. Wang itu ditemui terbuang tanpa diketahui siapa pemiliknya. Dia memutuskan untuk menyerahkan wang itu ke Balai Polis Tawau.

Lelaki itu Bahar namanya.
Dia bukan saja jujur malah berani mempertahankan kejujurannya. Memang rasanya dia teruja juga kerana menemui duit yang sebegitu banyaknya itu tetapi nilai seorang manusia ditimbang dari kejujuran, keadilan dan kebenaran yang diamalkannya.

Dia jujur duit itu bukan miliknya.Bagi dirinya adalah tidak adil untuknya memiliki duit yang bukan hasil kerjanya. Tindakan yang benar ialah mengembalikan sesuatu yang  bukan miliknya walaupun sebenarnya ia ditemui di tempat tong sampah.

Di sebalik berita-berita jenayah, fitnah memfitnah, gejala sosial, perceraian artis dan sebagainya, kita boleh yakin dengan masyarakat kita.Bahawa ada orang-orang yang berani mempertahankan kejujuran dan kebersihan hati mereka. Bahawa dalam dunia yang hingar bingar dan penuh debu-debu ini, masih ada lagi insan kecil seperti Bahar.

Lelaki itu Bahar namanya. Bagi saya dia lelaki yang sungguh luar biasa. Kejujuran dan sikap amanah yang ada pada dirinya menjadikan beliau seorang yang istimewa.

Barangkali Bahar tidak pernah menganggap tindakannya istimewa. Mungkin bagi dirinya, ia hanya tindakan yang biasa-biasa untuk mengembalikan hak yang bukan miliknya. Tetapi keputusan yang diambilnya untuk mengembalikan wang tunai itu adalah sesuatu yang luar biasa.

Ada manusia yang biasa.Ada manusia yang luar biasa.Bahar salah satu daripadanya.Beliau meyakinkan kita bahawa kejujuran satu tindakan yang mulia. Kejujuran dan kebaikan harus berkembang meskipun setiap hari kita berhadapan dengan kebencian, dendam dan kedengkian sesama manusia.
Lelaki itu Bahar namanya.
Ia bukan pemandu lori atau pengutip kotak terbuang yang biasa. Setidaknya ia memandu kita ke arah yang mulia seraya membuang kenistaan dan dusta di hati kita.

No comments: