Monday, July 9, 2012

Percakapan di bawah pokok mangga


PERCAKAPAN DI BAWAH POKOK MANGGA

Sementara menunggu tibanya waktu untuk acara kenduri arwah, kami sengaja duduk di bawah rimbunan pokok mangga.Sesekali angin bertiup agak sepoi menghalau hawa panas yang seolah-olah terhenti di atas ubun-ubun kepala.Hari itu adalah kenduri arwah bapa, yang dua tahun sudah, meninggalkan kami dengan segala kerinduan kami kepadanya.

Sambil mengenang keperibadian beliau, kami terhenyak kerana tidak ramai di antara kami anak-anaknya yang dapat mencontohinya.Banyak teladan yang ditinggalkannya, semoga kami dapat mengutipnya.

Di kalangan masyarakat, di antara para sahabat dan keluarganya, beliau dianggap sebagai seorang pakar bahasa, tokoh seniman, budayawan,tokoh adat, penulis,orang yang sering dimintai nasihat, dan pendapat, juga seorang khatib di mimbar masjid yang mengarang sendiri khutbah Jumaatnya.

Beliau telah pergi ke alam yang lain walaupun kami sentiasa merasakan kehadirannya. Seperti pada petang itu, di bawah pokok mangga, sembari menunggu kehadiran tetamu, kami bercerita banyak kisah mengenai beliau.

Tidak seperti orang lain, bapa menjadi teman kami berbicara, duduk mengelilingi meja, bertukar-tukar pendapat atau cerita lucu, memberikan pedoman dan panduan, seorang yang bersikap demokratik walaupun sesekali menggunakan kuasa veto terhadap kami anak-anaknya.

Seorang lelaki, harus serba boleh untuk dinamakan lelaki, katanya satu hari. Di laut, boleh menjadi nelayan, di darat, boleh jadi petani, di masjid boleh menjadi imam, disuruh berpantun boleh berpantun, disuruh mengaji boleh mengaji, dan sebagainya, tetapi jika berbuat jahat, jangan panggil saya bapa, tegasnya.

Kalau mata lebam atau kalau kaki patah, tidak apa apa jika untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan.Jangan buat kacau atau mengganggu orang, beliau selalu mengingatkan kami. “Kalau bapa dengar kamu dipukul atau dipenjara kerana menipu atau mencuri, bapa tidak akan mengaku kamu anak bapa,” katanya memperingatkan.

Berbuat baiklah sebanyak-banyaknya. Jika mahu membantu, bantulah betul-betul.Jika mahu menghantar orang, hantarlah hingga ke depan tangga, jangan membantu setengah jalan, katanya.

Tidak perlu beritahu garam itu masin rasanya, atau gula itu manis.Semua orang tahu garam itu masin, gula itu manis.Falsafah beliau ini sangat berkesan dalam kehidupan kami selanjutnya.

Di bawah rimbunan pokok mangga yang mulai berbuah itu, kenangan silih berganti terhadap arwah bapa. Saya yang paling rasa terpukul kerana sewaktu beliau pergi itu, saya sedang dalam perjalanan melalui hutan Kalimantan.

Padahal sebelum itu, beliau memberikan beberapa isyarat tapi kami lambat memahaminya. Beliau seolah tahu telah mendapat panggilan, hanya menunggu masa dan ketika.

Hanya setelah bapa tiada, kami yang duduk di bawah pokok mangga ini menyedari betapa banyak yang telah diberikannya kepada kami. Barangkali juga kepada masyarakat, keluarga dan rakan-rakannya.

Di kalangan masyarakat, mereka kehilangan seorang tokoh seni dan budaya, seorang yang selalu diminta mengetuai rombongan majlis peminangan, seorang yang selalu dirujuk kerana kedalaman ilmu dan kebijaksanaan fikirannya dan sebagainya.

Kami teringat pesan pesan kebaikan yang perlu diamalkan untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna dan mulia. Ketika ini, kiranya bagaimana harus kami menyatakan saat-saat ingin berdoa. Di bawah pokok mangga, yang beberapa waktu dulu ditanamnya kini mulai berbuah.

Angin bertiup perlahan-lahan mengitari kami. Waktu berputar.Daunan akan gugur ke tanah.Kami tahu hidup akan terus berubah dan mengalir.








No comments: