Friday, July 27, 2012

Terkenang waktu puasa di kampung kami


TERKENANG KENANG WAKTU BERPUASA DI KAMPUNG KAMI

MENDENGAR beduk dipalu berulang kali menandakan waktu sahur telah tiba. Di kampung kami dahulu, beduk yang dibuat dari kulit kambing itu, terdengar nyaring bunyinya hingga ke seluruh pelusuk desa. Bagi sebuah masyarakat yang mempunyai sistem berkomunikasi yang tersendiri, beduk digunakan secara tradisi untuk memberitahu jika tibanya waktu Jumaat, atau dengan jumlah paluan yang tertentu, untuk menyampaikan berita duka jika ada sesuatu musibah yang menimpa. Namun beduk juga selalu ditabuh untuk memberitahu waktu untuk bersahur.

Bila tiba waktu berbuka, kadang-kadang jika tidak dapat melihat matahari terbenam ke ufuk, beduk dijadikan sebagai penanda masuk waktu maghrib. Kami yang masih kanak-kanak ketika itu,sudahpun bersedia di depan gelas penuh minuman.

Selepas makan, berlarilah kami ke masjid untuk ikut menunaikan solat terawih. Masih terngiang juga suara imam Haji Abdul Rahman, imam tua di kampung kami atau bacaan ayat al-Quran oleh Haji Mukadim, yang ramai anak-anaknya menjadi juara musabaqah.

Dahulu lepas waktu sungkai, kanak kanak sebaya kami berlumba lumba meletupkan meriam buluh atau `kidaban' dalam bahasa kami. Bersahut-sahutan, mencari mana `kidaban' yang paling kuat bunyinya. Tetapi pada masa itu, jarang sekali kami mendengar ada orang yang tercedera atau jadi mangsa kerana permainan itu. Tak ada juga orang yang meletupkan kidabannya pada waktu lain kecuali selepas waktu berbuka, atau yang paling sering ialah selepas menunaikan solat terawih beramai-ramai.

Selepas sepertiga puasa, di kampung-kampung masyarakat Iranun menjadi terang bercahaya kerana orang-orang tua memasang tajukur.Tajukur yang sebenarnya pelita yang dipasang pada malam  tujuh likur itu biasanya dibuat daripada tempurung kelapa yang dibakar . Pada malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu dipercayai akan turun `lailatur qadar' yang selalu ditunggu-tunggu.

Arwah ayah selalu mengatakan bahawa pada bulan puasa, tangan dan kaki iblis dan syaitan diikat, sehingga ia tidak boleh lagi mengganggu orang-orang untuk melakukan ibadah. Kami teringin juga melihat bagaimana tangan dan kaki syaitan itu diikat, tapi kerana kami masih kecil, kami hanya dapat membayangkan syaitan-syaitan itu sebagai sesuatu yang ngeri.

Kata arwah ayah, orang yang kotor jiwanya, orang yang selalu berbuat jahat, selalu berdengki, selalu berdendam dan bermusuhan antara satu sama lain itu, adalah sahabat syaitan. Jika tidak mahu menjadi sahabat syaitan, janganlah buat perkara perkara serupa itu, kata ayah kepada kami.

Demikianlah puasa kami jalani. Kalau berpuasa, kata ayah, kita bukan saja puasa makan tetapi juga puasa mata, puasa telinga dan sebagainya. Kita bukan saja berlapar menahan dahaga tetapi juga puasa menahan pandangan mata dan penglihatan kita daripada melihat sesuatu yang `tidak benar'.Bagi kami kanak-kanak pada waktu itu, kami tidak faham benar apa yang diperkatakannya.

Biasanya, kami mengaji mulai mukaddam hingga khatam quran daripada pakcik Haji Salleh.Rumahnya sentiasa riuh rendah dengan suara anak-anak yang mengaji.Kami belajar alif ba ta daripadanya. Saya selalu teringat rotan ekor pari yang biasanya digunakan untuk menakut-nakutkan kami supaya tidak nakal atau membuat bising.

Jika waktu puasa, biasanya meriah.Kami melupakan sejenak minat menonton cerita `combat' atau `canon' di rumah cikgu Hujud, satu-satunya jiranya kami yang mempunyai peti tv. Peti tv itu menggunakan tenaga bateri kereta kerana pada waktu itu bekalan elektrik belum sampai di kampung kami.

Selain tv, melalui siaran radio, kami mengetahui waktu bermulanya puasa atau pengumuman Hari Raya Aidilfitri  yang diumumkan oleh penyimpan mohor raja-raja. Seawal pagi lagi, selepas solat Subuh pada pagi AidilFitri itu, kami menunggu kedatangan Arwah Babu Inai Daiman yang rajin menghantar dulang berisi makanan sesuai dengan tradisi kami. Selepas itu, Inai Agaitu juga datang menghantar dulang. Kemudian ibu pula menghantar dulang ke tempat jiran-jiran yang lain atau membalas hantaran dulang itu.

Setelah pagi aidilfitri itulah, biasanya kami dibenarkan bermain `kanjarapung' (mercun). Pada pagi itu kami berkunjung ke perkuburan menziarahi keluarga yang lebih dulu berpulang. Selepas itu barulah kami berkunjung ke rumah sanak saudara. Kadang-kadang kami berjalan kaki berbatu-batu kerana waktu itu jarang ada kenderaan seperti sekarang.

Kenderaan Pick-up yang selalu menjadi alat pengangkutan untuk ke pekan Kota Belud, jarang beroperasi pada hari raya.Meskipun tidak ada kereta, tapi itu tidaklah menghalang kami untuk berziarah satu sama lain. Masyarakat kami waktu adalah masyarakat yang erat hubungan kekeluargaannya.

Tetapi sekarang, nilai nilai lama sudah tergantikan oleh sistem nilai yang baru. Tidak lagi terdengar beduk dipalu, tidak ada lagi zaman kanak-kanak yang dulu ada. Sekarang diganti dengan sms, mms dan sebagainya. Orang lebih seronok menggunakan media alfisbuki. Melalui media sosial, mereka yang jauh seperti berada di sebelah rumah sahaja. Meski begitu, ironisnya, walaupun dekat, tetapi mereka semakin jauh. Kadang-kadang walaupun mereka berada di depan mata kita, mereka seolah-olah tidak lagi akrab atau bercakap dengan kita, kerana sibuk menekan punat handphone, sehingga kita kadang tenggelam dalam kesendirian.

“Sahurlah sahur, sahur semua, bangunlah sahur, untuk puasa”, tiba tiba terdengar sekumpulan remaja memukul tambur untuk membangunkan orang bersahur. Alangkah indahnya, jika kita sentiasa mengingat makna dan hikmah berpuasa. Puasa daripada fitnah atau sumpah seranah, puasa dari benci dan rasa iri, puasa dari dendam dan kebencian, puasa dari nafsu yang menggebu-gebu, puasa dari kata-kata nista dan dusta. Puasa sebenar puasa

No comments: