Friday, July 27, 2012

Yang Terbaik dan Yang Menang HSS 2010/2011


 KALAU ada satu detik yang boleh membuat jantung penulis-penulis Sabah berdegup lebih kencang daripada biasa, detik itu ialah pengumuman keputusan Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2010/2012.

Keputusan HSS 2010/2011 pasti ditunggu-tunggu khalayak sastera Sabah.Setiap kali keputusan HSS itu diumumkan, selalu ada sesuatu yang mengejutkan.

Kali ini, buat kali pertama dalam sejarah Hadiah Sastera Sabah (HSS) sejak mula diperkenalkan 22 tahun lalu, seorang penulis menang dalam tiga kategori sekaligus. Tiga nama yang tidak pernah terpisah dari senarai pemenang berjaya mengekalkan reputasi mereka. Sekurang-kurangnya lima nama baru masuk dalam tinta emas HSS manakala selebihnya adalah personaliti sastera yang terbilang kerana keunggulan karya mereka.

Penulis Ruhaini Matdarin, menempati urutan pertama HSS 2010/2011 kerana prestasinya yang luar biasa. Beliau membuktikan keistimewaan mutu karyanya apabila novelnya Nisan, terbitan Penerbitan Melur 2011 lebih layak diperakui mutunya berbanding enam novel lain yang turut dinilai.
Dalam kategori cerpen, Ruhaini melalui cerpen Emas Hitam (Antologi Emas Hitam, Iris Publishing & Distributor 2010) terpilih sebagai salah satu daripada sepuluh pemenang genre cerpen manakala puisinya “Sesedih Aku” yang tersiar dalam Wadah Jun 2011, tersenarai sebagai salah satu daripada sepuluh pemenang genre puisi.

Sebanyak 331 cerpen telah dinilai bagi memilih sepuluh yang terbaik.Hasyuda Abadi, sasterawan yang namanya tidak pernah tercicir (kecuali dua tahun lalu apabila beliau dilantik sebagai salah seorang panel) turut menang dua kategori. Cerpen Embun di Tapak Tangan yang tersiar dalam akhbar Utusan Borneo membawa tuah kepada Hasyuda Abadi selain puisinya Perlimbahan Cinta (tersiar dalam antologi Sutera Kunjungan 2011) menang dalam genre puisi.

A.Karim Kadir,Juri Durabi,Amini Gawis, ketiga-toganya nya dari bahagian Utara Sabah turut menang dalam dua kategori. A.Karim Kadir dari Kudat  unggul melalui Cerpen Ng Kafak, tersiar dalam Dewan Sastera April 2010 manakala puisinya Hidup yang tersiar,juga dalam Dewan Sastera April 2010 turut terpilih sebagai salah sebuah puisi terbaik daripada 900 buah puisi yang tersiar sepanjang dua tahun tempoh penilaian itu.Juri dari Pitas menang melalui cerpen Tanah Kubur yang tersiar dalam Wadah Jun 2011 dan puisi Redup yang tersiar dalam Harian Ekspress 28 Mac 2010. Amini, penulis dari Kota Belud menang melalui cerpen Milik Yang Hilang, tersiar dalam Utusan Borneo, 30 Januari 2010 dan puisi Sungai Pegalan, tersiar dalam Utusan Borneo, 6 Februrai 2011.

Penulis hebat yang turut membuktikan keunggulan dalam genre cerpen ialah Azmah Nordin melalui cerpen Kekasih, tersiar dalam Dewan Sastera September 2010, Yatim Ahmad melalui cerpen Nyiur Gading Tinggi Menjulang, tersiar dalam New Sabah Times 22 Mei 2011.

Julia Unggai, yang menulis dari Amerika Syarikat, menang melalui cerpen Sepasang Mata Biru Sepucuk Pistol, tersiar dalam Utusan Borneo 11 April 2010 manakala antara nama baru yang menang ialah Lembayung Senja melalui cerpen Internet yang tersiar dalam Harian Ekspres 24 April 2011.Lembayung Senja atau nama sebenarnya Dg.Rosnah Ag.Jaafar terpilih buat pertama kalinya sebagai salah seorang pemenang HSS 2010/2011. Selain itu, Ismi Nailofar atau nama sebenarnya Hadijah Awang Mahmud menang melalui cerpen Resah Si Kembang Kolam yang tersiar dalam majalah wadah terbitan DBP Sabah keluaran Jun 2011.

Jasni Matlani, juga salah seorang maestro sastera Sabah meneruskan keunggulan melalui puisi Sepetang mengenangmu, tersiar dalam Wadah Disember 2010, manakala Ramli A.R (Ramli Jusoh) menang melalui puisi Tanah Penangguhan, termuat dalam Antologi Sutera Kunjungan 2010. Puisi Kaki Hujan karya Pena Alam atau nama sebenarnya Rita Robert Rawantas turut terpilih sebagai salah satu daripada 10 puisi yang terbaik. Penyair Jair Sulai dari Malubang Pitas menang melalui puisi Bengkoka, tersiar dalam Dewan Sastera  Oktober 2011 manakala Norawi Haji Kata dari Kota Belud menang melalui puisi Aku Ingin Menatap Tidurmu yang tersiar dalam Dewan Sastera Oktober 2011.

Hanya dua daripada 40 buah esei yang tersiar di akhbar dan majalah  sepanjang 2010 dan 2011 layak menerima hadiah sebagai pemenang HSS. Raymond Majumah melalui esei bertajuk Sejarah Datuk Jamdin Buyong dan Perjuangan Menerusi Kumpulan Ada dalam Tiada  menang genre Esei dan Kritikan. Sementara itu, Lokman Abdul Samad juga mendapat pengiktirafan melalui esei bertajuk Yang Indah dan Bermanfaat dalam Sastera Rakyat, yang tersiar dalam Wadah Mac 2011.

Menurut siaran akhbar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai penganjur hadiah paling berprestij itu, Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah akan diadakan pada 21 September 2012.

Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sejak 1990 adalah salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah, khususnya dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu untuk bacaan masyarakat.

Hadiah dwitahunan untuk karya terbaik penulis Sabah ini dibahagikan kepadaa beberapa genre sastera seperti novel, cerpen, drama, esei dan kritikan dan puisi.

Hadiah Sastera Sabah mengambil kira karya penulis-penulis Sabah yang diterbitkan dalam tempoh dua tahun iaitu tahun 2010 hingga tahun 2011, untuk dinilai dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah.Penilaiaan karya oleh panel penilai dibuat berdasarkan genre novel, cerpen, esei/kritikan dan puisi.

Sementara penulis yang menang hadiah HSS 2010/2011 tidak sabar lagi menanti masa penyampaian hadiah itu, penulis-penulis lain mempunyai masa dua tahun iaitu sepanjang 2012 dan 2013 untuk membolehkan karya mereka dinilai pada sesi penilaian yang akan datang.




No comments: