Monday, July 9, 2012

Zubaidi Abas, lapan tahun berbakti untuk bahasa dan sastera di Sabah



ZUBAIDI ABAS,LAPAN TAHUN BERBAKTI UNTUK BAHASA DAN SASTERA DI SABAH


TERLALU banyak kenangan yang tak mungkin pudar dalam ingatan Zubaidi Abas, Pengarah Dewan  Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang akan berpindah ke ibu pejabat DBP Malaysia di Kuala Lumpur mulai 9 Julai ini. Setelah lapan tahun berkhidmat di Sabah, mengunjungi hampir semua pelosok negeri ini, beliau merasakan keakraban dan ketulusan masyarakatnya.  Beliau merasa gembira dan bahagia sepanjang bertugas di Sabah tetapi panggilan tugas baru  ke ibu negara tidak dapat dimungkiri lagi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau yang sering disapa dengan panggilan `Encik Zubaidi' pada satu malam sambil menikmati teh tarik di salah sebuah restoran mamak di Jalan Pantai.

Zubaidi Abas dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 10 April 1959. Sebelum bertugas sebagai Pengarah DBP Cawangan Sabah sejak 3 Januari 2005, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah DBP Wilayah Selatan pada 2001-2004. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Zubaidi pernah menulis beratus-ratus makalah yang pernah disiarkan di akhbar dan majalah tanahair. Sejak makalahnya bertajuk "Isu-isu di Sebalik Perubahan Istilah tersiar di Berita Harian pada 12 Disember 1985, beliau terus menyumbangkan buah fikirannya kepada khalayak pembaca melalui tulisannya yang tersiar di Berita Harian, Jurnal Dewan Bahasa,Utusan Malaysia, Harian Tamil Osai,Thinamani,Mingguan Famili, Berita Peristilahan,MASSA,Pelita Bahasa, Jendela Selatan, Utusan Borneo, Etnik dan sebagainya. Beliau juga menulis kolum Ujana DBP dalam akhbar Utusan Borneo sejak 2008.

Ikuti petikan temubual bersama personaliti yang banyak berjasa kepada perkembangan bahasa dan sastera di Sabah, malah turut menyumbangkan buah fikirannya dengan menulis setiap minggu mengenai isu-isu berkaitan bahasa dan sastera  dalam akhbar Utusan Borneo.

UTUSAN BORNEO:      Rasa ingin tahu juga, apa pandangan Encik Zubaidi sebelum dan selepas bertugas di Sabah?
ZUBAIDI ABAS:          Sebelum ditugaskan di Sabah, timbul juga pertanyaan, mengapa hantar saya ke Sabah?. Tempat yang pada anggapan saya ketika itu agak `teruk'. Saya mengambil masa juga untuk berfikir. Tetapi apabila kita sudah bergaul dengan masyarakat di sini, ternyata persepsi itu salah sama sekali. Amat berbeza. Mereka yang tidak pernah datang, saya menyarankan mereka datanglah ke Sabah, alami sendiri pengalaman di sini. Suasana hubungan masyarakat yang harmoni, antara satu sama lain, kita akan rasa. Saya sangat gembira, sangat bahagia sepanjang berada di Sabah. Saya tak merasakan perbezaan...saya rasakan macam suasana di kampung saya di Semenanjung.
Saya rasakan keakraban dan ketulusan ketika bergaul dengan masyarakat. Kalau ada orang yang tiga hari menangis ketika mahu ditukarkan ke Sabah, setelah merasai suasana di sini, kalau balik nanti, ibaratnya tujuh hari menangis. Betapa dia rasa bila dia balik, tujuh ahri menangis, itulah perbandingannya. Pergilah ke kampung-kampung, kemesraan dan keakraban itulah yang saya rasa.

UB:       Banyak juga kampung di Sabah yang Encik Zubaidi pernah kunjungi?
ZS:       Banyak juga kampung yang telah saya kunjungi sepanjang lapan tahun berada di sini. DBP Sabah mengadakan program dan kegiatan di seluruh Sabah. Tetapi saya memang merasakan kemesraan dan keakraban ketika bergaul dengan penduduk kampung.

UB:       Kalau boleh tahu, apa tempat yang menarik perhatian Encik Zubaidi di sini?
ZS:       Antaranya bandar Lahad Datu. Saya rasa bandar Lahad Datu boleh menjadi bandar contoh dalam aspek penggunaan bahasa kebangsaan. Di sana kita melihat tulisan jawi pada papan tanda,penunjuk jalan, penggunaan bahasa yang betul, itu yang saya seronok. Selain itu, mungkin kerana Lahad Datu menjadi tempat pertama yang saya kunjungi di luar KK.

UB:       Bagaimana tahap sokongan  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap DBP?
ZS:       Sokongan pihak PBT sangat baik. Kita mempunyai hubungan yang cukup akrab. Lebih mudah untuk menjalin kerjasama tanpa banyak masalah. Saya boleh menyatakan bahawa tahap hubungan antara DBP dan PBT di Sabah, adalah amat baik sekali.

UB:       Hubungan dengan pemimpin dan jabatan kerajaan lain?
ZS:       Kita juga mempunyai hubungan yang baik dengan kalangan pemimpin negeri.Kita membuat pendekatan yang baik dengan pemimpin dan jabatan kerajaan di Sabah. Banyak program-program yang kita adakan mendapat sokongan dan sambutan yang sangat baik.

UB:       Hubungan dengan pihak lain?
ZS:       DBP Cawangan Sabah juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pihak media di Sabah. Hampir semua media memberikan sokongan yang baik terhadap program dan kegiatan-kegiatan DBP. Ini memberikan kesan yang sangat baik. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Utusan Borneo yang terus menerus memberikan sokongan kepada DBP Cawangan Sabah dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya. Selain itu, Utusan Borneo memberika n ruang untuk saya menulis setiap minggu. Saya telah menulis sebanyak 288 tulisan dan sebahagiannya telahpun dibukukan dalam beberapa buah buku.

UB:       Apa bidang yang menjadi tumpuan Encik Zubaidi sepanjang berkhidmat di Sabah?
ZS:       Orang melihat saya lebih cenderung kepada bidang bahasa. Pendekatan lebih kepada bahasa ini mungkin kerana saya berasal dari bidang bahasa.Begitu juga dengan pengarah-pengarah DBP Cawangan Sabah sebelum ini. Zaini Oje cenderung kepada sastera kerana beliau orang sastera.Haji Hamzah Hamdani cenderung kepada penerbitan kerana beliau banyak terlibat dalam dunia penerbitan.

UB:       Apa pandangan Encik Zubaidi mengenai tahap penggunaan bahasa kebangsaan di Sabah?
ZS:       Tahap penerimaan bahasa Melayu di sabah sangat baik. Seperti yang kita maklumi, Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai sumber terbanyak bahasa sukuan. Di sini letak keunikannya. Walaupun bahasa sukuan Sabah pelbagai tetapi tahap penerimaan bahasa Melayu sangat baik. Terdapat sebanyak 38 suku kaum di Sabah, itulah yang selalu disebut, sepatutnya lebih sukar bagi bahasa Melayu berkembang namun ternyata di Sabah, penerimaan terhadap bahasa Melayu tidak ada masalah kerana bahasa itu telah menjadi lingua franca sejak zaman  berzaman. Pergilah ke ceruk mana pun, penggunaan bahasa Melayu adalah cukup baik.
Saya juga sangat menyokong penerbitan akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Borneo kerana ia membantu meningkatkan dan memajukan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di Sabah.

UB:       Bagaimana pula mengenai perkembangan bahasa sukuan di Sabah?  Sebelum ini ada dakwaan pengembangan bahasa Melayu membantutkan penggunaan bahasa ibunda?
ZS:       Dari segi pendekatan, DBP mengembangkan  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi tidak mematikan  bahasa sukuan.Bahkan kita mempunyai banyak projek pengembangan bahasa sukuan. Kita berusaha memasyarakatkan bahasa Melayu, dan pada masa yang sama kita juga menghidupkan bahasa sukuan. Sepanjang saya menulis di Utusan Borneo, saya selalu menyatakan mengenai hal itu. Kita mengembangkan bahasa Melayu tanpa  melupai bahasa ibunda masing-masing.


UB:       Apa pandangan Encik Zubaidi mengenai masa depan penulis Sabah?
ZS:       Kita banyak melihat kemunculan penulis-penulis muda yang sangat berpotensi. Penulis-penulis Sabah menunjukkan kematangan dalam karya-karya mereka.Saya yakin masa depan sastera di Sabah agak cerah.

UB:       Mengenai mutu karya penulis Sabah? Boleh Encik Zubaidi berikan pendapat?
UB:       Karya penulis Sabah terutamanya penulis baru menunjukkan peningkatan. Masalah kita sekarang ialah mendapatkan karya-karya yang baik dan bermutu untuk diterbitkan. Sebab itu jumlah penerbitan karya dari Sabah tidak bertambah.Kadang kala ada karya dari Sabah yang dihantar ke Kuala Lumpur sukar diterbitkan kerana tidak mencapai tahap. Namun DBP Sabah akan terus memberikan komitmen untuk menerbitkan karya-karya penulis Sabah.

UB:       Apa harapan Encik Zubaidi kepada pengarah baru?
ZS:       Saya harap dengan kehadiran pengarah baru, tumpuan banyak di berikan kepada penerbitan kerana beliau saya difahamkan mahir dalam selok belok dunia penerbitan.

UB:       Boleh tahu apa tugas baru di DBP KL?
ZS:       Saya dipindahkan ke Bahagian Majalah sebagai Ketua Editor.

UB:       Menarik tu Encik Zubaidi. Mungkin banyak karya penulis Sabah boleh diterbitkan?
ZS:       Sebelum ini memang pernah ditimbulkan kita kekurangan karya dari Sabah. Kita menggalakkan penulis-penulis Sabah menghantar karya untuk dipertimbangkan. Kita mahu penulis Sabah

UB:       Mungkin tugas baru lebih mencabar?
ZS:       Kita akan cuba menarik minat masyarakat terhadap majalah-majalah terbitan DBP. Kita lihat majalah terbitan DBP, dari segi jumlahnya semakin menurun. Kita harus membuat perubahan supaya majalah DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Tunas Cipta,Pelita Bahasa dan sebagainya diminati masyarakat seperti dahulu.

UB:       Oh ya, kita beralih kepada soalan lain. Apa makanan Sabah yang paling Encik Zubaidi gemari?
ZS:       Pada peringkat awal, memang agak sukar bagi saya menyesuaikan diri. Dulu hampir setiap kali makan, saya makan sotong bakar.Hari-hari. Kerana itulah yang sesuai dengan selera saya. Tapi setelah lapan tahun di Sabah, sebutlah makanan Sabah, semuanya saya makan.

UB:       Apa perasaan Encik Zubaidi berpindah ke KL selepas lapan tahun berkhidmat di Sabah?
ZS:       Memang tak dapat diluahkan. Seperti yang saya katakan tadi, kalau dulu sebelum datang Sabah, tiga hari menangis, untuk meninggalkan Sabah, tujuh hari menangis. Itulah perbandingannya. Saya merasa cukup mesra dan akrab dengan masyarakat di sini. Sepanjang minggu ini, saya berkunjung ke semua PBT di Sabah untuk membuat kunjungan perpisahan sambil mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana kerjasama yang diberikan sepanjang lapan tahun bertugas di Sabah. ia satu pengalaman yang sangat berharga dalam lipatan hidup saya.




2 comments:

Pena Alam said...

ABG nAD!


Tahniah untuk Tuan Zubaidi kerana telah melaksanakan lapan tahun perkhidmatan yang penuh dedikasi di Sabah. Jarang-jarang ada orang-orang besar seperti Tuan Zu yang begitu akrab dengan kakitangannya dan yg paling penting dgn penulis2 Sabah sendiri! Tahniah Tuan. Selamat bertugas d tempat baru, jangan lupa kami di Sabah k!


Syabas untuk Malaysia Book Of Records - DBP yang antaranya Baca Puisi berbagai etnik secara Serentak beramai-ramai di puncak Gunung Kinabalu 2011!!

Al Fazli HMS said...

Tahniah Encik Zubaidi. Kelahiran ramai penulis muda di Sandakan dibawah naungan BAHASA Cawangan Sandakan, banyak didorong dan disokong oleh Encik Zubaidi bersama team DBP Sabah. Terima kasih!

Kini beberapa rakan mula boleh bergerak sendiri perlahan-lahan.Terima kasih.

Al Fazli HMS
Timb. Pegerusi
BAHASA Cawangan Sandakan
Sabah.