Sunday, August 19, 2012

Beri peluang orang muda tunjuk kebolehan




BERI PELUANG ORANG MUDA TUNJUK KEBOLEHAN

DI TENGAH iklim politik yang berkocak di Sabah ekoran tindakan Ahli Parlimen Beaufort,Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Beaufort dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, nama Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Haji Aliasneh disebut-sebut sebagai salah seorang tokoh yang boleh mengimbangi dan memimpin UMNO Beaufort untuk terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Tokoh yang berpenampilan sederhana sanggup meninggalkan kerjayanya yang cemerlang dalam bidang pendidikan untuk menceburkan diri dalam bidang politik sepenuh masa pada tahun 1999.

Setelah peletakan jawatan Datuk Lajim sebagai ketua bahagian Baeufort, Isnin Haji  Aliasneh  telah diamanahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO  untuk memikul tanggungjawab sebagai pemangku Ketua Bahagian UMNO Beaufort.

Isnin  lahir di Kampung Landayan Takuli Beaufort pada tahun 1965. Beliau mendapat pendidian awal di SK Takuli Beaufort sebelum melanjutkan pelajaran di  SMK Mempagar  Beaufort. Beliau tidak lama belajar di situ kerana mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka dari Tingkatan satu hingga tiga. Kemuudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Nasiruddin Shah Besut Terengganu dalam Tingkatan Empat dan Lima. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di SM Tengku Mahmud Besut  hingga Tingkatan Enam Atas.

Selepas itu, beliau mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Gaya (MPG) Kota Kinabalu. Keluar dari maktab, beliau sempat mengajar di SK Pekan Membakut dan SM St.John Beaufort.  Dalam masa yang sama, Isnin melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga peringkat sarjana pendidikan. Beliau meninggalkan lapangan perguruan untuk menceburi bidang politik sepenuh masa.

Ikuti petikan temubual wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Beaufort, ISNIN HAJI ALIASNEH pada satu petang di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu bagi berkongsi sedikit pengalaman dan pandangannya terhadap isu semasa di Beaufort.


UB:       Sejak bila tuan menceburkan diri dalam politik? Boleh ceritakan sedikit?
IA:       Saya menceburi bidang politik sepenuh masa pada tahun 1999 sebagai Naib Ketua Pemuda Bahagian. Apabila Ketua Pemuda UMNO Beaufort, ketika itu disandang saudara Abdul Rahman Yaakub meletak jawatan, saya dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pemuda.

UB:       Jadi tuan nekad meletak jawatan sebagai guru semata-mata untuk berkecimpung dalam parti?
IA:       Saya berasa perlu meletakkan jawatan sebagai pendidik kerana rasa  tanggungjawab saya kepada parti. Selain itu, saya juga meletakkan jawatan dengan tanggungjawab saya kepada pelajar. Tanggungjawab kepada pelajar kerana saya berpolitik. saya tidak mahu pembelajaran mereka terbengkalai kerana kesibukan saya kepada politik. Itu sebabnya saya memilih untuk meletak jawatan.Kebetulan pula waktu itu dekat pilihanraya Mac 1999.

UB:       Rupanya ini kali kedua, tuan dilantik untuk pangku jawatan pada saat-saat genting.Pertama, sewaktu pangku jawatan Ketua Pemuda dan kini pangku jawatan Ketua Bahagian. Apa jawatan  sebelum ini?
IA:       Saya memegang jawatan Ketua cawangan UMNO Kampung Landayan Takuli. Saya pernah jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Limbawang dan AJK UMNO Bahagian Limbawang. Apabila persempadanan diadakan, cawangan masuk dalam Bahagian Beaufort. saya pindah ke Beaufort dan menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Beaufort. Dan selepas itu, menjadi Ketua Pemuda UMNO Beaufort selama empat penggal.

UB:       Berapa usia tuan sewaktu menceburkan diri dalam politik sepenuh masa?
IA:       Saya menceburi bidang politik seawal usia 25 tahun. Saya adalah anak muda yang dididik oleh UMNO.

UB:       Pernah terfikir jadi pemimpin sebelum ini?
IA:       Dari dulu saya memang berminat dalam bidang kepimpinan. Sewaktu di Maktab Perguruan Gaya (MPG), saya aktif sebagai EXco sosial dan kebajikan. Selain itu saya memang aktuf sama ada dalam kelas atau du luar kelas. Memang dari dulu minat kepimpinan. Selain itu seawktu menuntu di sekolah menengah dulu, di Terengganu,  saya pernah menjadi Ketua Perkumpulan Pelajar Yayasan Sabah di kawasan  Timur.


UB:       Oh ya, kita beralih kepada soalan lain. Bagaimana keadaan politik di Beaufort ketika ini setelah peletakan jawatan Datuk Lajim?
IA:       Keadaan politik di Beaufort stabil. Sejak diamanahkan sebagai Pemangku Ketua Bahagian, saya mendapat sokongan dan bantuan  dari Naib Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Bendahari, Puteri, Ketua Penerangan, ahli-ahli jawatankuasa bahagian untuk memastikan keadaan tetap terkawal, untuk memastikan cawangan tetap kukuh dan utuh. Walaupun ada yang meletak jawatan sebagai AJK Bahagianm tetapi mereka tidak meletak jawatan sebagai ketua cawangan dan ahli UMNO. Saya fikir mereka masih ahli UMNO dan menyokong BN. Sokongan terhadap kerajaan masih kukuh kerana kerajaan telah melaksanakan janji-janjinya, dimana 90 peratus kemudahan prasarana sudah digarap dan dinikmati rakyat.

UB:       Bagaimana tuan melihat pengaruh Datuk Lajim di kalangan rakyat setelah beliau meletakkan jawatan. Adakah ia memberi kesan terhadap sokongan rakyat terhadap BN pada pilihanraya ke-13 akan datang.
IA:       Kita akui bahawa keputusan Datuk Seri Panglima Lajim itu memberi sedikit kesan kepada sokongan rakyat. Apatahlah beliau orang besar, jasa pun ada dan menjadi wakil rakyat selama 26 tahun.Sudah tentu ia mempunyai hubungan dengan rakyat. Tetapi saya fikir, rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan, kepada parti. Kita tidak nafikan kekuatan beliau tetapi generasi kini bijak menilai. Saya fikir apa yang lebih penting adalah parti dan bukan individu tertentu.

UB:       Dengan pengunduran Datuk Lajim membuka jalan kepada pemimpin muda menerajui bahagian. Apa komen tuan?
IA:       Bagi peluang orang muda tunjukkan kebolehan mereka untuk bekerja. Cuba dulu.Kalau mereka tidak boleh, tukar saja ganti dengan yang lain. Di Bahagian Beaufort, ramai ahli yang telah menunjukkan kesetiaan kepada parti dan bukan kepada individu. Kini rakyat cukup matang menilai, memilih siapa yang mereka mahu sokong.Mereka tidak akan pilih orang yang pentingkan diri sebaliknya akan memilih parti yang boleh bantu rakyat.


UB:       Apa tekad tuan setelah dipilih untuk memikul tugas sebagai Pemangku Ketua Bahagian
IA:       Saya berjanji untuk memikul tanggunggjawab sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort. Ini satu amanah.Saya yakin boleh melaksanakan tanggungjawanb dan tugas yang diberikan dengan dibantu oleh kepimpinan bahagian, Pergerakan Pemudam Wanita dan Puteru yang setia. Bagi kami perjuangan parti lebih utama untuk bantu rakyat. Jawatan bukan untuk diperdagangkan.

UB:       Mungkin bertambah sibuk lagi...
IA:       Sibuk tu biasalah.Tidak pernah dalam satu hari sepanjang bulan puasa ini, saya `free'. Setiap malam ada saja yang perlu dibuat. Saya berkunjung kesemua surau dan masjid dan kampung untuk membuat aktiviti sepanjang ramadan dan mendengar sendiri masalah rakyat. Ada juga yang pernah dijanjikan pemimpin terdahulu masih belum ditunaikan. Ada janji yang belum terlaksana. Kita akan pastikan janji-janji untuk membuat prasarana itu akan ditunaikan.

UB:       Apa agaknya isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam kempen-kempen mereka di Beaufort?
IA:       Antara isunya ialah isu tukar kerajaan. Bagi saya, kita tak mahu tukar kerajaan, yang kita mahu tukar ialah pemimpin. Dalam ucapan mereka juga ada menyatakan bahawa kita selalu dianaktirikan. Macam mana kita dianak tirikan sedangkan banyak pembangunan di bawa ke Beaufort. Selain itu, ada juga ditimbulkan masalah air. Ya, ada masalah air tetapi kerajaan sudah mengambil langkah mengatasinya dengan memberikan peruntukan RM54 juta untuk menangani masalah air di kawasan parlimen Beaufort.
Ada juga dakwaan, bahwa suara kita tidak didengar. Takkanlah suara kita tak didengar, sedangkan Sabah diberikan banyak perhatian. Biarlah rakyat yang menentukan suara siapa yang didengar.

UB:       Akhir sekali, apakah harapan tuan kepada rakyat di Beaufort
IA:       Saya yakin mereka bijak dan matang menilai pemimpin. Saya harap mereka lebih mengutamakan perjuangan parti dan bukan perjuangan peribadi.

No comments: