Thursday, August 23, 2012

cerita tengkorak di Choueng Ek, Phnom Penh











TENGKORAK-tengkorak itu disusun mengikut usia dan jantina. Lelaki berusia belasan tahun disimpan di satu tingkat manakala wanita dalam kategori usia yang sama diletakkan di tempat yang berasingan. Begitu juga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun, 40 hingga 60 tahun diasingkan di satu tingkat berlainan manakala wanita mengikut kategori yang sama juga dipamerkan di tempat bersebelahan. Orang tua berusia di atas 60 tahun, lelaki dan wanita juga menempati ruang yang dikhaskan untuk mereka.

Jumlahnya puluhan ribu. Tengkorak-tengkorak itu disusun dalam stupa peringatan 17 tingkat di satu tempat bernama Choueng Ek, terletak kira-kira 7 km dari Phnom Penh, ibu negara Kemboja. Mereka adalah mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot yang memerintah Kemboja dalam tempoh empat tahun iaitu antara  1975-1979.

Choueng Ek terkenal dalam sejarah Kemboja sebagai salah satu daripada 300  padang pembunuhan yang digunakan sebagai tempat untuk membantai golongan yang dikategorikan `penderhaka negara' oleh rejim Pol Pot. Di Choueng Ek, terdapat kira-kira 20,000 orang mati dibunuh dengan kejam. Mangsa-mangsa itu dibunuh dengan menggunakan parang, tombak, sabit, cangkul, kapal atau apa saja benda yang boleh digunakan untuk memukul dan membunuh orang. Kemudian setelah dibunuh, orang-orang itu dikuburkan beramai-ramai dalam satu lubang setinggi enam meter.

Penghujung Julai lalu, kami mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Choueng Ek, bagi melihat dengan mata sendiri, kesan-kesan kekejaman rejim Pol Pot ke atas rakyatnya. Perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam dengan menaiki Tuk-Tuk yang dipandu oleh Sukri. Setibanya di sana, ramai pelancong asing turut berkunjung menyaksikan stupa peringatan berusi tengkorak manusia dan padang pembunuhan yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Kemboja.

Terdapat 129 kuburan massal di tanah seluas 2.4 hektar itu. Sebanyak 86 telah digali dan diperiksa oleh pakar-pakar forensik untuk menentukan cara kematian mereka.

Sebelum dihantar ke Choueng Ek, orang-orang yang dituduh `penderhaka negara itu' terlebih dahulu disiasat,disiksa dengan bermacam-macam cara keji dan kejam di penjara Toul Sleng atau lebih dikenali S21. Mereka dibawa ke Choueng Ek dengan mata dan tangan terikat, dalam keadaan lapar dan ketakutan di tengah malam yang gelap.

Orang-orang yang digelar `Orang 17 April' itu diangkut menggunakan truk ke Choueng Ek.  Mereka digelar "Orang Baru atau Orang 17 April' mengambil sempena tarikh 17 April 1975 iaitu tarikh mula Khmer Rouge mengambil alih tampuk kuasa di Kampuchea.

Seramai 50 hingga 70 orang diangkut setiap hari ke Choueng Ek. Jumlah ini meningkat 300 orang dalam sehari pada tahun 1978.  Truk mengangkut "Orang-orang 17 April' itu bermula kira-kira jam 6.30 petang hingga jam 2.00 pagi keesokan harinya.

Sebaik tiba di Choueng Ek, mereka terus dibawa, dengan tangan digari di belakang, dengan mata terpejam kemudian mereka dipukul, ditetak, atau dihentak dengan benda-benda tajam sehingga mati. Satu demi satu.

Oleh kerana jumlahnya makin ramai, mereka yang tidak sempat dibunuh akan ditempatkan satu tempat khas hingga malam berikutnya sambil menunggu giliran untuk dibawa ke `rumah baru' mereka. Sebenarnya, sewaktu dibawa ke Choueng Ek dari S21, mereka dijanjikan untuk dibawa ke rumah baru, dan ternyata rumah baru yang dimaksudkan itu adalah kuburan mereka sendiri.

Tak ada siapapun yang tahu bahawa di sebalik tembok 2.5 meter itu, mangsa-mangsa kekejaman Pol Pot itu mengakhiri perjalanan hidup mereka dengan cara yang kematian yang tidak dapat dibayangkan.

Selepas kedatangan mereka di Choueng Ek direkodkan, mereka kemudian dibawa satu demi satu untuk menghadapi hukuman. Ketika menghadapi hukuman itu, lagu-lagu revolusi dan muzik dibunyikan dengan nyaring bagi menghalang raungan, jeritan, rintihan, tangisan mereka didengar oleh orang lain. Kebanyakan orang-orang yang dibunuh oleh Pol Pot itu adalah terdiri daripada guru, doktor, peguam, atau siapa saja yang boleh bertutur bahasa asing, berkulit lembut, memakai cermin mata dan sebagainya.

Orang-orang inilah yang ditangkap, diseksa dan dipaksa mengaku kesalahan yang bukan perbuatan mereka untuk kemudian dipukul dengan cangkul, tombal, kapal, dihentak dengan benda tajam dan kemudian dilonggokkan di lubang-lubang kubur yang telah disediakan.

Kami mengunjungi hampir semua tempat seperti yang ditunjukkan dalam peta Choueng Ek. Sambil itu, kami berganti-ganti mendengar audio penerangan yang disediakan dalam bahasa Melayu. Melalui penerangan dalam audio itu kami dapat menyelami peristiwa yang berlaku di situ kira-kira 33 tahun lalu.

Ketika Khmer Rouge dikalahkan oleh Tentera Vietnam pada tahun 1980, Pol Pot bersama orang-orangnya sempat lari ke dalam hutan hingga ke Perbatasan Thailand. Beliau meninggal pada tahun 1997, dalam usia 82 tahun. Sebelum menjadi pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot sebenarnya adalah seorang guru.Beliau pernah belajar di Perancis dalam bidang elektronik radio.Bagaimanapun, beliau tidak menghabiskan kuliahnya kerana terlibat dalam Parti Komunis Perancis.

Kewujudanmu bukan keuntungan, kehilanganmu bukan kerugian, itulah antara slogan yang digunakan oleh Pol Pot dalam membenarkan tindakan tidak berperikemanusiaan.`Mencabut rumput hingga ke akarnya sekali' adalah antara kata-katanya. Mungkin itulah sebabnya juga beliau tega mengarahkan anak-anak kecil yang tidak berdosa turut dibunuh bagi mengelakkan mereka membalas dewasa bila mencapai usia dewasa.

Selepas mangsa-mangsa itu dibunuh, mayat mereka dilonggokkan dalam lubang dan kemudian disembur bahan kimia seperti DDT bagi mengelakkannya daripada berbau.

Kami tidak mampu menahan kesedihan melihat lubang dimana 450 orang dikuburkan. Saya sendiri tidak dapat berkata-kata melihat kekejaman manusia seperti itu. dalam satu lubang lain, terdapat 166 orang tanpa kepala ditimbus begitu saja.  Dalam satu lagi liang, 100 wanita yang dibogelkan turut dikuburkan. Di sebelah, satu pokok dibiarkan tumbuh sebagai saksi bahawa itulah tempat dimana kanak-kanak dibanting sehingga hilang nyawa. Pakaian mangsa-mangsa ini turut dikumpulkan dan kini menjadi salah satu bahan yang dipamerkan untuk disaksikan bagaimana orang-orang yang itu mengakhiri perjalanan hidup mereka.

Setelah kekalahan Khmer Rouge, Choueng Ek mula digali semula. Lubang-lubang sedalam lima meter atau 16 kaki itu  mula digali pada tahun 1980, tengkorak-tengkorak dikumpulkan, serpihan tulang-tulang dan gigi, pakaian dan sebagainya dikumpulkan. Bahkan sampai sekarang, pengunjung masih boleh melihat serpihan tulang atau gigi atau rambut mangsa, terutamny abila tiba musim hujan.

Ramai yang terkorban di Choueng Ek. Antaranya menteri, duta,profesor, doktor, peguam, golongan terpelajar malah  wanita dan kanak-kanak.Selain itu, terdapat warga asing, kebanyakannya wartawan di bunuh di Choueng Ek.

Sementara itu, para petani dipaksa untuk  menanam padi setiap hari  supaya pendapatan negara meningkat tiga kali ganda.Wang yang diperolehi hasil eksport itu digunakan untuk membeli senjata. Petani-petani yang kurus dan kurang gizi makanan itu hanya diberikan makanan dua mangkuk bubur setiap hari. Sebenarnya banyak lagi cerita kekejaman yang berlaku sepanjang empat tahun pemerintahan Pol Pot.

Empat jam setelah berada di Choueng Ek, kami meninggalkan tempat yang penuh kepahitan itu. Dalam buku lawatan yang disediakan, kami mencatatkan betapa Choueng Ek, tempat yang pahit untuk dikenang.


No comments: