Saturday, August 11, 2012

Inilah kisahku, Nur Alam dari Arakan



INILAH KISAHKU,  NUR ALAM DARI ARAKAN

MUNGKIN kau tak mengenaliku.Tetapi itu tidak penting.Bagiku sama ada kau mengenali atau tidak mengenaliku, bukan satu persoalan. Aku hanya ingin bercerita kepadamu, sebuah kisah dari Arakan.

Arakan adalah tanah kelahiran kami. Kalau kau tak tahu dimana letaknya Arakan, sudi kiranya mencarinya di dalam peta. Kau akan melihat sebuah negeri yang terletak di Myanmar, berhampiran perbatasan Bangladesh. Di sanalah nenek moyang kami bermastautin berabad-abad lamanya.

Bahkan ada catatan bahawa nenek moyang kami sudah menempati Arakan sejak abad ke-8. Sejarah juga mencatatkan dengan baik mengenai bagaimana kedudukan masyarakat Islam di  Arakan pada abad ke-15. Ketika penjajahan  kolonial, beratus tahun dahulu, ramai juga penduduk Islam yang menyeberang dari Teluk Benggala.

Penduduk Islam di Myanmar kini berjumlah 1.7 juta atau 4.0 peratus daripada 42.7 juta penduduk negara itu. Walaupun ada catatan dalam dokumen Images Asia:Report On The Situation For Muslim In Burma pada Mei 1997 menyatakan jumlah umat Islam di Myanmar mencapai 7 juta orang. Tetapi ada juga yang mengatakan penduduk Islam Rohingya berjumlah 800,000. Semua ini menjadi sesuatu yang kurang pasti kerana semua etnik Rohingya tidak lagi dianggap warga negara Myanmar sejak 1982.

Sekarang aku  tidak tahu berapa jumlah penduduk Islam di sana. Ramai orang Rohingya terpaksa lari meninggalkan kampung halaman mereka. Rumah-rumah mereka dibakar, masjid dirobohkan, tanah mereka dirampas, jumlah anak mereka dihadkan, bahkan sejak 1982, tiada lagi pengeluaran sijil kelahiran untuk mereka kerana mereka dianggap sebagai bukan warganegara.

Kekejaman demi kekejaman dilakukan. Orang Rohingya diusir dari tanah mereka, rumah mereka dirosakkan atau dibakar. Mereka dibunuh dan disiksa sejak berpuluh tahun yang lalu.  Sejak bertahun-tahun lalu, bermula tahun 1978,  ramai orang Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar. Pihak tentera Burma mengadakan operasi khas untuk melenyapkan pimpinan umat Islam di Arakan. Ketika ini terdapat 200,000 pelarian tinggal di Bangladesh, kira-kira 111,000 ribu di Thailand, puluhan ribu di Malaysia dan sebahagiannya di Indonesia.

Begitulah nasib kami. Aku sendiri terpaksa meninggalkan Arakan, untuk mengelak dari seksaan dan pembunuhan. Kami nekad lari dari Myanmar.Menumpang perahu tradisi sepanjang 14 meter, berjejalan di atas perahu kayu dengan bekal seadanya. Kami lari memembus lautan yang tak dapat diduga ganasnya.Tapi kami tidak ada pilihan. Di negara sendiri, kami dianggap bukan warganegara, dianggap hanya sebagai pelarian dari Bangladesh, manakala Bangladesh menutup pintu perbatasan kepada orang-orang seperti kami.

Itulah sebabnya kami memilih untuk menempuh lautan, melawan gelombang. Hingga pada akhirnya kami terkatung-katung tanpa haluan setelah enjin perahu rosak. Dalam keadaan terumbang ambing di lautan selama 20 hari itulah kami diselamatkan nelayan Aceh.

Barangkali kau telah membaca kisah kami dalam BBC, dan banyak lagi kisah yang disiarkan pelbagai media antarabangsa mengenai bagaimana kami mengungsi, bagaimana kami melarikan diri dari kekejaman manusia. Mereka membunuh kami hanya kerana kami tidak sefaham dan sealiran  dengan mereka. Mereka mahu menghapuskan kami kerana menganggap kami hanya sebagai pelarian, padahal mereka membakar rumah kami, merampas tanah kami lalu mengusir kami.

Kawasan yang kami diami bukan saja miskin malah dipinggirkan. Kami tidak dibenarkan bergerak bebas tanpa surat rasmi. Kami tidak dibenarkan menubuhkan sekolah untuk menyekolahkan anak-anak kami. Bahkan kami diperlakukan dengan pelbagai diskriminasi. Apabila pihak militer melancarkan oprerasi khas untuk melenyapkan pimpinan Umat Islam pada tahun 1978 dan 1991, ramai orang Rohingya lari. Kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia ini berlanjut sehingga sekarang.

Bayangkan. Aung San Suu Kyi pun tidak bersuara atas kekejaman yang dilakukan ini. Saya tidak tahu apakah beliau tahu bahawa kami dizalimi atau mungkin beliau menganggap kami tak layak dikasihani atau diberi simpati. Sebab itu kami terpaksa lari melalui laut memasuki kemungkinan bahaya yang ternganga demi sebuah kehidupan.

Kami teraniaya. Rumah kami dibakar.Kampung kami dibakar. Keluarga kami dibunuh.Wanita-wanita diperkosa. Kami diusir dari tanah kami sendiri. Bahkan di Wilayah Rakhine, orang-orang Rohingya dibunuh dan dizalimi. Ada laporan yang menyatakan 6,000 etnik Rohinga telah dibunuh hingga saat ini. Presiden Myanmar, Thein Sein sendiri melontarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dengan mengatakan pengusiran orang Rohingya sebagai jalan penyelesaian konflik etnik dan agama.

Kalau kau bertanya, bagaimana masa depan kami, bagaimana perjalanan hidup kami selanjutnya, akupun tidak pasti. Aku hanya mampu berdoa semoga kami dapat hidup damai dan sejahtera. Semoga hak orang Rohingya untuk hidup aman ditanahairnya dikembalikan.Semoga hak mereka sebagai rakyat Myanmar diiiktiraf atau kalau tidak berikan kepada kami, negeri kami.

Inilah kisahku.Namaku Nur Alam, orang Rohingya dari Arakan  yang terselamat dari buasnya manusia dan ganasnya gelombang di laut Andaman.









No comments: