Saturday, August 4, 2012

Kenangan yang menyakitkan di Choueng Ek

KENANGAN YANG MENYAKITKAN DI CHOUENG EK

Jika ada suatu tempat yang menyakitkan untuk dikenang, ia adalah Choueng Ek.
Tetapi betapa menyakitkanpun, kami berkunjung juga ke sana, beberapa hari lalu. Choueng Ek adalah satu destinasi yang tak sepatutnya dilepaskan bila anda berkunjung ke Phnom Penh, ibu negara Kampuchea.

Terletak kira-kira 7 kilometer dari pusat bandar, Choueng Ek adalah pusat genosid atau padang pembunuhan paling terkenal ketika pemerintahan Khmer Rouge dan rejim Pol Pot yang kejam itu.
Lebih 20,000 orang mati di sana. Sebahagian tengkorak kepala mereka masih disimpan di sebuah stupa peringatan yang dibina, ironisnya untuk memperingati kekejaman manusia ke atas manusia lain, yang berlaku pada tahun 1975-1979, waktu yang paling suram bagi rakyat di negara Asean itu.

Ketika kami tiba, Choueng Ek dipenuhi pelancong `barang' sebutan bagi pelancong berkulit putih. Terdapat juga beberapa pelancong dari Asia, berdasarkan kulit mereka.
Perkara pertama yang kami lakukan sebaik tiba di sana adalah mengambil gambar, sebagai pemberitahuan  bahawa kami pernah berada di tempat yang menjadi tarikan pelancong di Kampuchea. Tetapi lama kelamaan, kunjungan yang sepatutnya menggembirakan itu  bertukar menjadi suatu yang sukar dilupakan.

Tak ada yang mampu tersenyum lagi ketika langkah kaki beranjak dari satu nombor ke satu nombor seperti yang tertera dalam peta. Di Choueng Ek, orang-orang yang digelar `penderhaka negara' dibawa ke situ dari S21 dengan mata dan tangan terikat, penuh kelaparan dan ketakutan di kegelapan malam.

Pada malam gelap, 50 hingga 70 orang diangkut menggunakan truk setiap hari ke Choueng Ek. Orang-orang 17 April itu dijanjikan untuk dihantar ke `rumah baru'. Mereka digelar orang 17 April kerana tarikh 17 April 1975 adalah tarikh mula Khmer Rouge mengambil alih tampuk kuasa di negara yang banyak bergantung kepada hasil pertanian. Tetapi pada tahun 1978, setiap hari bermula jam 6.00 atau 6.30 petang itu meningkat 300 orang dalam sehari.

Tak ada satupun di antara mereka yang menyedari bahawa itulah perjalanan terakhir mereka. Tiada siapa yang tahu bahawa di sebalik tembok 2.5 meter itu, orang-orang yang diheret, dibawa dengan tangan digari di belakang, dengan mata tertutup itu sebenarnya dibunuh. Satu demi satu, kadang-kadang sampai pada malam berikutnya.

Mereka tidak dapat melihat satu sama lain. Dalam kegelapan itu mereka hanya mendengar lagu-lagu revolusi dan muzik yang dibunyikan dengan nyaring bagi menghalang raungan, jeritan, rintihan mereka didengar orang lain. Asalkan mereka guru, doktor, peguam, atau orang-orang yang boleh bertutur bahasa asing, kulitnya lembut atau orang-orang yang bercermin mata, kesemua mereka ditangkap, diseksa, dipaksa mengaku kesalahan yang bukan perbuatan mereka untuk kemudian dibantai atau dipukul dengan cangkul, tombak, kapak, ditetak dengan parang, sabit  atau dihentak dengan benda tajam, dan kemudian dilonggokkan di lubang-lubang kubur yang telah disediakan.

Kewujudanmu bukan keuntungan, kehilanganmu bukan kerugian, begitulah antara slogan Pol Pot. Mencabut rumput hingga ke akarnya sekali, kata orang yang dicatat sejarah sebagai penguasa yang kejam dan tidak berperkemanusiaan.Pol Pot sebenarnya seorang guru, pernah belajar dalam bidang elektronik radio  di Perancis tetapi tidak pernah menghabiskan kuliahnya kerana menyertai Parti Komunis Perancis. Menurut cerita, beliau tidak pernah muncul di tempat awam. Setelah dikalahkan tentera Vietnam, 20 tahun kemudian iaitu pada tahun 1997, Pol Pot mati dalam hutan.Mati dalam usia 82 tahun, beristeri muda dan khabarnya sering mendengar siaran Voice of America.

Setelah `orang baru' atau `orang 17 April' itu dibawa ke padang pembunuhan itu, mereka segera dibantai. Selepas itu mereka dilonggokkan dalam lubang dan disembur dengan bahan kimia DDT bagi menghalang ia daripada bau. Di kawasan seluas 2.4 hektar atau kira-kira seluas 6 ekar itu, terdapat 129 kubur massal. Sebanyak 86 daripadanya telah digali dan diperiksa pakar forensik untuk menentukan cara kematian mereka.

Terdapat satu lubang dimana 450 orang dikuburkan. Dalam satu liang yang lain, 166 orang tanpa kepala ditimbus begitu saja. Kemudian dalam satu lagi lubang, 100 wanita yang dibogelkan ditanam manakala kanak-kanak dihentakkan di satu pokok, yang masih ada sekarang. Kekejaman yang tak dapat digambarkan oleh akal fikiran kita yang sihat. Semua itu diiringi dengan muzik bagi menghalang ia daripada terdengar oleh masyarakat di luar tembok ataupun oleh tahanan-tahanan yang sedang menunggu giliran mereka.

Setelah terusirnya Khmer Rouge dari Phnom Penh, Choueng Ek yang lebih dikenali sebagai The Killing Field itu digali semua. Lubang sedalam lima meter atau 16 kaki itu  mula digali pada tahun 1980, tengkorak-tengkorak dikumpulkan, serpihan tulang-tulang dan gigi, pakaian dan sebagainya dikumpulkan. Bahkan sampai sekarang, pengunjung masih boleh melihat serpihan tulang atau gigi atau rambut mangsa, terutamny abila tiba musim hujan.

Selain golongan intelektual dan terpelajar Kemboja, wanita dan kanak-kanak dan mereka yang dikategorikan penderhaka negara itu, terdapat juga 9 warga asing, kebanyakannya wartawan di bunuh di Choueng Ek. Mereka yang masih hidup dipaksa untuk menanam padi setiap hari supaya penghasilan negara tiga kali lipat untuk kemudian untuk digunakan membeli senjata. Petani-petani yang kurus dan kebuluran hanya diberikan makanan dua mangkuk bubur untuk menggalas perut. Ada yang berjaya melarikan diri tetapi lebih banyak yang menderita selama hampir empat tahun pemerintahan Pol Pot itu.

Choueng Ek adalah salah satu daripada kira-kira 300 padang pembunuhan yang terdapat di seluruh Kampuchea. Kebanyakan orang Kemboja mengingati tempat itu sebagai kenangan pahit mereka. Di sana terdapat nenek moyang, atau orang tua, saudara atau kerabat keluarga mereka yang telah dibunuh dengan cara yang sukar dibayangkan.

Choueng Ek penuh kisah duka. Tempat yang sukar dilupakan tetapi betapa menyakitkan.



No comments: