Sunday, August 19, 2012

Mencari buku di pasar besar Phnom Penh




MENCARI BUKU DI PASAR BESAR PHNOM PENH

LELAKI itu mendekati saya. Di Pasar Besar Phnom Penh, kebanyakan orang datang menawarkan cenderamata, kain atau baju  t-shirt bergambar Angkor Wat yang terkenal itu. Dengan tertatih-tatih beliau mendekati saya sambil membawa sekeranjang buku.
Kaki kirinya cacat.Lelaki itu terpaksa berjalan sambil bertongkat. Katanya, kaki kirinya itu terkena jerangkap samar sewaktu pemerintahan rejim Pol-Pot.

Beliau memperlihatkan kepada saya beberapa buah buku. Buku-buku itu bercerita mengenai kekejaman Khmer Rouge sekitar tahun 1975-79 yang mengakibatkan ratusan ribu rakyat Kemboja mati. Ada buku puisi? Saya bertanya. Ada novel atau kumpulan cerpen? Ternyata beliau tidak menjualnya. Lelaki itu hanya memperniagakan buku-buku yang bercerita mengenai tragedi kemanusiaan yang berlaku di negara yang banyak menggantungkan diri kepada hasil-hasil pertanian terutamanya industri padi.

Ketika Pol-Pot memerintah, petani dipaksa untuk menanam padi setiap hari supaya pengeluaran beras meningkat tiga kali ganda. Dari hasil padi itu, kemudian dikumpulkan untuk membeli senjata. Mereka yang berpendidikan, atau mampu menguasai bahasa asing, berkulit lembut atau bercermin mata dan sebagainya diisytihar sebagai penderhaka. Dengan gelaran penderhaka negara itu mereka kemudian ditahan dan diseksa dalam penjaran dan kemudian orang itu dihantar ke padang-padang pembunuhan di Kemboja. Terdapat kira-kira 300 padang pembunuhan di seluruh negara itu.

Puluhan ribu rakyatnya menderita. Ramai yang berusaha melarikan diri. Ada yang berjaya tetapi lebih ramai yang ditangkap dan dibunuh. Banyak buku-buku yang bercerita mengenai kekejaman dan penderitaan dijual oleh lelaki yang terselamat dari tragedi itu. Saya memang berharap untuk mendapatkan beberapa buah buku mengenai Kampuchea, yang dulu terkenal kerana pemerintahan Putera Norodom Sihanouk, sebelum ia dikuasai oleh Lon Nol, kemudian oleh rejim Khmer Rouge diketuai Pol-Pot yang kemudian dikalahkan oleh tentera Vietnam sebelum mencapai kebebasan dan kemerderkaannya sendiri. Rakyat Kemboja mengalami penderitaan demi penderitaan.

Saya membeli beberapa buah buku.  Antaranya "Children of Cambodia's Killing Fields", yang disunting oleh Kem de Paul dan dikumpulkan oleh Dith Pran, "First They Killed My Father, A Daughter of Cambodia Remembers", "A Cambodian Prison Potrait, One Year in The Khmer Rouge's S21", oleh Vann Nath, "Daughter of The Killing Fields, Asrei's Story."

Sebelum itu, ketika berkunjung ke Angkor Wat, Siem Reap, say sempat membeli buku "The Pol Pot Regim, Race, Power and Genocide Under The Khmaer Rouge 1975-1979". Saya juga sempat membeli buku Ancient Angkor, Enjoy Cambodia by Speaking Khmer dan buku mengenai Istana Raja.

Sepanjang kunjungan ke ibu negara Kemboja itu, saya sempat berkunjung ke pejabat Phnom Penh Evening Post, di kawasan laluan perjalanan ke masjid besar Kampuchea yang masih dalam pembinaan. Untuk merasai denyut nadi warganya, saya sempatkan diri untuk membaca The Phnom Penh Post, The Cambodia Daily, harian berbahasa Inggeris dan mingguan The Southeast Asia Weekly.

Berkunjung ke Phnom Penh, mungkin tidak banyak ertinya jika tidak memiliki buku-buku mengenai salah satu negara Asean itu.

No comments: