Sunday, August 19, 2012

Pengasah terus berusaha bantu nelayan




PENGASAH TERUS BERUSAHA BANTU NELAYAN

NASIB dan masa depan golongan nelayan di negeri ini tidak terlepas daripada peranan yang dimainkan oleh Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH). Melalui persatuan yang dianggotai 15 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh daerah di Sabah mengemukakan isu dan permasalahan berkaitan kepentingan golongan nelayan yang memberikan sumbangan besar terhadap ekonomi negara. Pengasah yang kini dipimpin oleh barisan kepimpinan baru diketuai Jaini Ating berusaha untuk merealisasikan impian untuk menjadikan golongan nelayan sebagai aset utama negara.


JAINI ATING mula menerajui Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) sejak 2012. Beliau juga adalah  Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran sejak 2005. Sebelum itu, anak kelahiran Beluran tahun 1967 ini pernah bertugas sebagai juru ukur, penyelia di ladang kelapa sawit dan kemudian menjadi broker tanah. Tetapi perjuangan dalam persatuan nelayan ternyata memberikan kepuasan dan keberkatan dalam hidupnya.Meskipun menghadapi pelbagai cabaran terkasuk pernah disabotaj sepanjang tempoh kepimpinannya tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk beliau memperjuangkan kepentingan golongan nelayan.

Wartawan UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui beliau untuk berkongsi sedikit cerita mengenai nasib dan masa depan golongan nelayan di negeri ini.Ikuti temubual bersama beliau di salah sebuah restoran di Jesselton Point, beberapa hari lepas.



UB:       Bagaimana mulanya tuan terlibat dalam perjuangan membela nasib kaum nelayan? Boleh ceritakan sedikit?
JA:      Segalanya bermula ketika saya melihat ibu saya berniaga ikan masin, kira-kira 20 tahun yang lalu. Modalnya ketika hanya ada RM20 atau RM30 sahaja. Bila buat pinjaman tidak dapat. Dari sini timbul dalam hati saya, macam mana dapat bantu orang tua ini.Saya terfikir kenapa saya tidak boleh bantu? Kenapa saya tidak cari jalan untuk bantu ibu saya. Tetapi kemudian barulah saya sedari bahawa ramai keluarga kami yang hidup sebagai nelayan atau sekurang-kurangnya ada hubungannya dengan ikan seperti ibu saya yang berniaga ikan masin. Barulah saya tahu keluarga saya banyak yang jadi nelayan. Itulah sebabnya timbul hasrat untuk memperjuangkan nasib mereka.

UB:       Sebelum jadi pemimpin persatuan nelayan, tuan kerja apa?
JA:      Saya pernah bekerja sebagai juru ukur, kemudian selepas itu jadi broker tanah. Pendapatannya banyak tapi saya rasa tidak seperti sekarang, walaupun tidak sebanyak mana namun keberkatannya ada.

UB:       Menurut pandangan tuan, bagaimana kehidupan nelayan sekarang jika dibandingkan dengan dahulu?
JA:      Kalau dilihat dari dulu, kehidupan nelayan  memang ada perubahan. Meskipun masih banyak nelayan yang masih perlukan  bantuan, masih sinonim dengan kemiskinan tetapi taraf hidup nelayan banyak yang sudah berubah. Banyak yang sudah beralih ke darat, menjalankan perniagaan berasaskan ikan. Tidak dinafikan juga ramai yang masih belum mengecapi nikmat kemerdekaan yang sebenar.

UB:       Masih ramai nelayan yang miskin?
JA:      Secara purata, ramai nelayan yang masih jauh daripada menikmati pembangunan negara.Mereka masih jauh ketinggalan.Oleh sebab itu, golongan nelayan mendapat limpahan bantuan daripada kerajaan.Mereka golongan yang terbesar menerima bantuan kerana nelayan adalah aset negara.

UB:       Oh ya, sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang baru, boleh jelaskan sedikit mengenai visi dan misi Pengasah dalam membantu nelayan?
JA:      Visi kita ialah memperkasakan organisasi masyarakat nelayan.Kita mahu menggerakkan organisasi ini secara profesionalisme. Matlamat kita adalah memastikan kesejahteraan ahli. Sebaik mengambil tampuk kepimpinan Pengasah yang baru, kita juga berhasrat untuk memastikan Pengasah sentiasa bersama memberi kerjasama terhadap program-program kerajaan dalam membantu nelayan.Kita mendukung usaha kerajaan negeri demi kepentingan nelayan di negeri ini.

UB:       Saya tertarik dengan hasrat tuan untuk melahirkan nelayan yang maju.Mungkin boleh perincikan?
JA:      Kita dalam Pengasah berhasrat untuk menampilkan 10 nelayan tulin, menjadi pengusaha perikanan.Kita mensasarkan untuk melahirkan 100 orang korporat nelayan dalam tempoh sepuluh tahun.

UB:       Menarik.Tetapi sudah tentu usaha itu harus bermula dari kepimpinan sendiri?
JA:      Begini saja. Seramai 150 orang ahli Ahli Lembaga Pengarah (ALP) untuk 15 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh Sabah yang menjadi golongan profesional yang mencorakkan dasar PNK dan sepuluh orang lagi daripada  peneraju kepimpinan di peringkat Pengasah. Sekiranya ini menjadi kenyataan, 16 pusat pentadbiran PNK termasuk Pengasah boleh mendirikan wisma nelayan sendiri.
Saya ingin melihat ahli nelayan yang bernaung di bawah persatuan, berubah daripada keadaan yang miskin kepada kehidupan yang lebih selesa kerana memiliki aset dan kekal secara inidividu mahupun pelaburan saham ahli di persatuan nelayan. Akhirnya nelayan tidak lagi mengharapkan bantuan dan kebergantungan daripada kerajaan sepenuhnya. Pada waktu itu rakyat daripada golongan nelayan sudah mencapai nikmat kemerdekaan negara.

UB:       Satu hasrat yang murni tetapi bagaimana mencapainya?
JA:      Perkara ini boleh dicapai iaitu jika kita dapat menjalinkan hubungan baik dengan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Selain itu kita mestilah ada keikhlasan,terus berusaha, sentiasa sabar, selain terus berdoa semoga semua yang dirancangkan itu mendapat kejayaan. Kita juga mestilah berani tampil ke hadapan untuk memaju dan membangunkan nelayan dengan kerjasama dan bantuan pakar ekonomi, pakar motivasi dan pakar mengurus kewangan.
Untuk mencapai hasrat memajukan nelayan yang digaris itu itu, kita mestilah tidak mementingkan diri bagi melindungi kepentingan organisasi dengan penuh telus, sentiasa muafakat dan bersatu, merebut peluang cepat bdan tepat disamping mampu bersaing secara sihat dan menjalankan pengurusan pentadbirannyang berkualoti. Semua ini, saya rasa, adalah ramuan terbaik untuk berjaya.

UB:       Sebelum ini tuan ada menyebut mengenai bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada nelayan. Mungkin ramai yang ingin tahu mengenai bantuan itu. Boleh jelaskan sedikit?
JA:      Sebagaimana yang kita tahu, nelayan adalah antara golongan sasar yang banyak mendapat bantuan daripada kerajaan. Antaranya subsidi 1Azam berupa bot dan perahu nelayan, bantuan minyak subsidi, bantuan baik pulih dan bina semula rumah nelayan, BR1M, bantuan bencana alam, Insentif sepuluh sen perkilo hasil tangkapan ikan, dan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 seorang.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan pinjaman dana nelayan iaitu pembelian perahu nelayan RM25,000 ke bawah tanpa faedah, pembelian enjin perahu RM70,000 dengan faedah sebanyak dua peratus dan bot transformasi berkelompok sehingga RM350,000 dengan faedah sebanyak dua peratus. Inilah bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada nelayan.

UB:       Dari segi statistik, berapa jumlah nelayan di Sabah?
JA:      Terdapat 18,849 nelayan bumiputera, 318 kaum cina dan 5,940 nelayan di bawah kategori lain-lain.Ini mengikut perangkaan Jabatan Perikanan, mengikut rekod yang telah dilesenkan.Akan tetapi anggaran menyeluruh nelayan yang tidak didaftarkan atau tidak berlesen dianggarkan 8,000 hongga 10,000 orang.Ini menjadikan jumlah keseluruhannya iaitu 35,107 orang. dari jumlah itu, nelayan yang mendapat bantuan elaun sara hidup nelayan dianggarkan sejumlah RM15,680 orang. Jumlah nelayan sungai air tawar pula dianggarkan sebanyak 2,000 orang.

UB:       Sebenarnya, apa masalah dan kekangan yang dihadapi nelayan selama ini?
JA:      Memang masih banyak masalah yang dihadapi golongan nelayan. antaranya tekanan harga ikan daripada orang tengah yang suka mengaut keuntungan. Itu antara masalah. Selain itu terdapat sebahagian daerah di negeri ini, yang tidak mempunyai jeti borong dan terus dijual ke pasar. Pengguna merasa harga ikan amat mahal kerana tiadak perbezaan harga borong dan harga runcit sedangkan dakwaan masyarakat pengguna mengatakan bahawa kerajaan sudah banyak menyalurkan bantuan kepada nelayan tetapi harga ikan semakin meningkat.
Selain itu kita dapati nelayan-nelayan muda, yang  baru tidak memiliki lesen perikanan dan menyukarkaan lagi aktiviti mereka ke laut kerana merasa ragu bila ada rondaan maritim dan penguasa perikanan selain tidak mendapat bantuan peruntukan daripada kerajaan kerana ada peraturan borang permohonan.
Di pihak persatuan pula, menghadapi masalah mendapatkan tapak tanah untuk tujuan cadangan pembangunan berkaitan dengan aktiviti perikanan terutama jeti pendaratan ikan.
Kita juga mendapati bahawa kerenah birokrasi menyusahkan nelayan berurusan dengan agensi-agensi yang berkaitan.


UB:       Apa harapan tuan sepanjang memimpin ALP Pengasah?
JA:      Kita mengharapkan kerjasama, sokongan dan dokongan semua peringkat kepimpinan mahupun agensi-agensi kerajaan dalam membantu golongan nelayan. Sebagaimana yang kita tahu, lebih 20,000 nelayan di negeri ini adalah penyokong kuat kerajaan, yang sudah mengharapkan kerajaan membela nasib mereka. Kita yakin kerajaan akan terus prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Kita akan berusaha untuk membantu ahli khususnya golongan  nelayan. Namun yang lebih penting ialah kita mesti memastikan persatuan stabil supaya sambutan masyarakat nelayan lebih memberangsangkan.kalau persatuan tidak stabil, bagimana kita boleh bantu ahli.
Oleh sebab itu, kita berharap 15 PNK yang ada di negeri Sabah dapat digerakkan agar mereka dapat mencipta peluang ekonomi yang lebih baik. Perlu ditekankan bahawa hubungan baik terutama sekali dengan kerajaan negeri perlu diperkukuhkan. Jika kita tidak ada hubungan baik, sukar bagi kita dapat ruang dan peluang.
Dalam Pengasah sendiri, saya bersama barisan ALP Pengasah akan memberikan fokus kepada pembangunan yang dirancang.Bersama saya yang diamanahkan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, barisan ALP yang lain ialah Hasan Timbasal (Tawau), Abd.Hakim (Tawau), Abd.Salleh (Semporna)Zainudin (Kunak) Jaafar Alam (Lahad Datu), Ismaul (Sandakan), Haji Samad (Sandakan), Hayati Majat (Tuaran) dan Mohd,Kasim (Kuala Penyu).

Saya sebenarnya tidak mahu melihat nelayan sentiasa tergantung kepada kerajaan..Oleh itu , kita dalam persatuan akan menjadi perunding atau pemudahcara agar nelayan dapat kehidupan yang lebih selesa.  Namun perlu juga mentaliti kita berubah.Kita perlu mentransformasi nelayan tradisional kepada nelayan korporat. Kerajaan sudah menyediakan program bantuan, dana dan sebagainya tetapi tidak ramai nelayan yang berani tampil. Sekarang baru ada 12 kumpulan nelayan yang berani menyahut seruan kerajaan, sedangkan kalau ditengok bantuan RM350,000 satu grup, bot nelayan fibre ukuran 60 X 16 itu sangat baik. Dana transformasi nelayan itu, tidak banyak diambil peluang oleh nelayan bumiputera.barangkali bayaran RM4,500 setiap bulan, ini yang menghalang mereka untuk berubah. Oleh sebab itu, kita akan mencari kaedah untuk membantu nelayan.

No comments: