Friday, August 3, 2012

Satu Maghrib di Stueng Thmey-Siem Reap


SATU MAGHRIB DI STUENG THMEY
-perkampungan Islam terbesar di Siem Reap, Kampuchea

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


TUK TUK yang kami naiki itu berhenti benar-benar di hadapan Masjid Anneak Mah, Kampung Stueng Thmey. Dua puluh minit lagi sebelum waktu maghrib tiba. Kampung itu menarik perhatian kami kerana ia merupakan kampung terbesar masyarakat Islam Campa di Siem Reap, bandaraya kedua besar di Kampuchea.

Pada mulanya kampung itu hanyalah sebuah kawasan lapang dan beberapa pokok tumbuh di sekitarnya. Terdapat kira-kira tujuh buah keluarga ketika ia mula-mula dibuka pada tahun 70-an. Kebanyakan penduduk itu lari dari kekejaman Rejim Khmer Rouge yang memerintah Kampuchea sekitar tahun 1975-1980. Mereka lari meninggalkan kampung asal mereka untuk mencari kehidupan di Siem Reap, kini sebuah bandar pelancongan paling terkenal di negara Indochina itu.

Kampung Stueng Thmey dihuni kira-kira 350 buah keluarga Islam.Kebanyakan mereka bekerja sebagai pemandu teksi, pemandu tuk-tuk, peniaga daging lembu, penternak ayam dan sebagainya. Nuansa islami cepat terasa ketika kami memasuki kampung itu. Kelihatan anak-anak berlari, manakala wanita bertudung sedang menjual buah kelapa.

Kebanyakan mereka berasal dari Campa, kini di selatan Vietnam, kata Omar Abdullah, 48, yang boleh bercakap bahasa Melayu.Beliau menyapa kami sebaik melihat kami turun dari Tuk-Tuk untuk mengambil gambar masjid, dan rumah-rumah berdinding nipah berhadapan masjid.

Omar mengatakan beliau orang Cewi. Beliau orang Jawi, yang menurut pengakuan beliau, nenek moyangnya berasal dari tanah jawi. Tanah Jawi itu adalah istilah mereka untuk kepulauan Nusantara.Wajah wanita-wanitanya biasanya cerah dan berbeza sedikit dengan kulit Melayu Campa yang biasanya sawo matang.

Melalui Omar, kami mengetahui sedikit kisah suka duka masyarakat Islam di kampung itu. Beliau membawa kami kepada sebuah telaga pam yang didermakan oleh Haji Noor Azman Haji Baharin dan Hajah Sarini Haji Kasidin pada September tahun lalu untuk kegunaan beberapa keluarga Islam disitu.

Melihat keadaan masyarakat yang daif itu, beliau menerangkan beberapa keluarga Islam itu sebenarnya menyewa di tanah itu dengan sewa US10 dolar sebulan. Mereka tidak punya tanah, katanya.Mereka hidup bergantung kepada perniagaan runcit dan menyembelih lembu. Katanya, mujur ada rakyat Malaysia yang selalu membantu dan selalu datang ke kampung itu.

Ini hanya sekelumit kisah kehidupan di Stueng Thmey. Sebenarnya mereka yang datang ke Stueng Thmey lebih awal menikmati kehidupan yang agak sederhana. Omar kemudian memperkenalkan kami kepada Imam Naseat Ismael, wakil masyarakat Islam di kampung itu

Orangnya masih muda dan pintar, kata Omar kepada kami dalam bahasa Melayu. Kata Omar, beliau pernah belajar agama di pondok di Yala, selatan Thailand.Tidak lama kemudian Imam Naseat Ismaildatang menyapa kami. Setelah masing-masing memperkenalkan diri, saya mengambil peluang untuk menemubualnya pada petang itu.

Imam Naseat, sebutanya Nasir, menjemput kami untuk berbuka puasa di masjid itu.  Dari sinar wajahnya kami melihat ketulusannya. Katanya, beliau lahir dan membesar di Stueng Thmey setelah ayahnya lari yang sebelum itu menjadi imam di kampung itu, lari dari kekejaman Pol Pot. Hanya sedikit saja yang terselamat dari kekejaman Khmer Rouge.

Kelulusan saya hanya tamat sekolah menengah, kata Imam Naseat yang peramah. Tetapi setelah ayah meninggal, penduduk memilihnya sebagai pengganti.Beliau tak dapat menolaknya. Imam Naseat, mampu berbahasa Inggeris dengan baik. Beliau memberitahu hubungan antara Melayu campa dengan dunia Melayu yang lain.Kira-kira 30 peratus perkataan campa ada dalam bahasa Melayu, katanya.

Kampung Stueng Thmey adalah salah satu daripada 30 kampung Islam di Seam Reap. "Tetapi ini kampung yang terbesar," katanya.kampung yang lain hanya mempunyai penduduk sekitar 10 keluarga hingga 1,000 orang penduduk.

Beginilah suasana di kampung ini setiap kali berbuka puasa, katanya. Suasananya meriah.Semua orang dewasa lelaki dan kanak-kanak berbuka di dewan sebelah masjid. Jika ada tamu, mereka selalu mengajak mereka berbuka puasa bersama-sama. Kebetulan setiap ramadan kebanyakan restoran Muslim di Siem Reap tidak beroperasi. Pilihan hanya jatuh kepada KFC yang mempunyai sijil halal dari Majlis Agama Islam Cambodia.

Masjid Anneak Mah ini dibuka oleh ayah saya, kata Imam Naseat sambil menunjukkan gambar-gambar berkaitan masjid itu. Dulu semua tanah di kawasan itu berdekatan masjid itu adalah milik ayahnya tetapi sekarang ia telah diwakafkan.

"Kami ada jamuan berbuka puasa sepanjang Ramadan," katanya sambil menambah, semua masyarakat yang ingin turut bersama dipelawa untuk datang merasai nikmat berpuasa.  "We dont mind where there are from, " kata Imam Naseat.

"Kali ini kami menyediakan sup ikan," katanya.

"Ada juga tetamu yang malu-malu ketika dijemput berbuka puasa.Tetapi saya ingatkan mereka, kita semua adalah bersaudara,' katanya. Suasana berbuka puasa di Stueng Thmey agak berbeza kerana keikhlasan jemaah yang tulus. Semuanya gembira menyambut kehadiran kami.Anak-anak juga memenuhi ruang dewan makan itu untuk sama-sama berbuka.

Kami memberitahu Imam Naseat bahawa kami tidak dapat menyertai solat tarawih kerana ada keperluan lain. Selepas solat maghrib kami meminta izin untuk beredar. Ketika ditanya mengenai apakah keperluan utama masyarakat yang minta disampaikan kepada pembaca, Imam Naseat menyatakan mengenai keperluan maasyarakat Islam untuk mendapatkan seorang atau dua orang guru agama.

"Tetapi yang lebih penting ialah sekiranya ada pihak yang sudi menderma van," katanya. Van itu diperlukan untuk mengangkut dan menghantar anak-anak Islam dari kampung-kampung lain untuk ke sekolah.

Saya akan sampaikan kepada masyarakat Islam di sana, kata saya kepada Imam Naseat sebelum kami menyalaminya untuk meminta izin balik ke Siem Reap. Dalam perjalanan itu, saya terfikir betapa masyarakat Islam di Kampuchea memerlukan bantuan dari saudara seagama mereka di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Selain Stueng Thmey, terdapat banyak kampung masyarakat Islam yang lain di seluruh Kampuchea memerlukan bantuan untuk memibina madrasah, masjid dan keperluan asas yang lain.

Pengalaman berbuka puasa dan berjemaah maghrib di Stueng Thmey meninggalkan banyak kenangan.Betapa mereka mementingkan persaudaraan antara sesama Islam, sesama manusia. Malam mulai terasa ketika kami menaiki tuk-tuk meninggalkan Stueng Thmey.



No comments: