Khamis, 27 September 2012

Penyair Jair Sulai bawa luka Bengkoka dalam puisi

Tags

JAIR BAWA LUKA BENGKOKA DALAM PUISI

Pagi yang bergerimis itu, Jair Sulai berdiri di balik jendela menghadap kejauhan dari pejabat daerah Pitas.
“Saya merenung jauh. Tiba-tiba idea saya timbul.Mulanya saya berdiri di sana bukan untuk tujuan mencipta sajak," kata penyair dari Malubang, Pitas ini mengenai puisinya 'Bengkoka'.
Puisi Bengkoka adalah salah satu puisi yang terbaik dan terpilih memenangi Hadiah Sastera Sabah 2010/2011.
Apa yang saudara lihat ketika merenung jauh itu?
Saya melihat daerah saya, Bengkoka seperti anak kecil yang menangis kehausan susu, katanya. "Saya lihat dengan mata batin saya, bukan dengan mata biasa, itu makanya saya memulakan puisi saya dengan kata `kuraut mata batin di hadapanmu, Bengkoka'.
Saya melihat bahawa meski warganya sudah melupakan dengkurannya, rupanya mereka berduka kerana masih sunyi dari segi pembangunan.
"Itu yang saya rasakan. Kedukaan iaitu kemiskinan masih dirasai warganya, dan belum dapat dibasmi meskipun  `langit nusa telah sekian musim, ditebari sinar  cemerlang'.

Di Bengkoka, saya melihat langitnya masih temaram. Itu sebabnya, saya bertanya, sebenarnya saya mengharapkan akan ada pahlawan yang datang membela nasib Bengkoka.
Pahlawan yang  diharapkan tampil itu ialah seorang pahlawan yang `berkeris keikhlasan, berminda mutiara, berlidah putih, berjiwa waja, berhati warga,begitu berani mencantas akar, suram yang melingkari Bengkoka.
Kenapa saya katakan berkeris keikhlasan? Kerana kita mahu pahlawan yang tampil itu ikhlas dalam perjuangannya, kita mahu dia seorang yang berminda mutiaea, berlidah putih, maksudnya pahlawan yang ditunggu, bukan seorang pembohong atau penipu, berjiwa waja, ertinya dia pahlawan yang cekal, yang tabah dan berhati warga, ertinya pahlawan itu adalah seorang yang berjiwa rakyat, seorang yang prihatin atau dalam bahasa kita, seorang yang pemeduli.

Pahlawan itu kita harapkan dapat membawa rakyat ke dalam cahaya. Itu harapan saya, dalam puisi itu, kata Jair, yang telah menulis sejak 1987. Anak kedua dari tujuh adik beradik, sebuah keluarga nelayan di Malubang, sebuah desa yang terkenal bukan saja kerana keterpencilannya, tetapi juga kerana keindahan dan legenda yang dimilikinya. Di Malubang, ada legenda batu Si pirak, sama seperti si Tanggang. Di kampung, yang hanya beberapa tahun kebelakangan ini boleh dihubungi melalui jalan darat adalah kampung yang terletak dihujung tanduk dalam peta negeri Sabah. kalau anda melihat peta, ada dua tanduk, yang satu tanjung simpang Mengayau dan yang satu lagi, di situlah terletaknhya Kampung Malubang.

Penyair yang lahir 3 Ogos 1968  ini mendapat pendidikan awalnya di kampungnya di SRK Malubang sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Abdul Rahim Kudat, sehingga tingkatan lima dalam tahun 1986.

Pada tahun 1987, dia mula menulis sajak dan menyuarakan cerita suka duka, keperitan, kepedihan dan penderitaan yang dialami masyarakat, bukan saja di kampungnya tetapi apa yang diamatinya ketika hidup bersama warga di kampungnya. Jair sudah menghasilkan lebih 200 puisi, dan mungkin beliau adalah personaliti paling terkenal di kampungnya.Karya-karyanya dinikmati bukan saja di Sabah malah di seluruh negara dan diperkatakan oleh komuniti sastera di nusantara.

Karya-karyanya termuat dalam puluhan antologi.Puisinya pernah dimuatkan dalam Serindit Pagi, Nyanyi dari Desa dan pelbagai antologi lagi. Antologi persendiriannya `Sungai Hayat' diterbitkan oleh DBP tersebar di perpustakaan-perpustakaan malah menjadi salah satu koleksi  National Library of Australia.

Sebagai penyair, senjata saya hanya sebatang pena dan puisi. Selebihnya saya berdoa semoga suatu ketika Bengkoka menjadi sebuah `daerah kencana' yang `unggul di persada dunia'.

Sebenarnya sajak `Bengkoka' yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Oktober 2011 , boleh melambangkan bukan saja Bengkoka malah negeri ini. Bengkoka hanya satu simbol daerah yang tercorot dari pembangunan. Benar, bahawa memang sudah ramai yang kaya, tetapi Bengkoka masih daerah yang termiskin di Malaysia. Itu sebabnya saya katakan, diharapkan tampil seorang pahlawan, iaitu bukan pahlawan yang tidak peduli kepada daerahnya, kepada nasib rakyatnya, bukan pahlawan yang asyik berebut jawatan untuk pangkat dan kedudukan tetapi pahlawan yang `pemeduli' pahlawan yang prihatin kepada nasib bangsanya.

Mungkin ada orang senang hati, Bengkoka dilabel daerah termiskin di Malaysia tapi penyair tidak.Mereka merasa luka duka sengsara yang dialami warganya, kata Jair.

Sebab itu, timbul juga keinginan saya untuk membaca puisi itu di depan hadirin pada  malam itu. Kebetulan ada YB, tapi saya tiada peluang untuk membacakannya. saya mahu membaca supaya orang semua mendengar suara rintihan rakyat di luar bandar dan pedalaman yang masih terbelenggu dengan kemiskinan.

Ketika berdiri di tepi jendela itu saya  nampak Bengkoka dengan mata batin saya. Sehingga lahirnya puisi `Bengkoka', kata Jair sambil menceritakan proses penciptaan puisinya yang menarik itu. "Saya ingat lagi, puisi itu dihasilkan pada 3 Januari tahun lalu. Tiba-tiba idea saya timbul, saya merasa daerah saya masih kesunyian, masih kesepian," kata Jair. Saya menyatakan bahawa walau bagai manapun, saya tetap bersama Bengkoka, kejap berdiri sebagai penyair, lanjutnya. Penyair yang hanya mempunyai pena dan puisi dalam menyatakan warna nasib Bengkoka supaya disoroti dengan akal budi.

Apakah saudara gembira diumumkan sebagai salah seorang pemenang? Malam sebelumnya, Jair yang berbaju batik hijau kuning  menerima Hadiah Sastera Sabah 2010/2011 daripada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin. Bersama-sama pemenang lain, mereka diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

"Saya memang gembira. Saya dapat ketengahkan apa yang saya maksudkan," kata Jair. Saya merasa pemikiran saya dihargai, itu yang menimbulkan perasaan gembira, katanya.











Rabu, 26 September 2012

Catatan sekitar Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2010/2011

Tags
Setengah jam sebelum acara bermula, pemenang-pemenang Hadiah Sastera Sabah 2010/2011 sudah berbaris di depan tangga. Malam itu mereka berbaju batik, sementara yang wanita berbaju kurung. Hampir semuanya tersenyum ceria menantikan detik-detik istimewa, yang pastinya jadi kenangan dalam kehidupan mereka sebagai sasterawan di negeri ini.
Sebentar lagi, majlis penyampaian hadiah akan dilangsungkan sebagai bentuk pengiktirafan kepada karya-karya yang mereka hasilkan.Sebelum itu, mereka berbaris sambil menunggu ketibaan tetamu kehormat pada malam bersejarah itu.
Empat kerusi di depan mereka masih kosong.
Kerusi itu dikhaskan untuk Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan isterinya, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk RM Jasni. Dua lagi kerusi, sebelah kanan akan diduduki oleh Timbalan Ketua Pengarah DBP Malaysia, Kamarulzaman Shaharudin manakala sebelah kiri akan ditempati Pengarah DBP Sabah, Haji Jamaluddin Mohd Sulong. 
"Semua 17 pemenang HSS hadir pada malam ini kecuali dua orang, Lokman Abdul Samad kerana ada tugas rasmi di WP Labuan manakala Julia Unggai masih di Amerika Syarikat," kata Rusdi Awang, salah seorang pegawai kanan DBP Sabah yang bertungkus lumus menjayakan majlis itu.
"Sebaik TYT tiba, beliau akan terus bergambar pemenang Hadiah Sastera, selepas itu barulah masuk ke dalam dewan untuk acara selanjutnya," katanya.
Tidak lama kemudian, kedengaran siren berbunyi. TYT tiba dan bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan DBP sementara isterinya menerima jambangan bunga.
Selepas wartawan dan jurugambar mengabadikan gambar bersejarah itu, TYT diiringi masuk ke dewan utama sebelum acara dimulakan. Tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Haji Ismail, Pengerusi SEDCO, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan, Dekan Sekolah Sains Sosial UMS, Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman, dan kenamaan lain sudah pun berada dalam dewan bersama penulis, dan aktivis aktivis sastera yang datang dari jauh dan dekat.
Pelaksanaan majlis ini jelas memperlihatkan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam meneruskan tradisi menghargai peranan dan sumbangan besar golongan sasterawan terhadap pembangunan minda dan sikap masyarakat, kata Pengarah DBP Sabah, Haji Jamaluddin Mohd.Sulong.
Beliau menyifatkan keberangkatan TYT Tun besar maknanya terhadap usaha-usaha yang dijalankan bagi menempatkan sastera dan sasterawan di kedudukan yang sewajarnya.

Kenyataan menunjukkan bahawa bangsa yang maju sering menempatkan kehidupan budaya sebagai bahagian penting dalam kehidupan bangsa itu, katanya. Sasterawan dihargai dan karya mereka dibaca, diterbitkan dari semasa ke semasa, dan menjadi sumbder acuan budaya bangsanya.

Di negara kita, kata Haji Jamalauddin, meskipun pelbagai bentuk anugerah telah diberikan sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan penulis atau sasterawan ini, kita belum benar-benar menempatkan sastera di kedudukan yang penting dalam kehidupan kita.

Sastera belum diyakini secara bersungguh-sungguh sebagai sarana yang cukup penting untuk pembinaan keperibadian bangsa.Oleh itu, DBP Sabah akan terus berperanan dalam membina minda, ilmu dan budaya bangsa dengan menyajikan karya-karya sastera yang memungkinkan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan, ketuhanan, persefahaman dan sebagainya.

Tenaga dan pemikiran sarjana dan sasterawan akan terus digembleng untuk memenuhi tanggungjawab membina  peradaban bangsa melalui penghasilan karya bermutu yang mempunyai aspirasi seiring dengan harapan masyarakat.

Hadiah Sastera Sabah ialah hadiah berbentuk dwitahunan yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hadiah kali ini adalah untuk karya terbaik yang terbit sepanjang tahun 2010/2011.

Kali ini, hadiah bagi setiap karya yang terpilih adalah RM3,000 bagi genre novel, RM1,000 bagi genre Esei/Kritikan, RM1,000 bagi genre cerpen dan RM750 bagi genre puisi.

Penulis yang paling bertuah pada malam itu ialah Ruhaini Matdarin yang menang tiga kategori sekaligus. Pemegang ijazah sarjana muda ekonomi kewangan ini nmenang genre Novel apabila novelnya Nisan terbitan Penerbitan Melur mengalahkan enam novel lain termasuk dua karyanya sendiri.Ruhaini juga menang dalam genre cerpen melalui cerpen Emas Hitam yang tersiar dalam Antologi Emas Hitam dan beliau juga menang genre puisi melalui puisi Sesedih Aku yang tersiar dalam wadah Jun 2011.Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,750 dan sijil penghargaan kerana kemenangan yang mecatat sejarah tersendiri bagi diriny dan bagi dunia sastera di Sabah.

Penilaian itu dilakukan terhadap karya-karya yang diterbitkan melalui media cetak sepanjang tahun 2010/2011.Hanya karya sastera yang tersiar dalam akhbar,majalah, buletin, buku cenderamata, antologi, atau diterbitkan dalam bentuk buku atau makalah di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam dipertimbangkan untuk dinilai. Karya yang dipertimbangkan untuk HSS hendaklah karya yang ditulis oleh penulis Sabah iaitu rakyat Sabah yang berkarya di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan labuan, Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam atau oleh penulis yang telah bermastautin di Sabah selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Sebanyak 331  cerpen diteliti untuk HSS bagi tahun penilaian 2010/2011.Panel penilai yang terdiri daripada Dr Mohd.Hanafi Ibrahim, Hajah Siti Aisah Murad, Syed Mohd.Zakir Syed Othman dan Rahimidin Zahari mencatatkan bahawa ciri-ciri umum yang diberikan perhatian sewaktu penilaian ialah cerpen tersebut menyebabkan pembaca berfikir kerana ada ilmu pengetahuan (baharu) bersama persembahannya.Pembaca tidak terus melupakan apa-apa yang dibaca kerana cerpen tersebut berjaya dihayati selain memberikan ilmu baharu.Kedua, selaindaripada memanfaatkan unsur ketegangan, cerpen dapat menguja dan memikat pembaca untuk mengikuti cerpen tersebut hingga akhirnya.Ketiga, memelihara nilai-nilai murni, walaupun berhasrat dijadikan sebagai sindiran, namun disampaikan secara wajar dan berimbang yang mempesonakan pembaca.Keempat, mengekalkan nilai tradisi yang kian tersisih akibat pengaruh luar yang mementingkan kebendaan daripada pengisian rohani dan adab susila dan Kelima, isu globalisasi juga diambil kira beserta dengan suntikan nilai-nilai positif. Justeru, latar sosiologi dan antropologi masa kini yang digunakan sebagai latar mampu memperlihatkan kepekaan pengarang terhadap perkembangan isu semasa.
Kesam keindahan penggunaan bahasa yang memikat melalui diksi dan frasa yang segar serta indah sebagai wahana  pengolahan naratif juga menjadi kriteria penting penilaian sesebuah karya sastera.

Sebanyak 10 cerpen terpilih untuk memenangi hadiah berdasarkan lima ciri yang disebutkan iaitu Ng Kafak karya A.Karim Kadir yang tersiar dalam Dewan Sastera, April 2010, Kekasih karya Azmah Nordin (Dewan Sastera September 2010), Internet karya Lembayung Senja (Harian Ekspress 24 April 2011, Tanah Kubur karya Juri Durabi (Wadah, Jun 2011)Nyiur Gading Tinggi Menjulang karya Yatim Ahmad (New Sabah Times, 22 Mei 2011), Embun di Tapak Tangan karya Hasyuda Abadi (Utusan Borneo 29 Ogos 2011), Sepasang Mata Biru Sepucuk Pistol karya Julia Unggai (Utusan Borneo 11 April 2010), Resah si Kembang Kolam karya Ismi Nailofar (Wadah Jun 2011), Emas Hitam karya Ruhaini Matdarin (Antologi Emas Hitam (Iris Publishing & Distributor 2010) dan Milik Yang Hilang karya Amini Gawis (Utusan Borneo, 30 Januari 2010).

Bagi genre puisi, lebih 900 puisi yang tersiar di media massa telah dibaca dan diteliti oleh penilai. Sebanyak 10 buah puisi terbaik telah dipilih untuk menang HSS 2010/2011 iaitu puisi Hidup karya A.Karim Kadir (Dewan Sastera, April 2010), Sepetang Mengenangmu karya Jasni Matlani (Wadah, Disember 2010), Sungai Pegalan karya Amini gawis (Utusan Borneo, 6 Februari 2011) Perlimbahan Cinta karya Hasyuda Abadi (Sutera Kunjungan, 2010), Tanah Penungguan karya Ramli AR (Sutera Kunjungan, 2010), Di Kaki Hujan karya Pena Alam (Utusan Borneo, 13 Februari 2011), Bengkoka karya Jair Sulai (Dewan Sastera Oktober 2011), Sesedih Aku karya Ruhaini Matdarin (Wadah Jun 2011), Redup karya Juri Durabi (Harian Ekspress,28 mac 2010 dan Aku Ingin Menatap Tidurmu karya Norawi Haji Kata (Dewan Sastera, Oktober 2011).

Sementara itu, hanya dua daripada 40 esei kritikan yang diterima, layak menerima HSS 2010/2011. Esei yang terpilih ialah esei bertajuk Yang Indah dan Bermanfaat dalam Sastera Rakyat oleh Lokman Abd.Samad dan Sejarah Datuk Jamdin Buyong dan Perjuangannya Menerusi Kumpulan Puisi Ada dalam Tiada oleh Raymond Majumah.

Di antara petikan gambus dan lagu-lagu tradisi Melayu oleh kumpulan gambus dari Bongawan, penyair Norawi Haji Kata tampil membacakan puisinya `Aku ingin menatap tidurmu', selang beberapa ketika oleh A.Karim Kadir yang membacakan cerpen Ng Kafak mengenai respon masyarakat Bonggi terhadap pembangunan di pulau terbesar di Sabah itu. Karim menggunakan kreativitinya untuk mengungkapkan isu kepercayaan dan adat, pertembungan antara pemilihan nilai moden dan tradisi iaitu antara keupayaan untuk mempertahankan adat atau memperjudikannya dalam arus kemajuan.

Kemudian  Ruhaini Matdarin tampil  membacakan fragmen novelnya `Nisan'  .Menurut laporan penilai, Nisan mengujarkan subjek tentang tujuan hidup dan makna kewujudan insan yang berteraskan hubungan secara menegak iaitu pengabdian insan dengan penciptanya serta hubungan secara mendatar antara insan sesama insan dengan alam lingkungannya.

Selepas menikmati jamuan yang disediakan, penulis seorang demi seorang dijemput naik ke pentas untuk menerima hadiah  wang tunai dan sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh TYT Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin.

Pemenang sempat mengabadikan gambar bersama TYT setiap kali mereka dijemput menerima hadiah. Sungguh satu kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana sempat bersalaman dengan TYT, yang secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan yang diberikan oleh penulis di negeri ini.

Kehadiran golongan sasterawan juga amat membanggakan pada malam itu. Bahkan majlis malam itu menjadi wadah pertemuan penulis yang lama tidak berjumpa. Misalnya, Hanafiah Haji Zulkifly dan Ramlah Rashid  misalnya tidak pernah berjumpa lagi selepas mereka menyertai bengkel penulisan tahun 1988. Selepas 23 tahun barulah mereka bersua dalam acara sastera.Sehingga timbul cadangan untuk reunion peserta yang mengikuti berkenaan.Begitu juga novelis Mahmud Eddie, yang lama tak hadir dalam acara sastera, walaupun masih tetap menulis. Malah novelnya Wangian Kasih terbitan Alaf 21 Sdn.Bhd turut dinilai dalam HSS 2010/2011.

Tokoh-tokoh sastera di Sabah juga turut hadir pada malam itu. Antaranya, Datuk Hajah Noraini Haji Salleh, tokoh penulis wanita yang menggunakan nama Suhani S, Laliman Ahmad, penulis budayawan dan pengamat teater yang tidak asing lagi di Sabah, wartawan dan penulis Emin Madi, yang juga novelis yang tidak asing lagi,Awang Mohdzar,  Ailin Nor, Jaafar Abd.Wahid, Mat Congo, penggiat seni, Rashid Deman, seorang aktivis  teater, Mastari Kanjabun, aktivis teater dari Kudat, Prof Mat Zin Mat Kib, penulis dan pensyarah di UiTM, Jasni Yakub Setiausaha Satu IPS, Mohd.Shukri Majalin, penulis yang kini bertugas di FAMA, Hashim Haji Ibrahim, Ali Amat Anas, penyair Ustaz Ismail Haji Duah dan Noor Aisyah Maidin, deklamator Dulamid Rudin, penulis Mabulmaddin Shaiddin, penulis-penulis wanita seperti Ony Latifah Osman, Sahara Jais,Katherina Tati, Welin Ebal dan ramai lagi.

Penulis-penulis dari Perwila juga hadir, antaranya Cikgu Haji Othman Mahali, ANS Suili Bakar, dan banyak lagi nama lain yang tak sempat dicatatkan.

Meski demikian, ramai juga penulis yang tak dapat menghadirkan diri. Ada yang dijemput tapi tak dapat datang, ada pula yang tidak mempunyai alamat terkini tetapi ada juga yang mungkin terlepas pandang.

Apapun, majlis penyampaian hadiah sastera paling berprestij di Sabah itu berlangsung dengan jayanya. Penulis-penulis, tetamu tetamu jemputan telah berangkat pulang ke tempat masing-masing.

Entah apa kiranya yang bermain dalam minda mereka untuk dituangkan dalam karya-karya sastera, yang pada gilirannya akan nilai pada edisi HSS 2012/2013?

Ruhaini berazam untuk menulis karya yang lebih baik lagi. Jair mungkin akan terus merakam pengamatannya terhadap kehidupan masyarakat di daerahnya, Hasyuda dan Jasni barangkali akan terus memastikan nama mereka terus tersenarai  sebagai pemenang sejak HSS itu, sejak ianya  diperkenalkan dan mungkin juga ramai lagi penulis yang sedang menyimpan geram dan impian mereka agar karya mereka juga mendapat pengiktirafan.Penulis-penulis dari pantai timur juga pastinya mahu nama mereka juga turut terpilih untuk mendapat hadiah paling berprestij itu.

Penulis-penulis telah pulang meninggalkan bangku-bangku kosong yang bakal terisi dua tahun lagi. Di luar, hujan gerimis telah berhenti.












Isnin, 24 September 2012

Catatan 23 September-pagi yang dimulakan dengan Hujan

Tags
Pagi bermula dengan hujan dan berakhir juga dengan hujan.
Saya terbangun agak lambat.Walaupun penggera sudah dibunyikan, saya tertidur nyenyak, mungkin kerana terbangun jam 3.30 pagi ketika hujan turun dengan lebatnya. Mungkin kerana itu, saya tak perasan Rashid, sahabat saya dari Utusan Malaysia telah lima kali missed call.
Saya telah berjanji untuk menemankannya ke Tamu Kota Belud untuk mencari ikan liking, sejenis ikan masin yang popular di Kota Belud. Ikan Liking yang baik dibuat dari ikan talang, yang mungkin hanya orang Iranun di Kota Belud yang mahir membuatnya.
Hujan turun sepanjang jalan.Kami sempat singgah di Putrajaya Telipok untuk Sarapan.Beli nasi lemak di gerai orang Kelantan.Saya bertanya, di mana di Kelantan, kata makcik itu, mereka dari Kota Bharu.Saya memberitahu saya pernah ke sana, dan pernah juga ke Sungai Golok.
Sungai Golok?
Makcik itu agak tertarik. Saya katakan bahawa saya juga sampai ke Narathiwas. Sampai ke Bachok Narathiwat.
Bachok terletak di Kelantan, katanya.
Ada juga di Narathiwat, saya menjelaskan.Rupanya makcik itu tidak tahu kewujudan bandar Bacho di Narathiwat.
Bahkan Kota Baru juga ada di Narathiwat, saya memberitahunya. Walaupun kemudian saya menyedari bahawa Kota Baru itu sebenarnya terletak di Wilayah Yala.Kami sempat minum di sebuah restoran di tepi jalan dalam  perjalanan ke Pattani.
Di Anjung Rasa itu, saya terjumpa saudara Rusdi, pegawai DBP Sabah yang dedikasi, sedang membeli kuih. Di meja yang lain, Sharif Asmawan sedang duduk sambil menunggu Juarah.Topik cerita masih berkisah mengenai kesesakan sehingga tujuh jam, ketika rumah terbuka USBO dan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia di Rampayan Laut.
TYT dengarnya terpaksa berjalan kaki ke rumah terbuka dan pulang naik Heli. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada kira-kira tiga jam disana walaupun pada mulanya dijadual hanya satu jam.Datin Rosmah sempat berduet dengan Ramli Sarip menyanyikan lagu. Juga yang menarik ialah mengenai Usunan, yang menggambarkan ketinggian budaya Iranun dan bajau di Kota Belud.
Saya sempat menyampaikan rungutan rakan-rakan media agar disediakan Bilik Media untuk membolehkan media menghantar berita dalam acara sebesar itu.
Kehadiran tidak dijangka, kata Amai Jarinah, panggilan lain untuk Juarah.
Sesampainya di Kota Belud, Azmi Tarikim rupanya dah membeli ikan liking itu. Rashid membeli sedikit lagi sebagai tambahan sebelumnkami makan sup di gerai di tamu itu. Dah lama tak makan sup atau soto di sana. Gerai itu juga menggambarkan kemajmukan masyarakat KB. Selang beberapa meter gerai bukan Islam. Cuma kurangnya penguatkuasaan, menyebabkan ada anjing liar berkeliaran, yang sepatutnya dihalang memasuki kawasan gerai itu.

2. Tak lama kemudian, kami bergegas balik ke KK. Saya telah berjanji dengan Dr.James Alin, rakan dari UMS untuk melihat pameran lukisan di Jesselton Point. Isterinya Naomi Kato, pengajar di PPIB, yang melukis sejak 2010, melukis mengenai tenggiling. Naomi yang berasal dari Yokohama, Jepun berkata beliau melukis tenggiling, untuk membangkitkan kesedaran orang ramai supaya tidak menangkap tenggiling, haiwan yang hampir pupus itu. Kita tak dapat menghalang orang makan tenggiling, katanya tetapi kita boleh meningkatkan kesedaran orang ramai mengenainya.Iya, melawan melalui lukisan.
Di sana juga saya sempat berjumpa dengan Mastini dan Daiman Bona, juga Halim Botak yang popular dengan karikatur.

3. Syukurlah kerana Abang Onn Ariffin datang menemui kami di Restoran Nasi Padang itu. Selepas bercerita cerita mengenai pengalamannya, dan juga berkongsi cerita mengenai masa depan Nelayan dari KB ke Kimanis, yang terpaksa menghadapi perubahan, beliau menghantar saya ke pejabat. Sebenarnya ada satu berita yang dihantarnya mengenai perlunya bekas pemimpin USNO diajak turun padang oleh UMNO, supaya `masa yang panjang tidak menjadi singkat', katanya. Banyak lagi istilah dan bahasa yang menarik digunakannya bagi menggambarkan senario politik Sabah.

4. Ustaz Japlin yang baru sampai dari Lahad Datu mengajak kami makan di gerai ikan rebus, tempat yang menjadi kegemaran kami. Beliau memesan lokan rebun, ikan rebus dan kangkung masak belacan. Kami bertiga, Ustaz Japlin, saya dan Amai Azlan.Sebenarnya berempat tapi Asam belum sampai.Ketika sedang menikmati makanan itu hujan turun disertai angin. Kuat sekali. Pelanggan-pelanggan gerai terpaksa berdiri dan kemudian terpaksa membatalkan niat makan kerana angin disertai hjan itu.Bahkan khemah hampir jatuh manakala kerusi meja tidak teratur lagi. Sementara itu, kami terus saja makan. Baju basah tapi sudah terlanjur makan. Nasib baiklah, ada lapis meja yang kami jadikan selimut agar kami tak basah.
Tetapi ini kenangan yang sukar dilupakan.Mungkin tak akan terjadi lagi, peristiwa seperti ini.Sekadar untuk menyedapkan hati. Rupanya Asam hanya duduk dalam kereta kerana melihat tak ada orang yang sanggup makan dalam keadaan ribut seperti itu, dalam keadaan kerusi, pinggan, lapis meja diterbangkan angin.

5. Selepas makan itu, kami berpindah ke restoran Azlina Sulawesi, dulunya Restoran Banu, yang terletak di Jalan Gaya.Antara tajuk cerita kami ialah pengembaraan Iranun tahun 1787 ke Tanjung Pinang, kisah Datu Mama ketika bertemu seorang Eropah bernama Francis dan tentang ekspedisi Iranun yang tak pulang-pulang ke Tempasuk seterusnya menjadi Orang Lingga.

6. Hujan masih turun, tetapi selepas MU menewaskan Liverpool 2-1, kami angkat beg lalu pulang.

Sabtu, 22 September 2012

percakapan dengan Haji Jalil mengenai pokok kelapa di Tanjung Lipat, Teluk Likas

Tags
Saya sempat ikut menanam pokok kelapa ini, kata Haji Jalil sambil jari tangannya menunjuk ke arah barisan pohon kelapa yang di sepanjang Teluk Likas.
Ketika itu, Haji Jalil bekerja di rumah Datuk Harris (Tan Sri Harris Mohd.Salleh) selama kira-kira dua tahun. Malahan sebagai tukang, dia ikut membina rumah Razak dan Razali, anak Datuk Harris malah rumah Datuk Harris yang pernah terbakar ketika itu.
Dia ambil upah RM28 sehari, kerja sama taukeh yang dapat kontrak menanam pokok kelapa itu. Waktu itu zaman Berjaya, katanya. Sebelum bekerja di rumah Datuk Harris, Haji Jalil bekerja di Kudat.
Dia sempat menceritakan perasaan takutnya pada dua ekor anjing majikannya. Kalau anjing itu dilepaskan dia tak mahu turun, Anjing itu, katanya dijaga oleh seorang `om' sebutan bagi orang timor.Dia ingat anjing itu diletakkan dalam kandang yang berhawa dingin. Mungkin satu-satunya anjing yang tinggal dalam kandang beraircond, katanya kepada saya.

Dia menceritakan anak-anak pokok kelapa itu disimpan di rumah Datuk Harris. Pohonan kelapa yang ditanam berjajar itu menambahkan lagi kecantikan panorama Tanjung Lipat.Kadang-kadamg orang yang berkelah disana, memanjat pokok itu untuk mengambil buahnya.Apatahlagi kalau kehausan.
Saya tak sempat bertanya Haji Jalil berapa lama masa yang diperlukan untuk menanam pokok kelapa di sepanjang Teluk Likas itu. Kenderaan yang kami tumpangi berhenti, dan saya turun di depan Wisma Merdeka.

Bermula dari Sebuah Sungai, menyingkap sejarah perkembangan Islam di Putatan

Tags



BERMULA DARI SEBUAH SUNGAI;MENYINGKAP SEJARAH PERKEMBANGAN ISLAM DI  PUTATAN


Entah kenapa tiba-tiba saya ingat sungai itu. Sungai yang mungkin kini telah tiada. Padahal, menurut sejarah di sungai inilah, peradaban Islam pernah mudik di kualanya melalui tokoh-tokoh pendakwah, peniaga dan pengembara.

"Sungai yang mengalir dari Moyog melalui Kampung Tarawi hinggalah ke muara sungainya di Tanjung Dumpil, ianya disebut Sungai Putatan," demikian pernah dicatatkan oleh seorang tokoh pendakwah yang telah berpulang, Datuk Haji Awang Sahari Haji Abdul Latiff.

Sungai Putatan itu dahulunya memang terkenal sebagai pelabuhan dan persinggahan kapal-kapal, tulisnya dalam makalah "Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan Ulama di Daerah Putatan". Menurutnya, kedudukan Putatan sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan tongkang-tongkang dan perahu layar yang datangnya dari berbagai tempat di seluruh Nusantara seperti Kepulauan Sulu, Kalimantan, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Brunei, Singapura dan lain-lain.

Menurut Allahyarham, keistimewaan Putatan satu ketika dahulu bukan semata-mata terletak pada kehijauan sawah padi atau pada anak anak bukit yang dikatakan indah itu. Ia bukan juga terletak pada banyaknya pokok-pokok kayu putat sehingga tempat itu mendapat namanya Putatan. Keistimewaan Putatan sebenarnya terletak pada kedudukannya yang amat strategik sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan tongkang-tongkang dan perahu layar.

Ada di antara pengembara dan peniaga itu tertarik dengan gadis-gadis tempatan. Akhirnya mereka tidak pulang lagi ke tempat asal mereka sebaliknya bermastautin di daerah Putatan. Mereka menetap di Putan sejak turun temurun hingga ke hari ini.

"Di antara peniaga yang datang pada abad ke-19 itu, terdapat mereka yang memiliki sedikit sebanyak ilmu asas-asas agama seperti mengaji muqaddam al-Quran, kitab perukunan, berzanji dan apa saja ilmu agama yang ada pada mereka lalu diperturunkan pada orang-orang tempatan," kata Allayharham yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah 2003 ini.

Menurut beliau, para peniaga dan pengembara ini menjadikan diri mereka sebagai aktivis agama dengan mengajar atau menjadi guru sukarela dan tidak berdaftar di rumah masing-masing, di masjid-masjid dan juga secara sukarela bergilir-gilir menjadi imam masyarakat dan imam rawatib di masjid.

Antara yang disebut-sebut sebagai aktivis agama secara sukarela itu ialah Imam Haji Ismail Nakhoda Ibrahim yang berasal dari Sibu Sarawak dan Imam Haji Ahmad Buntal yang berasal dari Melaka.

"Imam Haji Ismail bin Nakhoda Ibrahim berasal dari Sibu. Pada mulanya beliau berkahwin dengan gadis tempatan dan terus menetap dan bermastautin di Putatan. Beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya sebagai tapak masjid di Kampung Teguli, Putatan./Beliau juga telah berusaha mendatangkan dua batang tiang berukir indah dari Sarawak melalui jalan laut pada masa itu. Tiang yang berukir indah itu masih ada sehingga ke hari ini di bangunan masjid lama," tulisnya.

"Sementara itu, Haji Ahmad Buntal berasal dari Melaka dan berkahwin dengan gadis tempatan dari Tuaran. Cucu cicitnya masih ramai yang bermastautin di Putatan ketika ini. Mulanya, Haji Ahmad berkhidmat sebagai salah seorang pegawai pentadbir di Pejabat Daerah Putatan yang terletak Kampung Lok Bunu ketika itu di antara tahun 1892 hingga 1901.

Setelah berkhidmat selama sembilan tahun, beliau terus melibatkan diri dalam apa jua kerja amal berkaitan agama Islam, tulisnya.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-20, masyarakat Putatan mulai sedar betapa perlunya pelajaran dan pengajian agama Islam terus diperkembangkan.

"Bermula dari kesedaran tersebut, maka bangkitlah aktivis-aktivis agama yang lainnya sebagai pernyambung tenaga aktivis awal seperti Imam Awang Salleh berasal dari Banjar, Imam Haji Taip juga berasal dari Banjar,Imam Jalil bin Lamit orang tempatan, Imam Haji Dahlan berasal dari Riau, Imam Haji Gadur berasal dari Riau, Imam Haji Shukur berasal dari Banjar, Imam Siso berasal dari Kelantan dan Imam Haji Momin, orang tempatan," .Disamping menjadi guru kepada anak-anak di sekeliling rumah dan menjadi imam rawatib di masjid secara bergilir-gilir.

Namun demikian, Imam Haji Momin, tidak berpuas hati sekiranya masyarakat Islam di Putatan dibiarkan berterusan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk mencari imam yang benar-benar berkermampuan menangani masalah agama di Putatan.

"Oleh yang demikian, beliau telah dipilih sebagai mewakili masyarakatnya mengunjungi Haji Yaakub bin Ali yang ketika itu, berada di Brunei untuk menjadi imam di Putatan, Alhamdulillah setelah hasrat itu disampaikan kepadanya, ia mendapat respons yang baik daripada Haji Yaakub.

Kemudian, Haji Yaakub Haji Ali, yang berasal dari Kampung Chetok Pasir Mas Kelantan dilantik menjadi imam berdaftar di Putatan dari tahun 1914 hingga 1930.

Selepas itu, Imam Jilun bin Jilang pula dilantik sebagai Imam bermula dari tahun 1930 hingga 1934. Pada tahun 1934, Imam Abd.Latif Mohd. Taha berasal dari Brunei dilantik sebagai imam Putatan bagi menggantikan tempat Imam Jilun bermula dari 1 April 1934 hingga 11 Oktober 1934. Bagaimanapun, Imam Abd.Latiff kemudian dilantik sebagai imam di Tuaran dan tempatnya, diambil alih oleh Imam Suhaili Haji Yaakub pada 12 Oktober 1934 hingga 11 Februari 1940.Imam Ahmad Mus Haji Ismail yang merupakan murid Haji Yaakub dan Imam Suhaili telah dilantik sebagai imam Putatan bermula dari tahun 1940 hingga tahun 1953.

Dalam tahun 1953 sehingga 1961, berlaku sedikit insiden berhubung dengan masalah kepimpinan di daerah tersebut sehingga menjadikan pengajian agama Islam tergendala seketika dan kurang mendapat bimbingan. Maka mulai dari peristiwa itulah jawatan imam saling bertukar ganti.

Antara mereka yang bertukar ganti dalam insiden itu ialah Imam Milin bin Jeratil,. Imam Harun bin Pakir, Imam Mohd. Said bin Hashim dan Imam Satur. Peristiwa itu berklarutan sehingga ke tahun 1961 apabila imam Satur berhenti dari jawatan imam Putatan dan telah digantikan oleh Imam Milin Jeratil hingga kini.

Imam Milin bin Jeratil telah dilantik menjadi imam Putatan bermula dari tahun 1961 hingga pertengahan lama berkhidmat dalam sejarah daerah Putatan.

Bermula dari tahun 1950, Agama Islam di Putatan dan sekitarnya terus berkembang. Jumlah masjid dan surau terus bertambah kepada 13 buah.

Dalam pada itu,  semangat berpersatuan mula timbul pada tahun 1958 apabila Persatuan Islam Putatan ditubuhkan pada 25 Oktober tahun itu.Oleh kerana kedudukan Putatan tidak begitu jauh dari Jesselton (kota Kinabalu) iaitu kurang 13 km sahaja, walaupun ketika itu jalan perhubungan hanyalah menggunakan landasan keretapi tetapi Putatan boleh dianggap memiliki masyarakat yang berpendidikan.Oleh yang demikian, berbagai kegiatan dilaksanakan demi untuk menyesuaikan kedudukan masyarakat Islam di Putatan supaya terus maju dan tidak ketinggalan zaman.

"Apa yang ada pada pemikiran pemuda Islam Putatan pada masa itu diantaranya ialah bagaimana mengwujudkan sebuah sekolah agama Islam di Putatan supaya anak-anak mereka dapat belajar melalui sistem sekolah moden," tulisnya.

Ekoran daripada itu, pada 25 Oktober 1959, satu mesyuarat diadakan di Masjid Jamek Kampung Teguli Putatan dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang dari seluruh kampung di sekitar daerah itu. Mesyuarat itu telah dipengerusikan sendiri oleh Awang Sahari Abd.Latiff dan dibantu oleh Mohd.Jad Pandikar. Hasil persetujuan dalam mesyuarat itu maka mereka bersetuju mewujudkan Persatuan Islam Putatan (PIP).

Mesyuarat telah memilih seramai 21 orang jawatankuasa yang terdiri daripada N.C. Asai bin Ghani (Pengerusi), Mohd.Salleh Everwein (Naib Pengerusi) Sahari Abd.Latiff (Setiausaha) Mohd.Zain Simamah (Penolong Setiausaha),Imam Harun bin Pakir(Bendahari) manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Mahali Abu Bakar, OT Ismail Rajab, OT Ag.Jaya, Pg.Abd.Razak Pg.Ahmad, Haji Omar bin Japar, OT Arshet Ghani, OT Wahid Sulai, Pg.Abd.Wahab Pg. Ahmad. Mandor Minoh. OT Serati. Feruz Mahmun Miralan dan Mohd Seh Stapa. Imam Jalil dilantik sebagai penasihat 1 dan Imam Ahmad Mus dilantik penasihat 2 manakala Hamzah Mohd.Amin dan Mohd.Zain Simamah dilantik sebagai pemeriksa kira-kira.

Apabila persatuan Islam sudah wujud, maka agenda utama yang diusahakan ialah membangunkan sekolah agama rakyat yang diberi nama Madrasah Tahzibiah.

Bangunan madarash tersebut telah mula didirikan pada awal tahun 1964 namun ia belum dapat digunakan sepenuhnya sebagai sekolah agama sebagaimana yang dicita-citakan kerana belum siap sepenuhnya dan belum mendapat permit kebenaran dari pihak berkuasa. Oleh yang demikian, bangunan sekolah itu telah digunakan sementara untuk mengajar kelas dewasa dan tenaga pengajarnya Cikgu Mohd.Din Sulai. Walaupun kelas pengajian agama tidak dapat dilaksanakan dengan segera tetapi persiapan perabot sekolah seperti kerusi, meja dan lain-lain telah dapat diadakan.

Pada awal 1966 sekolah agama tersebut telah beroperasi dengan bilangan muridnya seramai 140 orang. Guru pertama yang mengajar di sekolah itu ialah Ustazah Azizah Mohamad dan adiknya Hayatun Mohammad berasal dari Kg.Lalang, Padang Rengas Perak.

Madrasah Tahzibiah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun pada 27 November 1966. Pada masa itu madrasah ini dipengerusikan Mohd.Din Sulai.Pada tahun 1971, Madrasah Tahzibiah telah ditukar menjadi Sekolah Agama Islam dan pentadbirannya telah dipindah daripada Badan Persekolahan PIP kepada Jabatan Pendidikan Islam,. Majlis Ugama Islam Sabah.

Tidak syak lagi, Putatan pernah menjadi pusat pengembangan Islam yang terkemuka satu ketika dahulu. Kini, Putatan yang semakin berkembang pesat itu, sebentar lagi akan menjadi sebuah kota metropolitan. Kita berharap Putatan tidak melupakan sejarah kewujudannya. Bermula dari sebuah sungai, iaitu Sungai Putatan, yang kini makin lenyap dalam sejarah.

Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, anak Sabah pertama belajar di Al-Azhar

Tags



 DATUK HAJI UTOH SAID, ANAK SABAH PERTAMA BELAJAR DI AL AZHAR MESIR

KEPESATAN ilmu pengetahuan dan bidang pendidikan menggamit ratusan pelajar dari negeri ini untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti terkemuka di dunia termasuk di Universiti Al-Azhar Mesir, salah sebuah universiti terkenal dan tertua bukan saja dalam dunia Islam malah dunia antarabangsa.
Kini ratusan pelajar Sabah telah menamatkan pengajian di Mesir dan ratusan lagi sedang melanjutkan pelajaran di universiti berprestij itu. Meskipun demikian, tidak ramai yang tahu bahawa, anak Sabah pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Al-Azhar Mesir ialah seorang anak dari sebuah pulau yang cantik di daerah Semporna, iaitu Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah.

Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah dilahirkan di Pulau Bohey Dulang pada 10 September 1953. Anak pertama dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Ugama Islam (SUI) Semporna sebelum melanjutkan pelajaran di Khairiyah Islamiah, Pokok Sena Kepala Batas Seberang Perai. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam pengajian syariah dan undang-undang di  Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir pada tahun 1978.  Kemudian beliau menjalani kursus Kemuftian dan Kehakiman di kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di Pejabat Mufti Mesir. Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 4 April 1983  sebelum bertukar ke Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Sabah pada 16 Oktober 1993. Selepas itu, beliau berpindah ke Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada 16 November 2000 hingga sekarang. Datuk Haji Utoh  Said juga adalah Yang Di Pertua Mimbar Permuafakatan  Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Sabah selain menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Semporna.Atas sumbangan dan jasanya kepada negeri ini, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2002.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Dewi Fikri Haji Sirat dan dikurniakan lapan orang anak, tiga lelaki lima perempuan.

Ikuti petikan temubual wartawan UTUSAN BORNEO,ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah mengenai pengalaman beliau ketika menuntut di Mesir dan beberapa kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar Datuk? Terima kasih kerana memberi ruang untuk sesi temubual ini. Sebagai anak Sabah yang pertama belajar di Mesir, boleh ceritakan pengalaman Datuk ketika berada di sana?

DATUK HAJI UTOH SAID:     Alhamdulillah baik. Saya mula menjejakkan kaki di bumi Mesir pada 25 November 1978. Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada 24 November 1978 menggunakan pesawat Japan Airlines. Saya tiba disana jam 6.00 pagi pada 25 November. Seingat saya, saya disambut oleh Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Mesir. Namanya Haji Abdul Manaf Ahmad. Beliaulah yang membantu saya. Ketika itu, Duta Malaysia ke Mesir ialah Datuk Haji Hassan Adli.
Situasi di Mesir ketika itu, berjalan dengan tenang.Masa belajar pun baik.  Hanya berlaku satu kekecohan iaitu Ketika Presiden Anwar Sadat ditembak sempena Perayaan Hari Tentera pada tahun 1981. Pada hari itu anak kedua saya lahir. Anwar Sadat kemudian diganti Hosni Mubarak.

UB:       Berapa anak?
DHUS:  Lapan orang. Tiga lelaki dan lima perempuan.   Hanya anak kedua yang lahir di Mesir sewaktu menuntut di sana.

UB:       Sebagai anak Sabah yang pertama belajar di Al-Azhar, sebuah universiti yang dianggap tertua di dunia itu, apa perasaan Datuk ketika itu?
DHUS:  Tentulah saya berasa bangga kerana menjadi anak Sabah pertama belajar di Al-Azhar iaitu pada tahun 1978.Sebelum itu, belum ada pelajar dari Sabah yang belajar di sana setahu saya. Kemasukan saya ke Azhar telah membuka pintu kepada pelajar Sabah yang lain. Kemudian saya menubuhkan Badan Kebajikan Penuntut Sabah.

UB:       Siapa rakan sekelas Datuk di sana? Masih ingat nama mereka?
DHUS:  Antara rakan sekelas saya ialah Ustaz Fadhil Hanafi, mantan ADUN Alor Mengkudu Kedah dan Datuk Haji Jamaludin Mohd Thaher, Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

UB:       Mengapa tidak ramai pelajar dari Sabah yang belajar di Mesir pada masa itu?
DHUS:  Mungkin peluang agak kurang ketika itu, khususnya dalam bidang pendidikan agama. Lagipula kehidupan agak miskin dan susah. Kehidupan saya sendiri agak susah.Terpaksa naik basikal dari Bugaya ke Pekan Semporna sejauh kira-kira lapan batu. Barangkali kerana keadaan hidup yang serba kekurangan itu menyebabkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan anak-anak kurang. Pada masa itu, tidak banyak sekolah agama seperti sekarang.Kerana itu tidak ramai yang dapat menjejakkan kaki ke Mesir.

UB:       Datuk tidak berasa kekok ketika mula-mula tiba di Kaherah?
DHUS:  Ketika tiba di Kaherah, saya ditempatkan di asrama pelajar. Saya tidak kekok kerana mudah menyesuaikan diri. Malah saya pernag satu bilik dengan bekas Mufti Sabah, Sahibussamahah Al Fadhil Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adenan.

UB:       Sewaktu di Mesir, apakah Datuk berpeluang melawat tempat-tempat menarik di sana? seperti Piramid misalnya?
DHUS: Kalau Piramid, saya sempat mendaki sampai ke atas. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana, saya sempat berkunjung ke beberapa tempat menarik di Mesir.

UB:       Selalu juga balik ke tanahair?
DHUS:  Setiap satu tahun saya balik ke Sabah.Masa itu yang banyak membantu saya ialah Tan Sri Datuk Harris Mohd.Salleh dan Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai.

UB:       Selepas Datuk, siapa pelajar Sabah seterusnya yang belajar di Al-Azhar?
DHUS:  Pelajar dari Sabah yang ke Universiti Al-Azhar ketika itu ialah Datuk Haji Suhaili Said, kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku dan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Dr.Badrul Amin Haji Bahron (mantan profesor di Universiti Islam Antarabangsa) kini aktivis politik, dan Ustaz Haidun Hadi, kini Pengetua SMK Tun Datu Mustapha.  Kemudian diikuti oleh Datuk Haji Aidi Moktar dan rakan-rakannya. Malah saya yang membantu menguruskan kemasukan Ustaz Suhaili dengan Dr.Badrul Amin. Mereka memang pelajar bijak.

UB:       Jauh dari keluarga begitu, bagaimana Datuk berhubung dengan keluarga?
DHUS:  Ketika itu belum ada internet, jauh sekali facebook atau twitter. Kami berhubung pakai surat atau telegram.

UB:       Sebaik pulang ke tanah air, Apa tugas pertama Datuk?
DHUS:  Saya balik ke tanah air pada 1982. Tidak lama kemudian saya dipanggil oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd.Salleh. Dia tanya, tuan haji mahu apa? Kemudian beliau  melantik saya sebagai Pegawai Perhubungan Awam MUIS pada 4 April 1983. Semasa di MUIS, saya pernah juga bertugas sebagai Pegawai Pendaftar Mahkamah, Pegawai Penguatkuasa, Pegawai Perhubungan Awam.

UB:       Kemana selepas itu?
DHUS:  Kemudian saya bertukar ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Saya menjadi anak Sabah pertama bertugas di Jakim iaitu pada 16 Oktober 1993.Di Jakim saya bertugas sebagai Pegawai Dakwah Negeri dan Pegawai Pentadbir  Dari JAKIM, saya berpindah pula ke Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada 16 November 2000. Di JASA, saya bertugas sebagai Pegawai Penerangan JASA, Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi dan Isu, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Insan dan Penolong Pengarah Cawangan Pembangunan Komuniti.


UB:       Kalau tak silap, Datuk pernah tubuhkan Kelab UMNO di luar negara?
DHUS:  Sebenarnya saya menjadi ahli UMNO ialah pada tahun 1975 di cawangan Bagan Tuan Kecil, Butterworth Seberang Perai Pulau Pinang. Masa itu saya pernah tulis surat ucapkan tahniah kepada Allahyarham Tun Razak, untuk ucapkan tahniah atas kemenangannya dalam pilihanraya dan beliau telah berbesar hati membalasnya.  Beliau membalas surat itu dengan tulisan tangan.Ia sangat berharga bagi saya.Ketika itu UMNO Pulau Pinang dipimpin oleh Datuk Haji Ahmad Badawi iaitu ayah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi,mantan Perdana Menteri kita. Saya ingat lagi,Ketua Cawangan ialah Cikgu Abdullah manakala Setiausaha cawangan Cikgu Ismail.
Jadi ketika berada di Mesir, saya menubuhkan Kelab UMNO di Mesir dan dirasmikan oleh Tun Musa Hitam, ketika itu Timbalan Perdana Menteri. Perasmian Kelab UMNO itu ialah pada 5 November 1981. Tun Musa pernah tanya, tuan haji buat apa masuk UMNO,UMNO bukan ada di Sabah. Saya kata, UMNO InsyaAllah akan masuk ke Sabah satu hari nanti.Jadi bila UMNO masuk ke sabah pada tahun 1991, Tun Musa telefon saya.

UB:       Sebagai seorang anak Sabah yang berjaya, apa harapan Datuk kepada anak-anak Sabah dalam pelajaran?
DHUS:  Saya berharap kepada semua anak bangsa agar belajar bersungguh-sungguh  kerana hanya pelajaran dan pengetahuan yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Berikan tumpuan kepada pelajaran.


UB:       Mungkin ada kata-kata menarik dari Datuk yang boleh dijadikan pedoman?
DHUS: Jangan mengalah kepada masalah.Manusia difitrahkan oleh Allah Subhana wa taala hidup dengan masalah.Barangsiapa dapat selesaikan masalah, itu mendewasakan dan mematangkan kita. Ingatlah bahawa sesungguhnya masalah tidak akan pergi selagi kita hidup, yang pergi adalah kita. Oleh itu, jangan mengalah dan jangan berputus asa.Berjuanglah atasi masalah.

UB:       Apa pandangan Datuk terhadap situasi hari ini?
DHUS:  Kita jangan berpecah.Kalau kita berpecah, pihak lain akan mudah memperkotak katikkan kita. saya juga merasa kesal di atas isu menghina Rasul yang hangat diperkatakan ketika ini iaitu penerbitan filem innocent of Muslim yang menimbulkan banyak bantahan dan kemarahan umat Islam dan isu karikatur menghina nabi. Perkara ini haruslah dijadikan iktibar. kalau kita berpecah begini, kita akan dipijak bangsa asing.Kita berharap kerajaan mengambil peranan penting dalam mewujudkan perpaduan. Kita mesti berjuang menciptakan perpaduan dan keharmonian.Perjuangan kita hari ini adalah untuk masa depan anak-anak cucu kita.Mereka yang akan menerima faedah jika negara kita terus.Sebab itu, kita harus meneruskan perjuangan demi kebaikan anak bangsa.