Sunday, September 30, 2012

Jarang sekali Lapangan Terbang Tawau kehabisan teksi

Jarang sekali Lapangan Terbang Tawau kehabisan teksi.
Tidak seperti malam kelmarin. Saya memilih penerbangan jam 8.30 dari Kota Kinabalu dan tiba di Tawau 50 minit kemudian. Saya fikir lebih mudah naik teksi daripada minta diambil di lapangan terbang, apatah lagi hari sudah malam.
Biasanya masih banyak teksi. Tetapi pada malam itu, hanya ada beberapa buah teksi, itupun sudah dipenuhi penumpang. Saya ke kaunter tiket. Ada empat orang yang tiba bersama saya meminta teksi untuk menghantar mereka ke Semporna. Kelihatannya seperti pelancong. Saya diminta menunggu sepuluh minit atau 20 minit, sebelum dapat teksi.
Mujur ada sebuah teksi menuju bandar. Saya membayar tiket RM45. Rupanya teksi itu sudah ada penumpang, seorang lelaki yang esok paginya berangkat ke Nunukan. Dia lahir di KK, bapanya dari Nunukan dan ibunya orang Iban.
Dalam perjalanan itu, saya bertanya pemandu teksi, mengapa keadaan itu boleh berlaku. Katanya, pada malam minggu seperti itu memang tidak banyak teksi. Katanya, sebelum itu,ada penerbangan tiba dari KL. Ada enam teksi menghantar mereka ke Semporna, manakala dalam penerbangan dari KK juga, ramai yang menuju ke Semporna.
Barulah saya terfikir, Tawau tidak mempunyai banyak pulau untuk dikunjungi seperti yang dimiliki Semporna. Apakah agaknya produk pelancongan atau destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi di Tawau.
Berapa tambang ke Semporna?.Pemandu teksi itu memberitahu saya, tambangnya sekitar RM95.00.
Kalau ke Lahad Datu? RM150.00. Lahad Datu lebih jauh bang, katanya.
Sudah rezekinya malam itu. Beliau mendapat RM90 untuk perjalanan satu hala ke bandar Tawau. Sebelumnya, dia mendapat RM45 dari penumpang, yang mahu ke Nunukan itu dan RM45 lagi dari saya.
Kalau kami berjumpa lebih awal, barangkali tambang teksi itu boleh kami kongsikan. Tapi entah kenapa pada malam itu, Lapangan Terbang Tawau kehabisan teksi.
Perkhidmatan bas pula hanya sampai petang. Sebelah malam tak ada perkhidmatan bas ke bandar. Saya fikir, sesuatu perlu dilakukan untuk menyediakan perkhidmatan bas pada sebelah malam, tapi ada orang tidak setuju kerana perkhidmatan sebegitu agak merugikan kerana kurang penumpang. Barangkali boleh disediakan atau dibenarkan van atau bas mini yang lebih kecil untuk mengambil penumpang.
Tambang dari Lapangan Terbang Tawau ke Kota Kinabalu hanya sekitar RM10 tetapi perkhidmatan bas hanya ada pada sebelah siang.
Cuaca sepanjang perjalanan kira-kira  40 minit dari lapangan terbang ke bandar itu amat baik. Saya terbayang isteri dan anak-anak di KFC kerana saya meminta mereka menunggu di sana.