Khamis, 13 September 2012

Haji Hadi belajar politik dari ayah-Rakaman Wawancara dengan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang

Tags


MESKIPUN saya pernah beberapa kali menemuramah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Kota Kinabalu tetapi sesi temubual kali ini agak berbeza. Inilah pertama kali saya mendapat peluang untuk menemuramah beliau secara eksklusif. Saya agak berdebar juga menghadapinya.Berdasarkan pengalaman saya sebelumnya, Haji Hadi agak kaku dalam menjawab soalan wartawan dalam sidang media yang saya pernah hadiri.

Bagaimana pula kali ini? Jika lazimnya beliau sering ditanya mengenai soal-soal sekitar dunia politik, bagaimana pula beliau menjawab soalan yang bukan politik.Soalan-soalan biasa berkaitan kehidupan seharian, kenangan masa kecil, sewaktu sekolah, hobi masa lapang dan sebagainya.

Saya teringat bagaimana seorang wartawan Jepun menemuramah  mujahidin Afghanistan Ahmad Shah Massoud ketika perang Afghanistan menentang Rusia. Di tengah-tengah perang itu, Ahmad Shah dirakamkan gambarnya di tengah kebun tembikai sambil membaca buku.

Peluang untuk menemubual Tuan Guru Haji Hadi, yang telah saya dengar ceramahnya dalam kaset-kaset seawal tahun 80-an dahulu, tentulah satu peristiwa yang amat berharga bagi saya. Beliau bukan saja seorang pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahkan juga seorang tokoh yang terkenal dalam dunia Islam. Beliau seorang ideolog PAS, beliau seorang murabbi dalam ertikata seorang pembaharu, seorang tokoh gerakan Islam yang terkemuka.

Jadi selepas solat Subuh pada hari itu, 1 September, saya tidak tidur lagi. Saya bersiap lebih awal kerana Cikgu Anuar berjanji untuk mengambil saya di Likas. Tepat jam 6.00 pagi, beliau datang dan sebelum ke bandar Sierra kami singgah di satu tempat mengambil nasi dagang yang dipesan sebagai jamuan pada pagi itu.

SETELAH menunggu beberapa ketika, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tiba dan bersalaman dengan semua hadirin. Selepas menikmati sedikit jamuan, Tuan Guru dijemput memberikan tazkirah. Selepas tazkirah, beberapa ibubapa membawa anaknya kepada Haji Hadi untuk ditahnik sesuai tradisi Melayu Islam.

Tidak lama kemudian, Haji Hadi sedia ditemuramah. Rupanya beliau seorang yang personaliti yang bersahaja. Beliau menjawab segala pertanyaan saya dengan mesra. Saya sempat bertanya mengenai kehidupan ketika masih sekolah, minatnya menulis, pembahagian masa dan sebagainya. Saya merasa gembira kerana  berpeluang menemuramah seorang tokoh besar dalam gerakan Islam di peringkat antarabangsa.

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang lahir pada 6 Zulhijjah 1366H/ 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, Marang Terengganu. Beliau yang lebih mesra dipanggil Tuan Guru ini pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada (1999-2004. ) Anak ke-5 dari 9 orang adik beradik, mendapat didikan dari ayahnya, Tuan Guru Haji Awang bin Muhammad,  seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang. Beliau mendapat pendidikan awal  di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian menuntut di Sekolah Agama Marang sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.Pada tahun 1969, beliau melanjutkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah sehingga lulus dalam BA dalam bidang Syariah dalam  tahun 1973 dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi . Haji Hadi kemudian  melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam tempoh 2 tahun  pada tahun 1974 - 1975.

Beliau mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab bt. Awang dan Dr. Norzita Taat. Dikurniakan 13 orang anak. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 3 orang anak.

Di tengah-tengah kesibukannya dalam bidang siasah dan dakwah, beliau masih sempat menghasilkan buku-buku.Antara karya-karyanya ialah    Bagaimana Islam Memerintah Negara, ( PTS,2009) ,Islam Adil Untuk Semua ( PTS Islamika, 2009) .Fahaman & Ideologi umat Islam : )(PTS Islamika 2008),Takwa : takut tetapi rindu ( PTS Publications, 2008)    Beriman kepada qadak &; qadar (PTS Publications & Distributors, 2008) Beriman kepada hari akhirat ( PTS Islamika, 2008),Beriman kepada Malaikat & kitab ( PTS Islamika, 2007),Beriman kepada Rasul  (PTS Publications, 2007),Beriman kepada Allah ( PTS Islamika ; 2007)    Inilah akidah muslim (PTS publications, 2007), Islam & demokrasi ( PTS Islamika, 2007) dan banyak lagi.

Turut hadir dalam sesi temuramah itu ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Aminuddin Aling, Ustaz Zulkifley Omar, Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Dato'Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang.

UTUSAN BORNEO:    Terima kasih kerana Tuan Guru sudi memberi ruang kepada kami untuk membuat temubual ini. Saya  rasa berbangga dan bersyukur kerana dapat menemubual Tuan Guru dalam masa yang agak terhad ini. Bagaimanapun, soalan-soalan dalam ruangan Sembang Sabtu ini lebih menjurus kepada aspek-aspek `human interest' dan sedikit mengenai pandangan Tuan Guru dalam politik.
Boleh ceritakan sedikit waktu zaman persekolahan dahulu?

TUAN GURU HAJI HADI:    Saya mendapat pendidikan awal daripada ayah saya, Tuan Guru Haji Awang Muhamad, pada usia kecil. Kemudian saya belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil aliran Sanawi di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Saya mengayuh basikal kira-kira tujuh batu ke sekolah bersama rakan-rakan.

UB:    Selepas itu, Tuan Guru terus ke Madinah?
TGHH:    Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973 dan  tamat dengan B.A. (Syariah). Kemudian saya terus meanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun  pada tahun 1974 - 1975.


UB:    Apakah sejak kecil Tuan Guru minat dalam bidang politik?
TGHH:    Kebetulan saya lahir di rumah politik. Ayah saya aktif dalam politik sejak zaman penjajah. Rumah kami menjadi persinggahan orang-orang politik seperti Dr.Burhanuddin Al-Helmy, Dato Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman dan ramai lagi. Saya dan ayah saya bercakap politik sejak usia lima atau enam tahun lagi.
Terengganu adalah sebuah negeri yang menjadi pusat pengkalan tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Dato Bahaman, Mat Kilau dan sebagainya. Ia menjadi pusat yang melahirkan pejuang-pejuang awal menentang kolonialisme.Malah Sultan Zainal Abidin III, adalah seorang Sultan yang juga seorang ulama, yang menentang penjajah.

Sejak kecil lagi, saya selalu membaca buku dan majalah majalah koleksi ayah saya. Ketika itu saya telah membaca buku Ensiklopedia Politik karangan Muhammad Hanif. Buku itu tidak ada lagi di pasaran sekarang. Melalui buku itu, saya dapat tahu istilah politik, demokrasi, nasionalisme, diktator, dan pelbagai lagi istilah politik. Buku itu juga memuat tokoh-tokoh politik seperti Sukarno, Abdul Rahman Azzam,Tito, Hitler, dan sebagainya. Ia ditulis dalam tulisan jawi. Buku ini tidak ada lagi di pasaran sekarang.mungkin hanya ada dalam simpanan arkib. Muhamad hanif ini pernah jadi calon PAS di Kampung Baru.
Selain itu, saya sempat berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Dr. Burhanuddin, Dato Onn, yang pernah datang ke rumah. Ini memberikan pendedahan awal kepada saya dalam bidang politik.

UB:    Sewaktu belajar di Universiti, apakah Tuan Guru terlibat juga dalam kegiatan mahasiswa?
TGHH:    Saya pernah menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Selain itu, ketika menuntut di Mesir saya pernah bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi yang aktif dalam Ikhwanul Muslimin ketika itu.Saya juga pernah menjadu Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.

UB:     Setelah pulang ke tanahair, apakah Tuan Guru terus melibatkan diri dalam politik khususnya PAS?
TGHH:      Sebelum ke Timur Tengah, saya mula aktif dalam PAs sebagai Setiausaha Ranting PAS kampung  Rusila.Marang.  Selepas  pulang ke tanah air, saya  dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977, saya  dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989, saya terpilih  menjadi Timbalan Presiden PAS dan  setelah pemergian Dato' Fadzil Mohd Noor, saya diamanahkan menjadi Presiden PAS.

UBL    Bagaimana pula ceritanya sehingga menjadi Ketua ABIM Terengganu?
TGHH:    Saya diminta memimpin ABIM Negeri Terengganu pada tahun 1977-1978. Masa tu, Anwar ( Datuk Seri Anwar Ibrahim )masih berada dalam tahanan ISA.  Saya terus jadi pemimpin Abim, tanpa menjadi ahli ABIM. Itu agak luar biasa.


UB:    Oh ya, bagaimana tahap kerjasama di kalangan PR, antara PAS, PKR dan DAP?
TGHH:    Tahap kerjasama amat baik. Masa berubah bukan?. Sejarah perjuangan Pas telah melalui pelbagai cabaran.PAS pernah bersendirian. Pas pernah berjuang dengan Parti Negara pimpinan Dato Onn. PAS pernah kalah dan menang dalam pilihan raya. Dulu pilihan raya diadakan secara berasingan....asing-asing. habis dulu pilihanraya di peringkat DUN, barulah diadakan pilihanraya di peringkat parlimen. Pada tahun 1959, kita berjaya bentuk kerajaan Negeri.Pada tahun 1972, kita buat kerajaan campuran. Pada tahun 1974, kita bersama-sama mengasas Barisan Nasional (BN).Pada tahun 1979, PAS dibuang daripada BN.Pada tahun 1986, kita pernah bekerjasama dengan NGO iaitu CCC.Pada tahun 1990, kita buat kerjasama dengan Semangat 46 dan Semangat 46 pula bekerjasama dengan DAP. Kita bentuk Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun 1999, Kita buat kerjasama dalam Barisan Alternatif. dalam pilihanraya 2008, kita menubuhkan Pakatan Rakyat (PR).

UB:    Bagaimana Tuan Guru melihat peluang PAS dan PR dalam Pilihanraya Umum ke-13?
TGHH:    Peluang kita lebih terbuka. Alasan saya peratus pengundi muda yang meningkat.Hasil lawatan saya di seluruh negara dan berdasarkan taklimat yang diberikan, pengundi muda berusia 21-40, kebanyakannya menyokong Pakatan. Ini fenomena yang menakutkan BN.

UB:    Sokongan orang bukan Islam terhadap PAS, bagaimana pula?
TGHH:    Sokongan orang bukan Islam terhadap PAS, kita lihat semakin meningkat. Malah dalam PAS telah diwujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Ramai orang bukan Islam mulai memahami perjuangan PAS. Sebab itu mereka memberikan sokongan.

UB:    Kalau di Sabah ni, bagaimana Tuan Guru melihat peluang Pas?
TGHH:    Kita melihat rakyat mahukan perubahan. Sokongan terhadap perjuangan kita semakin bertambah. Sejak bertanding di Sabah pada 1986, kita mengambil strategi melalui uslub dakwah dan sosial kebajikan. Dalam merancang strategi, kita mengambil kira sensitiviti rakyat. Sabah terdiri dari masyarakat berbilang kaum. Tapi dalam sejarah Islam, Nabi pernah memerintah Kota Madinah yang majoriti penduduknya bukan Islam pada ketika itu. Setelah mereka melihat kepimpinan Islam yang adil, setelah melihat pelaksanaan sistem ekonomi Islam, mereka dengan sendirinya menerima kepimpinan Islam. Dalam Islam, hasil tidak boleh dipindah kepada kerajaan pusat selagi tidak selesai masalah tempatan. Bahagian fakir miskin tidak boleh dibagi kepada pihak lain yang tidak berhak. Dengan keadilan Islam inilah,mereka mendapat kepercayaan rakyat.


UB:    Walaupun sibuk dalam politik, Tuan Guru masih boleh menulis buku. Bagaimana Tuan Guru membahagikan masa?
TGHH:    Tuhan bagi kita cukup masa. Ada masa kita tidur, ada masa kita riadah, ada masa kita  bekerja dan sebagainya. Semua orang diberikan 24 jam dalam sehari. Cuma silap manusia lebih banyak habiskan masa dalam aktiviti yang tidak berfaedah.

UB:    Agaknya apa prinsip perjuangan Tuan Guru?
TGHH:    Apa yang kita perjuangkan ialah peningkatan  ilmu, akhlak, kebijaksanaan, itu yang penting.

UB:    Mungkin ramai juga yang ingin tahu apa hobi Tuan Guru pada masa lapang?
TGHH:    Saya tinggal di tepi pantai. Jadi hobi saya berkaitan dengan laut. Kebolehan saya menjala, memukat, membubu dan sebagainya yang berkaitan dengan laut.  Bila ada masa lapang, saya selalu pergi ke laut.Bila saya turun ke laut, orang berebut ajak saya naik bot mereka.Melalui cara ini, saya dapat menyelami masalah rakyat. Saya dapat beramah mesra dengan mereka, berkawan dengan mereka.

UB:    Kalau tak silap Tuan Guru pernah menyelamatkan orang lemas?
TGH:    Kebetulan kita tahu teknik menyelamatkan diri. Kita ada pengalaman. Tak boleh lawan arus. Dalam politik juga begitu.Jangan lawan arus, kita mungkin tenggelam, kalau tak pandai berenang, tak boleh menyelam.

UB:    Bolehkah tuan guru jelaskan sedikit mengenai Hudud, yang banyak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat kerana ramai yang tidak faham.
TGHH:    Dalam undang-undang Islam, terdapat hudud, qisas dan takzir dimana hudud dan qisas dijelaskan dalam Kitab Suci Al-Quran manakala takzir berdasarkan budi bicara.
Dalam hukum qisas misalnya, jika ada kes seperti pembunuhan dan sebagainya, hak pengampunan diberikan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa.
Dalam Islam, yang mempunyai hak pengampunan ialah mangsa atau keluarga mangsa. Pesalah boleh dikenakan hukuman balas atau diganti dengan bayaran.
Dalam hudud, tak ada pengampunan, tapi syaratnya cukup ketat. Seorang yang mencuri, tidak dikenakan hukuman sewenang-wenangnya. Semua aspek dilihat dan dipertimbangkan, barulah hukuman dilaksanakan.  Semuanya mesti cukup bukti dan saksi. Dalam hukum hudud, pencuri dihukum potong tangan.  Tapi semua sudut diteliti, apakah barang yang dicuri, dimana letaknya, berapa nilai atau harganya. Anak curi wang bapa misalnya, orang curi kabel letrik, barang umum, semua ini tergantung kepada budi bicara sebelum dijatuhkan hukuman yang setimpal.


Seorang yang dikenakan hudud, dihapuskan dosanya.Apa yang penting sekali ialah menakutkan pencuri.Undang-Undang islam mementingkan pendidikan, mendidik masyarakat, supaya tidak mengulangi perbuatannnya.. Bagi kalangan bukan Islam, undang-undang Islam sangat memelihara hak orang bukan Islam. Mereka boleh memilih sama ada mengikut undang-undang pilihan merekamereka atau memilih undang-undang Islam. Mereka tidak dipaksa sebaliknya mereka boleh membuat pilihan. hak mereka dijaga


UB:    Sebagai seorang pemimpin yang sering ke Sabah,  apa agaknya antara perkara yang  menarik, menurut pandangan Tuan Guru?
TGHH:    Masyarakatnya yang berbilang kaum, yang bercampur antara satu sama lain.

UB:    Seorang rakan wartawan yang pernah menemuramah Tuan Guru di Rusila, ingat betul peristiwa ketika Tuan Guru menuangkan kopi untuknya. Bagaimana hubungan Tuan Guru dengan pihak media?
TGHH:    Ketika kalah dalam pilihanraya umum 2004, seorang wartawan cina menangis. Dia bukan Islam. Dia terharu kerana kerajaan PAS di Terengganu kalah. Akhirnya saya dengar beliau berhenti jadi wartawan.  Hubungan dengan media agak baik. Hubungan masyarakat bukan Islam juga baik. sekarang setiap hari raya, ramai orang Cina, datang rumah.