Wednesday, October 3, 2012

Aku lama nda telefon kamu, katanya

"Aku lama nda telefon kamu, nanti kamu bilang aku sudah gol", katanya yang membuat saya terhenyak. Terasa agak bombastik pemilihan kata-kata `sudah gol' itu.Mungkin setengah bersenda, setengah meningatkan akan hakikat kesementaraan ini.
"Bukan aku nda mahu menulis,, aku nda ada peralatan menulis,' katanya melalui telefon pada tengahari itu.
Saya yang sedang duduk minum kopi, segera mengambil pena untuk menuliskan kalau-kalau ada perkara penting yang mahu disampaikannya.
Kami lama tidak berbual. Saya pun memang agak rindu mendengar suaranya. Seorang ibu yang pengasih dan penuh perhatian, seorang wartawan wanita Melayu yang pertama di Sabah, seorang yang pernah mendapat gelar tokoh wanita. Lebih jauh dari itu, beliau seorang penulis, cerpenis, novelis, sajakis  , malahan juga seorang tokoh pejuang wanita.
Topik perbincangan kami pada hari itu ialah mengenai perjuangan memartabatkan bahasa Kebangsaan. Sejak zaman kami, dari dulu lagi, perjuangan bahasa Kebangsaan sudah diperjuangkan.

Kami ini adalah antara yang pertama memperjuangkan bahasa kebangsaan, kata Hajah Dayang Salmah Salam. Katanya, bermula dengan setengah halaman bahasa Melayu di akhbar tempatan, hingga ke perkembangan akhbar yang ada sekarang, sehingga penubuhan AGABA (Angkatan Gaya Baru). Menurutnya, antara pejuang bahasa ketika itu Arwah K.Bali, Jamdin Buyong (Datuk) masih hidup, AK Aliuddin (Datuk), masih hidup, RM Jasni (Datuk) masih hidup, yang lain sudah berpulang.

Beliau berkata, nama-nama itu besar, jasanya dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Katanya, mereka pernah menerbitkan akhbar tunggal berbahasa Melayu tapi tidak laku. Ketika itu suasananya lain.
Selain itu, beliau juga rasa kehairanan kerana sampai sekarang isu perjuangan bahasa Melayu itu belum selesai.. Entah sampai bila isu perjuangan BM ini

Banyak perjuangan yang diperjuangkan dulu, katanya, Selain perjuangan Bahasa Kebangsaan, kami juga memperjuangkan mengenai hak wanita. Golongan Wanita layak menjadi menteri. Waktu itu tahun 60-an. Tun Mustapha malah sempat berjenaka bahawa wanita hanya layak menjadi DO. Pada fikirannya baik juga kalau dapat jadi DO iaitu singkatan bagi District Officer atau Pegawai Daerah. Tapi rupanya, Tun sekadar berjenaka kerana yang dimaksudkannya ialah Dapur  Officer. Wanita mesti pandai masak, kalau wanita masak sedap-sedap, ia dapat jaga suami, katanya menirukan kata-kata Tun.

Kini beliau berpuas hati kerana sudah ramai golongan wanita yang menjadi Menteri, katanya. Itulah antara perjuangannya. Ketika menjadi wartawan wanita itu beliau banyak menulis mengenai kemunduran wanita, perjuangan memartabatkan golongan wanita dan sebagainya.

Aku ingin kau dapat tulis ini, katanya kepada saya. Aku ingin kau tulis bahawa perjuangan bahasa kebangsaan bukan baru. Beliau juga rasa gembira kerana golongan sasterawan dan budayawan sudah semakin dihargai masyarakat dan kerajaan.
"Tapi orang macam kami ini nda adalah orang yang ingat," katanya. Sebenarnya, banyak lagi celoteh penulis veteran ini. "Lama nda telefon kamu," katanya.
"Kasi tahu kawankawan aku masih hidup, alhamdulillah", katanya. Saya tidak sempat menjawab kata-katanya yang penuh canda itu. Syukur alhamdulillah bu.Syukur. Maafkan kami kerana lama tidak menghubungi.

No comments: