Sunday, October 28, 2012

Basri Abd.Gafar, dari Kampung Manakayan berjalan sampai Ohio

BASRI ABD GAFAR, DARI KAMPUNG MANAKAYAN , BERJALAN SAMPAI OHIO
MUNGKIN tiada siapa yang menyangka, anak kampung yang berjalan kaki setiap pagi sejauh kira-kira 8 kilometer dari Tulibas ke SRK Dengan Tungku, lebih 45 tahun yang lalu, kini menjadi Timbalan Pengurus Besar (Pemasaran) Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO.
 
Kegigihan dan ketabahan serta semangat yang tidak mengenal putus asa untuk belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi, membolehkan Datuk Mohd.Basri Abd Gafar menjadi antara orang pertama dari Tungku yang berjaya menjejakkan kakinya ke universiti.
 
Datuk Mohd. Basri Abd Gafar lahir pada 14 April 1956 di Kampung Manakayan, Tungku Lahad Datu.   Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Dengan, Tungku (1965-1967) kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SM St Dominic Lahad Datu (1968-1973) dari Kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima. Selepas itu, beliau ke Kota Kinabalu untuk melanjutkan pelajaran dalam  Tingkatan Enam di Maktab Sabah ( 1974-1975).Kemudian beliau mengikuti pengajian Diploma dalam Perakaunan (DIA) di ITM Kota Kinabalu  dan ITM Shah Alam (1977-1979). Tidak lama kemudian, beliau mendapat biasiswa Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pelajaran ke Ohio University, Athens, Ohio di Amerika Syarikat dan berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) pada tahun 1981-1982 dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) 1983-1984.
 
Anak kedua dari sepuluh adik beradik ini lahir dari keluarga petani. Ayahnya, Haji Abdul Gapar Kullama, selain menjadi imam di kampung Bangingod juga seorang pekedai runcit manakala ibunya, Hajah Inning Panglima Iddeh, selain menjadi seorang suri rumah juga adalah seorang guru mengaji.
 
Kerjaya Mohd.Basri bermula apabila dilantik sebagai  Pegawai Kira-Kira di Jabatan Bendahari Negeri Sabah pada tahun 1979 dan pada tahun berikutnya dilantik pula sebagai Pegawai Kira Kira di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sebelum beliau melanjutkan pelajaran di Ohio,Amerika Syarikat. Sekembalinya ke tanah air,  beliau bertugas sebagai Pegawai Kira-Kira Kanan di Jabatan Ketua Menteri Sabah (1984-1985).
Selepas itu ,beliau bertugas sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Perkasa Trading Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO. Sepanjang berkhidmat di sana, beliau pernah ditugaskan sebagai  Eksekutif Pemasaran di Sandakan dan seterusnya menjawat jawatan Pengurus Cawangan di Lahad Datu selama dua tahun 1980-1990. Jawatan terakhirnya di syarikat itu  ialah Pengurus Kumpulan di Kota Kinabalu 1991-1994.
 
Pada tahun 1995, beliau mula bertugas sebagai Penolong Pengurus Pemasaran dan menaiki tangga demi tangga sehingga dilantik sebagai  Timbalan Pengurus Besar Pemasaran di Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd, juga sebuah anak Syarikat SEDCO. Selain itu, beliau juga dalah ahli Lembaga Pengarah Palmarina Sdn.Bhd (2001-2005) dan MB Ventures Sdn Bhd (2005 hingga kini) selain pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah (Alternate) Pembangunan Sumber Manusia Bhd (2007-2009). Beliau juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Sabah (Federation of Sabah Manufacturers) dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia.
 
Mohd Basri berumahtangga dengan Sithi Fareeda Hj Mohd Razi , dan dikurniakan empat anak, Fareena Ihsan, 29, Zareeda, 27, Fazila 24 dan Akmal Fitri 13.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual DATUK MOHD.BASRI HJ.ABD GAFAR (DMBHAG)  di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya bagi berkongsi sedikit pengalamannya sejak dari bangku sekolah sehingga kini.
 
UTUSAN BORNEO:      Boleh Datuk ceritakan pengalaman sewaktu bersekolah di Tungku dahulu?
DMBHAG:         Ketika bersekolah dahulu, kami terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 8 kilometer. Kami menyusuri tepi laut untuk ke sekolah. Bangun pagi-pagi lagi. Jam 4.00 pagi sudah terbangun dan selepas Subuh sudah mula berjalan kaki bersama rakan-rakan untuk ke sekolah rendah yang terletak di Dengan.
 
UB:       Jam berapa pulang dari sekolah?
DMBHAG:         Pulang dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengahari dan sampai di rumah kira-kira jam 2.30 petang. Ketika Darjah 1 hingga darjah 4, saya tinggal dengan Nenek di Tulibas. Kami tinggal beramai-ramai di sana dari Isnin hingga Jumaat. Hari Jumaat petang kami pulang kampung di Bangingod hingga balik semula tempat nenek pada hari Ahad petang. Bagaimanapun, bermula dari 5 hingga darjah 6, saya berulang alik dari Bangingod kerana dianggap sudah semakin besar. Sebaik pulang rumah, saya membantu bapa yang berniaga kedai runcit, bantu beli ikan untuk dibuat ikan masin dan sebagainya.
 
UB:       Tentu banyak  pengalaman. Mungkin Datuk  ada kenangan yang tidak dapat dilupakan?
DMBHAG:         Pengalaman waktu itu memang banyak. Saya ingat ketika kecil dahulu, saya takut dikejar anjing. Kebetulan kami perlu melalui kebun orang Cina yang memelihara anjing. Selain memelihara anjing, dia juga memelihara itik. Kami takut kalau melalui kebunnya yang terletak dekat sungai kerana anjingnya garang. Itiknya pula bertelur dan kami sering menjumpai telur itiknya. Tapi kerana takut digigit anjingnya, kami tidak mengambil telur itiknya.
Kalau kami haus dalam perjalanan pulang itu, ramai ramai kami panjat kelapa yang banyak terdapat di pesisir pantai.
 
UB:       Selepas itu, Datuk sekolah dimana pula?
DMBHAG:         Selepas itu saya bersekolah di SM St.Dominic Lahad Datu.Mulanya dalam Bridge Class atau kelas peralihan sebelum bersekolah tingkatan satu hingga 5 di sekolah itu.
 
UB:       Dulu dari Tungku ke Lahad Datu berapa jauh? Waktu itu masih belum ada jalan kan?
DMBHAG:         Dulu tiada jalan.Hanya melalui laut dengan perahu layar yang akan mengambil masa hingga dua hari.Kemudian pakai enjin sangkut mengambil masa hingga 12 jam dan kemudian dengan `motor’ yang mengambil masa 6 hingga 8 jam. Antara rakan sekolah saya ialah Dr.Baitun Pisingan, Tuan Haji Kayum Haji Omar, KAN Haji Malik Aidala.
 
UB:       Di mana Datuk tinggal waktu itu?
DMBHAG:         Saya tinggal tempat keluarga di Kampung Singgahmata, Lahad Datu. Kami masak sendiri, cuci kain sendiri dan sebagainya.
 
UB:       Tamat tingkatan 5 dan setelah lulus peperiksaan MCE, Datuk terus bekerja?
DMBHAG:         Tidak. Saya melanjutkan pelajaran di Sabah College, kini Maktab Sabah dalam tingkatan 6. Di Maktab Sabah, kami tinggal di asrama. Jadi tidak ada banyak masalah dalam pembelajaran kerana tinggal di asrama. Selepas itu, barulah saya melanjutkan pelajaran lagi di peringkat diploma iaitu Diploma in Accounting (DIA) di ITM Kota Kinabalu selanjutnya ke ITM Shah Alam. Selepas itu, barulah saya bekerja di Jabatan Bendahari Negeri sebagai Pegawai Kira-Kira.
 
UB:       Kemudian Datuk terus belajar di Amerika?
DMBHAG:         Selepas itu saya mendapat peluang belajar di peringkat Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) di Ohio University, Athens di Ohio. Kemudian saya meneruskan pengajian di peringkat MBA di universiti yang sama.
 
UB:       Selepas itu?
DMBHAG:         Selepas berjaya memperolehi MBA, saya kembali ke tanahair dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Kira-Kira Kanan dan ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri sebelum menyertai Perkasa sebagai Eksekutif Pemasaran dan selepas itu berpindah ke Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat SEDCO.
 
UB:       Apa kunci kejayaan Datuk? Siapa yang paling banyak beri dorongan hingga maju dalam pelajaran?
DMBHAG:         Saya fikir kegigihan dan ketabahan serta semangat ingin belajar. Sebagai anak kampung dari sebuah desa yang terpencil ketika itu, mendorong saya untuk belajar lebih tinggi. Apatah lagi ketika melihat keadaan sekeliling, masyarakat saya yang kebanyakannya masih berada dalam tahap kemiskinan. Saya yakin hanya dengan memiliki pelajaran saja yang mampu mengubah dan membasmi kemiskinan.
 
UB:       Bagaimana Datuk melihat generasi muda sekarang?
DMBHAG:         Saya fikir mereka perlu mengubah minda mereka.Jangan terlalu memilih kerja.Sebaliknya mereka boleh menceburi bidang perniagaan dan bidang pertanian juga berpotensi untuk dikembangkan. Malah pertanian boleh menjadi perniagaan yang membawa keuntungan yang lumayan. Hidup masyarakat kini semakin berubah kerana mereka menceburi bidang pertanian dengan tekun seperti menanam kelapa sawit, buah-buahan dan sebagainya. Saya fikir generasi muda sekarang perlu mengambil peluang untuk menceburi perniagaan dalam bidang pertanian. Agriculture is business, kata orang. Walaupun mereka harus bermula secara kecil-kecilan dahulu. Sekarang, generasi belia di luar Bandar tidak perlu lagi mengharapkan untuk bekerja di pejabat-pejabat kerajaan sebaliknya mereka boleh terus menceburi bidang perniagaan, yang mampu pulangan tanpa had kepada mereka. Bidang perniagaan mampu membawa pulangan yang lumayan.
 
UB:       Oh ya, apa pendapat Datuk mengenai Bajet 2013 yang baru dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sidangnya baru-baru ini?
DMBHAG:         Bajet 2013 itu adalah bajet yang terbesar dalam sejarah.Sebanyak RM4.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan. Ini sesuatu yang menarik. Bagaimanapun, bajet 2013 itu haruslah dipastikan agar sampai ke kelompok sasaran. Jabatan dan agensi berkaitan hendaklah memastikan bajet 2013 sampai ke sasaran. Kalau tidak, tentulah ia tidak mencapai apa yang diharapkan oleh kerajaan. Kerajaan hendaklah memastikaSupaya semua pihak dapat menikmatinya dan ini mampu mengurangkan jurang ekonomi. Di negara kita, sungguhpun tidak banyak golongan milyuner atau jutawan, tetapi lebih banyak golongan kelas menengah. Jurang antara yang miskin dan yang kaya juga tidak terlalu ketara. Kita tidak mahu jurang ekonomi yang besar, kita mahu menjurus kepada pembahagian kek ekonomi yang sama rata.
 
UB:       Dalam bajet 2013, banyak bertumpu kepada kakitangan awam.Bagaimana pula sektor swasta? Apa pendapat Datuk ya?
DMBHAG:         Dalam bajet ini, golongan penjawat awam bertuah kerana mendapat bonus. Tetapi saya fikir, kerajaan juga harus memikirkan nasib kakitangan dalam sektor swasta. Gaji kakitangan swasta ada yang  lebih rendah. Kaji semula  struktur gaji swasta supaya kakitangan swasta juga menikmati faedah seperti yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan.
 
UB:       Baru-baru ini, Malaysia telah menjadi fasilitator yang telah berjaya membawa Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk menamatkan sengketa mereka selama kira-kira 40 tahun. Bagi pendapat Datuk, apakah kerangka perjanjian damai yang ditandatangani itu member manfaat kepada kita?
DMBHAG:         Sudah pasti, jika perdamaian dapat dicapai di Mindanao, banyak peluang baru akan tercipta dan memberi kesan kepada Sabah khususnya kawasan Pantai Timur Sabah yang bersempadanan dengan Filipina. Kawasan Sandakan, Semporna, Tungku akan meningkat dari segi ekonominya. Kita harus mengambil kesempatan dan bersedia merebut peluang perniagaan yang akan wujud. Selain itu, pelarian Filipina yang ada di Sabah pasti akan balik ke negara asal mereka kerana perdamaian tercipta di sana.
Perdamaian yang tercapai ini mampu memberi kesan positif terutamanya di kawasan BIMP-EAGA. Saya yakin , golongan peniaga khususnya boleh memanfaatkan peluang yang tercipta ekoran perjanjian damai itu.  Mereka boleh mengambil bahagian dalam pembangunan yang dijangka meningkat di kawasan BIMP-EAGA.
UB: Khabarnya Datuk aktif dalam kegiatan sosial?
DMBAG: Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi saya sudah terlibat aktif dalam kegiatan di bidang sosial. Saya pernah menjadi Presiden Badan Dakwah Islamiah YS-ITM (1976-1977) Naib Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar ITM 1978-1979, Presiden Kesatuan Pelajar Sabah dan Sarawak Ohio Universiti,Athen, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Perkasa Trading Sdn.Bhd 1986-1985, Presiden Kelab Kumpulan SEDCO 1995-2008, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Cement Industries (Sabah) Sdn.Bhd, AJK Persatuan Pelajar Maktab Sabah (OSCA) 1996-2008 dan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu 1991-2001.
Sekarang pun saya juga masih aktif dalam majlis-majlis amal, membantu anak-anak yatim, golongan miskin dan sebagainya.
 
UB:       Tentu Datuk punya banyak pengalaman ke luar negara. Apa negara yang pernah dilawati?
DMBHAG:         Ada jugalah. Saya kerapkali mewakili syarikat, kumpulan atau persatuan dalam persidangan-persidangan antarabangsa yang diadakan di luar negeri seperti UAE,Taiwan,Korea Selatan, China, Australia,Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei dan lain-lain. Selain itu, saya selalu menghadiri Forum dan Seminar dalam bidang ekonomi dan perniagaan baik di peringkat negeri, kebangsaan.
 
UB: Boleh ceritakan penglibatan dalam politik?
DMBHAG: Saya mengikuti perkembangan politik sejak kecil lagi.  Lahir dalam keluarga yang aktif dalam politik.  Nenek saya, Pg Iddeh bin Panglima Baning adalah seorang politik tempatan di zaman Usno.  Walaupun berminat dalam politik tetapi tidak menyertai apa-apa parti politik sehinggalah UMNO masuk ke Sabah. 
 
UB:       Bila menyertai UMNO?
DMBHAG:         Saya mula menjadi ahli Umno di UMNO Cawangan Kampung Pulau Terusan tahun 1995, Mendapat undi yang kedua terbanyak dalam pemilihan wakil 10 Bahagian Silam  tahun 1996, mendapat undi ketiga terbanyak dalam pemilihan  wakil 10 bahagian tahun 1997, menjadi Ketua Cawangan Kampung Bangingod tahun 1998, Bertanding Naib Ketua Bahagian tahun 1998, dilantik AJK Bahagian tahun 2000, menang undikedua terbanyak dalam pemilihan AJK dan wakil 7 tahun 2001, menjadi Pengerusi Biro Ekonomi dan Ketua Daerah Mengundi Zon Tanjung Labian Tungku tahun 2002, mendapat undi terbanyak wakil 7 bahagian  Silam tahun 2003. Bertanding Naib Ketua Bahagian tetapi kalah tahun 2004. Kemudian  dilantik sebagai Bendahari Bahagian UMNO Silam tahun 2005, dilantik Ketua Daerah Mengundi Zon Tungku,  menang dalam   pemilihan bahagian  dan Wakil 7 tahun  2007. Tanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian tahun 2008 tetapi kalah, menang dalam pemiliha wakil 7 dengan mendapat undi kedua terbanyak tetapi pada 2010, tidak bertanding dalam pemilihan wakil 7 bahagian. Itulah sedikit sebanyak turun naik penglibatan dalam politik.
 
UB:       Siapa yang selalu memberi dorongan kepada Datuk?
DMBHAG:         Ibu bapa yang kuat memberi semangat. Cikgu-cikgu saya juga selalu memberi semangat. Antara yang saya ingat Cikgu Asing, Cikgu Simon, Cikgu Adama dan lain-lain. Sewaktu masih di SM St Dominic antara cikgu yang saya ingat, Fr Celemente, Orang Itali kerana disiplin yang diterapkannya, Miss Capili, guru bahasa Inggeris dan sebagainya. Di Maktab Sabah, antara cikgu saya ialah Datuk Vincent Chia, Haji Mohd.Arifin Haji Isa, Pengarah Urusan SEBOR dulu.
 
UB: Masih ingat rakan-rakan sekolah yang telah berjaya?
DMBHAG:         Antaranya ialah Dr Baitun Pisingan, Doktor  Haiwan,  Abd.Rahim Hakim, ADO Tungku, Haji Mohd Akhir Tikok dan sebagainya. Ini sewaktu di St Dominic. Sewaktu di Sabah College pula, antara rakan sekolah saya ialah Dr Kasim Samsuri, Tan Sri Gani Patail dan lain-lain.
 
UB:       Kalau boleh tahu, siapa idola Datuk ?
DMBHAG: Saya meminati ketokohan Allahyarham Tun Dr.Ismail, mantan Timbalan Perdana Menteri dulu. Saya meminatinya kerana dia seorang yang tegas, `straight forward’ dan sebagainya. Banyak juga tokoh-tokoh lain yang saya minati tetapi Tun Dr.Ismail adalah yang paling saya minati.
 
UB:       Biasanya jika ada masa lapang, apa yang Datuk lakukan?
DMBHAG:         Saya terlibat dalam banyak persatuan. Banyak terlibat dalam kegiatan masyarakat. Selain itu, saya selalu balik ke kampung untuk membuat kerja-kerja sosial, yang saya minati sejak dulu lagi.Kalau ada waktu saya selalu bersenam dan sebagainya.
 
UB:       Terima kasih banyak Datuk kerana memberi kesempatan untuk sesi temubual untuk ruang Sembang Sabtu ini.
DMBHAG:         Terima kasih juga kerana sudi menemubual saya. Sebenarnya tak ada yang perlu dibanggakan tetapi saya berharap lebih ramai lagi generasi muda kita terutamanya di luar bandar berjaya dalam kehidupan mereka. Bagi saya pendidikan adalah sesuatu yang penting dan perlu diberikan keutamaan. Hanya melalui pendidikan yang mampu mengubah kehidupan kita kea rah sesuatu yang lebih baik.
 

No comments: