Saturday, October 20, 2012

Budiman Abpa, anak kampung yang berjaya hingga PhD



BUDIMAN ANAK KAMPUNG YANG BERJAYA HINGGA PHD

HANYA kerana lima ringgit, dia terpaksa berhenti sekolah menengah. Kemiskinan dan kesempitan hidup memaksanya bekerja di usia yang muda untuk membantu menyara hidup keluarga di kampung. Tetapi berkat kegigihan, kerajinan dan semangat yang tinggi, Budiman Abpa, pensyarah kanan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau berjaya menamatkan pelajaran hingga peringkat PhD.

Budiman adalah salah satu contoh anak kampung yang berjaya dalam pelajaran.Bermula sebagai anak nelayan, menjadi buruh pelabuhan, guru dan kini Pensyarah Mata Pelajaran Jasmani Kesihatan IPG Keningau.Sebelum ini beliau adalah Mantan Ketua Unit Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme di IPG yang sama.

Budiman Abpa dilahirkan di Kampung Nanamun Kota Belud pada 30 November 1956 daripada pasangan Abpa bin Andaman dan Liah bte Datu Taam.  Anak kelima daripada lapan adik beradik mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun.Bagaimanapun, beliau tidak dapat meneruskan pendidikan di peringkat menengah kerana kesempitan hidup.Selepas menjadi buruh, beliau memohon menjadi guru. Budiman mengambil peperiksaan dengan belajar sendiri dan lulus peperiksaan SRP, SPM, memasuki maktab perguruan, kemudian berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, lulus BA, MA dan berjaya menamatkan pelajaran di peringkat doktor falsafah.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Binah binti Saliun @ Nancy Salliun, peranakan dusun cina. Mereka dikurniakan tiga anak , seorang perempuan dan dua lelaki.

Wartawan Utusan Borneo,ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dan wartawan pelatih MOHD.NURAZWAN AUGUSTINE berkesempatan menemubual Cikgu BUDIMAN ABPA  di sebuah restoran makanan segera di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau berkaitan pengalamannya  sebagai pendidik, kesusahan hidup yang dilaluinya tetapi justeru itu yang membuat semangatnya semakin kuat untuk belajar.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit pengalaman cikgu ketika bersekolah dahulu?
BA:       Saya mula bersekolah dalam darjah satu di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Nanamun.  Kemudian pada tahun 1965, saya naik bridge class di SMK Taun Gusi. Bagaimanapun kerana kemiskinan dan kesengsaraan hidup, saya terpaksa berhenti sekolah menengah kerana tidak mampu membayar yuran sekolah RM5.00 sebulan.

UB:       Apa yang cikgu buat setelah berhenti sekolah?
BA:       Selepas berhenti sekolah, saya terpaksa mencari kerja untuk membantu menyara hidup keluarga. Di kampung tidak ada apa-apa pekerjaan yang tetap. Jadi saya terpaksa ke Api-Api untuk mencari kerja. Di Api-Api, saya bekerja menjadi buruh pelabuhan. Ketika itu saya bersama Ulin Agap.Gaji kami waktu itu ialah kira-kira 100 ringgit kalau tak silap.

UB:       Berapa lama cikgu bekerja sebagai buruh pelabuhan?
BA:       Kira-kira enam bulan. Selepas itu, kami memohon menjadi guru setelah diberi galakan oleh Cikgu Raskan Asing. Waktu itu Cikgu raskan bertugas sebagai Penyelia Pendidikan Jasmani Pantai Barat Selatan. Cikgu Raskan bilang, bagus kamu memohon jadi guru.Nanti saya rekomen, katanya.

UB:       Cikgu lulus temuduga?
BA:       Ya, selepas lulus temuduga, saya ditugaskan di SRK Tamu Darat. Setelah menjadi guru, fikiran saya terbuka sedikit.Kemudian saya mengikuti peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian dan lulus. Selepas lulus SRP, saya memohon untuk memasuki Maktab Perguruan Kent pada tahun 1975.  Tahun 1977, saya keluar maktab. Bertugas semula di SRK Tamu Darat.

UB:       Selepas itu?
BA:       Selepas itu, saya memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur pada 1977-1978. Sekembalinya dari Kuala Lumpur, saya ditugaskan pula di SRK Dudar, Kota Belud. Sepuluh tahun kemudian, saya mengambil diploma  perguruan di UPSI 1988-1992. Kemudian saya menjadi guru di SMK Pekan Kota Belud.
Pada tahun 1995, saya bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Keningau.Pada tahun 1996, saya memasuki Universiti Putra Malaysia 1999-2002. Tahun 2002, saya ambilsarjanan penyelidikan sukan hingga 2004. Kemudian tahun 2006, saya mengambil Phd di Univderssiti Selangir (UNISEL).

UB:       Bagaimana kaedah mengajar dulu dengan sekarang?
BA:       Dulu kita mengajar gunakan benda-benda maujud, pakai buku,pensil, kapur. Tapi sekarang sudah berubah kepada teknologi baru, internet dan sebagainya.

UB:       Kalau menurut pandangan Cikgu, bagaimana situasi pendidikan  di luar Bandar jika dibandingkan dahulu dan sekarang?
BA:       Dari segi kemudahan prasarana memang banyak perubahan yang berlaku.Kita boleh melihat kemajuan dari segi pencapaian kecemerlangan pendidikan di sekolah-sekolah luar Bandar. Guru-guru yang mengajar di luar Bandar diberikan elaun galakan insentif, kemudahan prasarana yang jauh lebih baik . Selain itu, banyak asrama desa dibina, kalau dulu tiada. Kalau dulu banyak sekolah luar Bandar yang mencatat kosong peratus  dalam UPSR sekarang sudah kurang.

UB:       Kalau dahulu bagaimana?
BA:       Pada zaman kami dahulu, jauh berbeza berbanding sekarang.Kemudahan pengangkutan tidak ada. Kami terpaksa berjalan kaki tiga empat batu ke sekolah. Kaki ayam. Selipar pun tidak ada, apatah lagi kasut. Jika tali selipar terputus, kami terpaksa menyambungnya. Sungguhpun begitu, kemiskinan tidak pernah menghalang kami untuk terus belajar. Ambil contoh saya sendiri, walaupun terpaksa berhenti kerana tidak mampu membayar lima ringgit yuran sekolah menengah, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk belajar.Saya mengambil peperiksaan, secara persendirian.Sebagai calon persendirian. Akhirnya lulus.Ambil peperiksaan SPM, gagal,ambil lagi, gagal, ambil lagi sehingga lulus, masuk university, ambil sarjana muda, sarjana dan kemudian PhD.

UB:       Bagaimana dorongan ibubapa kepada pelajar waktu itu?
BA:       Asalkan pandai baca,cukuplah.Asalkan jangan sesat jalan. Itu saja pesanan orang tua.Apatahlagi kehidupan susah. Miskin. Jadi ramai anak-anak kampung waktu itu tidak dapat meneruskan pelajaran mereka.Mereka hanya sampai setakat sekolah rendah. Walaupun begitu, ternyata keadaan kesukaran hidup yang dilalui itu yang mendorong untuk terus berusaha lebih gigih lagi. Kini keadaan jauh berbeza.Kesedaran di kalangan ibu bapa di kampung semakin tinggi. Sekarang ramai anak-anak kampung yang telah berjaya, menjadi professional, jurutera, peguam, guru, dan sebagainya. Dulu, kesempitan hidup tidak memungkinkan, itu sebab ramai yang terkandas dalam pelajaran.

UB:       Apa falsafah atau kata-kata hikmat yang menjadi pendorong cikgu untuk berjaya?
BA:       Buat sehabis baik. Itulah falsafah yang diterapkan kepada saya. Dalam kegiatan berpengakap juga, sentiasa diterapkan begitu.

UB:       Oh ya.Cikgu mengatakan hanya kerana tidak mampu bayar yuran lima ringgit, itu yang menyebabkan cikgu terpaksa berhenti sekolah. Berapa nilai lima ringgit waktu itu ya?
BA:       RM5.00 itu dulu sama nilainya dengan seekor anak kambing. Seekor kambing itu dijual antara RM25 hingga RM30. Dulu murah.Sekarang harga kambing sudah mencecah RM500 seekor.

UB:       Tiada bantuan kerajaan?
BA:       Pada waktu itu tidak ada.Ibubapa kami terpaksa berusaha untuk sendiri, menjual ikan, hasil pertanian, ambil atap nipah, ambil lokan dan sebagainya untuk dijual Jual ayam, dan sebagainya untuk mrmbayar yuran  bulanan.

UB:       Sengsara ya hidup orang tua kita dahulu. Cikgu bantu ibu bapa juga?
BA:       Memang kesengsaraan hidup waktu itu, agak mencabar juga. Pagi kami pergi sekolah.Petang balik dari sekolah, kami ke sawah menghalau pipit. Kalau padi belum berbuah, kami ikut membersih permatang. Lepas itu tangkap ikan. Kadang ikut ke laut menangkap ikan.Pergi jam empat atau lima pagi, kemudian pulang tengahari. Kami ke laut pakai layar.Layar dari kain buruk yang bertampal-tampal. Selain itu, saya juga pernah ikut cari lokan.  Kemudian jual lokan di tamu Pandasan.Kadang-kadang sebelah malam, ikut keluarga ambil atap nipah. Waktu itu harga nipah ialah lima sen satu. Kalau seratus keping, dapatlah RM5.00. Tapi sekarang harga atap,RM5.00 sekeping. Sekarang harga atap jauh lebih baik berbanding dahulu.

UB:       Siapa yang banyak memberikan galakan kepada cikgu?
BA:       Antara yang banyak mendorong saya ialah Cikgu Raskan Asing. Arwah cikgu Matlin Jadi juga selalu memberikan nasihat “Budiman, jangan berhenti belajar.”, katanya.Dialah yang menasihati saya agar terus belajar. Waktu itu juga, antara pemimpin yang banyak member inspirasi ialah Datuk Haji Yahya Lampong, ketika itu Timbalan Menteri Kerajaan Pusat.,Dia selalu berikan dorongan agar mementingkan pelajaran.
Saya ingat juga Cikgu Peri, di Timbang Dayang. Dia yang bayak menolong, dialah tukang ajar saya dalam matematik dan sains.

UB: Cikgu pernah juga aktif dalam politik?
BA: Saya pernah jadi Ketua Pemuda Cawangan UMNO Kampung Nanamun   pada tahun 1991 iaitu ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Pinjaman yang menjadi Ketua Cawangan. Kemudian saya menjadi pengerusi tetap selama beberapa tahun. Jawatankuasa UMNO Cawangan Nanamun hingga 1996,dan pernah menjadi perwakilan cawangan ke peringkat bahagian. Sebenarnya saya mula berkecimpung dalam politik ketika UMNO masuk ke Sabah dan bergiat cergas bersama-sama pemimpin tempatan untuk meyakinkan rakyat atas kemasukan UMNO Ke Sabah khasnya di kawasan Tempasuk.Sekarang ini saya bergerak semula dalam politik setelah ada pekeliling yang membenarkan penjawat awam bergiat dalam politik.

UB:       Dalam kegiatan berpersatuan?
BA:       Saya aktif dalam pengakap.Dalam kegiatan pengakap saya pernah mengikut kursus dari peringkat bawah hingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, kegiatan uniform yang lain seperti KRS, St John dan sebagainya, bulan sabit merah dan sebagainya. Saya juga bergiat cergas dalam NGO khasnya persatuan belia dalam bidang motivasi kepimpinan masyarakat.
Melalui kegiatan pengakap dan kegiatan beruniform yang lain, saya fikir sangat baik dan efektif dalam pembentukan sahsiah remaja dan pelajar.

UB: Siapa rakan Cikgu waktu sama-sama bersekolah dahulu?
BA:       Rakan-rakan di sekolah rendah dahulu, antaranya Cikgu Lantung, KAN Batun, Cikgu Tiardek, Dayang Imun dan lain-lain.Kalau rakan di Universiti pula 1996-1999, antaranya ialah Datu Ruslin Siabok, Azral Askal dan lain-lain.

UB:       Apa kegiatan cikgu sewaktu di UPM?
BA:       Saya juga aktif, ketika di universiti sebagai Penyelaras Sukan dan Rekreasi UPM.

UB:       Oh ya, berapa tahun Cikgu jadi guru?Apa pengalaman cikgu yang lain?
BA:       Saya menjadi guru sekolah rendah selama 21 tahun, guru sekolah menengah selama dua tahun, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau selama 17 tahun, pensyarah undangan UMS dari tahun tahun 2005 hingga masa kini. Selain itu, saya juga jadi Open Universiti Malaysia dari tahun 2005 hingga kini.

UB:       Apa tugas cikgu di IPG Kampus Keningau?
BA:       Saya jadi pensyarah mata pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan, Ketua Unit Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme, Jurulatih Kebangsaan Unit Beruniform Pengakap.

UB:       Cikgu aktif juga dalam NGO?
BA:       Dalam bidang kesukarelawanan/NGO, saya aktif sebagai Ahli Rela semenjak 1995, jurulatih antarabangsa dalam Unit Persatuan Pengakap Malaysia, jurulatih Belia dalam sukan permainan, Naib pengerusi Badan Amal Kota Belud, Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Kebudayaan, Persatuan Graduan Iranun dan sebagainya.

UB:       Apa harapan cikgu terhadap generasi muda hari ini? Saya fikir cikgu boleh menjadi idola generasi baru dalam soal kegigihan dalam pelajaran. Bermula daripada seorang buruh pelabuhan, kerana tidak dapat meneruskan persekolahan hinggalah jadi guru, masuk maktab, jadi pensyarah, ambil SRP, SPM secara persendirian, kemudian BA,MA dan PhD, sesuatu yang amat membanggakan.
BA:       Saya bersyukur kerana walaupun kehidupan masyarakat kami dulu agak miskin tetapi kerana kesedaran ingin belajar dan mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup, saya tetap menggagahkan diri untuk terus belajar.Meskipun terpaksa mengambil peperiksaan secara persendirian, tetapi atas usaha, dan buat sehabis baik, akhirnya setelah menempuh pelbagai keperitan hidup, akhirnya saya berjaya mencapai hingga peringkat PhD.Alhamdulillah.

UB:       Terima kasih kerana cikgu sudi ditemuramah.kami berharap ini boleh menjadi contoh yang baik kepada generasi muda, bahawa kemiskinan tidak pernah menghalang seseorang untuk berjaya.Terima kasih.



No comments: