Saturday, October 20, 2012

Dr Mutarin bercerita Ehwal Ternakan di Sabah





DR MUTARIN BERCERITA EHWAL TERNAKAN DI SABAH

SAMBIL menikmati kopi yang semerbak baunya di salah sebuah restoran terkenal di ibu negeri, salah seorang pakar pemakanan ternakan di negeri ini, Dr.Ir.Mutarin Haji Damshik bercerita mengenai masalah ternakan di Sabah, bidang ternakan yang boleh dimajukan, keistimewaan kambing kacang sebagai ternakan warisan dan sebagainya.

Dr. Ir.Mutarin Haji Damshik lahir di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada 13 Julai 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun,Kota Belud (1964-1969) sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Ghafar Baba Melaka dari tahun 1970-1974. Selepas itu, beliau bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai Pembantu Cukai dari tahun 1975-1979.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor (IPB) pada tahun 1981 hingga 1986. Selepas memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengeluaran ternak monogastrik,Dr.Mutarin kemudian  bertugas di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak sebagai Penolong Pegawai Haiwan pada tahun 1987 . Pada tahun 1992 hingga 1994, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana (MA) dalam bidangan Makanan Ternakan. Pada tahun 1999-2001, beliau meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengeluaran ruminan di universiti yang sama.

Pada tahun 2002, beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik, pegawai Penyelidik Kanan (2005) dan kemudian dilantik  Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pemindahan Teknologi di Ibu Pejabat Haiwan .

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang-sembang dengan DR MUTARIN HAJI DAMSHIK (DMHD) di sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya, baru-baru ini.


UTUSAN BORNEO:        Sebagai orang yang boleh dikatakan mahir dalam bidang penternakan, mungkin Dr boleh menjelaskan apa masalah ternakan di Sabah?
DR MUTARIN:      Saya melihat masalah penternakan di Sabah ialah produknya rendah berbanding keperluan kita. Pengeluaran kambing, lembu, kerbau, biri-biri hanya memenuhi sekitar 24 peratus keperluan sara diri, kalau saya tak silap. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran hasil ternakan di negeri ini.

UB:    Apa yang menyebabkan pengeluaran rendah?
DMHD:        Antara faktor yang menyebabkan pengeluaran rendah ialah faktor pemakanan. Ternakan kekurangan zat makanan protein dan energi untuk menunjang produksi, melahirkan anak yang banyak, pengeluaran telur yang tinggi, pengeluaran susu yang banyak, peningkatan berat badan dan sebagainya. Faktor pemakanan yang menyebabkan pengeluaran rendah.

UB:    Ada faktor lain?
DMHD:        Saya melihat masih terdapat kekurangan pakar pemakanan ternakan di negeri kita. Dengan adanya pakar pemakanan, produksi dapat ditingkatkan. Kepakaran sesorang itu tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.Selain itu, saya melihat penempatan pegawai yang tidak tepat.Ertinya pegawai yang mempunyai kelulusan dalam bidang tertentu tidak ditempatkan pada tempat yang seharusnya. Umpamanya, bidang penternakan sepatutnya diuruskan oleh seorang yang mahir dalam bidang ternakan, yang merangkumi pemakanan (feeding)pemakanan (breeding,) dan pengurusan (management). Ia berbeza dengan kemahiran yang dimiliki Doktor haiwan kerana doktor haiwan selalunya menguruskan kesihatan ternak, penyakit, ubat dan sebagainya bagi memastikan ternakan sentiasa sihat.

UB:    Kalau menurut pendapat Dr, apa cara untuk mengatasi masalah produksi yang rendah ini?
DMHD:        Salah satu cara untuk meningkatkan pengeluaran ternak ialah membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang. Kita buat perancangan jangka panjang dalan tempoh 10 tahun, kita buat berdasarkan ternakan yang ada sekarang. Berapa induk, berana yang kita hasilkan. Berapa yang kita import dan sebagainya.Ini semua masuk dalam perancangan kita. Jika kita tidak membuat perancangan yang baik, kita terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk import bagi memenuhi keperluan kita di seluruh negara. Kita terpaksa berbelanja besar untuk import induk ternakan berbanding jumlah produksi yang dihasilkan. Ini yang perlu kita perbaiki.

UB:    Di Sabah, apa jenis ternakan yang boleh  membawa pulangan lumayan jika diusahakan?
DMHD:        Kalau menurut pendapat saya, penternak boleh menternak kambing kacang, itik penelur dan ayam pedaging. Ini mendatangkan pulangan lumayan. Kambing kacang, misalnya, sesuai diternak di negeri kita kerana iklimnya sesuai. Cepat dewasa. Kalau kambing jantan seberat 25 kg berharga kira-kira RM800. Kalau kambing betina 20 Kg berharga RM800. Berbanding dengan kambing bor, untuk 20 kg bernilai kira-kira RM1,000 tetapi lebih sukar diternak. Kambing kacang cepat membesar, pandai cari makan sendiri dan mudah membiak. Selain itu, permintaan untuk kambing kacang ini agak tinggi. Kambing ini amat diperlukan untuk kenduri kahwin, orang berkhatan, kenduri akikah dan sebagainya. Bahkan kambing jenis ini paling laris. Di sesetengah tempat seperti Tawau, kambing kacang yang baru berusia dua bulan pun, sudah ditempah orang.

Menternak kambing ini berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan lumayan untuk penternak. Satu lagi yang paling sesuai diternak untuk meningkatkan sumber pendapatan penduduk ialah itik penelur. Ia boleh menjana pendapatan. Selepas lima bulan, itik penelur akan bertelur setiap hari. Bayangkan kalau kita mempunyai ternakan itik sebanyak 500 ekor. Menurut pemerhatian, 80 peratus daripadanya bertelur. Ini bermakna kita memperolehi sekitar 400 telur itu sehari. Kalau satu bulan, bermakna kita boleh mendapat kira-kira RM12,000 sebulan berdasar harga telur masin sekarang. Itik penelur bagus untuk dimajukan.

Selain itu, ayam pedaging juga boleh mendatangkan hasil yang tinggi. Ayam pedaging boleh dijual selepas tujuh minggu.Selepas tujuh minggu, ayam pedaging boleh mencapai berat kira-kira 2.8 kilogram. Ia boleh mendatangkan hasil yang cepat.

UB:    Saya agak tertarik dengan soal kambing kacang yang Dr sebut tadi. Sebenarnya apa itu kambing kacang Dr?
DMHD:        Kambing Kacang merupakan kambing tempatan Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia ianya merupakan ternak pusaka. Ianya warisan dari zaman berzaman dari nenek moyang kita. Kambing Kacang dapat juga dijumpai di Filipina maupun Taiwan serta negara-negara Asia Tenggara yang lain.

UB:    Apa ciri-cirinya?
DMHD:        Kambing Kacang pada kebiasaanya berwarna hitam, kadangkala bercampur putih maupun coklat. Pada hari ini kebanyakan Kambing Kacang memiliki tiga warna tersebut yakni hitam, putih dan coklat atau berwarna putih dan hitam atau putih dan coklat juga coklat hitam, tetapi warna Kambing Kacang berwarna kombinasi hitam putih kelihatan lebih asli.
Kambing Kacang memiliki ciri-ciri tertentu iaitu memiliki tanduk yang bengkok dan tajam, melengkung ke atas dan ke belakang pada kedua jantan dan betina.Memiliki telinga yang pendek, tegak lurus mengarah ke atas depan. Kambing kacang jantan memiliki janggut tetapi kadangkala terdapat juga pada betina.Memiliki ketinggian antara 56-65 cm. Kambing ini sangat subur, beranak dengan kembar dua merupakan perkara biasa.Purata perkelahiran 1.7. Kacukan Kambing kacang lebih mirip kepada baka induk atau pejantannya.
Masa baligh Kambing Kacang pada umur 6 bulan, yang jantan 7 bulan. Menurut kajian para pakar ternak kambing kacang dan kacukannya di Indonesia termasuklah Prof.Dr.Haji Rachmat Herman, umur dewasa kelamin bagi Kambing Kacang betina ialah 10 bulan dan jantan 12 bulan dalam erti kata penternak di dua kawasan tersebut sering mengahwinkan kambing mereka sekitar pada umur tersebut.

UB:    Menarik. Jadi kambing dikahwinkan pada umur 10 bulan?
DMHD:        Umur pertama induk beranak ialah 12-13 bulan dengan kelahiran kembar yang tinggi.Kembar tiga juga biasa terjadi dan kembar 4 pula banyak dilaporkan menurut hasil penyelidikan Herman dan kawan-kawannya di Indonesia pada 1983.
Di Malaysia dilaporkan purata umur beranak Kambing Kacang beranak dan jarak waktu beranak ialah 62 minggu dan 240 hari. Di Indonesia, populasi kambing lebih tinggi dibanding ternakan lain.

UB:    Boleh jelaskan sedikit kegunaan kambing kacang? Apa istimewanya?
DMHD:        Penduduk memiliki kambing pada umumnya untuk kegiatan sosial dan keagamaan. dalam beberapa perkara, penduduk Indonesia lebih menyukai daging kambing dibanding ternak lain, sehingga nilai daging kambing sangat berharga dan mempunyai sumbangan yang nyata untuk keperluan protein.
Keistimewaan kambing Kacang ialah antara lain,efisien dalam menggunakan air, kambing di daerah tropika sangat baik beradaptasi dengan kekurangan air.
Pada suhu panas 38 C, keperluan air kambing kacang setengah dari keperluan air biri-biri. Kambing Kacang tidak berpeluh dan kehilangan sedikit air melalui feses dan air kencing.

keistimewaan Kambing Kacang ianya mudah dibiakbaka, harga per ekor murah, dapat hidup dengan pengurusan yang berubah-ubah serta daapat beradaptasi dengan iklim setempat juga sangat selektif dalam memilih makanan.

UB:    Jika tak silap, Dr pernah buat kajian mengenai kambing kacang. Apa yang Dr selidik kita buat penyelidikan mengenai kambing kacang?
DMHD:        Di dalam penyelidikan Kambing Kacang, antara faktor pengeluaran yang diuji  ialah Konsumsi makanan, konversi makanan, pertambahan berat badan, pengaruh makanan terhadap berat organ tubuh dan pengaruh makanan terhadap pertumbuhan tulang, otot dan lemak.

UB:    Khabarnya, kambing kacang makin pupus di Sabah. Apa  puncanya Dr?
DMHD:        Faktor penyumbang kepada kepupusan Kambing Kacang di Sabah ialah kerakusan orang tengah unntuk menjual kambing hidup ke negeri seberang sebagai daging konsumsi negara berkenaan.
Kerakusan ini terjadi kerana pihak pembeli menawarkan harga kambing hidup dalam ringgit Brunei yang memiliki tukaran yang dua setengah kali ganda lebih tinggi dibanding Ringgit Malaysia.
Kambing kacang tidak boleh dilihat dari aspek komersial sahaja tetapi lebih kepada rasa tanggungjawab terhadap ternak warisan ini. Kita berharap akan timbul kesedaran di kalangan masyarakat dan pemimpin negeri di negeri ini akan betapa berharganya sekiranya kita memiliki sikap untuk melestarikan kambing kacang sebagai ternak warisan kita yang tak bakal ditelan zaman.

UB:    Oh ya, beralih kepada soal lain. Saya tertarik dengan pengalaman Dr. Kalau tidak silap saya, Dr adalah seorang yang mempunyai kepakaran dalam pemakanan ternakan. Lagipula, Dr adalah antara orang pertama dalam masyarakat Iranun yang memiliki PhD dalam bidang teknikal. Boleh ceritakan sedikit pengalaman Dr sewaktu menuntut di universiti khususnya di Indonesia?
DMHD:        Saya bersyukur kerana berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor (IPB) atau Bogor Agricultural University, yang merupakan salah satu universiti terbaik di Asia dalam bidang pertanian. Pada tahun-tahun awal berada di sana, iaitu ketika tahun peralihan, agak sukar juga untuk mengikuti subjek atau mata ajaran sains, fizik, biologi, matematik dan sebagainya. Standard matematiknya agak tinggi. Selepas itu, ketika memasuki fakulti, saya menjurus dalam bidang pengeluaran ternakan untuk ijazah sarjana muda. Lulusan bidang pertanian dan penternakan di sana layak mendapat gelar Ir atau Insinyur. Setelah lulus pada 1986, Pada 1987, saya berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak. Kira-kira lapan tahun kemudian, saya meneruskan pengajian dalam bidang makanan ternakan untuk ijazah MA pada 1992-1994. Empat tahun kemudian, saya melanjutkan pelajaran untuk ijazah PhD dalam bidang  pengeluaran ruminan.

UB:    Jadi bidang Dr menjurus kepada pengeluaran ruminan?
DMHD:        Di peringkat yang lebih tinggi, kita semakin menjurus kepada kepakaran.Kita punya kepakaran. Kita membuat kajian menyeluruh, bukan sepotong-sepotong. Kita harus benar-benar menguasai bidang kita. Misalnya untuk tujuan penyelidikan kambing , kita sembelih, kemudian kita kupas kulitnya, kita belah dua, Belahan yang satu dibelah tujuh, kita selidik  berapa jumlah daging dan berapa jumlah tulang.Berapa berat karkas, berat badan, kita akan dapat hasil perbandingan. Ini untuk penyelidikan pengeluaran ruminan. Di peringkat sarjana, kita buat makanan ternakan.Bagaimana rumput diubah jadi makanan.Kita menyelidiki secara menyeluruh.

UB:    Sangat teknikal tu Dr. Satu lagi, apa kelebihan belajar di Indonesia khususnya dalam bidang pertanian menurut pandangan Dr?
DMHD:        Kalau bagi saya, di sana kita mudah kerana iklimnya sama dengan kita, jenis tanah sama, jumlah taburan hujan, pun sama, sehingga apa saja yang boleh tumbuh di sana, boleh juga ditanam di sini, begitu sebaliknya. Jadi kita tidak perlu transfer atau ubah suai apa yang kita pelajari. Kita boleh terapkan terus dalam bidang kita. Selain itu, dari aspkek budaya, sosial, kita tidak jauh berbeza.Bahasanya senang kita faham kerana serumpun. Pada saya, kebanyakan pelajar di sana, melahirkan semangat yang lebih patriotik dan tahan mental dan sebagainya. Kita tidak jauh berbeza, ilmu yang kita pelajari khususnya dalam bidang pertanian mudah kita terapkan dalam dunia kita.

UB:    Terima kasih Dr kerana sudi bersembang-sembang secara santai dengan kami. Sedikit sebanyak kami dapat maklumat mengenai bidang penternakan di Sabah yang agak asing bagi kami.
DMHD:        Terima kasih.








No comments: