Ahad, 28 Oktober 2012

Haji M, `Pengarau' dan lagu Berkorban Apa Saja

Tags



HAJI M, PENGARAU DAN LAGU BERKORBAN APA SAJA

SEKONYONG-KONYONG Haji M bertanya mengenai pergantian musim. Apakah musim `pengarau' telah berlalu dan musim lain telah tiba?
Apa maksud musim `pengarau' itu pakcik? Saya bertanya kepada beliau ketika bertemu secara tidak sengaja dengannya di dalam perut City Bus menuju pasar.

"Amun musim pengarau, tonom parai pan nya jadi" katanya dalam bahasa Bajau yang kira-kira bermakna jika musim kemarau, tanam padi pun tidak boleh tumbuh.

Tak ada hujan, katanya. Dalam musim `pengarau' tidak banyak makanan tapi petani masih boleh hidup. Sawah kering kontang, pokok-pokok tak berdaun, katanya. Saya merasa pelik juga mengapa dia bertanya mengenai musim `pengarau' padahal hampir setiap petang hujan turun di ibu negeri.

Pertanyaan Haji M  itu membuat saya berfikir.Mengapa beliau mengutarakan persoalan mengenai musim `pengarau’ yang menurutnya, orang susah cari makan tetapi masih boleh hidup itu. Tetapi katanya, beliau bukan  semata-mata bercakap mengenai cuaca kering yang berpanjangan itu tetapi lebih dari itu, `pengarau’ yang melanda hidup kita, jiwa kita dan sebagainya.

Haji M adalah seorang veteran yang sudah tentu telah melalui pelbagai pengalaman dalam hidupnya. Mahu tidak mahu percakapannnya terpaksa didengar kerana beliau menghuraikan bagaimana `pengarau’ boleh memberi kesan terhadap ekosistem jika cuaca kering berpanjangan.

Sepanjang perjalanan itu saya sempat merenung apa yang dimaksudkan oleh Haji M itu. Semua orang pastilah pernah dilanda `pengarau’, kalau yang dimaksudkannya itu kemarau dalam jiwa. Pengarau, satu perkataan dalam bahasa Bajau sama yang diucapkan untuk menggambarkan suasana kering kontang, sehingga kehidupan dan penghidupan menjadi terancam kerana ekosistem yang terganggu.

Kita dalam suasana `pengarau’ sekarang, kata Haji M. Saya masih tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh orang tua berusia 72 tahun, yang suka bertamsil ibarat itu. Apakah `pengarau’ itu ertinya  kekeringan idea, kekeringan ilham, kekeringan tindakan, atau berbagai-bagai kekeringan yang saya hadapi.

Betapa kaya khazanah bahasa ibunda kita.Haji M mengungkapkan satu perkataan `pengarau’, yang membuat fikiran saya berputar akan apa yang dimaksudkan oleh beliau yang suka membuat ulasan itu ini, begitu begini mengenai apa saja isu yang beredar dalam masyarakat.

Ramai yang tidak `kebagian’, katanya.Tapi kita tidak boleh marah kerana sekarang musim pengarau.Saya mulai dapat memahami apa yang dikatakannya.Mengenai orang-orang yang tidak mendapat bahagian yang menyebabkan mereka marah marah kepada sistem yang ada. Fikiran saya menerawang tak tentu arah hanya kerana satu perkataan pengarau yang ditanyakan kepada saya oleh Haji M itu.

Musim `Pengarau’ orang yang menanam padi tidak tumbuh padinya, `Tonom parai pan nya jadi’” katanya. Tapi beliau sempat menceritakan bagaimana pada satu majlis ketika beliau dijemput menyampaikan sebuah lagu, Haji M memilih untuk menyampaikan lagu P.Ramlee bertajuk Berkorban Apa Saja.

Kenapa pakcik menyanyikan lagu itu? Saya bertanya, cuba mencari kaitan antara musim pengarau dengan lagu Berkorban Apa Saja yang didendangkannya dalam satu majlis keramaian di Kinarut itu.

Lagu ini boleh ditujukan kepada siapa-siapa saja yang kita ingini, katanya. Tidak semestinya kepada kekasih.Lagu ini kita boleh tujukan untuk parti kita, kerajaan kita, negeri kita atau sesiapa saja yang berkenaan.

Saya merasa gelihati ketika teringat bait-bait lagu itu. Sungguhpun hidup kita `pengarau’, kerana tidak mendapat peluang atau kesempatan yang lebih baik, kita mesti ingat lagu ini, kata Haji M.

Lalu beliau memberikan sedikit seni kata lagu `Berkorban apa saja’. Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Kepentingan sendiri, tidak diingini,bahagia kekasih saja yang diharapi. Untuk menjadi bukti, kasih yang sejati, itulah tandanya, jika mahu diuji.

Kasih kita yang sejati, kini sedang diuji, katanya.Kita harus berkorban, berkorban apa saja, untuk mendapatkan kasih mesra yang sejati dan mulia.

Kepentingan sendiri, tidak diingini. Saya tahu sekarang, musim `pengarau’ katanya.Jangan ambil hati, katanya, memang kalau orang tua suka melalut dan mengarut, katanya sebelum turun di pasar itu.