Saturday, October 13, 2012

Isnin yang hijau di Mindanao



ALIH S.ANSO , seorang wartawan penyiaran di Upi, Maguindanao  sudah memilih pakaian yang akan dipakainya pada Isnin ini, 15 Oktober 2012.  Sama seperti rakan-rakannya yang lain, Alih akan mengenakan baju bewarna hijau. Mereka yang tidak memiliki baju hijau, akan memasang riben hijau di atas saku baju mereka sebagai tanda sokongan terhadap  majlis menandatangani rangka perjanjian di antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dijadualkan bermula jam 1.30 petang di Istana Malacanang.

Hari itu, orang-orang yang menyokong perdamaian itu akan memasang langsir hijau di rumah mereka. Mereka akan menghias pagar-pagar rumah mereka dengan warna hijau. Sepanduk-sepanduk bertulis `We Support Bangsamoro' akan membanjiri jalanraya jalanraya utama di wilayah yang sudah lama merindukan kedamaian itu.

Setelah berjuang selama 40 tahun, akhirnya Bangsamoro mendapatkan pengiktirafan dan pengakuan. Harga diri dan maruah mereka dikembalikan. Hak mereka terhadap tanahair nenek moyang mereka kini diakui. Malah mereka dibenarkan untuk menamakan Kerajaan yang akan dibentuk pada 2016 sebagai Kerajaan Bangsamoro.

Selepas Pengerusi MILF, Haji Murad Ebrahim menurunkan tandatangan bersama wakil kerajaan, Marvic Leonen dalam satu majlis yang akan turut disaksikan oleh Presiden Benigno Aquino III beserta barisan kabinetnya, pejuang-pejuang bangsamoro, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Najib Tun Razak, Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu, wakil International Contact Group, International Monitoring Team, dan sebagainya, satu Suruhanjaya Transisi akan dibentuk, yang akan dianggotai 15 anggota, 8 dipilih oleh MILF termasuk pengerusi dan 7 lagi dipilih oleh Kerajaan Filipina, kesemuanya terdiri daripada Bangsamoro.

Suruhanjaya inilah yang akan merangka undang-undang mengenai pelbagai aspek yang telah dipersetuju, dan jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, satu pilihanraya, satu proses demokrasi akan diadakan pada 2016 untuk membentuk Kerajaan yang dinamakan Kerajaan Bangsamoro.

Ini merupakan sebuah peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat. Setelah berjuang sekian lama, ribuan telah terkorban di kedua-dua pihak, perjanjian ini akan menghapus dendam yang tak berkesudahan itu. Perjanjian ini bukan mengenai luka lama atau atau dendam tetapi lebih usaha-usaha rekonsialisasi, penyembuhan, perpaduan dan sebagainya. Jika luka diungkit, ia pasti meninggalkan torehan yang sakit. Apatahlagi, sudah ramai yang terkorban, syahid, hilang anggota badan mereka dalam mempertahankan tanah nenek moyang mereka.

Majlis menandatangani perjanjian itu, dijadual esok, pastilah sesuatu yang ditunggu-tunggu. Hari itu, satu episod baru, akan tercipta di Mindanao. Kewujudan bangsamoro, tanahairnya, harga diri dan kehormatanya diperakui secara rasmi. Perunding-perunding damai, yang telah berunding selama 16 tahun itu, akan mendapat tempat mereka yang tersendiri dalam sejarah.

Impian bangsamoro untuk berkerajaan sendiri akan terwujud tidak lama lagi. Peluru, desing tembakan dan bom yang sering meletup mengganggu kedamaian di Mindanao akan segera terhenti. Bangsamoro yang telah mendiami pulau itu lama sebelum kedatangan Magellan pada 1521, layak berbangga kerana pada akhirnya, mereka mendapat tempat mereka yang sewajarnya dalam sejarah.

Rangka persetujuan itu merangkumi semua kalangan dalam bangsamoro. Semua diberikan tempat termasuklah juga lumad atau orang asal. Mereka akan dilibatkan dalam sepanjang proses transisi itu sehingga undang-undang baru digubal menjelang 2016. Khabarnya, seramai 100 pejuang bangsamoro diketuai Haji Murad sudah berada di Manila untuk menunjukkan kepada dunia mengenai komitmen mereka terhadap perdamaian yang berkekalan di Mindanao. Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka juga bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam mencari jawapan kepada persoalan bangsamoro yang telah berlarutan selama ini.

Memang terdapat tentangan dan bantahan dari beberapa kalangan di Mindanao, termasuk dari Nur Misuari sendiri, yang mengatakan bahawa Perjanjian Tripoli 1976 dan perjanjian MNLF-GPH yang ditandatangani 1996 masih terpakai. Bagaimanapun, tidak lain dari Presiden Aquino sendiri yang mengatakan pada 7 Oktober lalu, persetujuan yang dicapai 1996 itu adalah perjanjian yang gagal dan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Kerana itu, Framework Agreement yang ditandatangani pada 15 Oktober, iaitu esok, adalah satu peristiwa yang amat penting untuk dikenang dalam sejarah. Presiden Benigno Aquino 111 telah melunaskan janjinya untuk mencari jalan penyelesaian di Mindanao. Jika tidak silap, ayahnya, Benigno Aquino sendiri sebelum ditembak mati sejurus selepas keluar dari pesawat China Airlines setibanya di Lapangan Terbang, telah berjanji untuk menyelesaikan masalah bangsamoro di Mindanao. Itulah salah satu sebab mengapa beliau pulang dari buangan di Amerika.

Kini cita-cita murni untuk melihat kedamaian di Mindanao akan tercapai. Hampir semua orang di Mindanao, Basilan dan Sulu memberi sokongan terhadap Framework Agreement itu. Bahkan satu karavan telah meninggalkan Cotabato, Marawi, Maguindanao, Davao City untuk ke Manila. Karavan itu dianggotai oleh pemimpin-pemimpin akar umbi, pemimpin Islam dan Kristian, pemimpin NGO bergerak dari Mindanao dan dijangka sampai ke Manila menjelang majlis itu berlangsung.
Gabenor ARMM, Mujiv Hataman sendiri bersedia untuk  membelanjakan P10 juta untuk memberikan penerangan terhadap rakyat betapa pentingnya persetujuan damai itu.

Persetujuan yang dicapai pada 32nd Explotary talks di Palace of Golden Horses di Kuala Lumpur pada 7 Oktober lepas memang menandakan satu episod baru dalam sejarah di Mindanao. Satu kompromi telah dicapai, kompromi yang lebih baik daripada beradu kekuatan di medan perang. Melalui kompromi itu, satu Entiti baru bernama Kerajaan Bangsamoro akan lahir. Khabarnya, Mohagher Iqbal, ketua perunding MILF menitiskan airmata sebaik-baik mendengar pengumuman Presiden Filipina, Benigno Aquino III selepas perundingan itu mencapai kata sepakat.

Walau bagaimanapun, peristiwa penting yang akan ditandatangani esok itu adalah satu permulaan bagi mengakhiri kemiskinan, kemunduran, dan kekacauan  di Mindanao. Saya fikir, bukan setakat Mohagher Iqbal yang menangis, jutaan rakyat bangsamoro juga ikut menangis ke atas kejayaan itu.

No comments: