Sabtu, 20 Oktober 2012

Jasmih gigih beri kesedaran mengenai hak asasi

Tags




JASMIH GIGIH BERI KESEDARAN MENGENAI HAK ASASI

SUATU hari, ada orang kampung datang ke pejabat Suhakam bawa batu , kata Setiausaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jasmih Slamat. Mulanya beliau  agak hairan apa ada dengan batu sebesar bola hoki itu. "Beginilah besar batu kerikil di jalan raya yang terdapat di kampung kami,' kata orang kampung kepada Jasmih. Mereka datang mengadu mengenai hak mereka untuk mendapatkan kemudahan infrastruktur. Dulu pernah juga datang bawa air keruh dan memberitahu Suhakam mengenai air keruh yang terpaksa diminum penduduk kampung, kata Jasmih yang telah berkhidmat hampir 10 tahun di pejabat Suhakam Cawangan Sabah.

JASMIH SLAMAT dilahirkan di Kampung Rampayan Menggatal pada 22 September 1962.  Anak keempat dari 12 adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Darau, Menggatal sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sabah. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di University of Illinois, Amerika Syarikat. Sekembalinya ke Sabah beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Kanan di Permodalan Bumiputera Sabah sebelum berkhidmat sebagai Setiausaha SUHAKAM Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual SETIAUSAHA SUHAKAM SABAH, JASMIH SLAMAT (JS)  di pejabatnya di Suite E1, Tingkat 8, CPS Tower, No.1, Jalan Centre Point Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual dengan beliau mengenai pengalaman beliau sepanjang bertugas di Suhakam dan ulasannya mengenai tahap kesedaran hak asasi manusia di negeri ini.

UTUSAN BORNEO:  Sejak ditubuhkan di Sabah, Suhakam telah banyak mengadakan program kesedaran mengenai hak asasi manusia. Bagaimana sambutan masyarakat terhadap program-program Suhakam?
JASMIH SLAMAT:      Kesedaran mengenai hak asasi manusia di kalangan rakyat semakin baik. Kalau dulu Suhakam yang datang ke kampung-kampung di kawasan luar bandar untuk memberi penerangan mengenai fungsi Suhakam dan menerapkan kesedaran mengenai hak asasi manusia. Kini semakin ramai yang datang sendiri ke pejabat Suhakam. Ada yang mengirim surat, ada yang mengirim emel , ada yang menelefon.Malah yang terbaru ada emel dari seorang penduduk di Kinabatangan mengadu kepada Suhakam agar membuat penyiasatan  kalau kalau ada pencabulan hak asasi dalam pembahagian rumah untuk mangsa banjir di kampung Lintang, dan pelbagai jenis aduan yang kita terima. Kini masyarakat kampung semakin proaktif terhadap asasi mereka.


UB:       Mungkin tuan boleh jelaskan dengan lebih terperinci mengenai fungsi dan kuasa Suhakam?
JS:       Sebagaimana yang termaktub dalam Akta 597, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, antara fungsi Suhakam adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia; untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah perlu yang hendaklah diambil. Suhakam juga ditubuhkan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatangan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia; dan untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

UB:       Apa kuasa yang diberikan kepada Suhakam?
JS:       Bagi melaksanakan fungsinya, Suhakam diberikan kuasa Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar, bengkel untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu.
Suhakam juga berfungsi untuk menasihati kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajan dan/atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil. Selain itu, Suhakam juga diberi kuasa untuk mengkaji dan menentukan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikuti peruntukan akta ini. Suhakam juga boleh menjalankan kuasa untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.
Suruhanjaya juga diberi kuasa untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu dan untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuat kuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu. Itu adalah antara kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suhakam.

UB:       Sejauh ini, dimana tempat yang pernah Suhakam pergi?
JS:       Suhakam telah menjelajah hampir seluruh Sabah. Kita telah sampai di Tongod, di tengah-tengah negeri Sabah. Suhakam juga telah sampai ke Pegalungan, jauh di pedalaman. Suhakam telah sampai ke Banggi, nun di utara Sabah, di Kalabakan. Long Pasia dan banyak lagi tempat-tempat di luar bandar, sama ada dengan berkereta, berjalan kaki, mendaki bukit, menyeberangi sungai dengan oerahu dan sebagainya, untuk memberikan penerangan mengenai Suhakam dan hak asasi atau menyiasat aduan yang diterima. Masyarakat telah mula sedar. Tahap kesedaran mereka terhadap hak asasi semakin meningkat. Kalau dulu mereka agak susah untuk mencari pejabat Suhakam sehingga ada yang terpaksa dihantar ke pejabat Suhakam oleh kereta peronda Polis yang terjumpa mereka tersesat di ibu negeri. Kini rakyat pelbagai peringkat sedar mengenai hak asasi mereka, hak mereka untuk mendapatkan pelajaran, hak mereka untuk kepada pekerjaan, hak mereka yang memadai bagi kesihatan dan banyak lagi.

UB:       Bagaimana tahap kesedaran mereka terhadap hak untuk mendapatkan pelajaran?
JS:       Tahap kesedaran masyarakat untuk mendapat pelajaran semakin tinggi. Pendidikan merupakan asas untuk maju. Seperti pernah dikatakan oleh mantan Timbalan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun, Knowledge is power.  Beliau banyak mengajar dan mendidik saya. Tanpa pelajaran, saya tidak mungkin berada di sini. Bapa saya seorang pemandu, tidak punya pelajaran. Bapa saya orang Bajau Berungis, tidak ada sekolah. Ibu saya suri rumah. Juga tidak pernah ke sekolah.Hanya dengan adanya pelajaran, mampu mengubah hidup kita. Sekarang tahap kesedaran di  kalangan masyarakat luar bandar mengenai betap pentingnya pelajaran sudah meningkat maju. Bagaimanapun, kita dapati bahawa hak mereka untuk mendapatkan pelajaran, mutu pendidikan yang baik, prasarana sekolah yang memadai masih perlu ditingkatkan lagi.

UB:       Apa isu utama yang diterima Suhakam sepanjang penubuhannya di Sabah?
JS:       Pelbagai aduan kita terima. Antaranya isu-isu berkaitan tanah, dokumen pengenalan, sistem penyampaian, hak terhadap pendidikan dan sebagainya.

UB:       Kalau dulu Suhakam sukar mendapat kerjasama dari jabatan dan agensi kerajaan, bagaimana pula sekarang?
JS:       Pada masa ini, program-program yang kita adakan mendapat sambutan baik. Jabatan jabatan dan agensi kerajaan memberikan kerjasama yang menggalakkan. Kalau dulu mentaliti mereka ialah apa saja isu berkaitan hak asasi, datang dari pihak yang menentang kerajaan. Agak negatif persepsi mereka, bahawa jika dibangkitkan isu hak asasi ia lebih kepada pembangkang.  Sebenarnya tidak begitu.  Kita melakukan pelbagai pendekatan agar orang ramai sedar mengenai hak asasi. Respon daripada pelbagai pihak semakin meningkat. Suhakam telah dijemput untuk memberikan ceramah kepada rekrut polis mengenai hak asasi. Saya difahamkan pemahaman mengenai hak asasi juga diselitkan kepada SPRM. Kita juga menyampaikan ceramah ke sekolah-sekolah atas jemputan pihak sekolah, PIBG. Suhakam juga memberi ceramah kepada pihak penguatkuasa seperti RELA dalam program kursus mereka.ini telah dimasukkan dalam program mereka bagi menambah baik pemahaman mereka mengenai hak asasi manusia.  Malah Jabatan Peguam Negara juga menjemput Suhakam menyampaikan ceramah mengenai hak asasi.

UB:       Sebelum ini, Suhakam dilihat lebih fokus kepada luar bandar?
JS:       Kita fokus kepada rakyat di luar bandar, yang serba kekurangan, , kita memberikan mereka pengetahuan, kesedaran mengenai hak asasi.Hak asasi untuk semua. Kita mendapat banyak aduan mengenai pencabulan hak asasi di luar bandar, dan banyak isu berkaitan hak asasi yang dialami oleh penduduk luar bandar.

UB:       Selama hampir 10 tahun di Suhakam, apa aduan yang paling unik pernah diterima?
JS:       Ada juga. Pernah seorang wanita datang mengadu mengenai doktor gigi yang silap mencabut giginya. Doktor gigi mencabut gigi yang salah. Gigi yang sakit tidak dicabut tetapi gigi lain pula yang dicabut.

UB:       Bagaimana Suhakam menghadapi aduan seperti ini?
JS:       Kita nasihatkan dia apa yang sepatutnya.Kita rujuk kepada Jabatan Kesihatan. Kita tidak boleh diam.Kita beri panduan kepadanya, apa yang perlu dilakukan. Di Suhakam, kita utamakan manusia.Kita berhubung dengan pihak berkaitan. bayangkan seorang perempuan dari pedalaman, datang beratus batu untuk mengadukan masalahnya.Kita ambil perhatian dan bantu dia kerana bagi Suhakam, yang penting hak asasi manusia.

UB:       Pernah terima aduan lain yang melucukan?
JS:       Kita juga pernah menerima aduan daripada seorang suami yang datang mahukan haknya untuk kahwin lagi. Dia buat aduan terhadap isterinya. Orang ini berpendidikan. Kita berikan nasihat kepadanya mengenai saluran yang sepatutnya.

UB:       Aduan mengenai infrastruktur? Apa cerita mengenai orang kampung yang membawa batu itu?
JS:       Ada orang kampung datang ke pejabat Suhakam bawa batu. Mereka memberitahu bahawa begitulah besar batu kerikil di jalan raya di kampung mereka.Kerajaan telah berjanji untuk menbaik taraf jalan raya tetapi masih belum melaksanakannya.Pengadu itu dari Kuala Penyu. Mulanya hairan juga kenapa dia bawa batu sebesar hoki. Tapi dia menunjukkan mengenai saiz dan bentuk batu yang terdapat di kampung mereka. Kita mahukan setiap aduan mempunyai fakta.Barangkali mereka memikirkan bahawa mereka membuktikan fakta dengan membawa batu ke pejabat Suhakam.  Kita tidak boleh salahkan mereka.Barangkali mereka sudah terdesak.
Ada satu lagi aduan mengenai air yang keruh dalam satu bekas air. Mereka kata, `tuan, inilah air yang kami minum'.  Kalau kita fikir, mereka mempunyai hak ke atas keperluan asas. Air merupakan keperluan asas. Hak asasi merupakan keperluan bukan kehendak. Infrastruktur seperti air, elektrik, jalan raya adalah keperluan asas. Itu hak asasi mereka.

UB:       Tuan masih ingatkah apa aduan pertama yang diterima oleh Suhakam apabila membuka pejabatnya di Kota Kinabalu?
JS:       Saya ingat, kes pertama yang diadukan ialah mengenai buka kasut. Seorang warga tua mengadu, beliau diminta membuka kasutnya apabila berkunjung ke sebuah pejabat kerajaan. Kita kemudian rujuk kepada pejabat berkaitan, apa yang berlalku ialah sedikit salah faham.

UB:       Siapa-siapa yang pernah buat aduan di Suhakam?
JS:       Kita menerima aduan dari pelbagai lapisan masyarakat. Kita pernah terima aduan dari seorang petani di luar bandar mengenai tanah. Kita terima aduan daripada semua pihak. Malah  antara yang pernah buat aduan ialah bekas Ketua Menteri, bekas pegawai polis, bekas penjawat awam, penduduk kampung, dan sebagainya.

UB:       Apa yang dibuat oleh Suhakam terhadap aduan yang diterima?
JS:       Selepas menerima aduan kita rujuk perkara itu kepada pihak yang berkaitan sama ada jabatan atau agensi kerajaan dengan niat baik, with good intention. Masyarakat mengharapkan Suhakam untuk membantu menyalurkan permasalahan mereka kepada pihak yang berkaitan. Mungkin kalau surat daripada orang awam, kurang diberi perhatian, tapi jika surat datang daripada Suhakam, mereka perlu memberikan jawapan. Kita mahukan agar pengadu membawa bukti-bukti aduan mereka, dokumen berkaitan, fakta mereka mesti jelas. Kita berusaha untuk membantu setiap pengadu.Kita selami perasaan mereka. Ada yang datang marah-marah, ada yang meluahkan perasaan kecewa mereka dan sebagainya.Mereka sanggup datang dari jauh untuk kemuka masalah mereka. Kita tak boleh salahkan mereka. tapi kita perlukan fakta yang jelas. Mereka ada hak sebagai pengadu sementara pihak yang diadukan juga mempunyai hak untuk memberikan penjelasan. Pengadu punya hak untuk mengadu, pihak yang diadukan punya hak untuk berikan penjelasan. Kita memainkan peranan sebagai orang tengah.Suhakam tidak berpihak kepada siapa-siapa. Suhakam hanya berpihak kepada hak asasi manusia.