Saturday, October 20, 2012

Pertemuan dengan Dr Janathan dan pendapatnya mengenai CIQ






PERTEMUAN DENGAN DR.JANATHAN DAN PENDAPATNYA MENGENAI CIQ

PADA 15 Oktober lalu, Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah menandatangani kerangka perjanjian damai di Istana Malacanang sambil disaksikan oleh Presiden Filipina, Benigno Aquino III, Pengerusi MILF, Hadji Murad Ebrahim dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak.

Peristiwa bersejarah itu membawa makna yang besar, bukan saja kepada wilayah Islam Mindanao yang dihuni oleh bangsamoro dan Filipina sendiri tetapi juga kepada rantau ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan bahawa beliau secara prinsipnya bersetuju untuk  mewujudkan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin atau Custom & Immigration Quarantine (CIQ) di Kudat memandangkan kedudukan daerah itu yang bersempadan dengan Pulau Palawan Selatan Filipina dan boleh menjadi pintu masuk di utara negeri Sabah.

Pengumuman Najib mengenai pengwujudan CIQ di Kudat ini memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan negeri ini. Tiga pihak utama iaitu kerajaan, golongan peniaga dan rakyat jelata menerima manfaat daripada pembukaan CIQ ini kelak.

Pengarah Kastam Sabah, Dr.Haji Janathan Kandok ketika diminta pendapatnya mengenai pembukaan CIQ itu menjelaskan secara rinci bagaimana rakyat mendapat manfaat daripada pembukaan CIQ itu.

Pewujudan CIQ, katanya, melibatkan pengurusan persempadanan yang cekap dalam konteks ekonomi, serta mampu  mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat setempat. Tiga pihak utama mendapat keuntungan daripada pembukaan CIQ ini. Yang pertama, pihak kerajaan, kedua, golongan peniaga dan ketiga ialah rakyat.

Bagi kerajaan pewujudan CIQ menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan dan juga menggalakkan pengekspotan komoditi dan produk tempatan keluar negara.

Ia juga menggalakkan pengwujudan sistem pengangkutan yang lebih baik. Selain itu, ia juga menggalakkan pelabur-pelabur melabur di kawasan CIQ diwujudkan, dalam hal ini di Kudat dan utara Sabah manakala pengeksportan komodoti dan produk tempatan akan bertambah.

Yang paling ialah pewujudan CIQ itu bakal mempercepatkan pembangunan daerah dimana CIQ beroperasi. Ini semua meningkatkan imej dan nama baik Kerajaan, katanya.

Di pihak peniaga, pewujudan CIQ itu akan membuka ruang dan peluang kepada petani-petani kecil untuk mengeksport barangan mereka. Mereka boleh mengeskport hasil pertanian mereka ini kerana adanya sistem pengurusan sempadan yang baik dan menjamin perkhidmatan pihak-pihak agensi agensi kerajaan yang berkaitan memberikan perkhidmatan yang cepat dan berkesan.

Dr.Janathan juga menekankan bahawa yang paling beruntung dan mendapat manfaat daripada CIQ itu adalah golongan rakyat sendiri. Dari segi rakyat pula, katanya, pewujudan CIQ itu dapat memelihara keselamatan rakyat.

Dengan pewujudan CIQ itu, peluang pekerjaan bagi penduduk setempat bertambah.Tidak syak lagi, pewujudan CIQ itu juga membuka laluan kepada kepada kewujudan bandar-bandar dan pekan baru.

Selain itu, perolehan komoditi keperluan rakyat dapat disetempatkan. Kepelbagaian produk bertambah dan mudah diperolehi, kuasa membeli juga bertambah manakala harga barang turun.

Jika sebelum ini petani, nelayan dan golongan peniaga terganggu dengan ketidakstabilan di selatan Filipina yang mendatangkan kepada konflik dan ketakutan maka dengan adanya kerangka perjanjian damai itu akan akan dapat memacu semula potensi untuk mengambil peluang yang tersedia ekoran tercapainya perjanjian damai itu.

Sebagai wilayah yang terdekat, sudah tentu utara Sabah dan pantai timur menjadi pasaran utama komoditi hasil pertanian dan perikanan dan pelbagai produk lain. Dalam konteks sabah, ia mampu menjana ekonomi negeri ini.

Pewujudan CIQ itu juga bakal memberi manfaat kepada berjuta-juta penduduk di rantau ini dan mampu mencipta peluang perniagaan di kedua-dua wilayah. ia juga akan dapat merealisasikan visi Kawasan Pertumbuhan Ekonomi BIMP-EAGA dimana kedua wilayah mengharapkan pertumbuhan ekonomi berlaku.

Sebelum ini, Datuk Najib menyatakan "bila Filipina Selatan aman, mereka boleh melakukan pembangunan dan bila berlaku pembangunan kuranglah orang yang akan masuk ke Sabah secara haram dan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan lebih maju, perdagangan dapat ditingkatkan dan pelaburan juga dapat ditambah bagi kawasan itu,"

Pewujudan CIQ itu, tidak syak lagi memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Sabah terutamanya di kawasan Utara Sabah. Kajian terperinci juga mungkin boleh dilakukan supaya lebih banyak CIQ dapat diwujudkan ekoran daripada perjanjian damai yang  menamatkan sengketa yang berpanjangan selama 40 tahun di Selatan Filipina itu.

Semua pihak haruslah mengambil dan memanfaatkan peluang yang tercipta ekoran kerangka perdamaian yang ditandatangani itu. Pewujudan CIQ, jika dilaksanakan kelak mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan negara ini.




No comments: