Thursday, October 4, 2012

sejenak singgah di tanah perkuburan

Biar betapa kelam kabut pun, Amai Shafiq tetap menyempatkan diri untuk singgah di tanah perkuburan. Amai Shafiq, adik bungsu kami itu, akan duduk bertafakur beberapa ketika di hadapan makam. Ayahanda kami sudah dua tahun meninggalkan kami, dan setiap kali balik kampung, kami akan memastikan kuburan itu sentiasa terjaga, dan tidak ada rumput yang tumbuh di atasnya. Sebenarnya, beberapa bulan lalu, ia baru saja disimen kerana menunggu tanahnya mampat dan tidak jatuh.
Demikian pada awal pagi itu, kami singgah di sana. Kalau bukan kerana adanya makam itu, kami rasa ayahanda masih bersama kami, bercerita dan berkisah seperti biasa. Beliau akan menyertai kami bersembang-sembang sehingga kadang-kadang orang hairan-kadang cemburu- juga melihat betapa akrabnya kami sekeluarga.
Memang ada batas tertentu dalam perhubungan antara ayah dan anak, tetapi bagi kami , ayahanda kami bukan saja sebagai ayah, tetapi juga rakan, sahabat, kawan berdiskusi, berdebat masalah tertentu, berkongsi pendapat dan sebagainya. Kecuali kalau ada hal-hal tertentu, dimana beliau menggunakan kuasa vetonya, dan kami akan segera diam.
Di antara kami, saya yang merasa betul-betul pilu. Sebabnya kerana sewaktu beliau meninggal, saya sedang dalam perjalanan pulang dari kota Pontianak. Talian telefon tak dapat dihubungi.Hanya selepas melalui Sanggau, dan makan tengahari, di sebuah restoran Minang, di tengah perjalanan itu, barulah saya menerima SMS yang bertubi-tubi masuk mengkhabarkan berita duka itu.
Saya ingat Amir, Ma' Wan, dan Sabat, memberitahu mengenai pemergian ayah. Juga Datuk Salleh Tun Said, adalah antara pengirim pertama ucapan takziah yang saya terima ketika dalam perjalanan itu.
Kami tidak dapat mengejar penerbangan pulang pada hari itu. Menginap di Hotel Grand Margherita (dulunya Holiday Inn) Kuching, kami sempat menziarahi Shukri yang ketika itu berada di wad. Padahal, beliau yang bersusah payah menempah hotel untuk kami. Sempat juga kami ke kota Samarahan, bersama zainal untuk mencari Marzuki dan isterinya, anak yak noi.
Keesokan harinya, barulah kami dapat pulang. Ayah sudah dikebumikan.Saya ingat cara sebaik-baiknya untuk mengenang ayah, ialah mematuhi segala nasihatnya kepada kami, membuat sebanyak-banyaknya kebaikan, mencari sebanyak-banyak kawan, dan jangan cari musuh kerana katanya, kawan seribu belum banyak tapi musuh walau seorang, sudah cukup banyak.
Banyak lagi nasihat yang muncul di kotak ingatan saya ketika berada di depan makam itu.Saya tak dapat menterjemahkan apa yang ingin saya katakan melainkan bibir saya komat kamit membacakan alfatihah.


No comments: