Saturday, November 3, 2012

Catatan mengenai jiran, dan cerita kampung kami



CATATAN MENGENAI JIRAN, DAN CERITA KAMPUNG KAMI


SEKALI lagi saya ingin bercerita tentang tokoh , kebetulan namanya bermula dengan M, yang berada di sebelah rumah saya.
Dia seorang pemimpin kecil di kampung kami. Beliau seorang yang begitu disegani, bukan kerana beliau kaya, bukan juga kerana beliau seorang yang memiliki kuasa, tetapi kerana keteladanan yang ditunjukkan kepada masyarakat.

Sebenarnya sudah lama saya menulis mengenainya. Tetapi dulu saya ragu kalau semua perkara yang dibuatnya itu hanya sekadar melaksanakan tugasnya sebagai seorang yang berjawatan di kampung kami. Mulanya saya berfikir begitu. Namun tanggapan saya salah. Setelah dia tidak lagi memegang jawatan JKKK atau Wakil Ketua Anak Negeri, dia terus saja melakukan apa yang selalu dilakukan oleh beliau sebelum ini.

Sengaja saya menyamarkan identitinya. Semuanya untuk mengelakkan orang-orang berasa iri hati atau cemburu kepada beliau, apatah lagi beliau seorang personaliti yang amat dikenali masyarakat di kampung kami, di Cenderamata Dua Likas

Apa yang selalu dilakukan oleh orang yang bernama M itu? Saya telah memerhatikan beliau melakukan perkara itu, sejak kampung kami diwartakan menjadi sebuah perkampungan  bumiputera pada tahun 1999. Sebelum itu, kampung kami adalah sebuah penempatan setinggan. Bayangkan saja, dari sebuah kampung yang kotor dan penuh sampah, kampung kami telah beberapa kali terpilih sebagai sebuah kampung tanpa sampah dan dilawati oleh ramai orang dari seluruh negara.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa di hujung kampung kami itu, sampai sekarang selalu ditandakan dengan warna hitam. Setakat ini kawasan itu rasanya masih kekal begitu kerana  ada jambatan yang menghubungkannya ke seberang,  yang apa boleh buat, dihuni oleh masyarakat yang tidak dapat mengelakkan sampah sebagai sebahagian rutin kehidupan mereka.

Secara keseluruhannya, nikmat hidup di kampung kami tetap kami syukuri. Meski masih ada beberapa masalah tetapi kampung kami masih mampu mengekalkan reputasi sebagai Kampung Tanpa Sampah dan prestasinya sebagai pemenang antara kampung terbaik di Kota Kinabalu.

Semua ini dapat dicapai kerana kerjasama dari hampir semua penduduk kampung. Semangat kerja berpasukan yang dipimpin barisan JKKKnya yang berwibawa. Barisan kaum Ibu dan generasi belianya yang ringan tulang selalu membantu apa saja program yang diadakan di kampung itu. Tetapi saya fikir, tokoh bernama M itu wajar diberikan penghargaan.

Keteladanan dan contoh yang diberikannya luar biasa. Jika tidak bekerja, sejak awal pagi lagi saya melihatnya membersihkan kawasan kampung kami. Menyapu dan membersihkan jalanraya. Kerja yang dilakukannya dengan tulus dan tekun. Pada mulanya beliau mungkin menghadapi cemuhan tetapi lama kelamaan, setelah kerja itu dilakukannya secara konsisten, sejak beberapa tahun lamanya, orang mulai mengakui betapa semua yang dilakukannya itu datang dari hatinya, dari jiwanya.

Beliau memimpin dengan memberikan contoh yang baik. Kadang-kadang itu semua dilakukannya seorang diri, kadang bersama beberapa rakan yang lain, beliau memastikan kebersihan tetap menjadi satu keutamaan.

Walaupun kini, beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan, tetapi komitmennya tetap kebersihan dan keindahan kampung tetap tidak berubah. Beliau sentiasa berusaha untuk meningkatkan pelbagai kemudahan di kampung kami. Membina perhentian bas, membina tandas awam, pintu gerbang selamat datang dan sebagainya, semua dilakukannya tanpa mendapat peruntukan daripada kerajaan. Bagi saya, beliau sesungguhnya seorang pemimpin yang boleh dicontohi dan diteladani.

Sikap suka mementingkan kebersihan sudah menjadi salah satu ciri keperibadiannya. Kerana sikap pembersihnya itu, dan kepimpinan yang ditunjukkannya maka kampung kami selalu terpilih sebagai kampung yang terbersih. Kampung tanpa sampah.

Meskipun tidak lagi memegang jawatan tetapi kata-katanya selalu didengar dan dituruti. Saya fikir itu semua kerana keikhlasan dan ketulusannya. Komitmen dan tekadnya untuk memastikan kampung kami menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di ibu negeri.

Pernah juga saya tidak sependapat dengannya. Ada juga yang tidak saya sukai.Namanya juga manusia tetapi saya cukup menaruh hormat terhadap sikap kebertanggungjawab beliau terhadap kampung kami. Terhadap kebersihan, keindahan, terhadap persekitaran yang bersih. Beliau tidak banyak berkata-kata atau memarahi orang kerana tidak mengikutinya. Setiap pagi, jika beliau berada di rumah,  beliau akan turun pagi-pagi untuk melakukan kerja-kerja yang sering dilakukannya, membersihkan kawasan atau menanam bunga atau memangkasnya supaya kelihatan lebih cantik.

Catatan ini sekadar satu bentuk penghargaan kepada sikap beliau yang tekun dan tulus itu. Sikap beliau yang sentiasa mengutamakan kebersihan, kecantikan dan keindahan kampung kami.

Beliau yang namanya M ini adalah jiran saya. Berbeza dengan nota saya sebelum ini, saya harap beliau tidak membaca catatan ini. Saya khuatir kalau-kalau keikhlasan dan ketulusannya terkacau selepas membaca catatan ini. Bagi saya beliau seorang pemimpin yang layak dicontohi dan diteladani kerana beliau seorang yang biarpun tanpa jawatan, tetap melakukan kebaikan-kebaikan demi kepentingan orang ramai yakni kepentingan masyarakat di kampung kami.


No comments: