Saturday, November 3, 2012

Kee Ayub, pemain bolasepak Sabah kini jadi Ketua Daerah



KEE AYUB, PEMAIN BOLASEPAK SABAH, KINI JADI KETUA DAERAH

DALAM sebuah pasukan bolasepak, seorang penyerang sama pentingnya dengan seorang pemain tengah atau pemain pertahanan. Tetapi semuanya itu tidak bererti tanpa kehadiran seorang penjaga gol. Peranan seorang penjaga gol sama pentingnya dengan seorang penjaring gol. Malah dalam sebuah perlawanan yang pemenangnya ditentukan dengan sepakan penalti, kemampuan penjaga gol menjaga gawangnya sentiasa menjadi buah bibir di kalangan peminat.

Bermain di posisi penjaga gol, kehebatan Kee Ayub tidak dapat dinafikan pada era kegemilangannya. Beliau bukan saja bermain mewakili Tawau malah pernah mengharumkan nama negeri ini apabila terpilih sebagai penjaga gol Sabah dalam Piala Borneo (Borneo Cup) pada 1968-1970. Cintanya kepada bolasepak bermula sejak masih remaja ketika aktif dalam PKMT yang kini dikenali sebagai Persatuan Kemasyarakatan Melayu Tawau.

Setelah melalui liku-liku kehidupan dan menempuh pelbagai pengalaman dalam kerjayanya sebagai kakitangan kerajaan yang berdedikasi, kini sejak 2006, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah Tawau yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK).

OKK Haji Mohd.Ayub Kee Abu Bakar dilahirkan pada 28 Mei 1949 di Jalan Utara, (berdekatan Hospital Tawau sekarang). Ayahnya, OKK Kee Abu Bakar Kee Abdullah adalah Ketua Daerah Tawau yang pertama manakala ibunya, seorang wanita yang tabah telah membesarkan beliau serta tujuh adik beradiknya selepas pemergian ayahnya pada 1953 ketika Kee Ayub berusia enam tahun. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Tawau sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM St Patrick hingga Tingkatan 5.

Bagaimanapun keperitan hidup yang dialami keluarganya, memaksa Kee Ayub untuk mencari kerja sebaik tamat persekolahan. Beliau diterima bekerja di Pejabat Daerah Tawau kemudian ditukarkan sebagai Penyelia Pendaftaran di OPEC sebelum dipindahkan ke Jabatan Perubatan sebagai Kerani Hasil di Hospital Tawau. Selepas itu, beliau bertugas pula di Jabatan Kastam sebagai Kerani Cukai. Setelah itu, beliau bertugas pula sebagai Ketua Kerani di Pejabat Daerah Kota Kinabalu. Selepas beberapa tahun, beliau bertukar semula ke Pejabat Daerah Tawau sebagai Kerani Besar. Kerjayanya meningkat selangkah lagi apabila dilantik sebagai ADO Luar Bandar. Kemudian apabila Pejabat Daerah Tawau dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Kee Ayub dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Luar Bandar hingga bersara pada tahun 2005. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah Tawau. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ridah bte Nawab Khan dan dikurniakan tiga orang anak.

Selain tugasnya sebagai Ketua Daerah, OKK Haji Mohd Ayub juga bergiat aktif sebagai Timbalan Presiden PKMT, sebuah persatuan yang penting dan berpengaruh di Pantai Timur Sabah. Selain itu, beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah Tawau dan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Tawau.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau pada satu petang di pejabatnya di bangunan MPT untuk berkongsi pengalamannya sebagai pemain bola sepak yang terkenal pada zamannya, penggerak PKMT dan tugasnya sebagai Ketua Daerah

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan OKK dalam bidang sukan khususnya bolasepak.Saya mendapat tahu, OKK dulu pernah main bola untuk PKMT. Main di posisi apa?
OKK:     Saya bermain sebagai goalkeeper, penjaga gol untuk pasukan PKMT. Dulu PKMT mempunyai pasukan bolasepak yang kuat.Sering bermain di final kejohanan bolasepak liga Tawau. Malah sering menjadi johan.

UB:       OKK bermain sewaktu pasukan Tawau dikalahkan oleh pasukan Hong Kong 11-0 itu?
OKK:     Tidak. Waktu itu saya masih kecil lagi. Ada sepupu saya yang bermain. Saya hanya membantu untuk memasang tirai penutup padang bola yang dibikin dari karung guni. Padang bola ditutup dengan karung guni kerana perlawanan persahabatan itu dikenakan bayaran tiket. Lima puluh sen untuk kanak-kanak dan satu ringgit untuk orang dewasa. Saya ikut membantu Allahyarham OKK Haji Ahmad Kreah untuk memasang tirai untuk menutup padang Tawau.

UB:       Tiada yang menyelinap untuk menonton perlawanan?
OKK:     Kebanyakan orang membayar sanggup membayar tiket untuk menonton bola. Mungkin ada seorang dua orang tetapi ribuan yang lain beratur untuk membayar tiket.

UB:       Selain Hong Kong, ada pasukan lain yang mengadakan perlawanan persahabatan waktu itu?
OKK:     Kami sering mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain.Kami pernah menbantu PKMT menentang  pasukan sepak bola dari Tarakan dan sebagainya. Pernah juga kapal perang singgah di Tawau dan kami mengadakan perlawanan persahabatan. Selepas itu, banyak lagi perlawanan persahabatan yang diadakan di padang Tawau.Waktu itu saya sudah bermain bola. PKMT mempunyai pasukan bolasepak yang terkenal.

UB:       Semua perlawanan dikenakan tiket?
OKK:     Kalau pasukan local, free. Tapi kalau melibatkan pasukan luar negara, baru dikenakan bayaran tiket. Ketika itu, kalau ada perlawanan bola, padang selalu penuh. Pasukan Kastam pun main, pasukan renjer dan sebagainya.Semua lapisan masyarakat datang berbondong-bondong untuk menonton perlawanan itu.

UB:       Main di padang yang dekat balai polis tu?
OKK:     Ya. Kami bermain di padang Bandar yang terletak berdekatan Balai Polis, dekat juga dengan Hong Kong Shanghai bank. Dulu di sana ada Tawau Sport Club, swimming pool (kolam renang). Itu sebabnya padang selalu penuh jika ada perlawanan kerana ia menjadi tempat tumpuan orang ramai.

UB:       Selepas itu OKK bermain dimana pula?
OKK:     Saya bermain untuk PKMT. Saya pernah dipilih mewakili Sabah dalam Borneo Cup. Saya bermain sebagai goalkeeper. Borneo Cup melibatkan tiga pasukan iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei. Saya sempat berada dalam satu pasukan dengan James Wong dan Hassan Sani ketika bermain untuk Borneo Cup itu. Waktu itu saya berusia 22 tahun. Zaman kemuncak saya dalam perlawanan bolasepak.

UB:       Selain OKK, siapa lagi pemain dari Tawau yang pernah bermain untuk Sabah, yang sezaman dengan OKK?
OKK:     Arwah Padilah Kreah.Beliau juga pernah bermain untuk Sabah dalam Borneo Cup.

UB:       Apa kejohanan lain yang ada di Tawau ketika itu?
OKK:     Dulu ada liga.Liga Tawau.Pasukan yang hebat antaranya Wallace Bay, Table yang dijuluki dengan nama Pasukan Kilat. Antara strikernya ialah Yusof , bapa kepada mantan Striker sabah, Suharmin Yusof, Pasukan PKMT, pasukan Bombalai yang dijuluki dngan Pasukan Guntur, Ladang Imam,Pasukan Renjer

UB:       Apa faktor kekuatan pasukan bolasepak PKMT dulu?
OKK:     Dulu orang main dengan semangat, mestipun mereka tidak ada jurulatih bertauliah. Antara pembimbing atau jurulatih ketika itu ialah OKK Haji Ahmad Kreah.

UB:       Selepas tidak lagi bermain bola, apa kegiatan OKK?
OKK:     Saya menjadi jurulatih Pasukan Tawau dari tahun 1984 hingga tahun 90-an.

UB:       Selain bolasepak, apa sukan lain yang OKK ceburi?
OKK:     Tenis. Saya menjadi Presiden Pasukan Lawn Tenis Tawau. Dalam sukan tenis, kami pernah bermain melawan Wali Kota Tarakan, pernah main di Malinau, Indonesia dan sebagain

UB:       Tahun berapa OKK aktif dalam PKMT?
OKK:     Saya aktif dalam PKMT sejak tahun 1965. Waktu itu saya masih bersekolah lagi. PKMT memang terkenal kerana kegiatan olahraga, sukan, bolasepak, bidang agama, kugiran sdan sebagainya.

UB:       Bagaimana keadaan kehidupan OKK dulu ya?
OKK:     Dulu keadaan susah. Selepas arwah ayah meninggal pada tahun 1953, arwah ibu yang berjuang menghidupkan kami tujuh beradik. Ibu sendiri yang cari nafkah, berjualan, selepas bapa meninggal. Dialah yang kasih hidup kami.Waktu itu saya berumur enam tahun.Belum ingat apa-apa.Keluarga tidak berkeupayaan. Itu sebabnya tidak dapat bersekolah tinggi.

UB:       OKK sekolah dimana dulu?
OKK:     Saya bersekolah rendah di Government Primary School (GPS) Tawau sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah St.Patrick hingga Tingkatan Lima.

UB:       Selepas itu, OKK terus kerja?
OKK:     Selepas sekolah saya mencari kerja.Mula-mula saya bekerja di Pejabat Daerah Tawau kemudian ditukarkan sebagai Penyelia Pendaftaran di OPEC sebelum dipindahkan ke Jabatan Perubatan sebagai Kerani Hasil di Hospital Tawau. Selepas itu, saya bertugas pula di Jabatan Kastam sebagai Kerani Cukai. Setelah itu, saya bertugas pula sebagai Ketua Kerani di Pejabat Daerah Kota Kinabalu. Ketika bertugas di sana, saya bertemu jodoh dengan isteri saya, Ridah bte Nawab Khan. Selepas beberapa tahun, saya  bertukar semula ke Pejabat Daerah Tawau sebagai Kerani Besar. Kemudian  dilantik sebagai ADO Luar Bandar. Apabila Pejabat Daerah Tawau dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), saya dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Luar Bandar hingga bersara pada tahun 2005. Pada tahun 2006, saya diamanahkan sebagai Ketua Daerah Tawau.

UB:       Sebagai Ketua Daerah, biasanya apa aduan yang diadukan oleh orang ramai kepada OKK?
OKK:     Antaranya pertikaian tanah, isu tuntut  waris dan sebagainya. Saya juga pernah menerima aduan mengenai suami isteri yang bertengkar, bergaduh. Mereka datang ke pejabat, menangis-nangis mahyu bercerai.Biasanya mereka yang datang itu, pagan, tidak beragama, iaitu kes yang selalu diajukan kepada Mahkamah Anak Negeri.

UB:       Apa tindakan OKK selepas menerima aduan seperti itu?
OKK:     Kita nasihatkan mereka supaya berdamai. Perbalahan suami isteri kita cuba selesaikan. Kita cuba usahakan agar mereka tidak bercerai.

UB:       Dulu sewaktu ayah OKK menjadi Ketua Daerah Tawau yang pertama, mungkin ada perbezaan cara orang mengadu?
OKK:     Saya tidak sempat melihatnya.Ayah saya meninggal sewaktu saya berusia enam tahun. Tapi menurut cerita orang, orang yang ada masalah, misalnya perbalahan suami isteri itu datang ke rumah.Tidur di rumah. Arwah ayah tidak beri kata putus sebaliknya menenangkan mereka, minta mereka datang dalam tempoh satu minggu. Kalau tidak selesai lagi, mereka boleh datang semula.  Biasanya mereka tidak datang kerana segan dengan beliau.

UB:       Boleh ceritakan sedikit mengenai sejarah Ketua Daerah?
OKK:     Ini merupakan institusi pentadbiran yang tertua di negeri ini. Pentadbiran penjajahan British tidak akan mendapat kerjasama dengan masyarakat bumiputera kalau tidak wujud institusi ketua daerah, ketua anak negeri dan ketua kampung atau OT. Ia mulai diperkenalkan pada tahun 1887.

UB:       Mengapa OKK sangat dihormati masyarakat dulu ya?
OKK:     OKK  sangat dihormati dan disegani sebagai pemimpin kaum di kalangan masyarakat
s ebabnya ialah OKK pada masa lalu memang bekerja bersungguh-sungguh untuk penduduk kampung, , ikhlas dan jujur, berakhlak tinggi dan sebagainya.

UB:       Apa nasihat OKK kepada Ketua Kampung di Tawau?
OKK:     Ketua- Ketua Kampung bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak buah mereka sentiasa bersatu, faham memahami dan saling bekerjasama di antara satu sama lain. Mereka bukan saja agen pembangunan sosioekonomi dan sosiobudaya penduduk kampung, malahan  bertanggungjawab sebagai pemimpin untuk memastikan anak-anak buahnya sentiasa hidup dalam keadaan yang aman, damai, sejahtera dan bahagia. Sebagai pemimpin masyarakat, mereka adalah jambatan penghubung  antara rakyat dengan kerajaan.Ketua kampung  bertanggungjawab bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada rakyat yang memerlukan khidmat nasihat dalam semua aspek. Ketua kampung juga bertanggungjawab untuk membimbing dan membantu rakyat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan.

Mereka haruslah membantu memberikan penjelasan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya dilakukan oleh kerajaan dalam usahanya mempertingkatkan kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

UB:       Apa harapan OKK terhadap masyarakat kita khususnya di daerah Tawau?
OKK:     Kita mahu rakyat berbilang kaum dapat terus hidup dalam suasana sejahtera dan bahagia  mementingkan perpaduan tetapi juga sentiasa memelihara norma dan nilai budaya adat tradisional mereka. Kita juga berharap nilai-nilai tradisional itu tidak akan menutup minda masyarakat kita daripada menerima nilai-nilai budaya sains dan teknologi dan budaya sosioekonomi global yang positif.


UB:       Mungkin ada peristiwa lucu yang pernah OKK alami?
OKK:     Suatu hari saya pergi ke Kampung Sungai Melayu bersama Pengerusi JKKK. Ketika dalam perjalanan itu, pengerusi JKKK itu diserang penyakit ampus (lelah). Enjin perahu pula mati di tengah laut. Dia minta saya berdayung, tapi waktu itu saya tidak pandai berdayung.Maklum tinggal di bandar. Saya mendayung tapi perahu berpusing ke arah lain. Sampai di tepian, dia terduduk menahan sakit ampus. Kesian, satu minggu kemudian, dia meninggal.

Satu lagi peristiwa ialah ketika kami melawat Sungai Lahi. JKKK ketika itu tidak tahu waktu pasang surut air. Ketika kami pulang pada pagi itu, air sedang surut. Kami terpaksa menunggu sampai jam 3.00 petang. Kami tidak bawa bekal. Akhirnya terpaksa minum air kelapa muda.

Selain itu, saya juga pernah mengalami peristiwa dimana perahu mati di tengah laut. Waktu itu saya bertugas ADO Luar bandar. Saya bersama Haji Samsudin Liew, Timbalan Presiden MPT waktu itu. Sekarang dia di Australia. Enjin tak dapat dihidupkan. Kira-kira satu jam kami berada di laut.Dia marah kepada tukang bot kerana tidak memeriksa enjinnya

OKK: Satu pengalaman yang sampai hari ini membuat saya sedih ialah apabila arwah abang saya, Ibrahim dan Kakak saya, Saadiah meninggal pada hari yang sama. Hanya selang beberapa minit. Peristiwa itu berlaku pada 25 April 1986 atau 16 Syaaban, saya masih mencatatnya.Jam 3.30 petang Ketika itu, kakak sayalah yang menelefon memberitahu abang saya sudah tiada.Selang beberapa minit, mungkin dalam 10 minit begitu, arwah kakak saya terjatuh di dapur ... sakit jantung.

UB:       Arwah abang OKK tu sakit apa?
OKK:     Sakit buah pinggang. Itulah satu peristiwa yang menyedihkan bagi saya.

UB:       Oh ya. Sebagai salah seorang pemimpin PKMT, bagaimana OKK melihat masa depan PKMT?
OKK:     Kita mahu melihat PKMT terus maju. Kita berharap anak melayu jati Tawau meneruskan perjuangan kita dalam PKMT. Oleh sebab itu, PKMT telah mengadakan Lab Penggubalan Pelan Strategik Lautan Biru (PSLB) di Ranggu baru-baru ini yang bertujuan untuk mengasah potensi peserta yang terdiri daripada generasi pelapis untuk menghadapi masa depan yang lebih cemerlang.
Sungguhpun ia diadakan buat kali pertama tetapi sambutan amat menggalakkan. Program Lab penggubalan PSLB itu adalah salah satu langkah kita untuk menggilap kepimpinan peserta supaya mereka lebih memahami perjuangan PKMT dan timbul kesedaran mereka untuk meneruskan perjuangan murni ini.

UB:       Apa harapan OKK terhadap penglibatan generasi pelapis dalam PKMT?
OKK:     Kita berharap  lebih ramai generasi muda tampil untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan dalam bidang masing-masing demi kepentingan PKMT, yang berjuang  masyarakat Melayu Tawau.


No comments: