Saturday, November 10, 2012

Malala, si gul makai dari Swat




KALI ini saya ingin menulis mengenai Malala Yousafzai. Gadis kecil  yang membuat dunia terkejut kerana tulisan-tulisannya. Dia menulis mengenai kehidupan sehariannya sebagai pelajar sekolah di Swat, sebuah daerah di barat laut Pakistan, yang masih berada di dalam kawalan Taliban.

Malala berusia 11 tahun ketika dia mula menulis blog pada tahun 2009. Hasil tulisannya itu kemudian disiarkan dalam laman web berbahasa Urdu di BBC. Beliau berkisah bagaimana gadis-gadis dilarang bersekolah, dia bercerita mengenai sekolah-sekolah yang ditutup dan dimusnahkan. Dia bercerita bagaimana gadis-gadis itu ingin ke sekolah tetapi takut kerana mereka tidak dibenarkan untuk mendapatkan pendidikan.

Nama penanya Gul Makai, yang bermakna bunga jagung dalam  bahasa Pashto. Malala memilih Gul Makai sebagai nama samarannya kerana nama itu adalah nama tokoh primadona dalam cerita rakyat di daerah itu.

Pada 3 Januari 2009, Malala menulis bagaimana ramai pelajar ponteng sekolah. Hanya 11 orang daripada 27 pelajar yang hadir ke sekolah. Jumlahnya berkurang kerana takutkan  perintah Taliban. Tiga rakannya bersama keluarga mereka terpaksa pindah ke Peshawar,Lahore dan Rawalpindi  kerana takutkan ancaman Taliban.

“Dalam perjalanan ke sekolah, saya dengar seorang lelaki berkata “Saya akan bunuh kamu”. Saya mempercepatkan langkah dan seketika kemudian menoleh ke belakang kalau-kalau lelaki itu masih mengekori saya. Tapi saya agak lega melihatnya bercakap melalui telefon dam sedang mengancam seseorang yang lain melalui telefon," katanya.

Malala menceritakan bagaimana sehari selepas itu, hari Ahad,dia terbangun  lambat, kira-kira jam 10.00 pagi. Waktu itu dia mendengar ayahnya berbicara  mengenai tiga mayat yang ditemui Green Chowk. Dia merasa agak sedih. Seperti yang ditulisnya, sebelum ada operasi tentera, mereka sekeluarga selalu menggunakan jalan itu untuk berkelah di Marghazar, Fiza Ghat dan Kanju.Dulu mereka selalu ke sana selepas makan malam tetapi sekarang mereka terpaksa balik rumah sebelum hari senja.

Sehari kemudian dia menulis.Ketika sedang bersiap ke sekolah,pada hari Isnin,  Malala teringat pesan pengetuanya supaya tidak memakai baju seragam.Mereka diminta mengenakan  pakaian biasa supaya tidak dicurigai Taliban. Jadi Malala memilih untuk memakai baju warna pink.Gadis-gadis lain memakai pakaian berwarna-warni. Bagaimanapun, mereka diberitahu, Taliban tidak membenarkan mereka memakai baju yang berwarna.

Selanjutnya, Malala menceritakan bagaimana satu hari mereka ke Bunair untuk menghabiskan cuti Awal Muharam.Bunair adalah daerah pergunungan yang cantik dengan padang yang hijau. Malala menulis bahawa kampungnya , Swat,  sebenarnya cantik tetapi tidak ada kedamaian di sana. Di Bunair ada ketenangan.Tak ada ketakutan atau bunyi tembakan.

Kami semua gembira, kata Malala, si Gul Makai dalam blognya. Dalam usia sekecil itu,Malala prihatin terhadap nasib yang menimpanya. Dalam diarinya, yang semakin terkenal itu, beliau berkisah bagaimana gadis-gadis tidak dibenarkan ke sekolah.Tentang letupan bom di Lahore, tentang musim cuti persekolahan yang bakal tiba, tentang gadis yang dilarang ke sekolah dan sebagainya.

Malala juga menceritakan bagaimana dia sering bermimpi mengenai helicopter tentera dan Taliban. Dia tinggal di satu wilayah, yang masih  dikuasai oleh Taliban, yang tidak membenarkan sekolah dibuka dan pelajaran untuk golongan wanita diharamkan. Diari Gul Makai diterbitkan oleh laman web BBC dan beberapa bulan kemudian, New York Times membuat dokumentari mengenai gadis pemberani itu.

Nampaknya, keberanian dan bakat yang dimiliki Malala itu membuat penguasa Taliban berang dan marah. Bulan lalu, menurut laporan Newsweek, dua lelaki tiba-tiba menyerbu bas sekolah, kira-kira satu batu dari Mingora dan mencari Malala. Pelajar-pelajar dari Swat itu baru saja menduduki peperiksaan semester, ketika bas mereka dihentikan di tengah jalan.  Malala ditembak dua kali di kepala dan lehernya.

Kini Malala masih berada di hospital Queen Elizabeth di Birmingham, England. Dia sedang berjuang untuk hidup.Pembunuhnya belum lagi ditangkap. Apa salah Malala, gadis yang kini berusia 15 tahun itu? Malala ditembak hanya kerana dia menulis mengenai hasratnya agar gadis-gadis mendapat pendidikan.Dia menulis agar kaum wanita tidak diperlekehkan, diberikan layanan yang sama di kota kecilnya, Swat.

Malala ditembak kerana dia dituduh membawa fahaman sekuralisme kerana memperjuangkan pendidikan untuk wanita. Bagi Taliban, tindakan Malala itu salah dan patut dihentikan. Dia patut dihentikan daripada menulis lagi.Gul Makai harus berhenti menulis. Kerana ancaman mereka tidak diendahkan,Malala ditembak dan kini sedang menyabung nyawa di katil hospital.

Malala seorang gadis yang berani. Satu hari ketika muncul di acara talk show, kira-kira satu tahun yang lalu dan membincangkan mengenai kemungkinan dia akan mati di tangan Taliban, gadis itu berkata, kadang-kadang saya menbayangkan sedang berjalan sendirian dan Taliban menghentikan saya. Saya akan ambil selipar saya dan memukul ke muka mereka dan berkata bahawa apa yang mereka lakukan itu salah.Pendidikan adalah hak kami.Jangan ambil itu dari kami. Saya sedia kepada apapun risiko, katanya.

Jika mereka ingin bunuh saya, saya akan beritahu mereka, apa yang mereka lakukan itu salah. Hakikatnya, Malala hampir mati di tangan sikap fanatik dan ekstremis dan pemahaman agama yang sempit. Kini dia, yang meskipun masih berada di usia remaja sedang berada dalam keadaan yang kritikal hanya kerana berjuang untuk pelajaran bagi gadis-gadis di daerahnya, di barat laut Pakistan.




No comments: