Monday, November 19, 2012

Temuramah dengan Cikgu Hajat Haji Lassin



CIKGU HAJAT, CERITAKAN PENGALAMAN MENJADI GURU

SEBAGAI GURU,Hajat Haji Lassin mempunyai segudang pengalaman yang menarik. Beliau pernah menjadi guru besar di beberapa buah sekolah di Kota Belud malah pernah mengajar Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Yang Di Pertua Dewan Rakyat ketika beliau bertugas di GPS Nanamun. Ramai anak muridnya berjaya dalam kehidupan dan menjawat jawatan tinggi. Beliau juga pernah menjadi pensyarah, menjalani kursus di Sydney Australia dan pernah menjadi ADO Tuaran.

HAJAT Haji Lassin lahir di Kampung Pirasan pada 9 September 1944. Beliau mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Kota Belud sebelum berpindah ke Government Primary School (GPS) Kota Belud  Pada tahun 1960, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Government Junior Secondary School (GJSS) Kota Belud hingga tingkatan tiga. Pada tahun 1962, beliau dilantik sebagai guru pelatih di NVS Peladok sebelum menjalani latihan di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (NVSTTC) Tanjung Aru selama enam bulan. Selepas itu, beliau ditempatkan di GPS Nanamun sebagai guru besar pada tahun 1967-1969.
Selepas itu, beliau ditukar ke SK Pekan pada 1969 dan selepas itu dipindah ke GPS Suang Punggur sebagai Guru Besar. Kemudian beliau menjalani kursus pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Kalamazoo House, Sydney Australia.

Di Australia, Hajat pernah menjadi Ahli Jawatankuasa International Student Club. Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Pensyarah di NVS TTC selama empat tahun dari tahun 1972 hingga 1975. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Penolong Pegawai Daerah Luar Bandar (ADO) di Pejabat Daerah Tuaran dari tahun 1975 hingga 1989. Pada tahun 1989, beliau dipinjamkan di Pejabat Pendidikan Pantai Barat Utara (PBU) sebagai Pegawai Tadbir. Pada tahun 1999, beliau bersara pilihan pada usia 51 tahun.


Ikuti petikan wawancara Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Cikgu Hajat Haji Lassin pada satu petang di salah sebuah restoran di Jalan Gaya untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang bertugas sebagai pendidik dan pegawai tadbir.

UTUSAN BORNEO:      Bolehkah tuan ceritakan bagaimana keadaan persekolahan dulu?
HAJAT HAJI LASSIN :          Kehidupan dulu agak susah. Saya terpaksa berjalan kaki berbatu-batu ke sekolah kerana tidak ada kenderaan seperti sekarang. Jalanraya pun berlumpur di waktu hujan, berdebu di musim panas. Dari NVS Kota Belud saya bersekolah ke GPS Kota Belud. Di sana saya lompat darjah. Kemudian, saya bersekolah pula di GJSS Kota Kinabalu hingga lulus Form Three pada tahun 1962.

UB:       Siapa rakan sekolah ketika itu?
HAJAT:           Saya merupakan satu-satunya pelajar dari kampung Pirasan ketika itu. Tetapi antara rakan saya sewaktu di GJSS Kota Belud ialah Robert Minggir (mantan ADUN Tempasuk), Yapin Gimpoton (Mantan ADUN Kebayau-kini Kadamaian), Simbih Gilingan, Wong Mi Kiu,Ming Ho, Yun Tian, Ah kong. Inilah rakan-rakan saya bersaing ketika itu.Bersaing untuk dapat keduduk nombor satu, nombor dua dan sebagainya.

UB:       Selepas itu, tuan jadi guru?
HAJAT:           Selepas itu, pengetua waktu itu, Mr Lim menasihatkan saya supaya memohon jadi guru. Katanya, khidmat guru banyak diperlukan untuk mendidik pelajar-pelajar bumiputera. Kemudian saya menjadi guru di NVS Peladok pada tahun 1962. Katanya, walaupun saya jadi guru, saya boleh menduduki peperiksaan MCE. Bagaimanapun, ketika mengambil peperiksaan MCE ketika itu, saya tidak lulus. Tidak banyak pilihan ketika itu. Keadaan hidup susah. Yuran sekolah  15 ringgit. Jumlah itu dianggap besar ketika itu. Susah juga untuk mendapatkannya. Saya pernah bekerja sebagai kuli jalanraya selama satu bulan setengah dengan gaji dua ringgit sehari. Saya kerja kuli di Kebayau di bawah Mandor Abu Bakar. Oleh sebab itu, ketika jadi guru, saya berazam pula menjadi pegawai daerah. Tapi untuk menjadi pegawai daerah bukan mudah.Pada masa ini kebanyakkan diambil dari PTD. Dulu tiada peluang. Untuk menjadi pegawai, terpaksa mengikuti kursus di Intan.

UB:       Tuan masih ingat, siapa pelajar ketika menhajar di Peladok?
HAJAT:Antara murid saya  ketika itu ialah arwah OKK Haji Madri Akong, Haji Jamil Atan, Datu Derin Datu Anggol, Masbak Haji Rumashid, Uyah, Abdul Rait. Setelah tiga tahun setengah jadi guru besar di NVS Peladok, saya menjalani latihan di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (NVSTTC) selama enam bulan.

UB:       Dimana tuan bertugas selepas itu?
HAJAT:           Saya ditugaskan ke GPS Nanamun pada 1967-1969. Antara murid saya ketika itu ialah Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Cikgu Kabilangan, Kibin Haji Samad, Budiman Abpa, Zainudin Magi, Dr.Mutarin Damsik,,Asrin Sadi,Datu Batul dan lain-lain.

UB:       Tuan pernah mengajar Tan Sri Pandikar?
HAJAT:           Pernah. Beliau memang seorang yang pandai dan berani sewaktu belajar di GPS Nanamun.Malah beliau pernah berlakon dalam drama di sekolah. Drama  dalam bahasa Inggeris.Waktu itu, saya mengajar bahasa Inggeris juga dari darjah satu hingga lima. Tan Sri Pandikar memang berani mencuba dan pandai. Lebih-lebih lagi, ayahnya, Allahyarham Haji Mulia, selalu ke sekolah dan memastikan anak-anaknya belajar dengan baik.Arwah Haji Mulia sungguh-sunggu mahukan anaknya pandai.Beliau sering bertanyakan mengenai perkembangan pelajaran di sekolah itu.

UB:       Apa pengalaman menarik sewaktu bertugas di Nanamun?
HAJAT:           Pernah satu ketika, sekolah mengadakan majlis Hari Ibu Bapa. Tetapi pada masa itu, tiba-tiba berlaku banjir besar. Waktu itu, Tan Sri Said Keruak, dijadual merasmikan majlis itu. Kalau tidak silap, ketika itu beliau sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan. Oleh sebab banjir, Tan Sri Said terpaksa menaiki perahu dari Pandasan.
Sewaktu bertugas di sana juga, saya tidak boleh lupa budi baik orang-orang kampung, yang saya rasa menyayangi saya.Boleh dikatakan sepanjang bertugas di sana, saya tidak pernah beli ikan.Awal Pagi lagi, mereka datang ke rumah saya bawa ikan. Kadang-kadang kalau saya ke tepi pantai, tempat mereka selalu menyalai ikan, hampir kesemua orang memberikan saya ikan `tiapa’ iaitu ikan panggang.
UB:       Bagaimanapula sikap ibubapa ketika itu?
HAJAT:           Ibu bapa masyarakat Iranun ketika itu, saya perhatikan, amat menggalakkan anak-anak mereka ke sekolah, walaupun kebanyakan mereka petani dan nelayan.Kecuali kalau musim ikan bilis, ada anak-anak yang ikut ke laut menangkap bilis. Begitu juga, kalau buku sekolah yang dipinjam oleh anak-anak mereka koyak, mereka sanggup menggantinya.

UB:       Tuan masih ingat, tenaga-tenaga pengajar di GPS Nanamun ketika itu?
HAJAT:           Antaranya Cikgu Jimmy Ngali,Mohd.Kassim Haji Mustapha, Rasdin Abdul Mutalib,Cikgu Gawis Tali dan Majin Andah.

UB:       Dari Nanamun, tuan pindah ditukar kemana pula?
HAJAT: Selepas itu saya ditukarkan  ke GPS Kota Belud  Pekan pada tahun 1969.

UB:       Siapa rakan-rakan cikgu yang pernah mengajar di Peladok? Ada peristiwa yang cikgu masih ingat?
HAJAT: Di Peladok, antara cikgu yang saya ingat ialah Abd.Rashid Amir Hassan, Andin Omar, Rajikan Rauf, Astain Bugut,Abd.Rahim Abdul Rahman,Mansu Ujud dan lain-lain. Saya ingat satu peristiwa ketika bertugas di Peladuk, dimana ketika itu, ada seekor kerbau jatuh dalam telaga yang dibuat anak-anak sekolah. Hari sebelumnya, anak-anak mengerjakan kebun sayur. Setelah kerbau itu dikeluarkan, arwah Sharif Junit minta agar kerbau itu disembelih saja.Padahal harga kerbau ketika itu kira-kira RM800 seekor.Sekarang antara RM2,500 hingga RM3,000 seekor.
Kemudian saya ditukarkan ke GPS Suang Punggur sebagai Guru Besar.

UB:       Berapa gaji guru ketika itu?
HAJAT: Mula-mula gaji saya sebagai guru pelatih hanyalah 105 ringgit sebulan. Selepas lulus dari NVSTTC, saya menerima gaji, kalau tak silap 210 ringgit. Sewaktu di NVSTTC ini saya rajin menulis  dengan menggunakan nama Ilham Ahad untuk mimbar pembaca di Kinabalu Sabah Times.Waktu itu K.Bali yang jadi editornya. Isu gaji ini pernah masuk suratkhabar.Sebabnya, lepasan NVSTTC hanya dapat RM210 sedangkan lepasan Maktab Kent,layak menerima gaji RM270. Akhirnya setelah polemic di akhbar, gaji lepasan NVSTTC dinaikkan kepada 24o ringgit. Ketika itu, antara yang menyertai polemik itu ialah Ajirul dari Kudat, Jubah Hitam, Cikgu Jamri Jali yang juga guna nama pena Jentik Jentik dan Rose Asmara (Pengiran Abd Rahman Ali).

UB:       Walaupun gaji kecil, tapi harga barang murah
HAJAT:           ya, sekati gula kira-kira 45 sen, kopi o 20 sen, satu gantang beras hanya 1.20 ketika itu.Kehidupan orang kampung, terjejas ketika kemarau panjang pada tahun 1971.

UB:       Jika tidak silap tuan pernah kerja mendaftar orang kampung untuk mendapatkan kad pengenalan. Bagaimana ceritanya?
HAJAT:           Ketika itu, kami ditugaskan untuk mendaftarkan orang-orang kampung untuk mendapatkan IC atau kad pengenalan.Saya ditugaskan di Kampung Sarang, kota Belud.  Saya bersama Cikgu Suhaibul Dahlan, Cikgu Norbek Bisari, Cikgu Jaiti Tali dilantik sebagai pendaftar.

UB:       Ketika mendaftar orang kampung untuk mendapatkan IC itu, apa jenis soalan yang ditanyakan?
HAJAT:           Soalan lazim ialah siapa nama mereka, mereka dilahirkan tahun berapa.Biasanya kami tanya, apakah mereka sudah lahir atau belum ketika kedatangan Jepun.”Ada sudah kamu waktu Jepun lebih kurang begitulah pertanyaan kami.Aru kono tuntuk i Jipun?” dari sana kita boleh mengandaikan  usia mereka kerana waktu pendudukan Jepun ialah pada tahun 1942.

Satu lagi pengalaman yang tidak boleh saya lupakan juga ialah sewaktu disana, saya mendapat berita, anak kakak saya meninggal dunia.Pesan itu disampaikan melalui orang kampung yang berjualan di Tamu Pandasan.Saya akhirnya mengambil keputusan untuk pulang kampung. Kerana tidak ada kenderaan, saya terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 30 batu, dengan hanya bersenjatakan parang. Dari Kampung Dudar ke kampung Pirasan, saya mengambil masa kira-kira 16 jam berjalan kaki. Dari Dudar jam 5.00 petang, saya berjalan kaki seorang diri dan sampai ke Kampung Pirasan kira-kira jam 8.00 pagi.

UB:       Jauh juga tu tuan.Tidak timbul perasaan takut?
HAJAT:           Ada juga terdengar bunyi sana sini, cahaya memancar tiba-tiba, lampu lampu dan macam-macam lagi, tapi saya beranikan diri. Dulu di kiri kanan jalan, hutan tebal. Pada masa itu, belum ada jalan seperti sekarang.Memang sudah ada laluan, tapi susah dilaui.Apatahlagi ketika itu tiada kereta.

UB:       Selepas itu tuan ke mana pula?
HAJAT:           Saya mengikuti kursus pengajaran bahasa Inggeris di Kalamazoo House, di Blues Point Sydney, Australia. Waktu itu, Opera House sudah siap.Jambatan Sydney juga sudah siap.

UB:       Mungkin ada pengalaman-pengalaman tertentu di Sydney?
HAJAT:           Sewaktu menuntut di sana, saya sempat menjadi Jawatankuasa International Student Club.Di sana juga saya belajar ilmu pertanian.Saya di bawa ke ladang tomato, epal dan sebagainya .Keluarga angkat saya selalu membawa ke ladang pertanian.
Satu pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ialah saya pernah menonton bola  Piala Dunia di Stadium Sydney tetapi tidak dapat pulang kerana saya tidak ingat jalan.Saya tersesat. Mujurlah ada orang Australia yang baik, yang sanggup memanggil teksi dan menghantar saya hingga ke tempat tinggal saya di Union Street, yang tidak jauh iaitu kira-kira dua tiga rantai (1 rantai 22 ela) dari rumah.

Saya juga menjadi wakil Malaysia berucap di Stadium Sydney ketika pembukaan stadium itu. Di sana saya berkenalan dengan Allahyarham Tun Fuad Stephens. Ketika itu beliau menjadi Duta Besar Malaysia di sana. Beliau bangga ada seorang pelajar dari Sabah yang boleh berucap dalam bahasa Inggeris dan mampu menerangkan mengenai Sabah. Selepas peristiwa itu, beliau meminta saya ke Canberra. Saya ke Canberra bersama seorang rakan, guru saya Miss Robson, orang New Zealand, kerana dia yang tahu selok belok di Canberra.

UB:       Apa yang dibicarakan bersama arwah Tun Fuad di Canberra?
HAJAT: Sesampainya di Canberra, percakapan kami dengan Tun Fuad lebih terfokus kepada cerita politik, keadaan di tanahair dan sebagainya. Hubungan kami menjadi akrab, dan pejabat kedutaan Malaysia sering menjemput saya jika ada apa-apa acara di Sydney dan saya juga selalu menemani mereka jalan-jalan keliling kota Sydney.

UB:       Kalau soal makan, susah juga di sana?
HAJAT:           Sewaktu mula-mula tiba di Sydney, pada tahun 1971 itu, selama dua minggu saya tidak dapat makan nasi. Perasaan jadi lain.Akhirnya saya mencari kedai yang jual beras.Akhirnya saya dapat beli beras di sebuah supermarket di Wonder Street.Itupun dijual di tempat yang tersorok. Bila saya beli 10 bungkus beras, pekedai itu agak kehairanan, kerana sebelum itu, tiada orang yang pernah membeli jumlah beras sebanyak itu. Saya bayar di kaunter, kira-kira 15 dolar dan bawa pulang. Barulah perasaan saya lega.

UB:       Siapa rakan dari Malaysia yang sama-sama belajar di sana ketika itu?
HAJAT:           Pada masa itu, hanya saya dan Cikgu Mohd Shuaib Ahmad saja, orang Malaysia yang ikut berkursus di Sydney. Dari negara lain, seperti Vietnam, Bangladesh, Kampuchea dan sebagainya ada juga menyertai kursus itu.

UB:       Berapa lama berkursus di Sydney?
HAJAT:           Sebenarnya tempoh kursus di Sydney hanyalah kira-kira enam bulan. Sekembalinya ke Sabah, saya dilantik sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (NVSTTC) selama empat tahun iaitu pada tahun 1972 hingga 1975. Pengetua NVSTTC ketika itu ialah Cikgu Dahli (Datuk Haji Mohd.Dahli Elias).Beliau juga menulis menggunakan nama Edah Lisa.Pensyarah lain ialah Cikgu Awang Mohdzar, Haji Zulkifli Jaafar (kini Datuk), Hasnah Buyung, Raiting Sungguk, Aminah Arif, Zamrud manakalah pensyarah lain ialah Mohd.Nistah Kabul,Rahman Haji Sidek dan Datin Hasnah Abdul Rahman. Antara yang pernah menjadi Pengetua di NVSTTC ialah Agung Semuring, Datuk Dahli Elias, Jikal Gabie.
UB:       Selepas itu, tuan pindah ke mana?
HAJAT:           Sebenarnya saya dijanjikan untuk menjadi penyelia pendidikan di Labuan. Tetapi oleh kerana arwah Shafie Antrak masih bertugas di sana, saya menerima tawaran bekerja di Pejabat Daerah Tuaran pada bulan November 1975 sebagai Penolong Pegawai Daerah Luar Bandar.

UB:       Tentu banyak pengalaman sewaktu jadi ADO di Tuaran?
HAJAT:           Saya pernah memangku jawatan Pegawai Daerah Tuaran selama tiga bulan sewaktu DO Mohd Zulfikar bercuti berkursus.

UB:       Berapa lama jadi ADO?
HAJAT:           Saya menjadi ADO Luar Bandar dari tahun 1975 hingga 1989. Selepas itu, saya dipinjamkan pula ke Pejabat Pendidikan Pantai Barat Utara (PBU) sebagai Pegawai Tadbir hingga saya bersara secara pilihan pada tahun 1999.

UB:       Setelah bersara, apa yang tuan buat?
HAJAT:           Saya menyertai politik.Pada tahun 1999, saya dilantik Ketua Cawangan PBS, kemudian menjadi Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Islam Bahagian Usukan.Malah ketika itu, nama saya juga masuk dalam bursa calon tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Saya terpaksa akur kehendak parti. Kemudian pada tahun 2004, saya menyertai UMNO dan kemudian pada tahun 2007, saya dilantik menjadi Pegawai Khas ADUN Usukan,Datuk Japlin Akim hingga sekarang.

UB:       Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.
HAJAT:           Terima kasih.Memang banyak yang boleh dikongsikan tetapi lain kali saja kalau ada waktu.





1 comment:

ketikketok said...

".. to love is to care, to care we must share..."
get some and feel awesome at I AM GORGEOUS