Friday, November 23, 2012

Ustaz Jalidar, tokoh nasyid yang banyak berjasa



SETELAH bermusim musafir di sini, di dunia tiada kekal abadi, sediakan amal sebelum kau pergi, itulah antara bait-bait lirik nasyid bertajuk Muhasabah ciptaan Tokoh Nasyid  yang tidak asing lagi, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim. Lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang lirik terbaik kebangsaan itu amat menyentuh dan menginsafkan. Ukhuwah membina umat yang padu, jangan memandang bangsa dan suku, kasih sayang jalinlah selalu, bagaikan ansar muhajirin selalu.

USTAZ HAJI JALIDAR ABDUL RAHIM dilahirkan di Bedagai,sebuah daerah terpencil, di Medan Sumatera Utara pada 21 Julai 1949. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan sekolah agama hingga peringkat sanawi di daerah kelahirannya. Haji Jalidar kemudian mengikuti pendidikan guru agama atas di peringkat aliyah di Tanjung Balai, Asahan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Fakultas Tarbiyah di Universiti Islam Sumatera Utara sehingga lulus sarjana muda pada tahun 1973. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Sabah dan berkhidmat di beberapa buah sekolah agama sebelum dilantik sebagai Penyelia Dakwah di Majlis Ugama Islam Sabah.

Disamping tugasnya sebagai guru agama, Haji Jalidar lebih dikenali sebagai seorang tokoh nasyid yang telah mengangkat nama Sabah ke peringkat Kebangsaan. Beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid di negeri ini, mencipta hampir 300 lirik dan lagu nasyid.Bermula dengan kejayaan kumpulan Noor El Kawakib yang menjadi Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada 1979, beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid, termasuk Kumpulan Orkestra Dakwah Noor  El Sabah yang telah mewakili Asia Tenggara ke Festival Die Garten des Islam ( The Garden of Islam)  di Berlin,Jerman. Beliau pernah menjadi hakim pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan dan rantau Asean.
Haji Jalidar juga adalah seorang pemuisi yang tidak asing lagi di Sabah yang menjadi kampung halamannya sejak 38 tahun lepas. Atas jasanya yang tidak terhingga terhadap perkembangan seni nasyid di Sabah, Ustaz Jalidar telah menjadi penerima Anugerah Al-Farabi yang pertama pada tahun 2001.Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu tengahari di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam seni nasyid di negeri ini.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit bagaimana mulanya Ustaz hijrah ke Sabah?
USTAZ JALIDAR:       Saya menjejakkan kaki ke Sabah 29 Mac 1974 setelah lulus temuduga yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) setahun sebelumnya. Kami telah diminta oleh Haji Bahrum Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu. Hanya 18 daripada 40 yang hadir temuduga itu dinyatakan lulus dan terpilih untuk Sabah.
Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan Buya Hamka, seorang ulama terkenal, ketika itu Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk membantu gerakan dakwah di Sabah.

UB:       Dimana ustaz bertugas sebaik tiba di Sabah?
UJ:      Ketika itu isteri saya, Hajah Husna Mohd.Yatim sedang sarat mengandung anak kami yang pertama. Selepas Ibnus Shobah lahir pada 5 Mei 1974 di Hospital Queen, saya dihantar bertugas ke Sekolah Agama Islam Papar. Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah Islam Papar. Dua tahun selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Ugama Islam (SUI) Kampung Pengalat Besar Papar yang ketika itu baru dibuka. Pada tahun 1980, saya dilantik pula sebagai Penyelia Dakwah di ibu pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

UB:       Bagaimana pula Ustaz terlibat dalam aktiviti Nasyid?
UJ:      Semasa berkhidmat di Papar, saya telah mewujudkan Kumpulan Noor El Kawakib, kumpulan nasyid yang kemudian menjadi juara nasyid di peringkat negeri pada tahun 1979, johan peringkat Kebangsaan anjuran RTM. Ketika itu, Datuk Mohammad Rahmat menjadi Penerangan. Kumpulan Noor El Kawakib  sempat merakamkan album lagu-lagu nasyid. Salah seorang penyanyi solo kumpulan Noor El Kawakib ialah  Hajah Norsiah Talip (kini almarhumah). Selepas menjadi johan nasyid, kami terus merakamkan album pada tahun 1979. Bila kita buat album yang pertama, seni nasyid mendapat lonjakan baru. Orang yang banyak membantu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Menteri Kewangan pada ketika itu. Beliau membantu apa-apa saja keperluan untuk menerbitkan album nasyid itu. Ketika itu, kita buat album di Kuala Lumpur. Sesuai dengan nama Noor El Kawakib yang bermakna cahaya bintang-bintang, lagu-lagu nasyid mula menyinar selepas itu.

UB:       Sebelum itu belum ada album lagu nasyid di Sabah?
UJ:      Album Kumpulan Noor El Kawakib itulah album nasyid pertama di Sabah.

UB:       Bagaimana pula perkembangan nasyid selepas itu?
UJ:      Selepas itu, Sabah telah mencipta banyak kejayaan di peringkat kebangsaan.Sampai hari ini, jika menyertai pertandingan, menang atau tak menang, Sabah sentiasa digeruni kerana kehebatannya.

UB:       Apa kumpulan yang Ustaz bimbing selepas Noor El Kawakib?
UJ:      Setelah berpindah  ke ibu pejabat di MUIS, di samping menjalankan khidmat sebagai penyelia dakwah, saya juga keliling mengajar dan membimbing kumpulan nasyid. Saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid di Semporna hingga mereka muncul johan.Ketika itu, Datuk Haji Salsidu Ibrahim menjadi Pegawai Daerah di Semporna. Beliau juga seorang pencinta nasyid.  Pemimpin prihatin.Alhamdulillah.Saya juga membimbing Kumpulan Shoutol Hadhari dari Tawau, hingga mereka menjadi Johan peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan sebanyak dua kali 2005 dan 2007. Masa itu, Haji Salsidu Haji Ibrahim menjawat presiden MPT. Selain itu, saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid dari Kota Belud, yang juga muncul johan kebangsaan. Saudara Lamsil Hamidsor adalah orang kuat dakwah di Kota Belud. Pernah juga di Kinabatangan, dimana kumpulan nasyid dari Kinabatangan menjadi johan, di Sipitang juga, mereka muncul johan. Alhamdulillah, sudah terbangun asas yang baik nasyid ini.

UB:       Biasanya siapa yang buat lagu ?
UJ:      Kadang-kadang mereka yang buat lagu.Saya Cuma perhalusi. Tapi kebanyakan saya buat sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan saya maziah, kelebihan iaitu boleh menulis lirik dan boleh membuat lagu, selain boleh bermain muzik. Ada orang boleh menulis lirik, tapi tak boleh buat lagu. Alhamdulillah, ada beberapa kali, tak kurang lima kali, ciptaan saya menjadi lirik terbaik kebangsaan.Sabah pula  lebih sepuluh kali menjadi johan kebangsaan. Kumpulan Noor El Sabah terpilih mewakili Malaysia dan juga Asia untuk menyertai Festival Garden of Islam pada tahun 1993. Itu dianjurkan oleh Kerajaan Jerman. Sepanjang festival itu, diadakan persembahan, seminar, pameran tentang Islam. Ia diadakan selama empat bulan.Acaranya dibuat di Berlin.

UB:       Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?
UJ:      Banyak juga. Tapi yang paling mengesankan bagi saya ialah apabila Tun Haji Ahmadshah Abdullah, mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, waktu itu beliau masih menjadi setiausaha Majlis Ugama Islam  Sabah (MUIS) membelikan saya gambus. Beliau memang seorang yang prihatin. Ia satu kenangan yang manis bagi saya. Dibelikannya saya gambus di Berlin. Gambus itu buatan Turki.Sampai sekarang, saya tak bagi bagi orang main. Masa itu, kami berkunjung ke sebuah kedai muzik di Jerman. Ketika ternampak gambus itu, beliau bertanya saya.Walaupun teringin memilikinya tapi harganya mahal iaitu kalau tak silap 600 mark, mata wang Jerman. Tapi Tun Ahmadshah, beliau orang yang baik, membelikan saya gambus yang sangat berharga itu.

UB:       Wah, rupanya ada kenangan manis bersama Tun. Sudah lama kenal beliau?
UJ:      Beliau pernah jadi bos saya  di MUIS, Ketika beliau menjadi Setiausaha MUIS, waktu itu diselenggara Pengucapan Puisi Islam Sabah, yang kemudian dikenali dengan Mahrajan Sastera Islam. Sebagai pengendali, saya selalu melaporkan proses kemajuan kerja. Tapi beliau selalu memberi keyakinan kepada saya dengan mengatakan beliau yakin saya boleh melaksanakan  kerja yang diamanahkan.

UB:       Saya tertarik dengan persembahan di Festival The Garden of Islam di Jerman itu. Bagaimana sambutan khalayak di Jerman ketika itu?
UJ:      Sambutan khalayak di Jerman agak luar biasa.Benarlah kata orang, bahawa bahasa muzik boleh difahami secara sejagat.Bahasa seni boleh difahami oleh khalayak yang kebanyakannya terdiri daripada orang Jerman itu. Mereka di Eropah sana, sangat menghormati seni. Ketika kita tampil ke pentas, semua hadirin berdiri dan bertepuk tangan. Begitu juga ketika membuat persembahan, mereka duduk diam, bahkan jika ada jarum jatuhpun boleh kedengaran.Sampai begitu sekali penghargaan mereka terhadap seni, hormat mereka terhadap seni.Setelah kita membuat persembahan, mereka bertepuk tangan. Memang seni ini bahasa dunia, bahasa yang melintasi benua.

UB:       Berapa lama membuat persembahan di sana?
UJ:      Kami membuat persembahan selama dua malam di sana, dengan sambutan yang begitu membanggakan. Bahkan kami sempat tampil dalam slot tv selama sepuluh minit yang ditayangkan di TV Jerman.

UB:       Oh ya, selain Festival The Garden of Islam itu, pernahkah Orkestra Dakwah Noor El Sabah membuat persembahan di tempat lain?
UJ:      Kita pernah buat persembahan dalam Pertemuan Seniman Muslim MABIM Asean di Ambon, Maluku pada tahun 1996. Kita juga pernah buat persembahan nasyid di Medan Sumatera Utara pada tahun 2000.

UB:       Bagaimana mulanya lahir minat Ustaz terhadap nasyid? Boleh ceritakan sedikit?
UJ:      Dulu rumah kami di kampung, selalu menjadi tempat tumpuan guru-guru lagu al-Quran, guru qasidah dan sebagainya. Rumah kami jadi tempat belajar. Waktu itu umur saya lapan tahun, saya ikut belajar dan sudah akrab dengan lagu-lagu arab.Ketika itu saya tinggal tempat bapa saudara saya, Mukhtar Umar.Beliau yang telah membela saya, orang yang terkenal kedermawanannya. Bila ada bot besar, mereka akan singgah di rumah kami, yang terletak di tepi laut. Semasa berada di Indonesia, saya sudah terlibat dalam seni lagu nasyid melalui Kumpulan El-Surayya di Tanjung Balai Asahan.

UB:       Apakah kehidupan masa kecil itu mempengaruhi karya-karya Ustaz?
UJ:      Tentu sekali ia banyak mempengaruhi karya saya. Ketika di kampung, saya berguru dengan Ustaz Haji Mohd.Iyen Atim. Malah, saya khatam Quran dengan Ustaz Iyen, guru saya yang kini jadi besan saya.

UB:       Barangkali banyak lagi pengalaman Ustaz yang boleh dikongsikan dalam bidang seni nasyid ini?
UJ:      Antara kenangan manis saya dalam bidang nasyid ini ialah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Festival Nasyid Peringkat Asean di Kuala Lumpur pada 1994. Saya menjadi ketua hakim dalam panel hakim yang dianggotai oleh hakim dari Singapura, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia. Selain itu, saya pernah menjadi hakim di peringkat negeri, di peringkat kebangsaan malah pernah pula dijemput menjadi hakim dalam satu festival vokalis qasidah dan nasyid Peringkat Nasional di Jakarta.

UB:       Apa yang ustaz lihat masalah nasyid kita sekarang?
UJ:      Masalah kita ialah kita selalu menggunakan muzik secara live.Dulu termasuk dalam satu syarat. Tetapi sekarang, kumpulan nasyid hanya menggunakan minus one. Ini secara tidak langsung mematikan bakat pemuzik kita.Dulu banyak orang boleh bermain gambus, violin, tapi sekarang orang terpaksa gunakan minus one, yang tidak banyak membantu mengembangkan nasyid kita, kerana muzik latarnya tidak original. Patutnya kita benarkan orang menggunakan muzik secara live.

UB:       Sekarang masanya pun pendek Ustaz.Apa komen?
UJ:      Dulu dua lagu diberi masa 15 minit iaitu tujuh minit bagi setiap lagu. Sekarang ia menjadi empat minit bagi satu lagu. Ini tidaklah memadai.Taqsin lagu, intronya hilang keindahannya.Lagu tidak boleh kita buat kelamkabut. Ia bukan siaran langsung. Sepatutnya waktu tujuh minit itu kita pertahankan. Bagi saya waktu tujuh minit itu, sudah bersesuaian. Biar berkembang nasyid kita, baru ada indahnya.
Empat minit tidak mencukupi. Ia sebenarnya tidak baik untuk kelangsungan perkembangan seni nasyid kita. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ada berbincang dengan tokoh-tokoh seni sebelum membuat peraturan itu.

UB:       Apa pendapat Ustaz mengenai kategori nasyid moden dan tradisi itu?
UJ:      Kalau saya, nasyid ini satu saja. Iramanya irama timur tengah. Tak perlu ada kategori nasyid moden dan tradisi. Cukup nasyid saja. Bahkan tokoh nasyid, Tan Sri Hassan Azhari juga hairan juga kerana ada nasyid moden, ada nasyid tradisi. Lagu nasyid berbeza dengan lagu dakwah.Lagu dakwah lain. Sekarang timbul lagu pop dakwah, lagu rock dakwah. Itu tak jadi masalah.Cuma jangan sebut ia nasyid kerana nasyid, sudah jelas ia lagu daripada irama Timur Tengah. Yang mereka sebut moden itu, itu bukan moden, Cuma kreativiti saja, yang berkembang dari zaman ke zaman.

UB:       Apa pula cadangan ustaz untuk mengatasi pro kontra nasyid moden dan tradisi ini?
UJ:      Sebaiknya adakan satu bengkel di peringkat kebangsaan.Kita bincang balik hala tuju nasyid kita. Perbincangan itu haruslah melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam nasyid. Dulu sewaktu  zaman Tan Sri Hamid Osman, selalu ada seminar kebangsaan yang mendatangkan pelbagai pemakalah untuk mencari satu peraturan mengenai nasyid itu termasuk penentuan waktu tujuh minit itu.Sekarang dengan waktu empat minit, seni nasyid jadi tidak indah.Terpaksa potong sana, potong sini. Apa salahnya kalau ia diteliti dan ditinjau kembali.Buat seminar. Tan Sri Hassan Azhari masih ada, ilmunya boleh dimanfaatkan. Tokoh-tokoh ini boleh dijemput untuk bertanya, mewujudkan suasana yang lebih subur dalam lagu nasyid disamping dapat membina jati diri kita.

UB:       Bagaimana pula dengan nasyid etnik dalam bahasa tempatan?
UJ:      Itu bukan nasyid. Sebut saja ia irama dakwah, atau lagu etnik dakwah.

UB:       Di Sabah ini, mungkin ustaz boleh beberapa nama yang berjasa menghidupkan festival nasyid di peringkat awal?
UJ:      Antaranya Haji Yahamad budin, Haji Ahmad Yakub, Awang Mumin dan lain-lain lagi. Sewaktu zaman PBS, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika, Datuk Haji Hassan Ibrahim adalah Pengerusi Pertama Festival Nasyid. Saya jadi Timbalan Pengerusinya yang pertama, tapi kemudian saya mengundur diri dan menjadi pegawai teknikal dan penasihat saja. Selepas itu, Timbalan Pengerusinya disandang oleh Maming Staming, Pengarah Protokol ketika itu.

Kita jangan lupakan sejarah. Jangan kita tinggalkan mereka.Tidak ada hari ini tanpa orang terdahulu.

UB:       Selepas bersara, apa kegiatan Ustaz?
UJ:      Alhamdulillah, sekarang saya sedang membimbing belia-belia Islam dalam seni nasyid di daerah Membakut selain giat mengadakan ceramah-ceramah di masjid-masjid di daerah itu dan sekitarnya atas pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif. Kami juga sudah menerbitkan Orkes Gambus Bustanul Arifin dengan album Satu Malaysia.  Bukanlah maksudnya terlalu taksub.  Ia lambang kecintaan saya kepada Malaysia.  Selain itu pula, saya juga di Kampung Brunei,Membakut, saya membimbing kumpulan Syukbanul Arifin. Sebelum ini, sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, atas ihsan Tengku Arrafiah Sultan Salahuddin, kami telah berjaya menerbitkan album Kumpulan marhaban Al-Badar.

UB:       Saya terjumpa ada nasyid Ustaz di Youtube juga? Dimana tu?
UJ:      Oh itu! ia album nasyid yang diterbitkan di Balai Asahan sebagai tanda rasa cinta saya kepada tanah leluhur.

UB:       Setelah lebih 30 tahun terlibat dalam nasyid, berapa jumlah lagu nasyid yang pernah ustaz lahirkan?
UJ:      Kira-kira 200 lagu. Dalam sisa-sisa umur ini, kalau boleh saya mahu mencipta hingga  500 lagu..Mudahmudahan umur panjang, dan tiap tahun boleh melahirkan album. Yang penting dalam berbuat ini, ikhlas saja.Buat baik. Soalnya kita berlari dengan masa. Kalau tak bolehpun, tak apa. paling tidak saya berasa bahagia kerana pasti ada yang meneruskannya.

UB:       Siapa idola Ustaz ya dalam seni nasyid ini?
UJ:      Idola saya ialah guru saya Prof Haji Ahmad Baqi.Selain itu Tan sri Hassan Azhari. Sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, saya selalu bertandang ke rumahnya.saya bawa violin, main sama-sama. Saya kagum semangatnya. Sebenarnya dalam nasyid ni, saya tak berani juga mengatakan bahawa saya pencipta. Barangkali boleh saya katakana saya pengumpul. Dalam ciptaan saya, ada pengaruh Abdul Wahab, Umi kalsom, Farid al Atras, Wardah Al jazirah dan banyak lagi.

UB:       Akhir sekali apa harapan Ustaz?
UJ:      Saya berharap seni Islam akan terus subur dan mempunyai masa depan yang cerah.




1 comment:

ALi Osman said...

SALAM SEJAHTERA TUAN, MAAG MENGGANGGU, BOLEH SAYA DAPATKAN MAKLUMAT LANJUT MENGENAI USTAZ HAJI JALIDAR UNTUK SAYA MASUKKAN DALAM KAJIAN KETOKOHAN SAYA DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH