Saturday, December 1, 2012

Datuk Yusof Hamdain Deigo, terus perjuang bekas polis



DATUK YUSOF HAMDAIN DEIGO, TERUS BERJUANG BANTU BEKAS POLIS

“KITA ini bukan batu. Kalau batu makin lama makin berharga.Kita ini manusia, satu hari nanti pasti mati.Nasihat saya, jangan selalu aniaya orang.Kalau boleh tolong masa kita berkuasa, kita mestilah tolong. Kebaikan itu sebenarnya bertambah.Satu orang yang kita tolong, sepuluh orang akan kata, kita baik.Kalau sepuluh orang kata kita baik, 100 orang akan berdoa untuk kita, begitu seterusnya dan seterusnya.Kalau 100 orang, seribu orang akan berdoa untuk kita, bayangkan!. Alhamdulillah, barangkali kerana mengamalkan sikap baik itu, sekarang saya tiada penyakit yang serius. Kalau saya jumpa kawan-kawan, mereka tidak buang muka, selalu mereka panggil minum dan sebagainya.Yang membuat orang kenang kita, bukanlah kerana kita kaya tetapi orang kenang kita kerana kebaikan kita,” kata Datuk Yusof Hamdain Deigo, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang juga Pengerusi PBPM Negeri Sabah.

Sebagai seorang tokoh yang tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi bekas-bekas polis di negara ini, beliau adalah seorang `public figure’ yang terkenal terutamanya berkaitan perjuangan untuk kepentingan dan kebajikan bekas-bekas polis.

Datuk Yusof Hamdain Deigo lahir di Kampung Limbahau Papar pada tahun 1939. Anak ketiga dari enam adik beradik ini  mendapat pendidikan awal di St Mary School Limbahau sebelum berpindah ke Sacred Heart Jesselton. Beliau kemudian meneruskan pendidikan menengah di St Joseph Papar dan St Mary Secondary School, Sandakan. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan Polis pada tahun 1957. Ketika berkhidmat dalam pasukan polis, beliau sempat  menjalani pelbagai kursus termasuk kejuruteraan automobil (automobile engineering) di Nagoya Jepun pada 1963-1965.  Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1965,beliau menerima tawaran untuk berkhidmat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  sebagai Senior Vehicle Examiner (Pemeriksa Kenderaan Kanan) apabila Bahagian Pengangkutan Jalan dipisahkan dari perkhidmatan polis dan menjadi sebuah jabatan tersendiri. Beliau naik setingkat demi setingkat sehingga menjawat jawatan Pengarah JPJ Sabah iaitu orang Sabah pertama menjawat jawatan itu, dan mungkin satu-satunya sehingga kini.

Beliau bersara pada tahun 1995 dan terlibat dalam pelbagai kegiatan perniagaan,kemasyarakatan selepas itu. Beliau adalah Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sabah dan kini Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di peringkat pusat. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Margaret Wilson dan dikurniakan lapan orang anak, antaranya Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Haji Faisyal Hamdain Deigo.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang-sembang  dengan Datuk Yusof Hamdain Deigo di pejabatnya di Sinsuran Kinabalu baru-baru ini.Ikuti petikan temubual dengan beliau  berkaitan dengan pengalamannya ketika menjadi anggota polis, pemeriksa kenderaan seterusnya menjadi Pengarah JPJ Sabah, orang tempatan pertama menjawat jawatan itu.

UTUSAN BORNEO:      Bolehkah Datuk ceritakan sedikit detik mula terlibat dalam perkhidmatan Polis?
YUSOF:            Saya  memasuki perkhidmatan polis pada 1957 dan menjalani latihan selama sembilan bulan di Kepayan.Selepas  tamat latihan rekrut, saya dihantar mengikuti kursus Government Trade School di Batu 3 untuk mengikuti kursus mekanik.Selepas itu saya ditempatkan di Cawangan  Pengangkutan Polis sebagai mekanik dan kemudian  dipindah ke Cawangan  Marin Polis, juga sebagai mekanik. Selepas itu, saya dipanggil semula untuk mengikuti kursus lanjutan di Trade School dan setelah lulus dilantik sebagai Pembantu pemeriksa kenderaan, pada masa itu masih di Balai Polis Kota Kinabalu.

UB:       Apa bidang tugas Datuk ketika itu?
YUSOF:            Antara tugas saya ialah sebagai pembantu ujian memandu, memeriksa kereta iaitu tugas yang kini dibuat oleh Puspakom. Dulu semua polis yang buat.Dulu termasuk dalam bidang kuasa polis. Dulu  Pesuruhjaya Polis juga adalah pesuruhjaya Pengangkutan Jalan.

UB:       Jadi sebelum ada JPJ, semua dikendali Polis? Selepas itu?
YUSOF:            Ya, semuanya dalam bidang kuasa polis ketika itu. Selepas itu, saya mengambil kursus Automobile Engineering di Nagoya Jepun selama satu tahun enam bulan. Sewaktu Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia, saya sedang berada di Jepun ketika itu. Saya menjalani kursus dari tahun 1963 hingga tahun 1965.

UB:       Setelah menjalani kursus, Datuk ditugaskan ke mana pula?
YUSOF:            Selepas tamat kursus pada tahun 1965, saya melapor diri semula di ibu pejabat polis di Kepayan.Pada masa itu, saya diberi pangkat inspektor. Tapi waktu itu saya tidak terus terima. Saya diberi opsyen sama ada berkhidmat dalam perkhidmatan polis atau JPJ.

Masa itu, JPJ sudah terpisah dari perkhidmatan polis. Jadi saya dinasihatkan oleh seorang pegawai kanan polis, yang menjadi commissioner (pesuruhjaya) RTD ketika itu, SH St Edward, supaya memilih kerja di RTD, kerana masa depannya lebih cerah dibandingkan dengan jawatan inspector.

Katanya, ‘betul you lawa sebagai inspektor, tapi masa depan di RTD lebih baik kerana tidak banyak saingan’.Saya kata `tuan, bagi saya masa dua minggu untuk buat pilihan’, tapi tidak sampai dua minggu saya ikut jabatan yang baru diwujudkan itu.

Kalau tak silap, RTD diwujudkan pada 1964, dipisahkan daripada perkhidmatan Polis. Saya ditemuduga oleh PSC (Public Service Commision), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan lulus. Kemudian dilantik sebagai Senior Vehicle Examiner dengan gaji $690, jumlah yang agak besar pada ketika itu. Gred C4,5, gaji pokok $690. Pada masa itu, saya menduduki hirarki yang ketiga dalam jabatan iaitu, pengarah, timbalan dan lepas itu… saya.

UB:       Bagaimana pula proses kenaikan pangkat?
YUSOF:            Kenaikan pangkat dibuat apabila kita sudah lulus undang-undang. Bila pesuruhjaya yang pertama bersara maka timbalannya yang naik pangkat dan saya naik timbalan. Sebelum disahkan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya JPJ, seseorang mestilah lulus peperiksaan undang-undang, Criminal Law (undang-undang jenayah), Civil law (undang-undang sivil), Treasury Instruction (arahan Perbendaharaan). Setelah lulus barulah dapat disahkan dalam jawatan.

 Kita juga mesti lulus peperiksaan  bahasa Malaysia standard 2. Apabila Pesuruhjaya JPJ meninggal dunia, saya ambil alih sebagai pemangku sehingga 1984, apabila JPJ diambil alih oleh Kerajaan Pusat.Kemudian nama Pesuruhjaya JPJ ditukar namanya menjadi Pengarah JPJ. Saya menjadi Pengarah JPJ dari tahun 1984 hinggalah bersara pada 1995.

UB:       Jika dibandingkan sekarang, bagaimana datuk melihat keadaan dahulu sewaktu berkhidmat di JPJ?
YUSOF: Kalau dikira dahulu, kenderaan tidak begitu banyak.Sekarang jumlahnya semakin meningkat. Masa saya berkhidmat di JPJ, sistem yang digunakan masih manual.Tidak semua pakai komputer. Sebagai pengarah JPJ  waktu itu, saya selalu turun padang. Kadang kala saya melihat pegawai saya buat sekatan jalan, supaya saya tahu bagaimana pegawai saya bekerja. Bila melihat saya, mereka bersemangat bekerja melihat bos mereka turun padang.Jika duduk di pejabat, sudah tentu saya tidak dapat menyelami pekerjaan mereka.

Saya juga selalu berkumpul dengan mereka,makan bersama mereka. Pada masa dulu, sewaktu masih dalam polis lagi, saya kerja betul. Itu sebabnya saya mendapat peluang mengikuti kursus kerana atasan saya menilai saya bekerja dengan betul.

UB:       Jadi jika kita bekerja betul…
YUSOF: Kerjalah dengan baik, dan betul,Jangan kira masa.Kita mesti patuh kepada peraturan supaya hidup kita senang.

UB:       Benarkah datuk, orang sabah yang pertama jadi pengarah JPJ?
YUSOF:            ya, Orang sabah yang pertama jadi pengarah dan mungkin sehingga kini belum ada lagi orang sabah jadi pengarah JPJ.

UB:       Apa hobi datuk ya?
YUSOF:Sewaktu masih di JPJ lagi, saya memang sudah bergiat aktif dalam kerja-kerja amal. Selain itu, saya memang suka bersukan.sukan pilihan saya ialah golf. Bila ada masa lapang, saya suka main golf. Kadang-kadang kawan, kenalan kita mengajak kita main golf.
Main golf ini boleh membuat kita ketagih juga.Kalau orang ajak main golf, kadang tak peduli hujan, panas terik dan sebagainya, tetap main golf. Lagipun orang tua, seusia kami tentu tidak sesuai main bola atau badminton untuk excercise atau senaman.

UB:       Selepas bersara, apa yang datuk lakukan?
YUSOF:            Sebaik-baik saja bersara, saya dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agung (DYMM) sebagai  Ahli Suruhanjaya PDRM selama lapan tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2002. Selepas itu, banyaklah juga syarikat swasta menawarkan saya sebagai pengarah syarikat, pengerusi syarikat dan sebagainya. Selain itu, saya juga pernah menjadi Pengerusi PIBG SM La Salle selama 12 tahun, dan PIBG St Francis selama enam tahun.

UB:       Bila pula Datuk terlibat dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM)?
YUSOF:            Saya terlibat dalam PBPM sewaktu saya masih berkhidmat dalam RTD lagi. Kalau tak silap tahun 1978. Saya ini dalam persatuan turun naik juga. Dalam PBPM Sabah, saya dilantik, dipilih kemudian bagi laluan kepada pemimpin lain, dipilih lagi kemudian undur diri, dipilih semula, begitulah.Antara yang pernah menjadi Pengerusi PBPM ialah Hussin Abdullah, Datuk Haji Abd.Malek Chia, Asmawi Chew, Pengiran Salleh.

Kalau tak silap tujuh orang ganti sebagai pengerusi negeri sebelum saya dipilih semula. Saya lebih kepada ‘trouble shooter’, penyelesai masalah.Saya selalu ingatkan jangan ada kepentingan diri.Perjuangan tidak tercapai kerana ada kepentingan diri.Kalau kita berkhidmat dalam persatuan ini, biarlah kita  berkhidmat untuk kepentingan bekas polis, pesara polis dan sebagainya.

UB:       Penglibatan di peringkat pusat?
YUSOF:            Pada 24 Mac yang lepas, saya dipilih sebagai Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia. Daripada 14 buah negeri, perwakilan 11 negeri hadir, Sarawak berkecuali dan hanya tiga negeri tak hadir. Saya dipilih secara majoriti.Mungkin ahli PBPM memikirkan jasa kita kepada ahli.

Mungkin kerana kita tidak membohongi ahli, tidak menipu maka kita dipilih. Dalam perhimpunan agung lalu kita dipilih.Sebelum itu saya adalah Timbalan Presiden dari tahun 2001-2012. Sebelum itu, Senator Dato’ Mansor HM Jaafar menjadi Presiden PBPM.

UB:       Apa tujuan asal penubuhan PBPM? Boleh datuk ceritakan sedikit?
YUSOF:            PBPM adalah sebuah  persatuan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib bekas-bekas polis sejak sebelum merdeka sehingga kini.

UB:       Sebenarnya apa peranan yang boleh dimainkan oleh PBPM?
YUSOF: Bekas-bekas polis boleh terus memainkan peranan membantu PDRM dalam usaha mencegah jenayah.Ini sesuai dengan slogan kita `sekali polis,polis selamanya. Kita perlu terus bersatu teguh meneruskan agenda perjuangan untuk membela bekas bekas polis, yang telah berjuang demi memastikan keamanan dan keselamatan negara.
           
UB:       Oh ya, sewaktu sekolah dahulu, siapa rakan sekelas Datuk?
YUSOF:            Antara rakan sekelas saya di SRK Sacred Heart ialah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan,(kini Timbalan Ketua Menteri Sabah) Tan Sri Ghani Gilong (mantan Menteri Persekutuan), Datuk Wilfred Lingham. Dulu Tan Sri Pairin, waktu itu dia jalan kaki dari Jesselton. Kalau di Papar, antara rakan sekelas saya ialah Datuk Pengiran Abdul Rahman Ali, Pengiran Arshad Abas,Sulaiman Asraf.Mohd.Iqbal. Sewaktu di Sandakan, antara rakan saya ialah John Quadra,Datuk Patrick Ho, itu antara yang rapat.

UB:       Sewaktu dalam polis?
YUSOF:            Antara rakan saya dalam polis ialah Datuk Clement Jaikul, Harith Ambidau, Ong Nai kin, Victor Lim, Mohd.Iqbal, dan banyak lagi sudah meninggal.

UB:       Siapa agaknya orang yang selalu datuk kenang?
YUSOF:            Saya masih kenang, saya masih hormat pegawai atasan saya, Datuk Henry Chin.Ketika itu dia OCPD.Dia selalu nasihat saya, dia selalu bantu saya. Apa yang saya ada sekarang adalah atas jasanya. Sampai sekarang saya hormat.saya mengenang kebaikan dia.Dia memang seorang yang baik. Saya ucapkan banyak terima kasih kerana dia yang banyak membimbing saya.

UB:       Kira-kira apa memotivasi hidup datuk ya?
YUSOF:            Sebenarnya saya suka membantu orang.Kalau boleh saya tolong, saya tolong.Saya juga tidak sewenang-wenang. Kita bukan batu,kalau batu makin lama makin berharga.Kita ini manusia, saya ingat satu hari nanti saya akan mati.

Nasihat saya, jangan selalu aniaya orang.kalau boleh tolong masa kita berkuasa, kita tolong. Kebaikan itu sebenarnya bertambah.satu orang yang kita tolong, sepuluh orang akan kata kita baik.Kalau sepuluh orang kata kita baik, 100 orang akan kata kita baik, kalau 100 orang, seribu orang akan berdoa untuk kita.

Alhamdulillah, barangkali kerana mengamalkan sikap baik itu, sekarang saya tiada penyakit yang serius. Kalau saya jumpa kawan-kawan, mereka tidak buang muka, selalu mereka panggil dan sebagainya.Yang membuat orang kenang kita ialah bukanlah kerana kita kaya tetapi orang kenang kita kerana kebaikan kita.






No comments: