Friday, December 14, 2012

Datuk Yussof Manan, ceritakan liku-liku dalam perjuangan



DATUK YUSSOF MANAN, CERITAKAN LIKU-LIKU DALAM PERJUANGAN

Apabila beliau mengembalikan duit, Tun Mustapha marah. Orang berlumba-lumba untuk bertanding tetapi ada orang diberi peluang untuk bertanding tetapi menolaknya pula, kata Tun. Selepas penamaan calon dan setelah keadaan kembali reda, beliau   bertemu empat mata dengan arwah Tun dan memberikan penjelasan mengapa saya enggan bertanding di Penampang. Bukan takut kalah kerana memang peluang tipis untuk menang di kawasan itu tetapi masih ada orang lain yang lebih berhak untuk bertanding di kawasan itu. Setelah menyedari duduk perkara, arwah Tun meminta maaf atas kesilapannya. Ini menunjukkan jiwa besar Tun, pemimpin yang sedia meminta maaf jika melakukan kesilapan waimma kepada orang bawahannya, kata seorang tokoh politik Sabah yang tidak asing lagi, Datuk Yussof Abdul Manan

Sebagai Yang Di Pertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Sabah dan Naib Presiden MUBARAK Malaysia, Datuk Yussof adalah seorang pemimpin yang berpengalaman.

Datuk Yussof Abdul Manan dilahirkan di Kota Kinabalu dan merupakan anak sulung daripada 12 adik beradik dari pasangan  Abd.Manan Datuk Haji OT Hussin  dan  Hajah Halimah Madin.

Beliau mendapat pendidikan di SRK Sembulan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah  Menengah Lok Yuk hingga tingkatan Tiga. Pada tahun 1965, beliau terpaksa menolak tawaran biasiswa untuk mengikuti kursus kepimpinan di New Zealand di bawah Rancangan Colombo. Beliau juga tidak dapat meneruskan sekolah secara formal ekoran keadaan ekonomi keluarga yang tidak begitu mengizinkan. Yussof berkerja secara sambilan tetapi pada sebelah malamnya beliau mengikuti kelas malam di Sabah College hingga lulus tingkatan lima.

Sebelum itu beliau pernah berkhidmat  secara sukarela dalam pasukan  Wataniah.Apabila pecah peristiwa 13 Mei,beliau diminta meneruskan tugas berkhidmat sebagai kerani wataniah.Selepas itu, beliau memasuki SEDCO sebagai pegawai biasa. Kemudian beliau menjadi Pengarah Urusan Sabah Filem sebelum menceburi bidang politik.

Ikuti petikan temubual wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Datuk YUSSOF ABDUL MANAN (YM) mengenai liku-liku perjuangannya dan cebis kenangan bersama arwah Tun Mustapha pada satu petang di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

UB:       Bagaimana Datuk mula terlibat dalam politik?
YM:      Ceritanya panjang sebenarnya. Selepas meninggalkan Sedco yang baru ditubuhkan pada waktu itu, saya menjadi Pengarah Urusan Sabah Filem bersama Madin Borhan. Banyak juga filem dapat dihasilkan. Tetapi beberapa peristiwa politik berlaku ketika itu.

Selepas pilihanraya, kita lihat rakyat pada ketika itu berpecah belah. Apa yang kita tahu mahu berlaku akhirnya berlaku. Mesti ada satu usaha dilakukan untuk memulihkan perkara ini.Malangnya tidak banyak perkara boleh dilakukan.
Ekoran keadaan politik pada ketika itu, saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan dalam USNO. Saya harus memainkan peranan dalam kepimpinan bahagian. Kemudian saya ditawarkan sebagai Ketua Pemuda USNO Sulaman pada tahun 1977.
Masa itu USNO adalah parti pembangkang di peringkat negeri.Bukan mudah untuk memulihkan semangat yang hilang kerana hilang kuasa. Tapi kita teruskan perjuangan dan memulihkan keadaan di Tuaran.
Pada tahun 1981, berlaku pilihanraya umum. Ada permintaan dan sokongan di kalangan ahli yang meminta saya menjadi calon. Tetapi menjadi calon bukanlah keputusan saya, saya memberitahu mereka.Ia tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan. Sebenarnya sebelum tahun 1981, Ansari Abdullah seorang peguam masuk USNO dan dilantik menjadi Ketua Pemuda USNO Negeri. Masa itu, USNO memerlukan tenaga muda,orang yang punya kelayakan dari segi akademik. Saya dipanggil oleh Presiden, ketika itu  Allahyarham Tun Said (ketika itu masih bergelar Tan Sri) untuk memberikan laluan kepada Haji Ansari. Sebagai pemimpin kecil di peringkat bahagian, saya kena akur keputusan pucuk pimpinan. Kami kemudian bekerja keras untuk memenangkan saudara Ansari.Malangnya kemenangan tidak memihak kepada USNO. USNO kalah dalam pilihanraya itu.
Selepas pilihanraya itu, ada perubahan dalam kepimpinan bahagian. Saya ambil alih jawatan Ketua Bahagian USNO setahun selepas pilihanraya.

UB:       Selepas itu?
YM:      Dalam tahun 1985, berlaku lagi satu pilihanraya umum. Saya dipanggil Allahyarham Tun untuk memberi laluan kepada arwah Datuk Hamid Tun Mustapha, setiausaha Agung USNO ketika itu. Sekali lagi saya akur kepada kehendak pucuk pimpinan. Alhamdulillah, Datu Hamid menang dengan kelebihan 1,058 undi, iaitu kurang satu undi daripada yang saya jangkakan.Jangkaan saya, kami boleh menang dengan kelebihan 1,059 undi.
Tidak lama kemudian, Datu Hamid panggil saya dan memberitahu beliau tidak berapa sesuai menjadi wakil rakyat di situ, dan meminta saya terus menjaga bahagian.

UB:       Apa yang berlaku selepas itu?
YAM:    Satu lagi pilihanraya diadakan iaitu pada 1986 selepas DUN negeri dibubarkan.USNO membuat pakatan dengan Berjaya. Ini berlaku kerana PBS tidak `honour’ persefahaman dengan USNO. Saya sekali lagi diminta oleh Setiausaha Agung USNO, arwah Datu Hamid untuk memberi laluan kepada Datuk Osu Haji Sukam untuk bertanding di Sulaman.Kerusi DUN Buang Sayang diberikan kepada Datuk Mohd.Noor Mansoor, Presiden Berjaya waktu  itu. Saya akur lagi terhadap keputusan parti.

UB:       Datuk asyik beri laluan. Bagaimana sikap penyokong parti?
YM:      Sebagai ahli parti kita kena akur terhadap kehendak pucuk pimpinan. Jika pucuk pimpinan mahukan kita memberi laluan kepada pemimpin lain, kita kena akur. Bagaimanapun penyokong-penyokong agak bising juga. Berlaku kekecohan di kalangan penyokong. Saya bawa mereka balik dan cuba menenangkan mereka. Beberapa hari selepas keributan itu, iaitu pada sebelah petang, kira-kira jam 6.30 petang, iaitu sebelum penamaan calon keesokan harinya, saya dipanggil ke ibu pejabat USNO dan dimaklumkan saya diarahkan bertanding di Bengkoka.

UB:       Pilihanraya DUN Sabah 1986?
YM:      Ya. Waktu itu, orang Pitas pun sudah balik. Dia orang pun kasihan. Bakal calon mereka tidak diterima oleh pucuk pimpinan. Saya pula yang dikehendaki bertanding di sana. Saya tidak kenal sesiapa di sana. Ahli-ahli USNO di Pitas semuanya sudah balik. Saya kena cari pencadang dan penyokong. Jadi tidak ada siapa yang boleh cari. Akhirnya kita turun di kawasan Kampung Air dan terjumpa orang dari Pitas.Penyokong dan pencadang, ada IC, orang tempatan di sana.Lepas itu kita isi kertas penamaan calon dan terus berangkat malam itu juga ke Dewan Masyarakat Kudat iaitu Pusat Penamaan calon ketika itu. Nasib baik kita ada dua calon, DUN Banggi dan DUN Tanjung Kapor.saya join dia orang punya `crowd’.

UB:       Bagaimana keadaan Bengkoka ketika itu?
YM:      Bengkoka Pitas pada tahun 1986, bukan seperti sekarang. Jalan tidak dapat dilalui.Kalau banjir terpaksa naik perahu.Untuk mencari 60 pengundi dalam satu hari pun agak susah. Dari satu kampung ke satu kampung yang lain, mengambil masa berjam-jam. Jika mahu ke kampung Telaga terpaksa guna perahu.Begitu juga kalau ke kampung Malubang, yang ketika itu tidak ada jalan raya. Apatah lagi saya orang luar di sana.Walaupun  saya AMT USNO tetapi saya orang luar.Mereka hanya kenal pada nama.

UB:       Banyak tentangan dari ahli-ahli parti?
YM:      Saya bilang kepada mereka, perkara ini sudah berlaku. Tidak boleh buat apa-apa lagi. Kalau saya tarik diri pun, ia tidak mungkin diganti dengan orang lain. Saya berjanji kepada mereka bahawa saya hanya akan menjadi wakil rakyat di sana buat sementara waktu saja, nanti saya akan serahkan balik.

Kita terpaksa berusaha hingga saat akhir. Kita beri keyakinan kepada pengundi. Pada saat-saat akhir pengundi berubah sedikit sehinggalah saya berjaya memenangi pilihanraya itu.Syukur Alhamdulillah.

UB:       Ertinya Datuk tidak bertanding lagi selepas itu?
YM:      Pada tahun 1990, saya tidak mahu bertanding lagi mempertahankan kerusi itu. Walaupun masyarakat di sana meminta saya agar meneruskan khidmat tetapi saya telah berjanji saya akan jadi wakil rakyat di sana hanya untuk satu sementara. Mereka minta saya jangan tinggalkan kawasan itu malah ada di antara mereka sanggup bagi tanah untuk saya buat rumah. Itulah kisahnya.Mula-mula saya kena `reject’ (tolak), lepas itu disayangi sehingga ada yang sanggup beri tanah buat rumah.

UB:       Sewaktu menjadi wakil rakyat di Bengkoka dulu, apa antara perkara yang datuk perjuangkan?
YM:      Ketika itu saya berdepan masalah yang begitu getir sebagai salah seorang wakil rakyat yang menjadi pembangkang. Masa itu semua peruntukan dari kerajaan termasuk kerajaan pusat disalurkan melalui pejabat daerah.Jadi walaupun, kita yang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat, yang mendapat nama pihak lain. Oleh sebab itu, setiap kali kita mendapat peruntukan kita umumkan dulu bagi mengelakkan pihak lain mengakui bahawa itu berkat jasanya. Sekurang-kurangnya melalui publisiti itu, orang ramai menjadi tahu bahawa itu peruntukan dari kerajaan pusat. Saya buat rangka kerja mengenai keutamaan yang perlu dilakukan.Kita minta bekalan elektrik dipercepatkan, dan jalanraya diperbaiki.

Saya juga pernah perjuangkan nasib anak-anak sekolah yang terpaksa bangun jam 3.00 pagi, berjalan kaki ke sekolah kerana tidak ada kemudahan asrama. Ada sebahagian yang membina pondok di belakang sekolah dengan dibantu penduduk kampung. Isnin mereka datang, petang Jumaat mereka berjalan kaki balik kampung. Alhamdulillah perkara ini dapat kita perjuangkan.


UB:       Siapa pemimpin yang gantikan tempat Datuk selepas itu?
YM:      Sebelum itu, sekitar tahun 1989, saya selalu membawa Datuk Masrani (ketika itu berkhidmat sebagai pendidik) keliling kampung dan maklumkan masyarakat  bahawa beliau adalah pengganti saya. Saya telah berjanji untuk untuk berkhidmat buat sementara, bila sampai waktunya, saya menunaikan janji itu.

UB:       Datuk tidak melobi jadi calon selepas itu?
YM:      Saya tidak melobi jadi calon pada 1990. Jangan lupa ada pilihanraya kecil berlaku pada 1987, apabila Datuk Osu Haji Sukam dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerajaan pusat.Kerusi Sulaman Kosong. Bagaimanapun, calon USNO Omarkan dikalahkan oleh calon PBS, Haji Jasni Gindug yang juga seorang bekas ahli USNO. Saya harap ada kekosongan pada tahun 1990. Tetapi masa itu, Datuk Hajiji yang dipilih sebagai calon.

UB:       Apa reaksi penyokong?
YM:      Pasti mereka kecewa dan memprotes lagi. Saya kemudian dipanggil oleh arwah Tun Mustapha.Kemudian diberi RM168,000 dan diminta bertanding di Penampang. You can’t say no to Tun. Selepas keluar dari biliknya, saya kembalikan duit itu melalui setiausahanya, lalu pulang rumah. Dua kali dia hantar arwah Jamlidi untuk jemput saya datang ke rumah Tun.Saya dengar dia marah-marah.Katanya, ada orang berlumba-lumba  jadi calon, ada pula yang diberi peluang jadi calon, diberi duit tetapi dikembalikannya.Tetapi saya tidak mahu ganggu dia. Hanya selepas selesai penamaan calon, baru saya datang jumpa secara empat mata.Saya berikan penjelasan kepada dia.

Saya kata, di Penampang sendiri sudah tentu ada orang-orang Usno. Kita mesti pentingkan perpaduan.Bukan soal kalah menang.Saya memang tahu saya kalah.Lagipun ia bukan kubu kuat USNO. Kalau pun mahu letak calon, mesti orang sana.Ketua Bahagian yang ada pada waktu itu. Kita ada orang sana, saya jelaskan kepada beliau. Apa yang lebih saya takut saya dianggap rakus sehingga tak kenal tempat bertanding.  Lepas itu, Tun berkata dia faham dan memberitahu terlepas pandang. Dia meminta maaf kepada saya.Itu yang mengharukan saya.Seorang pemimpin besar yang sanggup meminta maaf jika melakukan kesilapan waimma kepada orang bawahannya.Beliau benar-benar berjiwa besar.

UB:       Apa lagi yang menarik pasal Tun?
YM:      Tun yang saya kenal tidak pernah sekalipun membangkitkan perasaan kesukuan.Beliau juga tidak pernah membenci mana-mana kaum.Itu sebabnya ketika menjadi Ketua Menteri beliau tidak mahu ada persatuan suku kaum. Beliau hanya membenarkan Persatuan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) , organisasi yang dibenarkan . Persatuan kaum katanya, satu hari nanti boleh memecah belah. Tun Mustapha tidak pernah menghasut orang untuk benci membenci caci mencaci. Beliau Tidak ada perasaan sentimen kaum. Tidak terlintas mahu balas dendam kepada musuh politiknya. Dia mudah memaafkan orang.Beliau juga suka membantu orang.Jika ada orang bermasalah, orang hanya kasih dengar dia.

UB:       Agak sukar kita mendapat peribadi pemimpin serupa itu ya?
YM:      Kita kehilangan tokoh seperti arwah Tun. Kalau kita pertama kali berjumpa dengan dia, dia akan tanya khabar kita, khabar keluarga kita dan semua ehwal keluarga, sihatkah atau tidak. Kita kehilangan begitu punya sentuhan. Sentuhan seorang pemimpin yang prihatin.Bahkan beliau pernah bayarkan hutang calon USNO yang dipilihnya jadi calon.Dia tidak mahu menyusahkan orang. Beliau juga seorang pemimpin yang bertanggungjawab, disiplin dan penuh kasuh sayang. Dia mahu kita kerja bersungguh-sungguh.

UB:       Berbeza dengan sekarang ya?
YM:      Dulu rasa kekeluargaan dalam parti begitu terasa. Apa saja acara, penting atau tidak penting, dia akan panggil bawa berbincang sambil makan. Dia akan hantar orang ambil kita untuk datang ke rumahnya, sekadar untuk acara minum atau makan bersama. Dia tidak boleh tengok orang susah. Kalau boleh dia mahu bantu semua. Kadang-kadang ada orang sengaja memperdengarkan masalahnya, dan Tun begitu peka. Cuma beliau pantang dibohongi. Malah beliau ada sikap hormat kepada orang bawahnya. Panggil kita Che Yussof, Che Onn dan sebagainya.

UB:       Siapa pemimpin USNO selepas Tun?
YM:      Saya pernah menjadi ahli USNO dan berkhidmat di bawah tiga presiden USNO iaitu arwah Tun Said Keruak, ketika itu Tan Sri, Tan Sri Ghani Gilong dan Tun Mustapha. Kalau Tun Mustapha bersikap `fatherly’ kebapaan, Tun Said pula bersikap `brotherly’ sebagai abang.

UB:       Oh ya? Bagaimana ceritanya Tun kembali memimpin USNO?
YM:      Tun tidak begitu terlibat dalam politik selepas USNO kalah.Pada tahun 1978, jawatan Presiden ketika itu dipangku oleh Tun Said Keruak dan pernah juga dipangku oleh Tan Sri Ghani Gilong buat sementara.  Beliau (Tan Sri Ghani Gilong) juga mencadangkan agar Tun dibawah kembali memimpin USNO. Waktu itu ahli-ahli parti mencari Tun. Kebetulan Saya terjumpa beliau dalam pesawat.saya kata, “Tun baliklah pimpin kami’. Dia tengok muka saya.Kamu siapa? tanyanya.Saya beritahu bahawa saya salah satu exco Pemuda. Dia tanya banyak lagikah anak muda macam kamu?

UB:       Apa perasaan Datuk setelah tidak lagi menjadi wakil rakyat?
YAM:    Saya tidak pernah kesali apa yang telah berlaku. Ia proses biasa dalam politik. Perubahan dalam politik adalah biasa. Dalam USNO saya pernah menduduk jawatan Naib Presiden USNO.  Sebenarnya bukan mudah membawa UMNO ke Sabah. Kita bincang berkali-kali. Bukan mudah kita buat keputusan.Malah ada yang merayu dan menangis. Malangnya ada orang orang yang merasa nikmat lebih lama daripada orang lain, keluar daripada kerajaan dan mempersoalkannya pula.

UB:       Selepas kemasukan UMNO ke Sabah?
YM:      Saya menjadi Ketua bahagian Tuaran. Hanya saya satu-satunya ketua bahagian yang tidak disuruh bertanding ketika itu dan diminta beri laluan kepada pemimpin lain.

UB:       Sejak  bila Datuk melibatkan diri dalam Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK)?
YM:      Saya menjadi Yang Di Pertua Mubarak Sabah sejak tahun 2004. Sebelum itu, sebenarnya banyak kali rakan-rakan memujuk saya untuk bergerak aktif dalam Mubarak. Akhirnya pada 2004, saya menyambut pelawaan mereka. Mubarak ditubuhkan untuk menjaga kebajikan bekas-bekas wakil rakyat. Selain itu, melalui Mubarak kita mahu bergerak membantu menerangkan dasar-dasar dan program kerajaan kepada rakyat. Kita mahu membantu wakil rakyat BN yang ada untuk memperkukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan. Kalau dikira, wakil rakyat tidak semua mempunyai kedudukan kewangan yang tinggi, kalau dilihat dari wang pencen pun tidak cukup, tapi kita mahu menyumbang kepada masyarakat.

No comments: