Sunday, December 16, 2012

DRS MD MARSIDI KATONG, KALAU KITA IKHLAS SEMUA KERJA JADI RINGAN



DRS MD MARSIDI KATONG, KALAU KITA IKHLAS SEMUA KERJA JADI RINGAN

MESKIPUN baru setahun jagung, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sabah (PERKEMAS Sabah) telah `masuk kampung keluar kampung’ untuk menemui golongan yang kurang bernasib baik, golongan petani dan nelayan miskin, ibu tunggal, Oku, dan mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Mereka pernah berkunjung hingga ke Kampung Toloto di Pulau Banggi, dua kali berganti bot untuk sampai ke destinasi. Perkemas Sabah juga pernah mengalami perjalanan getir menaiki  perbukitan ke kampung Gana Kota Marudu malah mereka juga pernah sampai ke kampung Pinangah, jauh di Kinabatangan semata-mata untuk menyempurnakan misi “Masyarakat didahulukan kebajikan diutamakan”.Malah mereka juga pernah sampai di hampir kesemua pelusuk negeri ini untuk menjayakan objektif pertubuhan itu.  Perkemas Sabah adalah sebuah Ngo pro kerajaan yang ditubuhkan pada 18 Ogos 2010, telah mengadakan lebih 78 aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan  dan kini diketuai oleh Drs.Md.Marsidi Katong, yang juga mantan Pengarah Kemas Sabah.

Drs. Md. Marsidi Katong dilahirkan di Hospital Lahad Datu pada 9 Ogos 1963. Beliau merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Ayahnya Katong bin Bacho seorang pembantu perubatan manakala ibunya Mariam binte Andu seorang surirumah. Marsidi mendapat pendidikan awal di SRK Silam sebelum berpindah ke SRK Mosytn Kunak. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMK Kunak sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Kuhara Tawau sehingga lulus Tingkatan 6. Selepas itu, Marsidi bertugas sebagai Kerani Pelabuhan di Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah di Tawau dan Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi selama enam tahun  di Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga Yogyakarta dalam bidang pengajian Islam, sejak 1992 sehingga lulus Drs pada 1998.

Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1998, beliau bekerja sendiri. Tidak lama kemudian, beliau berkhidmat di Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS). Beliau pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Kemas di Selangor,  Putrajaya dan Johor Bahru sebelum dilantik sebagai Pengarah Kemas Negeri Sabah pada November 2009.

Bagaimanapun, pada Januari 2011, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dalam perkhidmatan awam dan berniaga sendiri. Namun begitu, hasratnya untuk terus menjalankan khidmat bakti kepada masyarakat tidak pernah terhenti sebaliknya disalurkan dalam Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sabah (PERKEMAS Sabah) pertubuhan yang diasaskannya bersama rakan-rakannya untuk terus membantu dan membela masyarakat yang memerlukan perhatian. Selain menjadi Presiden Perkemas Sabah, beliau juga dilantik sebagai Penasihat Persatuan Penduduk Jalan Shantung Luyang.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual DRS MD. MARSIDI KATONG (DMK) di Restoran Singgahsana, Harbour City, Sembulan pada tengahari, untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang menjalankan khidmat kemasyarakatan dan kebajikan bersama Perkemas Sabah sejak penubuhannya dua tahun lalu.


UTUSAN BORNEO:      Boleh Drs perjelaskan sedikit mengenai apa itu Perkemas?
DRS MARSIDI KATONG:         Perkemas ditubuhkan pada 18 Ogos 2010. Salah satu tujuan penubuhannya adalah mengenalpasti anggota masyarakat yang masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan. Kita tubuhkan Perkemas Sabah kerana rasa keprihatinan kita kepada beberapa anggota masyarakat yang masih ketinggalan dari pembangunan. Masih ramai yang hidup dalam keadaan yang boleh dikatakan susah.Maka kita, di Perkemas, cuba menghulurkan bantuan melalui pelbagai cara, tanpa mengira agama, suku kaum atau fahaman politik mereka.

UB:       Siapa yang layak dapat bantuan?
DMK:    Mereka yang susah kita bantu.Mungkin tidak semua kita dapat bantu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha dan mengambil langkah untuk membantu mereka.Kita membantu golongan yang memerlukan bantuan seperti golongan miskin, kurang bernasib baik, ibu tunggal, Oku dan pelbagai strata masyarakat.

Kita juga berganding bahu dengan Ngo-ngo lain menyokong dasar-dasar kerajaan. Slogan kita masyarakat didahulukan, kebajikan diutamakan. Ia amat selari dengan slogan yang diperkenalkan  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

UB:       Sepanjang pemerhatian Drs, bagaimana keadaan masyarakat kita di Sabah?
DMK:    Ternyata masih ramai anggota masyarakat kita memerlukan pertolongan dan bantuan.Tetapi ini bukanlah bermakna jabatan dan agensi kerajaan tidak menjalankan tugas mereka. Negeri kita luas dan tentu ada beberapa tempat yang lokasinya agak jauh dan mungkin juga ada yang terlepas pandang. Hasil lawatan kami, melalui program-program yang kami adakan, aktiviti-aktiviti yang kami buat, masih terdapat ramai masyarakat kita yang perlukan diberikan perhatian. Seperti yang saya katakan tadi, luasnya bumi Sabah dan ramainya penduduk Sabah memberikan cabaran tersendiri untuk kita menunaikan tanggungjawab dan panggilan hati nurani kita untuk membantu mereka yang masih berada dalam tahap kemiskinan dan masih susah hidupnya.

UB:       Apa misi Perkemas Sabah, kalau boleh Drs jelaskan?
DMK:    Kita ingin bantu kerajaan. Perkemas Sabah adalah sebuah NGO yang ditubuhkan semata-mata untuk membantu kerajaan. Kita telah menjelajah hampir ke seluruh Sabah untuk mengenalpasti rakyat yang mungkin terlepas pandang. Disamping membantu mereka mengikut keupayaan kita, kita berharap supaya kerajaan melalui jabatan dan agensinya membantu anggota masyarakat agar mereka juga menikmati kehidupan yang lebih baik.

UB:       Mulia sekali. Ini bermakna membantu rakyat menyelesaikan masalahnya?
DMK:    Bukan bertujuan bahawa kita mampu menyelesaikan masalah. Kita berharap dapat mengetuk pintu hati agensi-agensi dan tokoh korporat untuk turut sama memberi bantuan. Perlu difahami bahawa Perkemas Sabah ditubuhkan bukan untuk mengambil tugas Jabatan Kebajikan Masyakarat .Ini perlu kita sebut kerana ramai orang salah sangka. Ia juga tidak ada kaitan dengan Kemas.Sebenarnya Perkemas Sabah ditubuhkan semata-mata membantu kerajaan, atas kapasitinya sebagai NGO. Kerana komitmennya sebagai NGO untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan memastikan kebajikan rakyat didahulukan, Pekemas Sabah adalah satu-satunya NGO yang diberikan pelekat bertulis ingatan kasih YAB PM dalam setiap sumbangan yang diberikan. Kita mahu menumbuhkan rasa cinta rakyat kepada Perdana Menteri sebagai pimpinan tertinggi negara.

UB:       Sebagai sebuah NGO, bagaimana Perkemas Sabah beroperasi?
DMK:    Kita mempunyai pejabat di Sembulan. Perkemas mempunyai penyelaras di semua kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini. Setiap ahli Perkemas Sabah akan sentiasa turun ke peringkat akar umbi untuk mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi masyarakat, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik mereka. Ahli-ahli kami adalah aktivis-aktivis sosial yang bergerak semata-mata untuk memastikan semua anggota masyarakat menikmati nikmat pembangunan.Sebab itu, Perkemas Sabah, dari segi susunan organisasinya juga dianggotai oleh pelbagai kaum di negeri ini. Ini menunjukkan NGO ini mereka terdiri dari pelbagai bangsa,asalkan ia warga negara Malaysia.

UB:       Setakat ini, apa kejayaan Perkemas Sabah?
DMK:    Hasil susulan daripada aktiviti-aktiviti yang kita jalankan, syukur Alhamdulillah, seramai tiga orang yang pernah lawati telah menerima rumah PPRT di Kota Belud dan di Papar.Kita juga telah memberikan bantuan alat-alat binaan rumah seperti zink dan sebagainya.Kita juga menyampaikan bantuan kerusi roda, bantuan membaiki jeti dan sebagainya. Walaupun baru setahun jagung ditubuhkan iaitu pada 18 Ogos 2010, Alhamdulillah, kita telah melaksanakan lebih 78 program di seluruh Sabah. Pengisian antara lain, memberi bantuan seperti kerusi roda, makanan, keperluan asas, membantu pembaikan rumah dan membantu menyelesaikan masaalah rakyat.

UB:       Di mana tempat yang paling jauh pernah dilawati?
DMK:    Banyak tempat yang jauh dan terpencil pernah kami kunjungi. Antaranya Pulau  Toloto di Banggi, kampung Pinangah dan sebagainya. Dalam perjalanan ke Toloto, Banggi itu amat jauh juga. Kami dua kali terpaksi tukar bot sebelum sampai ke tenpat yang dituju. Begitu juga dalam perjalanan ke Pinangah, tempatnya agak jauh dan sukar pula dihubungi.

UB:       Ada lagi?
DMK:    Kita juga telah mengadakan program ziarah kasih ke Mukim Gana.Perkemas telah mengadakan kerjasama dengan Kelab pacuan empat Roda dan Rekreasi Teluk bandau (BBRC) Kota Marudu berkunjung ke empat buah kampung. Tujuannya  iakah kita memberi sumbangan kepada OKU, warga emas dan orang-orang miskin seperti kerusi roda, barang-barang keperluan asas seperti makanan. Selain menyampaikan sumbangan, tujuan utama ziarah kasih adalah untuk mengeratkan lagi ikatan silaturrahim di kalangan masyarakat setempat dan melihat sendiri permasalahan yang mereka hadapi. Selain itu, Perkemas Sabah juga telah menjalankan aktiviti dan program di Tamparuli, di Tuaran, program ziarah kampung ke kampung di Lahad Datu,Tungku, Kinabatangan, Papar, Kota Marudu, Kota Belud dan sebagainya. Kita juga telah mengadakan kerjasama untuk menganjur majlis-majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu, di Beaufort bersama Pusat Khidmat ADUN Klias,UPKR Klias dan Jawatankuasa Masjid Kampung Lubak, Beaufort.

UB:       Bagaimana pula sambutan masyarakat dan pemimpin-pemimpin tempatan?
DMK:    Sambutan masyarakat amatlah menggalakkan. Pemimpin-pemimpin tempatan juga memberikan kerjasama yang amat baik sekali. Malah agensi-agensi kerajaan bersama NGO bahu membahu memikul tanggungjawab demi kepentingan rakyat.


UB:       Pernah timbul salah faham di kalangan pemimpin masyarakat?
DMK:    Ya, mungkin ada juga sedikit salah faham terhadap aktiviti Perkemas di peringkat awal, tetapi lama kelamaan kita diterima kerana tujuan kita semata-mata untuk kebajikan dan kebaikan.Sebenarnya banyak anggota masyarakat kita yang ingin berbakti dan menyumbang tetapi mungkin mereka tidak mempunyai saluran seperti yang dibuat oleh Perkemas Sabah.

UB:       Kalau menurut Drs, bagaimana cara untuk mengatasi kemiskinan di Sabah?
DMK:    Kita hatuslah memastikan setiap anggota masyarakat kita menikmati pendidikan. Hanya melalui pendidikan, masalah mereka boleh diatasi.

UB:       Berapa ahli Perkemas Sabah sehingga kini?
DMK:    Sehingga kini terdapat seramai 40,000 orang telah mengemukakan permohonan.Kita sedang menyenarai pendek mereka yang layak diterima sebagai ahli.

UB:       Apa program selanjutnya pada tahun 2013 yang bakal menjelang?
DMK:    Kita sedang menyusun atur program-program kemasyarakatan dan kebajikan, yang akan terus kita laksanakan sepanjang tahun 2013.

UB:       Selain itu, apa program Perkemas yang lain?
DMK:    Perkemas Sabah juga telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat sivil. Kita telah menyampaikan pandangan kita dalam Pendengaran Awam Suruhanjaya Penambahbaikan Pilihanraya dengan memberikan cadangan ke arah pembaikan sistem pilihanraya beberapa tahun lalu. Perkemas Sabah mungkin satu-satunya NGO pro kerajaan di Sabah yang tampil memberikan cadangan di hadapan suruhanjaya pada ketika itu.

UB:       Oh ya. Beralih kepada soalan lain. Boleh tanya apa falsafah hidup Drs?
DMK:    Apapun yang dilakukan mesti bertitik tolak kepada keikhlasan. Kita mesti sanggup berkorban.Ertinya jangan pentingkan diri.Bantu siapa saja.Kerja apapun yang kita buat, kalau kita ikhlas jadi ringan.Jadi mudah dan dipermudahkan.

UB:       Siapa idola Drs?
DMK:    Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri kita. Beliau negarawan ulung, ikhlas berjuang.Kita berdoa semoga beliau diberi umur panjang supaya dapat menyaksikan hasil perjuangan yang kini diteruskan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak yang kini mengisi perjuangan dan meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu.

-UTUSAN BORNEO 15 DIS 2012

2 comments:

Bambang Minarno said...

Bagus sekali encik Drs. Md Marsidi Katong, sejak kuliah jiwa sosialnya sudah sangat tinggi. Salam dari teman lama di Solo, Indonesia. Bambang Minarno.

Bambang Minarno said...

Bagus sekali encik Drs. Md. Marsidi Katong, sejak kuliah di Jogja sudah kelihatan jiwa sosialnya yang tinggi. Salam dari teman lama di kota Solo, Indonesia. Bambang Minarno.