Friday, December 28, 2012

Mengenai puisi Buya Hamka dan pak Natsir



MENGENAI PUISI BUYA HAMKA DAN PAK NATSIR

Dengan pensil kayu, Buya Hamka menulis puisi di atas secarik kertas.
Kertas itu disisipkannya ke dalam saku baju Pak Natsir. Ketika itu, 13 November 1957, Pak Natsir baru turun dari mimbar selepas berucap pada sidang Konstituante.

“Meskipun bersilang keris di leher
Berkilat pedang di hadapan matamu
Namun yang benar kau sebut juga
Cita Muhammad biarlah lahir
Bongkar apinya sampai bertemu
Hidangkan di atas persada nusa

Jibril berdiri di sebelah kananmu
Mikail berdiri di sebelah kiri
Lindungan Ilahi memberi tenaga
Suka dan duka kita hadapi
Suaramu, hai Natsir, suara kaummu

Ke mana lagi Natsir, ke mana kita pergi
Ini berjuta kawan sefaham
Hidup dan mati bersama-sama
Untuk menuntut redha Ilahi
Dan akupun masukkan
Dalam daftarmu……..

Puisi ini sangat bersejarah kerana ia ditulis dalam satu peristiwa yang sangat menentukan masa depan Indonesia. Bandung penuh sesak hari itu, dan Pak Natsir baru saja membentangkan konsep Dasar-dasar hidup Bernegara di depan sidang yang juga dihadiri oleh pelbagai parti, pelbagai golongan, aliran, dalam suhu politik yang semakin memanas ketika itu.

Puisi itu membuat Pak Natsir terharu. Pak Natsir atau Muhammad Natsir adalah seorang pemimpin yang terkemuka, bukan saja di Indonesia malah di seluruh dunia Islam. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia dan pernah juga memimpin Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia.

Beliau adalah seorang tokoh yang buah fikirannya masih relevan hingga kini. Tetapi puisi yang dicipta Buya Hamka itu ternyata mengharukan Pak Natsir.Buya Hamka seperti yang kita kenali adalah seorang ulama yang juga seorang sasterawan yang terkemuka. Puisi yang berisi kata-kata semangat kepada Pak Natsir agar terus berjuang `meskipun bersilang keris di leher; berkilat pedang di hadapan matamu,” namun pesanan Buya Hamka `Namun yang benar kau sebut juga’.

Jangan gentar untuk menyebut yang benar, dan memperjuangkannya, begitu kira-kira yang dikatakan Buya Hamka.

Dua tahun kemudian, pada 23 Mei 1959, malam hari ketika berada di pedalaman Sumatera Barat, Pak Natsir mencipta sebuah puisi untuk menjawab puisi yang ditulis Buya Hamka itu.

Dalam puisi itu, Pak Natsir mengakui bahawa beliau lama tidak mendengar khabar mengenai Hamka. Kadang-kadang, katanya, di tengah-tengah dentuman bom dan meriam sahut menyahut itu, beliau mendengar irama puisi yang dihadiahkan oleh Buya Hamka kepadanya itu.

“Tiba-tiba,
Di tengah-tengah gemuruh ancaman dan gertakan,
Rayuan umbuk dan umbai silih berganti
Melantang menyambar api kalimah hak dari mulutmu
Yang biasa bersenandung itu
Seakan tak terhiraukan olehmu bahaya mengancam”.

Kerana itu, beliau meminta agar Hamka terus memancangkan panji-panji kalimah tauhid. Puisinya yang dibacakan di tengah hutan itu didengar orang dan kemudian disampaikan kepada Buya Hamka.

Sekarang sukar bagi kita untuk mencari tokoh-tokoh seperti Buya Hamka dan Pak Natsir. Pemimpin yang ikhlas dan jujur, sederhana dan bersahaja dalam kehidupannya.


No comments: