Saturday, December 1, 2012

catatan pertemuan dengan suhana dan faridah di Jalan Pantai KK




MESKIPUN agak singkat, pertemuan itu tetap bermakna. Suhana Lina Sarkawi, penulis dan penggiat sastera dari Bumi Kenyalang yang kebetulan sedang bercuti di Sabah dan penulis Sabah, Faridah Abdul Hamid sempat memenuhi pelawaan minum teh tarik di sebuah restoran makanan India, Restoran Choice, di Jalan Pantai  sambil bersembang mengenai perkembangan sastera, bahasa dan juga sejarah.

Suhana sendiri adalah seorang yang menekuni kajian budaya. Selain itu, beliau juga mempunyai pengetahuan sejarah yang luas dan agak arif mengenai soal sejarah dan budaya di Borneo dan pernah pula menghadiri pelbagai seminar di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kami sempat berbincang-bincang mengenai pengalamannya ketika menyertai Konferensi International Kesusasteraan  XXII anjuran Rumpun Sastera Fakultas Bahasa dan Seni UNY dan Himpunan Sarjana Kesusasteraan Indonesia (HISKI)  di Yogyakarta.

Walaupun tidak menyertai persatuan sastera, Suhana bersama teman-temannya agak aktif dalam kegiatan sastera di Kuching, walaupun dalam bentuk kecil-kecilan untuk menyemarakkan lagi sastera. Biasanya mereka membawa buku-buku sastera, atau sejarah dan budaya untuk dibincangkan bersama rakan-rakan sasteranya.
Kehadirannya pada pagi itu, di sebiah restoran mamak di ibu negeri, ditemani rakan baiknya, Faridah, yang juga seorang penulis Sabah yang sedang mencipta nama. Kami sempat membincangkan mengenai perkembangan penulisan, sastera, dan hubungan akrab yang terjalin antara penulis Sabah dan Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk memartabatkan lagi sastera di negara ini.

Sebelum ini, Suhana pernah ke Sabah untuk menyertai Mahjaran Sastera Islam yang diadakan di Membakut. Dalam kunjungan kali ini, beliau sempat bertemu dengan beberapa penulis seperti Ruhaini Matdarin, Yatim Ahmad dan beberapa penulis lain. Semoga silaturrahim yang akrab itu dapat membantu meningkatkan perkembangan sastera di kedua wilayah.



No comments: