Saturday, December 1, 2012

Teringat anak bermain `game' dan pandangan bapak Soepeno



TERINGAT ANAK  BERMAIN `GAME’ DAN PANDANGAN PAK SOEPENO

ENTAH kenapa ketika Bapak Soepeno Sahid, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu berbicara mengenai permainan rakyat itu, fikiran saya melayang kepada anak-anak saya di rumah.

Beberapa hari lalu ketika pulang bercuti, saya melihat mereka asyik menghadap komputer riba. Rupanya mereka sedang seronok bermain `game’ di komputer itu. Malah bukan itu sahaja, telefon genggam kami juga sering mereka gunakan untuk bermain `game’.

“Mulai dari anak-anak sampai orang dewasa pun kini asyik di depan layar televisyen, komputer dan handphone untuk bermain game” kata Bapak Soepeno, diplomat yang sering sibuk tetapi seronok ketika bercakap mengenai permainan tradisi zaman sekarang dan zaman dahulu.

Orang sekarang rela mengeluarkan wang yang tidak sedikit untuk melengkapi aplikasi `game’ mereka, katanya sambil menambah, ia tidak mengherankan kerana permainan ini tidak memerlukan tempat khusus dan luas serta boleh dimainkan sendiri.

Ironisnya, arus modernisasi dalam era globalisasi ini tidak hanya membawa perubahan positif, melainkan juga negative, katanya. Permainan moden yang kini menjadi idola baru bagi anak-anak dinilai kurang mendidik, boleh menanamkan nilai individualistik, materialistik, ingin menang sendiri dan banyak kesan negatif yang lain.

Katanya, seiring dengan perubahan zaman, perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi, permainan tradisional semakin hilang kerana terlupakan. Banyak sekali perubahan yang berlaku di tengah-tengah masyarakat kita.Salah satu perubahan yang cukup signifikan adalah berubahnya gaya hidup, dan paradigma masyarakat dari tradisional ke moden, bukan saja dari segi fesyen, tetapi sudah menular ke semua aspek kehidupan masyarakat seperti sosial, budaya, seni dan sebagainya.

Memang banyak permainan tradisi kita yang semakin hilang, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Festival Permainan Tradisional di KJRI Kota Kinabalu.Beliau memberi contoh mengenai permainan keris-kerisan, yang dibuat dari daun kelapa muda, yang sering dimainkan ketika bulan purnama. Juga banyak lagi permainan anak-anak yang mempunyai kesamaan di seluruh nusantara.

Bagaimanapun populariti permainan tradisi kalah jika dibandingkan dengan permainan moden yang menggunakan teknologi tinggi. Bapak Soepeno merasa agak hampa kerana tidak banyak anak-anak dan remaja masa kini yang mahu dan tertarik memainkan permainan tradisi.

Bahkan, katanya, mungkin sebahagian dari mereka tidak banyak yang tahu akan permainan tradisional yang dahulu pernah menjadi permainan popular di zamannya. Anak-anak zaman sekarang lebih tertarik untuk memainkan permainan moden kerana dianggap lebih canggih dan lebih hebat jika dibandingkan dengan permainan tradisional.

Bagi Bapak Soepeno, permainan tradisional bukan saja mampu menumbuhsuburkan rasa solidariti atau kesetiakawanan, rasa empati bagi orang lain, semangat kesukannan tetapi juga kesedekatan dengan alam sekitar.

“Bahkan secara psikologi, permainan tradisional sangat besar pengaruhnya terhadap perkembangan jiwa anak,” katanya. Ini kerana dengan bermain bersama, anak-anak dilatih untuk saling menghargao bahawa setiap orang memiliki perwatakan, keperibadian dan nasib yang berbeza-beza.

“Sesama manusia harus hidup tolong-menolong dengan bergotong-royong.Selain itu, pada setiap tahap permainan ini anak-anak dapat melatih diri untuk bersikap tabah, jujur, setia kawan dan berdisiplin agar dapat mencapai apa yang dicita-citakan,” kata Bapak Soepeno.

Adalah menjadi tugas kita terutamanya generasi muda untuk menjaga, mempertahankan dan melestarikan permainan tradisional dari ancaman kepunahan. Ketika Bapak Soepeno berkata demikian, saya terfikir apakah anak-anak saya nanti masih mengenal permainan tradisional nenek moyang mereka.

Apakah mereka tahu apa yang dikatakan main tingting,  main jarambuta, main ridi, main kuba, main gala, mbinti, main suki, main datu-datu dan banyak lagi yang permainan di kalangan masyarakat Iranun yang tidak lagi saya ingat. Dalam masyarakat Bajau, banyak permainan tradisi yang satu masa nanti mungkin pupus dan hilang. Masyarakat kadazandusun barangkali lebih bernasib baik kerana mereka sudah memulakan usaha mengumpul permainan tradisional mereka seperti rampanau,main kalalang, mogintanak dan sebagainya.

Ya, bagaimana bentuk perwatakan mereka nanti jika mereka sentiasa disodorkan permainan moden tanpa mengenali permainan leluhur mereka?

No comments: