Monday, December 24, 2012

Terkenang arwah Pakcik Iddrisa Marintan, personaliti Iranun dari Tungku

Dalam perjalanan balik kampung itu kami tersesat jalan.
Mungkin kerana lama tidak pulang,kami menyusuri saja jalan aspal itu sehingga sampai ke tepi pantai.Laut terbuka begitu luasnya.
Menyedari tersalah arah, kami kembali ke pangkal jalan yang tadinya kami lalui.Setelah itu, barulah kami menemui arah yang benar menuju ke rumah.
Barangkali itulah pertama kali pakcik Iddrisa Marintan sampai ke kampung kami. Beliau berhasrat untuk berkunjung ke kampung masyarakat Iranun dan saya diminta untuk menunjukkan jalan.Malangnya saya menunjukkan arah jalan yang salah sehingga kami tiba pada destinasi yang juga salah.
Saya ingat kejadian itu. Beliau juga pasti ingat kejadian itu.
Waktu adik saya wahid, kahwin di kampung Tamau, beliau menyempatkan diri untuk datang ke majlis itu.Saya dengan bangganya memperkenalkan pakcik Iddrisa kepada keluarga bahawa kami ada tetamu yang istimewa, orang Iranun dari Kampung Nala Tungku. Bagi sebilangan orang di kampung kami, mungkin itulah kali pertama mereka bertemu dengan orang Iranun dari sebelah Pantai Timur Sabah.
Perkenalan kami berlangsung agak lama. Namanya sudah terkenal dan popular pada tahun-tahun pertengahan 80-an sebagai salah seorang ahli perniagaan Iranun yang agak berjaya di Lahad Datu.Beliau seorang yang agak berpengaruh pada masanya.Bahkan beliau adalah salah seorang Ahli Majlis Daerah Lahad Datu yang terlama.
Bagaimanapun, beliaulah yang membawa saya ke Nala untuk menuliskan isu mengenai masalah tanah yang dihadapi oleh sebilangan  penduduk kampung ketika itu.Kami berkereta dari Lahad Datu.Perjalanan itu agak jauh tetapi perjuangan untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi penduduk kampung tetapi lebih jauh.
Jika ke Kota Kinabalu, beliau sering mencari saya. Kadang-kadang sekadar untuk mengajak minum.Kadang-kadang meminta saya mendraf surat.Kadang-kadang beliau menceritakan sesuatu isu untuk saya telaah sebagai satu bahan berita menarik.
Sikapnya yang kebapaan itu membuat saya agak rapat dengannya. Beliau seorang yang prihatin dan tidak pernah kedekut terhadap saya.
Meski saya tahu dia sakit dan pernah pula menjalani pembedahan, tetapi semangatnya luar biasa.Semangat berjuangnya agak tinggi. Kepeduliannya terhadap masyarakatnya juga tinggi.Saya yakin jika punya dana yang banyak pasti beliau akan banyak membantu saya untuk meneruskan penyelidikan dan kajian mengenai masyarakat Iranun.
Terkenang juga satu peristiwa, dan ini sangat saya sesali, ketika beliau mengajak minum sebentar sementara saya agak kelam kabut hari itu untuk menyelesaikan  beberapa perkara yang belum selesai.
Saya hampir tidak percaya bahawa itulah pertemuan kami yang terakhir.
Yang terakhir kerana selepas itu saya terkejut apabila diberitahu beliau telah kembali ke rahmatullah November lalu. Semoga amal baiknya diterima dan semua dosanya diampuni. Alfatihah

1 comment:

Suara Rakyat said...

Al-Fatihah. Saya sempat bersalaman dengannya pada 30/10/2012 jam 1.30 petang di sebuah bangunan di Kota Kinabalu. Terkejut.. baru saat ini saya ketahui beliau telah tiada.