Monday, January 30, 2012

Beberapa isu ekonomi Sabah menjelang PRU-13, menurut pandangan Dr.James Alin

KIRA-KIRA dua minggu lalu, Utusan Borneo telah menyiarkan wawancara dengan seorang pengkaji ekonomi, Dr.James M.Alin dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah mengenai ekonomi Sabah. Sesi wawancara itu telah mendapat respon yang positif daripada khalayak pembaca Utusan Borneo dan ekoran daripada pertanyaan yang diberikan, wartawan ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sekali lagi melakukan wawancara lanjutan melalui mel elektronik. Ikuti bahagian kedua sesi temubual mengenai isu-isu ekonomi yang dijangka menjadi isu dalam pilihan raya akan datang.

UB: Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan Sabah dalam ucapan belanjawan negeri 2012 pada November lepas melaporkan bahawa negeri kita mempunyai “economic fundamentals” yang kukuh. Apa maksud beliau itu, jika menurut pandangan Dr.James?

DJA: Economic fundamentals mencakupi empat petunjuk ekonomi utama yakni, 1. kadar inflasi yang rendah, 2. Imbangan Bayaran Luar yang kuat, 3. hutang sedikit dan 4. keadaan pekerjaan yang stabil. Saya ingin mengajak saudara membincangkan petunjuk 1 dan 4 yang saya rasa rakyat biasa perlu tahu.

UB: Sebagai pengguna, saya berasa musykil dengan Indek Harga Pengguna yang menunjukkan kadar inflasi negara serendah 3.3% (sehingga November 2011) walhal semua barang-barang keperluan harian sentiasa meningkat, lebih-lebih lagi selepas subsidi petrol /diesel dikurangkan dan tarif elektrik dinaikkan pada tahun lepas…kenaikan gaji tahunan pula sudahlah sikit…lesap pula…seperti dimakan anai-anai inflasi…

DJA: Betul bah tu, semua orang tau barangan di sini harga lebih tinggi berbanding di Semenanjung...kerana kos pengangkutan dari Semenanjung hinggalah sampai ke pengguna di Sabah ... IHP untuk Sabah sewajarnya lebih tinggi daripada IHP di Semenanjung . Begitu juga dengan Index untuk Barangan Makanan dan Minuman untuk Sabah dan Sarawak, ianya sepatutnya melebihi 5.1 % .

U.B: Maksudnya pengiraan IHP itu tidak betul kah ? …

DJA: Tiada masalah dengan pengiraannya… Saudara tahu tidak bagaimana IHP dikira ? IHP dikira dari perubahan purata harga barangan keperluan harian pengguna . Kemudian Jabatan Statistik memberikan wajaran kepada “barangan dan perkhidmatan yang dimasukkan dalam “basket of goods”. Kategori pertama ialah makanan dan minuman tanpa alkohol, minuman beralkohol serta tembakau, pakaian dan kasut, Perumahan/air/elektrik/gas dan bahan api, perabot /alat rumah serta penjagaan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. Kategori kedua termasuklah barangan bukan makanan iaitu, barangan tahan lama dan barangan mudah luput serta perkhidmatan.

UB: Tapi…bukankah harga barang-barang keperluan harian pengguna dikawal dibawah Akta Kawalan Harga 1946 (disemak semula 1973) dan Akta Kawalan Bekalan 1961? …Maksudnya “Polis Harga” atau Bahagian Penguatkuasaan Hal Ehwal Pengguna telah gagal untuk mengawal harga?

DJA: Untuk pengetahuan saudara, “Polis Harga” juga merekodkan harga pasaran barangan untuk kegunaaan, antara lainnya, oleh Jabatan Statistik untuk mengira IHP. .. Masanya sudah tiba untuk kita memansuhkan “Polis Harga” atas beberapa sebab yang amat mendesak. Sejak 1994, rakyat seringkali menderita akibat kekurangan gula, minyak masak , tepung dan beras . Ianya telah menjadi masalah lazim tahunan khasnya pada masa menjelang musim perayaan. Orang ramai juga terpaksa berbaris panjang menunggu giliran mengisi minyak atau menjadi panik seperti yang berlaku semasa krisis minyak diesel 2005. Panic buying itu terjadi kerana barangan keperluan amat kurang atau tidak ada di pasaran.

UB: Panic buying boleh juga disebabkan penyebaran khabar-khabar angin (rumors mongering) …bukan begitu Dr.James?

DJA: “Kalau tidak ada angin masakan daun bergoyang” . Apabila pengguna melihat barangan keperluan habis dan tidak ada tanda-tanda bekalan akan sampai , mereka akan panik lantas ingin membeli barangan melebihi keperluan harian biasa. Mereka juga akan memberitahu ahli keluarga atau sahabat handai , justeru, khabar-khabar angin tersebut akan merebak ( lebih pantas dengan penggunaan media sosial seperti twitter, facebook, linked, blogs etc) lantas memburukkan lagi keadaan. Dalam sejarah Sabah sejak 1963 hingga 1994, panic buying tidak pernah terjadi sekalipun dalam kecemasan hampir-hampir darurat (semasa konfrontasi) . Semasa rusuhan serta kekacauan nyeri di Kota Kinabalu (juga di Sandakan, Tawau, kudat dan Kota Belud) pada Mac 1986, atau semasa kemelut politik pertengahan 1976 (BERJAYA menewaskan USNO dalam pilihanraya) atau semasa pengikut-pengikut gereja merusuh dan membantah penangkapan paderi-paderi kristian oleh pentadbiran USNO pada tahun 1970an, hanya segelintir peniaga di Jalan Gaya menutup kedai mereka, itupun hanya beberapa hari, kerana khuatir keselamatan diri dan pekerja mereka. Tidak ada laporan kehabisan barang-barang keperluan harian walaupun ada barangan keperluan yang harga melonjak naik akibat kekurangan penawaran sementara.

UB: Para peniaga memang tamak mengambil kesempatan, menangguk di air keruh…sengaja menyorok untuk menaikkan harga barangan..bukan begitu Dr.James? Apa pula maksud kekurangan penawaran sementara tu ?

DJA: Mungkin tidak..sebab barangan keperluan khasnya makanan tidak tahan lama, peniaga yang disyaki melakukan “hoarding or price gouging” akan mengalami kerugian besar. Tanpa kawalan harga, mekanisme permintaan dan penawaran akan menentukan harga. Atau dengan kata lain, urusniaga jual beli adalah berlandaskan kebebasan individu, pembeli rela dan sanggup membayar tanpa paksaan penjual. Semasa rusuhan, tunjuk perasaan jalanan atau bencana alam berlaku, pengangkutan akan tergendala dan stor bekalan musnah, penawaran akan berkurangan mengakibatkan kenaikan harga sementara. Harga yang tinggi ini adalah petanda keuntungan besar yang boleh menarik atau mendorong ramai peniaga untuk membawa barangan dari kawasan lain ke kawasan darurat (mempunyai permintaan yang tinggi). Harga barangan tersebut akan kembali ke paras asal melainkan kalau keadaan darurat itu berlarutan. Harga yang tinggi ini adalah isyarat shortage or scarcity of goods yang sementara dan bukannya akibat hoarding or price gouging” .

UB: Apakah yang berlaku selepas tahun 1994 ?

DJA: Undang-undang kawalan harga digunapakai sejak 1946 , dan dikuatkuasakan semasa semasa darurat, (Semenanjung diancam komunisme) and semasa undang-undang darurat diisytiharkan ketika rusuhan kaum 1969 dan semasa pentadbiran MAGERAN. Selepas demokrasi dihidupkan semula, kawalan harga masih digunapakai kerana pentadbiran ketika itu berpendapat ianya boleh membantu memastikan harga barangan keperluan “berpatutan” dan “adil” (fair). Tetapi penguatkuasaannya tidaklah seketat selepas pentadbiran PM Dr. (Tun) Mahathir melancarkan kempen Inflasi Sifar pada tahun 1994. Menjelang perlaksanaan dasar ini, bahagian Penguatkuasaan Hal Ehwal Pengguna telah diperuntukkan bajet yang besar untuk menambah anggota Polis Harga untuk tujuan memantau dan mengawal harga di seluruh pelosok negara termasuk di Sabah.

UB: Berbalik kepada kemusykilan saya tadi Dr.James….apakah kaitan kos hidup yang tinggi di Sabah dengan dasar kawalan harga tersebut?

DJA: Di antara contoh barangan kawalan adalah Petrol RON 97 and 92, diesel, LPG, besi dan besi waja, beras, simen, tepung gandum, gula putih, susu penuh krim, roti, daging ayam,minyak masak, rokok kotak kecil dan berpuluh-puluh barangan yang lain (dikawal khas semasa perayaan). Undang-undang tersebut sebenarnya memaksa para pengeluar (atau pengilang) menjual barangan yang tersenarai dengan harga dibawah harga pasaran bebas. Oleh kerana harga beras gula atau minyak masak kelapa sawit itu dipaksa di bawah harga pasaran, para pengeluar tidak mempunyai insentif untuk menambah pengeluarannya apabila ada permintaan tinggi bermusim. Dasar kawalan harga bukan sahaja menyekat para pengeluar yang sedia ada menambah penawaran tetapi juga tidak mendorong usahawan baru memasuki pasaran…oleh itu apabila kuantiti penawaran kurang daripada permintaan atau sebaliknya, maka harga akan tinggi dan pengguna tidak ada pilihan.

Kalau saudara perhatikan barangan dalam `basket of goods' yang digunakan untuk mengira IHP itu harga ditetapkan oleh Kementerian, ianya tidak mencerminkan harga sebenar barangan tersebut di pasaran…izinkan saya memberikan satu lagi contoh bagaimana kawalan harga menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada rakyat Sabah?

UB: Ya teruskan…

DJA: Kawalan harga juga mencabul kebebasan para pengeluar… Harga yang ditetapkan oleh pihak ketiga iaitu Bahagian Penguatkuasaan atau polis harga menyebabkan pengeluar tidak dapat menampung kos pengeluaran. Akhirnya Kementerian memaksa peruncit-peruncit untuk menjual barangan tersebut berdasarkan kuota yang buta terhadap wujudnya perbezaan jumlah keperluan di kalangan pembeli barangan tersebut. Peningkatan permintaan terhadap simen dan besi kerana real estate bubble di Kota Kinabalu tidak diterjemah kepada harga tinggi sementara kerana kawalan harga. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kewujudan sekatan dagangan seperti polisi Cabotage . Sekiranya Akta Kawalan Bekalan 1961 yang menetapkan kuota dan pengeluaran permit import dimansuhkan, maka mekanisme pasaran bebas akan mendorong pengeluar menambah kuantiti penawaran sama ada melalui tambahan operasi pengilang tempatan atau mengimport. Oleh kerana harga tidak fleksibil maka shortage bahan binaan akan berlaku, perumahan akan tergendala, pemaju terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan, pembeli rumah akan menderita. Adakah ini yang kita katakan harga yang patut dan adil ?

UB: Adakah penyeludupan barangan yang dikawal harga seperti minyak masak, gula dan barangan perlu bersubsidi seperti petrol serta diesel dari Sabah ke negara jiran juga penyebab krisis kekurangan barangan perlu ?

DJA: Minyak masak, beras, dan gula dari Sabah diseludup merentasi laut Sulu Sulewesi ke selatan Filipina, selatan Sulawesi dan Kalimantan Timur (Nunukan) kerana permintaan yang tinggi dan penawarannya amat kurang di sana. Seperti kita semua maklum, kawalan harga dan subsidi adalah dua muka wang syiling yang sama (two sides of the same coin). Penyeludup membeli harga diesel dan petrol yang disubsidikan oleh pembayar cukai di Sabah (rendah dari harga pasaran dunia) untuk dijualnya ke kawasan tersebut…Saya sentiasa berkunjung ke situ…dan mendapati harga barangan yang diseludup dari Sabah dijual dengan harga yang tinggi…mungkin kerana pulau- pulau itu terpencil …kasian bah orang sana, sudahlah miskin, di sana mana ada pengilang pengeluar barangan perlu, jadi walaupun barangan seludup dari Sabah sangat mahal dia orang terpaksa juga membeli. Saudara tau ndak kenapa barangan seludup harga berganda di sana? Yalah, selepas kos modal, pengangkutan, risiko, wang sogokan di sempadan dan wang perlindungan (dari serangan mundu)…maka harga amat tinggi..dalam hal ini penyeludupan bukan penyebab tetapi akibat kawalan harga…logik...kan?

UB: Ya lah, mungkin orang Sabah boleh mencadangkan pindaan kepada undang-undang Kawalan Harga untuk mengecualikan Sabah dari penguatkuasaan undang-undang persekutuan ini…

DJA: Saya sokong, ekperimen di Sabah akan memberi pedoman kepada negeri-negeri Persekutuan lain akan kebaikan pasaran bebas… lagipun subsidi diesel dan petrol telah menyebabkan bandar utama kita mengalami kesesakan dan pencemaran udara yang teruk. Walaupun pendapatan kita meningkat, tetapi kita menggunakannya untuk membeli kereta atas dua sebab utama; satu, kereta buatan Malaysia harganya lebih murah kerana ianya industri dilindungi; kedua harga diesel dan petrol disubsidi. Saya mencadangkan agar wang pembayar cukai yang digunakan untuk melindungi automobile infant industry dan subsidi minyak digunakan untuk membina system pengangkutan awam massa seperti LRT, MRT, Tram atau Street Car, atau sekurang-kurangnya untuk membina lorong berbasikal.

UB: Kita beralih kepada isu ekonomi yang bakal menjadi hangat pada pilihanraya umum ke-13 akan datang…saya petik Ketua Menteri yang mengatakan bahawa economi Sabah booming…”state budget mirror the federal’s big spending for the people’s well being to ensure that the state continue to prosper”. ..mohon ulasan Dr.James…

DJA: Ya, ekonomi Sabah memang booming kerana kadar pertumbuhan ekonomi Sabah tahun 2008 ialah 7.7% (KDNK pada harga malar adalah RM 29,815 juta ) turun ke 3.29% tahun 2009 tetapi masih lagi lebih baik sekiranya dibandingkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia negatif 1.6% (KDNK harga kini, RM 679,938 juta) dan meningkat ke 4% pada 2011 (berbanding dengan 4.4% untuk Malaysia, suku tahun pertama 2011). Perlu diingat bahawa pertumbuhan ekonomi pesat itu seperti semasa air pasang atau air bah tidak semua akan timbul , ada juga tersangkut and masih tenggelam kerana berat. Yang timbul itu pula tidak semestinya yang esok, ianya mungkin sampah sarap atau najis dan sebagaimana.

UB: Dalam kiasan Dr.James ini…tolong jelaskan..

DJA: Sabah kalah dengan Terengganu dalam mengurangkan kemiskinan tegar (pendapatan)…pada tahun 1976, dilaporkan bahawa 55% isirumah di Sabah dan Terengganu adalah rakyat miskin. Pada tahun 2004, 26% isirumah di Sabah adalah rakyat miskin berbanding dengan 16% di Terengganu. Pada 2007, di sebalik kepesatan ekonomi di Sabah, masyarakat Rungus mengalami 7% incidence of hardcore poor (Bajau= 5% dan KDM= 5%) and 37% incidence of poverty (Bajau=24% dan KDM=22%). Keadaan yang kita panggil poverty amid plenty ini berterusan, pada tahun 2009 sahaja, 31% isirumah termiskin di Malaysia tinggal di kawasan luar Bandar Sabah dan Labuan.

UB: Mereka bilang Labuan sudah maju sebagai wilayah persekutuan dan pusat kewangan pesisir pantai…

DJA: Itulah tu..mana ada? .”jauh panggang dari api”…

UB: Bagaimana prestasi kita jika dibandingkan dengan Semenanjung dan negeri Sarawak?

DJA: Dalam kajian (diterbitkan 2006), Professor Muzaffar Habibullah (UPM) dan Dayang Affizah (UNIMAS) pada 1970, negeri terkaya dari segi KDNK Bersih (ditolak inflasi) adalah W.P-Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah (juga sejak 1963) meninggalkan Terengganu ditangga ke-10. Menjelang 1990 sehinggalah tahun 2000, W.P –KL, Selangor kekal ditangga atas manakala Terengganu naik ke tempat ke-2 mengambilalih kedudukan Sabah yang tersingkir ke tangga 7. Mereka mendapati Sabah sedang mengejar (“catching up”) dengan semua negeri kecuali Terengganu.

UB: Apakah Sabah masih lagi “catching –up” masa kini?

DJA: Ya, nampaknya begitulah…Walaupun Sabah jatuh rangking ke-12 pada tahun 2000, itu tidak bermaksud yang jumlah KDNK kita berkurangan! KDNK per kapita rakyat Sabah pada tahun 1963 cuma $770 (harga masa itu) meningkat kepada RM 14,830 pada tahun 2009 (lebih separuh daripada Per kapita Pendapatan Kasar Malaysia, harga kini, RM23, 850) . Atau dengan kata mudah , kita berlari pantas tetapi masih dipotong oleh negeri Terengganu…dan ditinggalkan jauh di belakang oleh KL, Selangor dan Pulau Pinang. Peningkatan pendapatan per kapita hasil dari harga komoditi yang tinggi menyebabkan real estate bubble (yang selalu dinafikan oleh pihak berkepentingan ) di sekitar ibu kota. Ianya boleh memudaratkan kesihatan ekonomi tempatan kerana spekulasi harta tanah bukanlah satu kegiatan ekonomi yang produktif dari dua sudut; 1. kenaikan harga tanah menyebabkan rumah menjadi sangat mahal , sekiranya bubble ini meletup ramai pemilik rumah yang meminjam wang dari bank akan muflis; 2. Spekulasi tidak menghasilkan inovasi –barangan dan idea cipta baru seperti sektor pengilangan atau pembuatan. Sabah juga gagal menarik FDI …Lahad Datu yang diramalkan akan menjadi Rotterdam Timur ternyata “hidup segan mati tidak mau” sama dengan KKIP! Kita masih lagi bergelut dengan masalah asas seperti electric black –out seringkali berlaku di Lahad Datu , Sandakan dan Kota Kinabalu. Kemudahan logistic kita juga gagal mengendali keluar-masuk barangan, lihat sahaja berapa banyak kapal tangki dan kargo yang menunggu giliran untuk memunggah di Pelabuhan Sepanggar!

UB: Kenapa kita kalah dalam “lumba lari KDNK” dengan Terengganu Dr.James?

DJA: Sekiranya saudara lupa, KDNK dikira dari Penggunaan ( C) + Pelaburan (I) + Belanja Kerajaan (G) + Export(X) tolak Import(I) . Komponen C kita tinggi, maksudnya penduduk Sabah Tabungannya rendah, kebanyakan pendapatan individu yang rata –rata bekerja di sektor upah rendah dan menengah dibelanjakan . Bukannya rakyat boros, tetapi kos hidup kita melambung tinggi. Kita kalah dengan Terengganu dalam Komponen I ; pelaburan domestik kita masih kecil manakala FDI atau Pelaburan Langsung Asing jauh lebih kecil. Buktinya adalah seperti berikut… Walaupun separuh (yakni 1,294,000) penduduk Sabah ( jumlah penduduk Banci 2000 ialah 2,603,485 ) tetapi rata-rata bekerja dalam sector upah rendah iaitu 32.1% dalam sector pertanian, hutan dan perikanan, 16.3% perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, 7.8% pembinaan. Hanya 8.1% penduduk Sabah yang berkerja di dalam sektor upah tinggi iaitu sector pembuatan, diikuti oleh 6.5% dalam pentadbiran awam dan pertahanan ,6.2% pendidikan, dan 5.7 % penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman. Walaupun keadaan pekerjaan di Sabah stabil (kadar pengangguran rendah) namun jenis pekerjaan yang baru dicipta (job creation) masih lagi sektor upah rendah atau kolar biru (RM200-800) , menengah rendah (RM800-1000) menengah (lebih kurang RM1000-1500)…Sabah dan Terengganu mempunyai sumber yang hampir sama, lautan luas kaya dengan ikan serta hidupan marin bernilai, pantai yang indah tarikan pelancongan, telaga minyak dan gas luar pesisir dan demografi muda (orang usia muda lebih ramai dari usia tua) …namun kita kalah sebab Terengganu menekankan pengeluaran industri bernilai tambah tinggi. Sabah pula masih lagi mengeksport bahan mentah seperti Petroleum mentah (35.4% dari jumlah eksport),minyak kelapa sawit mentah(34.7%) , minyak isirong sawit (4.7%) methanol (2.4%). Walaupun hasil petroleum dan gas yang diagih semula oleh persekutuan (5%) itu sama tetapi Terengganu misalnya mempunyai industri petrokimia tetapi Sabah belum ada . Pembinaan SOGT (Terminal Gas dan Minyak Sabah) Kimanis itu sebenarnya tidak akan boleh menandingi Bintulu atau Kerteh!

UB: Ketua Menteri juga dipetik berkata bahawa “bajet kali ini berfokus kepada Halatuju dan stategi pembangunan berserampang tiga iaitu, pertanian, pelancongan dan pembuatan (manufacturing) ...

DJA: Yalah, CM sebenarnya merujuk kepada Sabah Development Corridor yang saya sifatkan agak teruk, ianya tidak lebih daripada laporan kepada kegiatan ekonomi yang sudah berlaku di negeri ini. Sekiranya isi kandungannya digunapakai sebagai guidepost pembangunan ekonomi ,Sabah akan Tidak Tentu Hala Tuju!

UB: Kalau begitu Dr.James, dari mana sumber booming economy kita?

DJA: Sumber booming economy atau pertumbuhan ekonomi pesat kita datang dari sektor yang nilai tambah (value added) produktivitinya rendah khasnya pertanian, hutan dan perikanan sama halnya dengan sektor awam yang terkenal dengan ketidakcekapan dan kerenah birokrasinya. Job creation dalam ladang kelapa sawit misalnya dalam kategori kerja upah rendah selalunya ditolak oleh orang Sabah yang tahap pendidikannya telah meningkat..jadi tidak hairanlah kalau mereka memilih pekerjaan yang upahnya setimpal. Kekurangan tenaga pekerja di ladang dapat dikurangkan kerana pasaran buruh kita membenarkan kemasukan pekerja asing yang memang tahan dan sangup kerja kotor, merbahaya dan menggunakan tenaga fizikal banyak(perit)…

UB: Adakah Dr.James bersetuju bahawa kemasukan buruh asing telah menyebabkan upah turun dalam sektor tersebut?

DJA: Kehadiran penduduk bukan warga negara Malaysia yang begitu tinggi adalah salah satu perkara yang membezakan kita dengan Terengganu. Anggaran jumlah penduduk Terengganu tahun 2010 adalah seramai 1,050,000 dengan jumlah pekerja warga asing yang kurang dari 1%( kebanyakan bekemahiran). . Berbanding dengan Sabah 3,214,200 tetapi mempunyai hampir sejuta bukan warganegara! Banci 2000 juga melaporkan 552,967 daripada jumlah penduduk Sabah adalah bukan warganegara. Dalam ekonomi, selagi manusia itu bernyawa, tidak kira warga atau bukan, semuanya adalah buruh (selain daripada buruh, faktor pengeluran lain adalah tanah, capital dan usahawan) yang menyumbang kepada KDNK. Ada dua kategori buruh bukan warganegara; pertama, pekerja asing tanpa izin (tanpa dokumen imigresen sah) dan kedua adalah buruh asing berpermit. Menurut kajian kami di UMS, hanya kategori pertama sahaja yang mempunyai pengaruh signifikan terhadap terhadap paras upah sektor ini . Oleh kerana mereka tidak ada atau berpendidikan rendah maka produktiviti dan upahpun sangat rendah. Upah kategori buruh berpermit tidaklah rendah sebagaimana yang digembur-gemburkan, mereka mempunyai pengalaman kerja, perlu membayar levi (mereka adalah sumber cukai Persekutuan) dan diberikan fringe benefits oleh majikan. Belum ada bukti empirikal yang menyokong hipotesis bahawa perbuatan segelintir memilik kebun kecil dan ladang saiz sederhana mengambil buruh tanpa izin bekerja telah dan akan menjejaskan harga tenaga buruh di pasaran (upah)… Tindakan kerajaan Persekutuan mendaftar, mengampunkan (amnesty) dan memberikan izin kepada buruh bukan warga yang berkerja tanpa permit (atau tanpa document) mungkin akan mengurangkan jumlah warga asing tanpa izin yang sedia ada dalam statistical illusion tetapi hakikatnya ia akan mengalakkan pendatang asing yang baru.

UB: Adakah perlaksanaan undang-undang upah minima boleh membantu meningkat tingkat upah sektor –sektor tersebut? Beberapa tokoh politik Sabah, berpendapat upah minima akan mengurangkan penghijrahan para belia ke Semenanjung dan Singapora untuk mencari pekerjaan. Ulasan Dr.James…

DJA: Upah Minima adalah satu campurtangan kerajaan dalam pasaran buruh, adik-beradik kembar tidak seiras dengan kawalan harga. Perlaksanaan upah minima bermakna Polis Upah dari Kementerian Sumber Manusia akan memeriksa setiap majikan dalam setiap sektor, memberi amaran, ambil tindakan dan hukuman terhadap majikan yang tidak membayar pekerjanya paras upah yang lebih tinggi dari yang ditentukan oleh mechanism penawaran dan permintaan. Saya rasa jumlah pekerja sektor awam Malaysia sekarang ini dianggarkan 1.8 juta (antara tertinggi di rantau ini) akan bertambah dengan kewujudan Polis Upah ini.

Upah adalah harga tenaga buruh yang jual kepada majikan. Dalam sektor ladang atau makanan (restoran), buruh membuat keputusan sama menerima atau tidak jumlah yang majikan sanggup atau mampu bayar sebagai imbuhan kepada potensi output pekerja. Dalam penentuan harga (upah) saya rasa, hanya pekerja sahaja yang lebih tahu akan tahap produktiviti sendiri , khasnya aspek kerja tidak ketara (quality are difficult to observe). Sebaliknya hanya majikan sahaja yang tahu kuantiti (output boleh dikira dalam jenis kerja berkuota) yang dihasilkan oleh pekerjanya! Adalah ganjil sekiranya polis upah- pihak ketiga yang langsung tidak ada kena mengena pula yang menentukan tingkat upah.

UB: Implikasi lain?

DJA: Dengan penguatkuasaan upah minima (tinggi dari harga pasaran) sektor itu akan menarik kemasukan buruh baru, kuasa majikan untuk mengupah dan memecat (hire and fire) bertambah kuat, pekerja yang sedia ada dalam firma akan terpaksa bekerja keras (kurang curi tulang), atau buruh baru yang produktivitinya rendah sebab baru saja mula kerja, tanpa atau kurang pengalaman, tiada pendidikan, atau orang kurang upaya akan kehilangan berpeluang untuk bekerja. Upah minima meningkatkan kos pengeluaran, majikan akan memecat buruh berproduktiviti rendah tadi dan menggantikannya dengan buruh berpengalaman! Keadaan akan menjadi buruk apabila pada masa yang sama dilaksanakan undang-undang buruh yang menyukarkan pembuangan pekerja. Majikan kerugian dan lambat laun akan tutup kedai, kerana pekerja boleh dan akan cenderung curi tulang (tidak memberi layanan baik kepada pelanggan) tetapi dibayar gaji minima dan sukar untuk dipecat.

Sunday, January 29, 2012

Beberapa catatan dalam perjalanan 28-29 jan 2012

Saya tidak salah cakap, kata penjual ubat itu kepada penumpang kira-kira lima minit sebelum bas Tung Ma yang kami tumpangi itu meninggalkan terminal.Barangkali sudah dua tiga kali sebelum ini, saya pernah melihatnya.Dia punya cara sendiri untuk meyakinkan orang untuk membeli ubatnya. Sambil itu beliau sempat memberitahu beberapa tip seperti bagaimana merawat migraine, mata yang kabur, yang katanya, haruslah memicit tumit untuk membuang angin.

Duit bukan boleh bawa mati, katanya. Beliau menawarkan ubatnya yang katanya tidak dijual di tempat lain di Malaysia.Harganya RM20 sebotol, kalau ambil dua RM40. Namun dia akan cepat-cepat menambahkan bahawa tidak apalah, ambil dua RM30, beliau menawarkan diskaun. Menurutnya, ubat itu hanya boleh didapati di China, dan oleh itu, ia adalah kesempatan bagi penumpang untuk mendapatkan ubatnya dengan harga murah.

Beliau meyakinkan bahawa ubat yang dijualnya itu mujarab.Saya tidak salah cakap, katanya.

Catatan 2.
Datu Badaruddin petang tadi bertanya, apakah saya jadi datang ke Semporna. Saya berkata, kerana Datu minta saya datang, maka saya datang. Kalau kau tidak datang, aku cukur kumismu, katanya berkelakar. Beliau memberitahu, jika sampai kelak, saya harus menghubunginya kerana beliau menyediakan saya tempat tinggal di seafest hotel.

Catatan3.
Hanya selepas Batu 32 Sandakan, saya dapat menyapa Cikgu Fatimah, dari Shah Alam. Sepanjang jalan itu saya tertidur atau cuba tidur kerana agak keletihan. Jadi selepas minum di Batu 32 Sandakan itu, saya menyapa penumpang bas yang duduk di sebelah saya, Cikgu Fatimah namanya. Asal Shah Alam tapi beliau mengatakan orang tuanya berasal dari Perak dan Kedah. Sudah empat tahun mengajar di Sepagaya. Beliau mendapat diploma di KUZA, Ijazah Sarjana Muda di Unimas di Kota Semarahan dalam bidang psikologi dan ijazah sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang psikologi kaunseling. Saya gembira dapat bercakapcakap dengannya. Di UMS, beliau mengkaji silang budaya dan mengkhususkan kajiannya mengenai silangbudaya dalam masyarakat Idahan, kalau saya tidak silap.
Fatimah mempunyai kelebihan kerana bukan saja mampu bercakap lenggok Sabah malah mahir menggunakan bahasa Melayu Sarawak. "Mungkin kerana saya dilahirkan oleh ibu bapa yang berasal dari dua negeri lain," katanya.
Sedikit banyak beliau menceritakan mengenai pengalamannya di Sabah. Mengenai barangan mentah yang murah harganya, mengenai sikap ibubapa masyarakat Idahan terhadap pendidikan anak-anak mereka sesuai bidang kajiannya, dan sebagainya.
Beliau juga menjelaskan kepada saya sedikit sebanyak mengenai ciri-ciri orang Shah Alam, yang boleh dibezakan dengan orang dari kawasan lain di Selangor. Satu pengetahuan baru juga bagi saya.Katanya, orang Shah Alam, yang kebanyakannya berasal dari daerah atau negeri lain di Selangor agak terdedah kepada informasi, suka berusaha sendiri tetapi walau demikian belianya tidaklah terikut ikut aliran fesyen yang ekstrem.
Selain itu, beliau memberitahu pernah menyaksikan pilihanraya 2008 sewaktu menuntut di Sarawak dan sebelum itu pula menyaksikan pilihanraya 2004 sewaktu menuntut di Terengganu.Tahun ini beliau berkesempatan, insya Allah untuk mengikuti pilihanraya 2012 di Sabah pula.
Banyak juga topik yang kami sembangkan sehingga beliau turun di Taman Perdana Lahad Datu.

Catatan3
Bas yang terawal sampai ialah bas sairah dari Sipitang, jam 3.00 tadi, kata pemandu teksi itu. Hanya dua bas yang ada permit Sipitang-Tawau iaitu Sairah dan Ali Topan. Saya pula baru tahu ada bas dari Sipitang terus ke Tawau.
Bas Tung Ma dari KK sampai kira-kira 5.12 pagi, tepat ketika azan Subuh. Saya naik teksi dari bandar ke Taman Suhima dengan tambang RM15. Saya agak keberatan untuk meminta isteri mengambil saya kerana masih gelap dan anak-anak masih tidur.

Catatan4
Tengahari 29 Januari, saya sampai di Semporna. Sementara menunggu acara, saya sempat minum di Restoran Ar Rahman berdekatan stesen bas itu. Saya memerhati orang ramai yang lalu lintas sambil cuba mencatat. Ada seorang, mereka panggil si Yung, datang ke kedai itu, dengan tiga bungkus cili padi. Beliau menghamburkannya di atas meja, dan sambil bernyanyi menanggalkan batang cili padi itu.


catatan5
Bukan mudah mengumpulkan orang begini ramai, kata Piramli. Saya perhatikan memang sambutan yang diberikan terhadap Datu Badaruddin dan Usnonya agak diluar jangkaan. ya, bukan senang kumpul orang, tapi mereka datang untuk mendengar apakah harapan-harapan yang ditawarkan oleh USNO Datu Badaruddin, anak bapa kemerdekaan Sabah, Tun Datu Haji Mustapha dan juga STAR Dr.Jeffery.
Betapa orang masih mencintai Tun Mustapha dan USNO, sehingga saya memerhatikan beberapa orang memakai baju parti USNO yang lama dengan moto Pembela Rakyat. Berapa lama sudah beliau memakai baju itu? Menyimpannya dan memakainya dengan penuh semangat hari ini.
Datu Badaruddin berkata sama ada lulus atau tidak, didaftarkan atau tidak, USNO yang dipimpinnya akan tetap membela hak rakyat Sabah. Beliau meminta,penyokong dan pendokong setia USNO mengundi calon STAR jika USNO tidak didaftarkan nanti.

Catatan6
Bas mini terakhir telah meninggalkan Semporna jam 6.00 petang iaitu kira-kira lapan minit yang lepas.Ada satu bas lagi, bas orang tawau yang belum sampai. Sehingga jam 6.38, bas yang ditunggu-tunggu itu tidak juga tiba.Akhirnya saya memutuskan untuk naik kirong-kirong.
Kirong-kirong ialah istilah untuk `teksi sapu' di Semporna.
Saya tidak pasti sama ada Apan atau juga dikenali sebagai Olala itu seorang pemandu kirong-kirong.Tapi sepanjang perjalanan itu kami berborak banyak hal. Beliau berpengalaman dan tahu selok belok lembah kelang kerana pernah menjadi pemandu bas di KL.
Beliau tinggal di Tampi-Tampi.Berasal dari pulau Larapan, isterinya Cikgu Roslina, orang Temerloh.Agak ramah juga orangnya. Ketika saya bertanya mengenai dialek Melayu Pahang, dan ciri-cirinya, beliau memberitahu, bahasa Melayu Pahang itu mengikut aliran Sungai Pahang.
Apan memberitahu saya mengenai nasib anak-anak pulau yang tercicir dan bersekolah setakat darjah tiga. Bukan tidak ada sekolah atau guru di pulau-pulau tempat mereka tinggal tetapi kerana sebaik-baik mereka menduduki tahap dua, iaitu tahun empat, lima dan enam, mereka dihantar ke sekolah berpusat di Pulau Bum-Bum.Anak-anak yang masih kecil, dan belum mampu mengurus diri itu dihantar ke asrama. Selain itu, masalah kos pengangkutan yang ditanggung terasa agak membebankan orang tua mereka. Saya fikir perkara itu perlu dikaji semula.
Bertolak dari Semporna jam 6.40, sampai di Tawau jam 8.18 malam, isteri tercinta sudahpun menunggu.

Saturday, January 28, 2012

Selepas memandang Kinabalu dan fikiranku yang menerawang

SELEPAS MEMANDANG KINABALU DAN FIKIRANKU YANG MENERAWANG

Maaflah bagi anda yang tidak pernah melihat gunung Kinabalu pada saat-saat setelah fajar sebelum terbit matahari.

Fantastik.Kurnia Tuhan yang luar biasa. Gunung tertinggi di Malaysia itu tersergam begitu hebatnya tatkala cahaya mulai meneranginya perlahan-lahan.

Saya pernah mendakinya beberapa kali. Setiap kali saya menaikinya, saya merasa selalu ada yang menggamit saya untuk menaikinya semula.

Entah berapa kali saya mengambil gambar gunung itu. Ya, mungkin orang menganggapnya klise.Tapi tidak apa. Saya suka mengambil gambarnya, dari arah mana saja.Kadang saya mengambil gambarnya dari arah Kota Belud seperti pagi ini. Kadang-kadang dari Tuaran, kadang dalam perjalanan di Kundasang, dari Kampung Sinisian, juga dari arah Teluk Marudu ketika berada di atas udara, malah hampir dari segala sudut yang memungkinkan untuk saya mengabadikan gunung Kinabalu dalam gambar-gambar.

Seorang rakan tionghua, seorang jurugambar, pernah bangun pagi-pagi untuk menunggu beberapa detik sebelum matahari naik untuk mengambil gambar Kinabalu dari celah-celah masjid Bandaraya. Malah ada yang sanggup berperahu di Penimbawan untuk mengambil gambar gunung Kinabalu.Sungguh mengasyikkan melihat telatah mereka.

Tetapi apakah makna gunung Kinabalu buat saya? Ketika kecil dahulu, saya lahir tahun 1969, Kinabalu bukan sekadar lambang perjuangan, bukan sekadar simbol kecintaan kepada negeri tetapi lebih dari itu. Berapa banyak lagu telah dicipta yang terinspirasi dari puncak gunung yang ditanggapi pelbagai cara oleh penulisnya.Berapa banyak puisi yang terilham dari Kinabalu., berapa banyak cerpen, berapa banyak novel, berapa banyak kisah yang telah ditulis untuk menggambarkan keindahan, kecantikan, ketinggian, kegagahan, keperkasaan Kinabalu.

Berapa banyak misteri yang terkandung di puncak gunung itu, atau di sepanjang perjalanan mendaki yang mencabar.Berapa banyak kaki yang telah menjejaki perjalanan dari kaki gunung ke puncak gunung?. Bukan setakat gemala naga seperti yang diceritakan dalam dongeng-dongeng, yang membuktikan betapa Kinabalu, sudah sejak sekian lama terhitung dalam peradaban tetapi siapa saja pasti yang memandang Kinabalu, pada saat saat setelah azan Subuh itu, pasti teruja malah memandangnya di kala itu, cepat membuat kita terharu.

Begitulah yang terjadi kepada saya hari itu. Sambil menatap Kinabalu, saya bertanya kepada diri saya, apakah Kinabalu memberikan sebarang erti apabila kita mengaitkannya dengan semangat patriotisme, semangat nasionalisme dan sebagainya. Dunia berubah dengan cepat. Masa bergerak tanpa dapat kita hentikan walau sesaat. Cabaran kita juga berubah.Pengertian-pengertian kita terhadap hidup dan kehidupan juga berubah.

Saya tertarik dengan pernyataan seorang tokoh. Katanya, pada tahun-tahun mendatang konsep nasionalisme kita berubah? Generasi kita semakin terlepas dari ikatan sejarah dan mereka kini sedang bersaing, bukan setakat di negara ini malah mencari hidup di negara-negara lain. Menurutnya, generasi kita sekarang terpaksa mementingkan survival mereka dalam persaingan dalam pasaran kerja. Pola dunia semakin berubah. Tidak sama seperti dahulu, ketika pemikiran kita masih dikekang oleh pemikiran tahun-tahun 60-an dan 70-an.

Masyarakat kita semakin matang untuk memilih dan mereka pasti memilih pihak mana yang mampu memberikan kegembiraan kepada mereka. Tidak perlu propaganda politik sehingga pemberian bantuan kerajaan pun perlu disampaikan oleh ahli-ahli politik dan disiarkan gegak gempita. Jika kerajaan benar-benar ingin membantu rakyatnya, sudah memadai jika bantuan itu disalurkan melalui akaun bank tanpa perlu digembar-gemburkan. Kadang-kadang bantuan yang sepatutnya boleh diterima oleh rakyat dalam masa yang cepat dan singkat, ia menjadi lambat kerana terpaksa menunggu masa para wakil rakyat untuk menyampaikannnya.

Ini semuanya harus diperbetulkan. Rakyat sekarang lebih suka kepada yang bekerja.Bekerjalah dengan baik dan berkesan. Santuni keperluan rakyat dan penuhi aspirasi mereka. Pada akhirnya, yang menentukan mereka memilih kita atau sebaliknya ialah apakah mereka gembira atau tidak dengan prestasi kerja yang kita tunjukkan.

Pembangunan tidak ada ertinya kalau anak-anak kita tidak bekerja di sana. Banyak peluang pekerjaan di negara kita dimonopoli oleh orang lain kerana kita tidak melatih anak-anak kita untuk memiliki kemahiran. Peluang pekerjaan dalam sektor perladangan, tidak diisi oleh anak-anak sehingga kita terpaksa bergantung kepada orang luar. Seperti yang berlaku di Dubai, di Bahrain dimana hampir 70 peratus tenaga kerjanya terpaksa bergantung kepada pekerja asing.

Semua ini mendatangkan pengertian dan pemahaman baru terhadap realiti yang berada di sekitar kita sekarang. Kadar pengangguran yang semakin tinggi di kalangan graduan universiti juga merisaukan. Kini kebanyakan negara menumpukan usaha untuk melatih lebih ramai rakyatnya dalam bidang kemahiran. Banyak bidang kemahiran yang perlu dikuasai untuk membolehkian bersaing di pasaran kerja.

Sesuatu yang menarik apabila beliau menyebut mengenai seorang belia yang tidakpun lulus sekolah menengah, tetapi kini bergaji lebih RM3,000 setelah mendalami kemahiran dan mengikuti kursus dalam bidang pastry di Australia.Malah seorang jururawat, yang berasal dari Pulau Mantanani kini sedang bersiap untuk bekerja dalam bidang kejururawatan di Afrika Selatan dengan gaji lebih RM5,000.

Sesungguhnya realiti dan cabaran baru yang kita hadapi itu turut memperkuatkan komitmen kita untuk menyumbang ke arah kemajuan di negeri ini. Kita berharap satu ketika nanti, negeri yang kita bangga-banggakan akan terus maju dalam , menyediakan pelbagai peluang pekerjaan, sehingga anak-anak kita mendapat upah gaji yang lebih tinggi sesuai dengan keupayaan mereka.

Mungkin kita tidak perlu risau untuk meneroka lebih jauh, menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dalam pelbagai aspek agar nantinya, ia dapat kita gunakan untuk menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan di negeri kita ini, di negeri dimana letaknya gunung Kinabalu, yang dapat kita tafsirkan dengan pelbagai makna baru. Banyak perlambangan lain yang kita boleh gunakan tetapi rasanya Kinabalu tetap menumbuhkan rasa kecintaan kita kepada diri kita, keluarga kita, bangsa kita, negeri kita dan negara kita.Kinabalu sebenarnya kuat kaitannya dengan semangat nasionalisme dan patriotisme kita.

Tinggi-tinggi gunung kinabalu, tinggi lagi sayang sama kamu-saya teringat sepotong lirik lagu

Friday, January 27, 2012

Datuk Aklee sentiasa disenangi rakyat

DATUK AKLEE SENTIASA DISENANGI RAKYAT


KETOKOHAN Datuk Haji Aklee Haji Abbas sebagai seorang pemimpin yang disayangi masyarakat akar umbi sukar ditandingi. Biarpun tidak lagi memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, dan tidak lagi menjadi wakil rakyat, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau ini merupakan seorang pemimpin berkaliber yang tetap disanjung oleh rakyat. Beliau kini sudah bersara dari politik tetapi tetap prihatin terhadap nasib rakyat apatahlagi beliau pernah merasai kesusahan ketika kecil. Beliau pernah berdayung dari kampungnya untuk ke bandar Sandakan, ikut menjual ikan ketika masih kanak-kanak. Pemimpin ini juga pernah mencari nipah, menguliti kayu bakau untuk dibuat kayu api dan sebagainya. Kesukaran hidup sewaktu kecil inilah yang membuatkan Datuk Aklee sentiasa menyelami penderitaan rakyat bawahan walaupun kini tidak lagi menjadi wakil rakyat.

Datuk Haji Aklee Haji Abbas dilahirkan di Kampung Mamiang Kinabatangan pada tahun 1946. Beliau merupakan anak kedua daripada empat beradik.Ayahnya Haji Abbas Binuang merupakan Pegawai Kemajuan Masyarakat ketika era USNO manakala ibunya Hajah Asiah Asdain adalah seorang suri rumah. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Sukau sebelum melanjutkan pelajaran di St Michael Sandakan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur Commercial Institution. Sekembalinya ke Sabah, beliau bekerja beliau bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan pada tahun 1972. Kemudian beliau mengikuti kursus jangka pendek selama empat bulan di Sydney Australia.
Dalam tahun 1982, beliau melanjutkan pelajaran di Teesside Polytehcnic Middlesbrough sehingga berjaya mendapat Ijazah sarjana Muda dlam bidang Penmtadbiran pada tahun 1985. Selepas kembali dari luar negara, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Pentadbir di Jabatan Pertanian sebelum dipinjamkan sebagai Penolong Pengarah di Ko-Nelayan.

Pada tahun 1990, beliau meletakkan jawatan dan bertanding atas tiket USNO dan berjaya memenangi kerusi Sukau. Apabila BN mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1994, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Kementerian Pertanian dan Perikanan. Empat tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur. Bagaimanapun, beliau tidak bertanding dalam pilihan raya tahun 2008 dan kini banyak menumpukan dalam kegiatan dakwah.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajah alijah Nasip dan dikurniakan tujuh orang anak.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di kantin USIA di Sembulan mengenai pengalamannya ketika bersekolah, dalam politik serta pandangan dan nasihatnya terhadap pemimpin kini. Ikuti petikan temuramah Utusan Borneo bersama pemimpin yang disenangi ramai ini.

UB: Pernahkah Datuk terfikir jadi Ahli Politik?
DHAHA: Sebenarnya menjadi ahli politik, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Sebetulnya dulu saya mahu jadi guru.Malah sudah mengikuti temuduga. Tetapi apabila Cikgu Hashim tahu saya mendapat kepujian dalam bahasa Inggeris, sesuatu yang jarang pada ketika itu, beliau menasihatkan saya agar menangguhkan hasrat menjadi guru, sebaliknya dia berkata "kau sekolahlah.Jangan dulu jadi guru" Itulah sebabnya saya tidak jadi guru.Dulu darjah enam, boleh jadi guru.

UB: Apa perbezaan menjadi pemimpin politik dahulu dan sekarang?
DHAHA: Memang terdapat perbezaan antara pemimpin dahulu dan pemimpin sekarang. Dulu jalan perhubungan susah. Kadang-kadang orang politik dua bulan baru balik rumah kerana tiada jalan raya seperti sekarang. Apatah lagi tempatnya berjauhan.Sekarang ini senang, semua pakai kereta. Apa susah?

UB: Oh ya. Seperti yang ketahui Sukau selalu banjir? Apa pengalaman Datuk ketika menghadapi banjir?
DHAHA: Pengalaman berhadapan dengan banjir, yang berlaku hampir saban tahun di kawasan saya, boleh dikatakan satu pengalaman yang mencabar.Orang putih kata very thrill.Kalau musim banjir kita selalu turun melawat mangsa.Kampung-kampung di kawasan saya pula terletak berjauhan. Empat lima kampung, yang terletak jauh antara satu sama lain. Kalau malam pun, saya biasa melawat kampung untuk memberikan bantuan. Naik bot laju.Kadang-kadang kita takut terlanggar batang.
Kalau kita terlanggar batang, terlanggar sikit saja memang bahaya. Alhamdulillah tak ada bahaya. Kadang-kadang pula ombak begitu kuat. Syukurlah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

UB: Pernahkah Datuk mengalami peristiwa-peristiwa lucu, pengalaman pahit manis dalam politik?
DHAHA: Seribu satu macam pengalaman, bahkan kalau dibukukan pun satu bukupun boleh.

UB: Antaranya?
DHAHA: Pernah satu orang, tak payahlah sebut namanya, datang mengadu menangis-nangis minta bantuan, berjumpa saya di kementerian.Dia beritahu anaknya meninggal di Hospital Queen Elizabeth. Dia minta tambang pick-up RM350 untuk tambang jenazah ke Bukit Garam dari Kota Kinabalu. Ketika itu saya mahu menghadiri mesyuarat.Kalau tiada mesyuarat, saya tentu menziarahi orang yang meninggal itu di hospital. Jadi saya berikan dia RM500 dengan perkiraan RM350 untuk bayar kereta dan selebihnya buatlah apa yang patut. Setelah menerima wang itu, orang itupun pulang. Dia ketawa-ketawa kerana dalam lif kerana sudah dapat RM500.Kebetulan dalam Lif itu, ada Kadir, pembantu saya. Tapi saya tidak marah, walaupun dia bilang anaknya mati, sebetulnya tidak ada.

UB: Pengalaman yang lucu?
DHAHA: Pernah juga orang datang, dia cari Datuk Aklee. Dia bertanya kepada saya mana Datuk Aklee? Saya tanya kenalkah dengan Datuk Aklee.Orang itu mengaku kenal. Datuk Aklee orangnya bagus. Padahal dia sedang bercakap dengan saya. Kalau saya perkenalkan diri sebagai Datuk Aklee, tentu dia rasa serba serba salah. Jadi saya katakan Datuk Aklee tiada. Saya berikan dia duit kerana dia datang sekadar minta tolong wang tambang. Saya katakan padanya, anggap saja duit itu dari Datuk Aklee.

UB: Saya difahamkan Datuk juga minat dalam bidang sukan. Apa bidang sukan yang Datuk minati?
DHAHA: Saya minat sukan bolasepak. Malah saya pernah mewakili Pasukan Sandakan dalam sukan bolasepak pada tahun 1960-an dahulu. Sekitar tahun 1962-1965. Saya memakai jersi nombor 10, bermain dalam posisi striker.

UB: Ketika di St Michael Sandakan, siapa antara rakan sekelas Datuk?
DHAHA: Oh ramai juga. Antara rakan sekelas saya ialah Datuk Syed Abdillah Hassan, Datuk Wahid Norbinsha, Datuk Hassan Alban Haji Sandukong, Datuk Railey Haji Jeffery dan ramai lagi.

UB: Siapa cikgu yang paling Datuk minati ketika di sekolah dulu?
DHAHA: Banyak cikgu yang berjasa kepada saya. Antaranya Cikgu Salleh Latun (arwah Datuk Haji Salleh Latun). Itulah cikgu yang banyak membantu kami di Sukau.Pagi petang dia mengajar kami bersama isterinya.

UB: Apa pengalaman Datuk yang boleh dikongsikan ketika bersekolah dahulu?
DHAHA: Bercakap pasal pengalaman, memanglah banyak pengalaman waktu di sekolah dahulu. Ketika sekolah dahulu, ramai di antara kami pernah tinggal di Masjid Bandar Sandakan, masjid sheikh Hasbollah At Tahiri.

UB: Kenapa Datuk tinggal di masjid?
DHAHA: Kami datang dari tempat yang jauh. Ada yang dari Kinabatangan, ada yang dari Lahad Datu dan sebagainya.

UB: Siapa antara rakan-rakan Datuk yang pernah tinggal di Masjid Sandakan?
DHAHA: Antaranya Datuk Railey, Latif Johari, Datu Harun Datu Mansur, kami sama-sama tinggal di Masjid Sandakan yang terletak di atas bukit itu, iaitu sebelum dapat asrama.
UB: Datuk masak sendiri?
DHAHA: Kami makan di pasar, bayar secara bulanan. Gerai itu milik nenek Abdillah (Syed Abdillah Hassan) disitulah tempat kami makan.
UB: Berapa lama Datuk tinggal di masjid?
DHAHA: Lama juga.Kira-kira satu tahun setengah, iaitu sebelum kami dapat asrama.

UB: Apa saja yang Datuk buat di masjid sepulangnya dari sekolah?
DHAHA: Kami membantu membersih masjid. Kami pungut duit syiling yang dibuang dalam kolam oleh orang yang bernazar. Duit itu kami berikan kepada bilal. Kalau datang orang bernazar, Sheikh Hasbollah yang biasanya membacakan doa. Tapi kalau yang datang bernazar itu perempuan yang hanya memakai skirt, kami, saya dan arwah Badron yang disuruhnya untuk membacakan doa. Ramai juga yang datang untuk membayar niat, bermacam-macam niat.

UB: Apa kebaikan tinggal di masjid?
DHAHA: Banyak manfaatnya.Kami menjadi pelajar yang rajin sembahyang.

UB: Apa agaknya nasihat guru yang masih Datuk ingat, nasihat yang boleh menjadi panduan pembaca?
DHAHA: Ada seorang guru di Australia, ketika saya belajar di sana. Mula-mula beliau bertanya, Kamu orang kaya kah? Saya kata tidak!, Dia berkata, kalau kamu jadi kaya, jangan lupa keadaan ketika kamu miskin. Itu antara nasihatnya. Ada lagi nasihatnya iaitu Kalau kamu tinggi pangkat, jangan anggap rendah orang yang berada di bawah kamu. Jangan tengok orang terlampau rendah kerana dialah yang membuat kamu tinggi...Kerana ada yang rendah maka ada yang tinggi. Kita menjadi tinggi kerana sokongan mereka. Satu lagi nasihatnya yang masih saya ingat ialah supaya kita berjimat ketika masih ada.Jangan berjimat kalau kita tiada.Berjimat semasa ada kerana kalau ketika kita tiada, apa yang kita dapat jimatkan.

Pernah satu ketika dia nampak saya melintas jalan. Ketika itu lampu merah tapi saya terus berjalan kerana ketika itu tiada kereta. Kemudian dia bertanya kepada saya kenapa saya buat begitu. Kenapa saya melanggar isyarat lampu merah.Saya beritahu saya rasa buang masa saja, lagipun ketika itu tiada kereta. Profesor itu berkata saya, "Kau ingat Aklee, lebih baik kamu buang masa daripada kamu langgar peraturan".Kalau kami selalu melanggar lampu merah, satu masa nanti kamu akan ditimpa kemalangan. Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi melintas lampu merah.

UB: Itu bermakna masyarakat barat mempunyai disiplin yang tinggi. Bagaimana kalau menurut pemerhatian Datuk?
DHAHA: Ya, mereka mempunyai disiplin yang tinggi, hampir dalam semua aspek.Jika kita berada dalam satu barisan misalnya, kerana mahu cepat kita potong Q, kita tidak akan dilayan kalau sampai di kaunter. Itu antara contohnya, jika ada urusan, ikut barisan dan jangan cuba potong Q.

UB: Selain Australia, saya difahamkan Datuk pernah belajar di United Kingdom?
DHAHA: Di Australia, saya mengikuti kursus jangka pendek selama empat bulan di Sydney. Di UK, Saya bersekolah, mengambil jurusan pentadbiran di Teesside Polytechnic Middlesbrough. Antara rakan seuniversiti saya, Datuk Claudius Roman, Haji Jamil Atan, Yunus Ismail, Yunus Asmat, Sani sapong, Judin Mandalam, Dahali Harun, Matin Pandin, Haji Bahrin dan ramai lagi. Saya pernah terpilih sebagai Presiden Persatuan Pelajar Sabah di sana.

UB: Sepanjang berada di UK, apa pengalaman Datuk yang paling mencabar?
DHAHA: Saya teringat satu peristiwa genting ketika saya menduduki peperiksaan akhir. Ketika itu, isteri saya sakit kuat manakala di kampung, ibu saya kembali ke rahmatullah. Itu antaranya.

UB: Apa nasihat datuk kepada pemimpin-pemimpin muda?
DHAHA: Kepada pemimpin-pemimpin muda, berkhidmatlah secara dedikasi.Jangan politiking. Jangan pilih-pilih.Kita bantu apa yang termampu...apa yang terdaya. Bagi saya, saya anggap diri saya sebagai bapa, semua saya anggap sebagai anak. Dalam perjuangan kita mesti mahu ikhlas. Kalau ada masalah, selesaikan masalah dengan baik, melalui perundingan.Jangan emosi, jangan ikutkan hati, jangan gaduh sesama sendiri.

Saturday, January 21, 2012

Catatan ringkas mengenai mikorot, satu pandangan peribadi

MUJURLAH adik saya hanya dikenakan denda atau sogit dua ekor ayam dan sebilah pisau.

Kesalahannya kerana ia berkahwin dengan isterinya, yang rupa-rupanya masih kerabat keluarga Pindingan. Sedangkan Pindingan sudah mengaku saudara dengan arwah ayah saya. Mereka menjalani upacara `mikorot' iaitu satu upacara akujanji yang dijalankan mengikut adat istiadat sukukaum Dusun Tobilung.

Arwah ayah saya yang berketurunan Bajau dan Pindingan dari suku kaum Dusun Tobilung menganggap diri mereka bukan lagi sekadar kawan tetapi sebagai saudara kandung. Mereka melarang anggota keluarga atau keturunan mereka untuk berkahwin kerana mereka dianggap bukan orang lain sebaliknya dikira mempunyai hubungan keluarga. Mereka yang didapati melanggar `perjanjian saudara' atau mikorot itu dikatakan akan menghadapi pelbagai kendala dalam hidup mereka kecuali jika mereka membayar sogit.

Jadi apabila adik saya berkunjung ke kampung Sarang Kota Belud dan setelah diketahui bahawa dia dan isterinya sebenarnya masih mempunyai hubungan keluarga melalui `adat mikorot' itu, mereka akhirnya dikenakan sogit. Adik saya kemudian digelar `Dumaring' manakala isterinya `Kindaman', sempena nama tokoh legenda dalam masyarakat Tobilung, yang menurut cerita, seorang yang kaya dan berharta.

Saya tidak begitu pasti bagaimana ceritanya sehingga Pindingan dan arwah ayah saya itu menjalani upacara mikorot itu. Tetapi yang jelas, inilah salah satu bentuk pertautan saudara yang dilakukan bukan oleh sembarang orang sebaliknya dibuat oleh mereka yang mempunyai hubungan yang akrab sehingga mereka akhirnya mengaku bersaudara.

Hubungan `saudara' ini cuba dipertahankan dari generasi ke generasi. Mereka saling memperkuat hubungan yang sedia terjalin itu dengan saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain, sama ada ketika musim perayaan, majlis perkahwinan dan sebagainya.

Filosofi `aku saudaramu, kau saudaraku' itu menjadikan mereka kuat, kerana mereka saling bekerjama, bantu membantu antara satu sama lain.

Sebenarnya terdapat beberapa keluarga dari suku kaum Dusun yang mempunyai hubungan dengan keluarga ayah saya melalui adat Mikorot ini. Jika tidak silap saya, atuk kami dahulu mempunyai hubungan saudara mikorot dengan Mendongot. Selain itu, banyak lagi keluarga Dusun lain, yang kini tidak lagi kami ketahui susur galur keturunan mereka.

Menurut adat, cucu keturunan mereka tidak dibenarkan berkahwin antara satu sama lain kerana mereka dianggap seperti layaknya adik beradik. Arwah ayah saya pernah bercerita, betapa dia beberapa kali terpaksa putus cinta dengan gadis Dusun kerana tidak dibenarkan berkahwin oleh atuk kami kerana setelah diteliti, mereka masih mempunyai kaitan keluarga melalui `mikorot' itu tadi.Kerana itu ia dianggap taboo.

Menurut cerita yang berkembang di kalangan masyarakat kami, tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, arwah Tun Datu Mustapha dan arwah Tun Fuad pernah menjalani upacara `mengaku bersaudara' ini. Mereka mestilah bersatu dan tidak boleh mengkhianati satu sama lain. Jika sesiapa melanggarnya, mereka dikhuatiri akan ditimpa sesuatu malapetaka.

Upacara `mengaku saudara' ini terdapat juga dalam etnik-etnik lain di Sabah, dengan nama upacara yang berbeza-beza. Ada yang melakukannya dengan memotong ayam,kambing, kerbau atau apa saja jenis ternakan. Orang yang mengaku saudara itu pula memberikan cenderamata atau hadiah berupa gong dan sebagainya. Dalam masyarakat Iranun, adat ini dipanggil `migkeret' manakala di kalangan masyarakat Dusun Tindal, kalau tak silap disebut `minum daraha'.

Orang-orang dahulu membina persaudaraan, perpaduan dan persatuan sesama mereka melalui pelbagai cara. Walaupun mereka menyedari perbezaan kaum atau bangsa di kalangan mereka tetapi jalinan persahabatan antara mereka melintasi batas-batas perkauman. Kerana itu, kita melihat betapa akrab, betapa dekat hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini, antara etnik Bajau dan Dusun, antara komuniti Iranun dan bangsa-bangsa lain.

Tidak siapa dapat menafikan bahawa hubungan kaum di kalangan masyarakat Sabah boleh dikatakan sangat baik.Sangat istimewa. Bahkan kita boleh lihat bahawa walaupun mereka berbeza fahaman, politik atau agama, mereka masih boleh duduk semeja, menikmati minuman di kedai apek tua, kadang-kadang kerana aroma kopi yang luar biasa.

Jauh sebelum ini, jika kita menelusuri sejarah, semua kaum di Sabah, sama ada Bajau, Dusun, Iranun, Suluk, Sungai, dan sebagainya boleh bersatu di bawah kepimpinan Datu Paduka Mat Salleh untuk menentang penjajah. Kalau bukan kerana kerjasama yang utuh dan kukuh di kalangan mereka, mana mungkin perjuangan Mat Salleh mendapat sokongan pelbagai kaum di negeri ini, pada waktu itu.

Orang-orang tua kita dahulu disebalik kekurangan dan keterbatasan mereka, tetap menjaga persatuan dan perpaduan di kalangan mereka. Ketika itu, tidak ada jalan perhubungan yang baik. Orang mengambil masa berhari hari berjalan kaki untuk sampai ke sesuatu tempat, kadang berdayung mudik ke kuala, menggunakan sampan atau perahu, berakit, menaiki kerbau atau kuda, dan sebagainya.

Tetapi mereka tetap mementingkan persatuan dan perpaduan. Orang tua kita dahulu tidaklah mempunyai taraf pendidikan yang tinggi seperti kita sekarang tetapi mereka tetap mengerti betapa perlunya kita memelihara persefahaman dan bukan perbezaan-perbezaan.

Jika ditakdirkan orang-orang tua kita dahulu hidup semula di dunia ini, barangkali mereka akan terkejut jika membuka internet, blog, facebook, twitter dan sebagainya, yang setiap hari menyebarkan kecurigaan,iri hati dan kedengkian, menyebarkan dendam dan kebencian, dan kata-kata nista yang tidak berguna.

Alangkah indahnya jika kita saling mengasihi, saling menyayangi, saling menghormati, toleransi, saling bantu membantu dan sebagainya. Alangkah baiknya jika kita semua, saling mengaku sebagai saudara dan bersikap benar-benar sebagai saudara.